Followers

Monday, October 3, 2011

RUU Kg Baru ditarik balik

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Setelah menerima tekanan hebat dari perjuangan untuk membebaskan Kampung Baru dari Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru, bacaan kali kedua di Parlimen yang sepetutnya bermula hari ini, ditarik balik.

Perkara itu diumumkan pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, ia satu kemenangan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

“Perkara pertama hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan telah menarik balik Rang Undang-undang Pembangunan Kampung Baru, Viva, kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan Allahyarhamah Dr Lo’Lo’,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Pelbagai pihak khasnya PAS mendesak agar rang undang-undang ditangguhkan dan bacaan kali keduanya hari ini ditarik balik.

Perjuangan ini, sebagaimana yang dinyatakan Tian Chua diperjuangkan dengan hebat oleh anggota Parlimen kawasan ini, Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Sebelum ini, PAS mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru 2010 (RUU PPKB 2010) dan tidak meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen sessi ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebaliknya berkata, RUU PPKB tersebut perbincangan semula membabitkan pihak yang benar-benar berkaitan dengan Kg Baru.

Menyifatkan RUU PPKB sebagai "tidak masak", dan "cacat", Salahuddin berkata cadangan bacaan kali kedua itu bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris Kg Bharu.
(Salehudin mengadakan sidang media khas 27 September lalu membantah RUU Kg Baru dan minta bacaan keduanya ditangguhkan)

"Penangguhan bacaan kali kedua sebelum ini membuktikan rang undang-undang ini tidak masak, tidak sempurna dan cacat maka satu perundingan yang serius perlu dilakukan yang perlu melibatkan wakil penduduk yang sah termasuk badan bukan kerajaan yang ada di Kg Bharu," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, 27 September lepas.

Salahuddin dalam pada itu turut menganggap kejayaan awal penentangan penduduk terhadap RUU PPKB hasil pengorbanan ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' yang berusaha keras memberi kesedaran kepada penduduk mengenai 'sesuatu yang tidak kena' dengan RUU tersebut.

Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) parlimen Titiwangsa menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) dengan tujuan membantu beliau meneliti, mengkaji dan memberikan maklumat penuh berkaitan RUU PPKB 2010.
Harakahdaily

No comments:

Post a Comment