Followers

Wednesday, January 12, 2011

EPISOD KE-60

LUMPUH DI KAKI

Perlahan-lahan datuk meraba dahi saya. Dari dahi jejari datuk merayap ke pangkal tengkuk. Saya rasa jejari datuk sejuk macam ais.

“Keadaan badan kamu macam biasa, tidak panas dan tidak pula sejuk, berdasarkan denyut darah yang aku rasa dari kepala hingga ke pangkal tengkuk, kau masih ada harapan.”

“Maksud datuk?”

“Lumpuh di kaki kamu boleh sembuh jika diizinkan oleh Allah, cuma aku mesti berusaha.”

“Bawa saya ke hospital untuk diperiksa, saya tidak mahu berubat dengan dukun dan bomoh.”

“Kalau itu yang kamu mahu, aku turutkan,” balas datuk dengan senyum.

Pintu yang terdedah terus juga menghantar angin malam ke dalam rumah. Suara jampuk sudah tidak sehebat tadi, begitu juga dengan bunyi burung hantu. Sesekali terdengar bunyi suara burung cenderawasih yang terbang berkawan. Kokok ayam jantan pun meningkah dalam suasana malam yang memburu pagi.

“Mudah-mudahan Allah akan memberkati segala usahaku,” datuk melahirkan harapan, sambil meraba kedua belah kaki saya yang lumpuh dan saya memang mengharapkan apa yang datuk katakan itu akan menjadi kenyataan.

“Sabar Tamar, aku akan berusaha.” Sebaik sahaja datuk mengakhiri kata-katanya, satu pancaran kilat melemparkan sinarnya ke dalam ruang rumah. Datuk dan saya terkejut seketika.

“Barangkali hari nak hujan Tamar?”

“Agak-agaknya begitulah tuk.”

Datuk terus bangun. Ia memulakan langkah menuju ke pintu. Langkah satu, langkah dua, dan tiga berjalan lancar. Langkah keempat segera terbantut. Diganggu oleh bunyi petir yang amat kuat. Datuk segera menoleh kearah saya. Bunyi angin kencang jelas kedengaran melanggar dedaun dan reranting pokok di luar. Angin itu seolah-olah berlegar-legar di kawasan rumah.

Datuk pun menghidupkan langkah yang mati. Ia berdiri di muka pintu sambil kedua belah tangannya merapatkan daun pintu. Datuk terus memasang selak pintu. Bunyi titik-titik hujan mula kedengaran bersama dengan tiupan angin. Rasa dingin mula menyerbu tubuh badan. Kokok ayam jantan terus kedengaran.

“Hujan tu rahmat Allah, menyegarkan pokok-pokok. Kata orang hujan menjelang Subuh membawa berkat pada orang yang jaga, membawa celaka pada orang yang tidur.”

“Silap tu tuk, sebetulnya membawa nikmat pada orang yang tidur dan tidak membawa apa-apa pada orang yang jaga.”

“Dari mana kau belajar semuanya ini Tamar?”

“Dari kawan-kawan tuk.”

Saya lihat datuk tersenyum panjang mendengar kata-kata itu. Ia terus duduk di sisi saya. Kedua belah kaki saya yang lumpuh diurutnya perlahan-lahan.

“Celaka pada orang yang tidur maksudnya, orang itu tidak akan bangun menunaikan sembahyang Subuh kerana terlalu seronok tidur waktu hujan dan syaitan akan membekalkan dirinya dengan mimpi-mimpi yang indah. Berkat pada orang yang jaga kerana ia dapat menunaikan sembahyang Subuh dengan sempurna,” datuk menjelaskan pada saya. Saya terus anggukkan kepala membenarkan kata-katanya itu.

Hujan lebat yang bermaharajalela di luar membuat saya menguap dan rasa mengantuk yang amat sangat. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk macam ayam mabuk tahi. Kalau datuk tidak ada di sini, sudah lama saya berdengkur.

“Aku nak sembahyang jemaah di masjid Tamar.”

“Hujan, macam mana tuk nak pergi?”

“Walau macam mana susah pun, perintah Allah tidak boleh diketepikan. Aku ni sihat dan diberi akal, lagi pun masjid bukannya jauh dengan rumah, aku pakai payung, kalau tak ada payung cari daun pisang.”

“Uzur macam saya ni tak payahlah sembahyang tuk.”

“Kena, kalau kau tak boleh bangun, boleh sembahyang cara duduk, soal utama perintah Allah mesti ditunaikan.”

“Hum…,” keluh saya dalam hati.

Datuk segera mengejutkan nenek. Kemudian, ia terus keluar ikut pintu dapur. Pesan datuk, nenek mesti menjaga saya supaya jangan terlelap kecuali matahari sudah memancar, saya dibenarkan tidur.

“Jaga si Tamar tu jangan sampai ia tertidur, kalau tertidur sentap kedua belah kakinya sekuat hati,” saya dapat mendengar pesan terakhir dari datuk.

Kerana tidak mahu kaki saya ditarik secara mengejut, saya mengambil keputusan tidak akan tidur hingga tengahari. Salah satu cara bagi mengelakkan saya tertidur, saya minta nenek bercerita sambil memicit kedua belah kaki saya. Permintaan saya itu ditunaikan oleh nenek. Baru sahaja nenek mahu memulakan cerita dan mengurut, terdengar azan Subuh dalam deru hujan. Suara azan itu sungguh merdu dan menusuk perasaan. Saya terpegun sambil mengingati kebesaran Allah yang menjadikan alam semesta.

“Biar aku sembahyang dulu, jangan tidur,” nenek mengingatkan saya dan terus menuju ke ruang dapur untuk mengambil air sembahyang.

Nenek menunaikan fardhu Subuh dekat saya. Masa nenek sembahyang itu saya dapat peluang merapatkan kedua belah kelopak mata. Tetapi, saya tidak dapat tidur dengan sempurna, bila mahu terlelap, saya didatangi oleh mimpi-mimpi yang menggerunkan, membuat saya terjaga kembali. Setelah selesai menunaikan sembahyang nenek terus ke dapur. Ia kembali menghampiri saya dengan membawa mangkuk tembikar besar berisi kerak nasi bercampur air dingin.

“Buat apa benda ni nek?”

“Untuk mengubat kaki kau, supaya urat-uratnya jangan kaku.” Nenek terus melumurkan kerak nasi pada sepasang kaki saya.

Aduh, sejuknya sampai ke tulang. Nenek tersenyum melihat wajah saya yang berkerut-kerut. Saya merasa beruntung kerana nenek hanya melumurkan kerak nasi ke kaki sebanyak tiga kali. Kalau lebih dari itu, pasti saya terkencing. Sebelum matahari terbit di kaki langit, datuk sudah berada di rumah. Ia sudah pun mandi air embun dan melakukan senaman.

Mungkin, nenek mahu menjaga hati saya supaya tidak rasa disisihkan. Nenek membawa hidangan sarapan ke tempat saya duduk. Sikap nenek yang mementingkan perasaan orang lain, membuat hati saya rasa gembira. Walaupun saya sakit tetapi tidak terpisah untuk bersarapan bersama nenek dan datuk seperti keadaan sebelum sakit dulu. Selesai sarapan, datuk terus menyatakan pada nenek untuk membawa saya ke hospital. Wajah nenek nampak berubah setelah mendengar kata-kata datuk itu.

“Kenapa tak berusaha cara kampung?” tanya nenek.

“Kita sekadar memenuhi hajat Tamar.”

“Kalau tak mahu sembuh bagaimana?”

“Kita cuma berusaha, doktor yang mengubat orang sakit tu pun berusaha, dia tidak dapat menentukan penyakit seseorang itu boleh sembuh, tanpa diizinkan Allah.:

“Saya faham, selalunya awak tidak begitu, awak tak suka berubat dengan doktor.”

“Awak silap, saya tak suka tu, kalau sakit itu terjadi pada diri saya, pada orang lain saya galakkan jumpa doktor, bukankah doktor tu belajar dan mempunyai alat-alat yang lengkap, kita cuma ada petua saja.”

“Begitu pula,” keluh nenek.

TEKSI

Datuk terus meninggalkan saya dan nenek. Ia pergi mencari teksi. Setengah jam kemudian, datuk kembali dengan teksi tua milik Awang Said. Saya pun diusung ke dalam teksi. Duduk di bangku belakang bersama nenek. Datuk duduk di hadapan bersama Awang Said.

Dalam perjalanan menuju ke hospital daerah yang terletak di bandar kecil Lumut, datuk terus berborak rancak dengan Awang Said. Sampai sahaja di hospital yang terletak di atas bukit kecil yang menghadapi Selat Dinding, saya diusung ke bilik pemeriksaan.

Doktor yang memeriksa saya ialah Doktor M.K. Menon. Orangnya peramah, pandai berbahasa Melayu meskipun ia dari keturunan Ceylon. Setelah diperiksa, doktor terus menyatakan pada datuk semua gerakan darah dalam kaki saya berjalan lancar dan baik. Doktor itu merasa pelik bagaimana sakit lumpuh itu boleh terjadi. Kaki saya terus di X-ray. Hasil dari X-ray juga menunjukkan urat-urat di kaki berada dalam keadaan baik, tidak ada yang tersimpul atau terputus. Keadaan darah juga macam biasa. Saya jadi lemas dan bosan kerana terlalu banyak pemeriksaan dilakukan sebelum saya diletakkan dalam wad.

Sebulan lebih saya merengkok dalam hospital. Hari-hari daging paha saya disuntuk, kesanya tidak mendatangkan apa-apa, tidak ada tanda-tanda sakit lumpuh yang saya alami akan sembuh. Walaupun demikian, hati saya tetap terhibur. Setiap pagi nenek mengunjungi saya untuk melumurkan kerak nasi di kaki. Nenek tidak peduli dengan teguran beberapa orang jururawat yang bertugas di wad tersebut yang melarangnya membawa kerak nasi serta melumurkan ke kaki saya.

Nenek menerima larangan itu dengan wajah yang manis, penuh simpati melambangkan sifat seorang wanita kampung yang banyak menyerahkan sesuatu pada keadaan. Tidak mudah mahu melawan atau membantah tetapi banyak merayu.

“Saya berikhtiar cara orang kampung cu, bukan mahu melawan doktor, saya tahu cu lebih pandai dari saya, doktor lagi pandai, kalau tak boleh sebelah pagi biar saya buat sebelah malam,” itulah yang diucapkan oleh nenek setiap kali jururawat yang bertugas menegur perbuatannya.

Di Lumut, nenek menginap di rumah anak buahnya yang bekerja sebagai pemandu kereta dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jarak rumahnya dengan hospital tidak jauh. Tidak sampai setengah batu. Tidak menjadi masalah untuk nenek mengunjungi saya sehari dua kali, pada sebelah pagi dan petang atau pada sebelah malam.

Biasanya, pada sebelah petang atau malam, ia ditemani oleh anak buahnya yang dipanggilnya sebagai Din sahaja. Nenek menyuruh saya memanggil lelaki yang kurus tinggi itu sebagai Pak Din. Dalam masa tertentu nenek selalu menceritakan pada saya tentang hubung-kait dirinya dengan Mat Ladin ayah pada Pak Din. Pak Din yang sudah berkeluarga itu juga menasihati saya supaya sabar. Di samping itu, ia juga berjanji akan berikhtiar mencari bomoh atau pawang terkenal dalam usaha menyembuhkan kaki saya yang lumpuh itu.

Secara jujur saya katakan pada Pak Din yang saya tidak begitu tertarik untuk mengubati kaki saya yang lumpuh itu dengan dukun atau bomoh. Sebabnya, terlalu sulit mencari seorang dukun yang jujur dan pandai, kebanyakan dukun atau pawang bila mengubati seseorang selalu menurun dengan memanggil roh datuk nenek yang saya kira, perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

LAWAT

Pada suatu pagi, setelah nenek pulang. Katil saya dikunjungi oleh seorang lelaki tua. Tinggi lampai orangnya. Dari raut wajahnya, saya dapat meneka bahawa lelaki tua itu berbangsa Cina.

“Saya Hassan.”

“Saya Tamar.”

Saya segera menyambut huluran tangan orang tua itu. Saya mempersilakan ia duduk di katil. Ia memakai seluar warna kelabu tahi anjing. Bajunya berwarna putih yang dibuat dari kain belacu. Bentuknya, seperti bentuk baju yang selalu digunakan oleh pekebun-pekebun sayur bangsa Cina. Bahagian tengkuknya bulat, macam tengkuk baju Melayu yang selalu dipakai oleh orang-orang Melayu Johor. Di tempat saya baju jenis ini disebut sebagai baju Melayu Teluk Belanga. Bahagian depan baju orang tua itu mempunyai lima butang. Songkok putih (ketayap) yang dipakainya cukup bersih. Saya kira ia seorang saudara baru Islam (mualaf) yang mahu mengutip derma. Saya nanti ia menghulurkan kertas derma. Tetapi ia tidak berbuat demikian.

“Dah lama masuk agama Islam?” Orang tua itu merenung muka saya sejenak. Ia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu saya. Kemudian ia menarik nafas, seolah-olah dirinya berhadapan dengan sesuatu kekecewaan yang amat sangat.

“Setiap orang Melayu yang saya temui, mereka akan bertanya seperti apa yang awak tanyakan, saya tak salah kan mereka kerana mereka tidak tahu.”

“Cuba terangkan hal yang sebenarnya pada saya.”

“Nanti dulu, barangkali petang ini, esok atau lusa awak akan tahu juga,” balas orang tua itu dengan tenang.

Kerana tidak mahu mengganggu fikiran dan perasaannya, perkara itu tidak saya ulangi. Setiap para pekerja hospital Lumut yang bertugas dalam wad tersebut akan memberi salam pada orang itu dengan ramah sekali. Seolah-olah mereka sudah mengenali orang tua itu sejak lama dan orang tua itu tidak dilarang untuk menemui sesiapa sahaja pesakit yang ingin ditemuinya.

“Anak sakit apa?” tanyanya pada saya.

“Kedua belah kaki saya lumpuh.”

“Apa kata doktor tentang sakit tu.”

“Doktor sendiri tidak tahu puncanya, bila di x-ray dan diselidik, semua urat-urat di kaki saya elok, darah berjalan dengan baik.”

“Dia tak suruh awak keluar?”

“Tidak, kata doktor penyakit saya masih dalam kajian, dua minggu lagi doktor pakar dari Kuala Lumpur akan datang memeriksa saya.”

“Bersabarlah, esok saya datang jumpa awak, kalau diizinkan oleh Allah saya akan cuba mengubati kaki awak.”

“Ubat kaki saya?”

“Ya.”

Orang tua itu terus bangun dan meninggalkan saya di katil, tanpa sempat saya mengucapkan terima kasih padanya. Kepala saya terus digayuti dengan bebagai-bagai persoalan tentang diri orang itu, yang saya anggap sebagai orang tua yang ganjil. Bila nenek dan Pak Din menemui saya pada sebelah petang. Semua yang saya alami pada sebelah pagi saya ceritakan pada mereka. Nenek terus menggesa Pak Din supaya mengambil datuk yang tinggal di kampung. Nenek mahu, datuk mesti berada bersama saya ketika orang tua itu datang.

“Tak apa sekejap lagi saya ambil dia,” Pak Din memberikan ikrar pada nenek. Tidak sulit bagi Pak Din mengambil datuk di kampung yang jaraknya kira-kira tiga puluh batu.

“Saya pergi ambil dia,” tiba-tiba Pak Din bersuara dan terus keluar dari wad.

Saya renung wajah nenek yang duduk di sisi saya. Angin petang yang datang dari arah Selat Dinding membekalkan rasa nyaman ke batang tubuh saya dan nenek. Beberapa orang pelawat keluar masuk dari dalam wad. Mereka melawat sahabat handai yang terlantar di situ.

“Kau kenal orangnya Tamar.”

“Tak kenal nek.”

“Habis macam mana dia mahu menolong kau.”

“Dia datang melawat saya, kemudian berjanji untuk menolong saya.”

Nenek menggigit bibir bawah setelah mendengar penjelasan dari saya. Matanya merenung saya keluar wad. Macam ada sesuatu yang nenek fikirkan. Macam selalu, sebelum nenek meninggalkan saya, ia pasti menekankan ibu jarinya ke pangkal paha saya. Kenapa ia berbuat demikian, saya sendiri pun tidak tahu.

Nenek keluar dari wad. Dengan renungan yang sayu saya melihat nenek melangkah di jalanraya menuruni bukit kecil. Saya kira sepanjang perjalanan menuju ke rumah Pak Din. Ia pasti mendoakan supaya sakit lumpuh yang saya deritai akan berakhir. Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Bahagian kaki saya yang lumpuh terasa amat sakit, macam ditikam dengan jarum. Bisanya bukan kepalang.

Selain dari itu, wajah orang tua yang menemui saya pada sebelah pagi tadi, sering-kali datang dalam kepala saya. Bermacam-macam sangkaan buruk terhadap orang tua itu timbul dalam diri saya. Saya ragu-ragu, apakah kedatangannya kelak benar-benar mahu menolong saya atau dia ada menyimpan maksud yang tertentu. Mungkin ia mahu memperdayakan saya. Susah benar saya mahu menyingkirkan semua persoalan itu dari dalam kepala saya.

DATANG

Saya gembira, ketika matahari pagi melebarkan sayapnya ke dalam wad, nenek dan datuk sudah pun berada di sisi saya. Wajah mereka kelihatan tenang menanti kedatangan orang tua aneh.

“Kalau ia datang dengan tujuan baik untuk mengubat cucuku, aku terima dengan baik, kalau ia datang dengan niat buruk, ia akan menerima padahnya,” kata datuk pada nenek. Saya lihat nenek tidak menjawab kata-kata itu.

Beberapa orang jururawat yang bertugas pada sebelah pagi, berkeliaran dalam wad. Mereka buat tidak tahu dengan kehadiran nenek dan datuk ke katil saya, begitu juga dengan para pesakit yang ada dalam wad tersebut. Rupanya, orang tua yang berjanji itu amanah orangnya. Tepat jam sembilan setengah pagi ia sudah berada di tepi katil saya. Berkali-kali ia mengucapkan Alhamdulillah, bila saya perkenalkan dirinya dengan datuk. Mereka terus bersalam.

“Boleh saya sentuh kaki cucu awak?”

“Silakan.”

“Alhamdulillah.”

Orang tua itu, terus meraba-raba kedua belah kaki saya yang lumpuh. Ia menekan beberapa urat di pergelangan kaki. Semua gerak-gerinya diperhatikan oleh datuk dan nenek. Hasil dari sentuhan di urat kaki. Badan saya terus berpeluh.

“Begini, pagi esok dan lusa saya datang lagi,” katanya sambil memberikan saya serangkai buah tasbih. Ia menyuruh saya menyebut perkataan Subhanallah seberapa banyak yang boleh sambil membilang buah tasbih.

Ia juga menyuruh saya meyakinkan diri yang saya tidak mengalami sakit lumpuh. Hari kedua, orang tua itu datang lagi. Ia terus memicit urat-urat di pergelangan kaki saya seperti hari pertama. Sebelum pulang, ia membekalkan saya dengan sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Waqiah. Ayat itu mesti saya baca pada setiap saat. Pada sebelah petangnya, saya boleh menggerakkan kaki sebelah kanan dengan perlahan-lahan. Hal itu segera saya beritahu pada datuk dan nenek. Mereka gembira. Hari ketiga, orang tua itu datang lebih awal dari biasa. Kali ini semua daging di kedua belah kaki saya dipicitnya hingga lebam.

Sakitnya Allah sahaja yang tahu, berair mata saya dibuatnya. Selalunya bila selesai ia mengurut kaki saya, ia terus pulang. Tetapi kali ini ia tidak terus pulang. Ia terus berada di sisi katil saya. Anehnya, bila doktor melawat ke katil saya ia terus bercakap dengan doktor tentang keadaan kaki saya. Doktor hanya tersenyum dan terus mencatat sesuatu di kertas yang tergantung di hujung katil saya.

Kira-kira pukul sebelah pagi, ia menyuruh saya bangun dari katil. Tentu sahaja saya tidak dapat melakukan seperti apa yang dikatakannya. Mujurlah, datuk dan nenek memapah saya. Saya dapat berdiri dengan dikapit oleh nenek dan datuk. Kemudian orang tua itu menyuruh datuk dan nenek tinggalkan saya. Saya dapat berpaut pada datuk. Orang tua itu menyuruh datuk memimpin saya berjalan.

“Tolak,” saya terdengar suara orang tua itu. Dan saya dapati datuk meninggalkan saya sendirian. Kerana datuk tidak menolak saya, orang tua segera datang dekat saya dan terus menolak bahu saya.

Saya terasa badan saya mahu jatuh ke kanan. Saya cuba mengimbangi badan suapaya jangan jatuh. Dalam keadaan cemas begitu, saya dapat mengimbangi badan saya dan terus melangkah beberapa langkah ke depan dan akhirnya berhenti dekat sebuah katil pesakit lain. Saya terus berdiri di situ, sambil memikirkan apakah kaki saya sudah tidak lumpuh lagi. Saya segera teringatkan cakap orang tua yang menyuruh saya menyakinkan diri bahawa saya tidak lumpuh. Berpegangkan pada keyakinan itu, saya terus melangkah mendatangi katil saya. Ternyata saya boleh berjalan. Kaki saya sudah tidak lumpuh lagi.

“Alhamdulillah, kaki cucu awak sudah sembuh,” kata orang tua itu pada datuk dan nenek.

Apa yang menarik perhatian saya, bila datuk dan nenek mengucapkan ribuan terima kasih, orang tua tidak mengucapkan perkataan sama-sama seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang bila menerima ucapan terima kasih. Ia hanya menjawab dengan perkataan Alhamdulillah. Seolah-olah orang tua itu bagaikan tidak mengerti dan faham dengan budi bahasa orang Melayu.

Petang itu juga, kaki saya terus diperiksa oleh doktor M.K. Menon. Dan ia mengakui kaki saya sudah pulih seperti sediakala. Bila datuk menyatakan, orang tua itu yang berusaha memulihkan kaki saya, doktor M.K. Menon hanya tersenyum sahaja. Saya dan nenek terus pulang ke rumah Pak Din. Datuk tidak ikut pulang kerana ia mahu bercerita panjang dengan orang tua yang menolong saya itu.

Sampai di rumah Pak Din, nenek masih mengingatkan saya supaya jangan bergerak terlalu cergas, menurutnya kaki saya belum begitu baik lagi. Pukul lima petang baru datuk pulang ke rumah Pak Din. Nenek terus mengajak datuk pulang ke kampung. Cadangan nenek itu dibantah oleh datuk, kerana ia sudah berjanji dengan orang tua untuk sembahyang Maghrib dan Isyak bersama di masjid Lumut.

“Saya setuju, tidur lagi semalam di sini, esok baru balik,” ujar Mak Bedah, isteri Pak Din menyokong cadangan datuk. Nenek akur dengan permintaan datuk dan Mak Bedah. Saya tersenyum, kesempatan untuk bermesra dengan anak-anak Pak Din terbuka luas.

MASJID

Pada mulanya hasrat saya untuk menemani datuk ke masjid ditentang oleh nenek. Alasan nenek cukup kuat kenapa ia berbuat demikian. Pertama, keadaan kaki saya belum begitu kuat. Kedua, orang yang baru sembuh dari lumpuh tidak boleh kena angin dan embun malam.

“Tak mengapa biarlah Tamar ikut saya berjemaah di Masjid. Lepas sembahyang Isyak, kami balik. Lagi pun saya ada bersamanya,” kata datuk.

“Saya tahu tapi, sejauh mana awak boleh mengawalnya. Awak tahu, kalau kakinya kena embun, salah satu kakinya akan mengecil dan tidak ada mempunyai buah betis.”

“Dengan izin Allah saya boleh mengawalnya,” balas datuk. Nenek terus menarik nafas panjang.

Saya dan datuk terus melangkah ke masjid Lumut yang letaknya di suatu kawasan yang agak tinggi. Dari pintu masjid saya dapat melihat pangkalan yang jadi tumpuan orang ramai untuk pergi ke Pulau Pangkor, Damar Laut dan Kampung Baru.

Ramai juga yang sembahyang jemaah di masjid tersebut, kebanyakannya terdiri dari kakitangan kerajaan. Lepas sembahyang Maghrib dan Isyak datuk terus membaca al-Quran yang memakan masa hampir satu jam. Orang tua yang merawat saya di hospital juga ada di situ. Ia membaca surah yasin dengan penuh khusyuk. Orang itu menamatkan pembacaan surah yasin. Ia terus mendekati saya sambil tersenyum.

“Saya harap sakit di kaki tidak akan berulang lagi.”

“Saya juga berharap begitu.”

“Bersyukurlah pada Allah,” katanya lalu menepuk-nepuk bahu kanan saya.

Datuk berhenti membaca Quran. Ia terus menghampiri saya dan orang tua yang duduk di tengan masjid. Semua para jemaah sudah pulang. Sesekali terdengar hembusan angin yang datang dari Selat Dinding menguasai ruang masjid yang luas.

“Tak balik?” tanya datuk pada orang tua itu.

“Tidak, saya tak ada rumah, saya bermalam di masjid ini untuk seminggu dua kemudian saya akan berjalan dan bermalam di masjid lain pula.”

“Macam mana kalau malam ini, bermalam di rumah saudara saya.”

“Alhamdulillah, saya minta maaf.”

Datuk menggigit bibir mendengar jawapan dari orang tua itu. Memang perangai datuk, dia merasakan dirinya tidak lengkap, kalau ia tidak mengenali latar belakang orang yang dikenalinya.

“Maafkan saya, kalau pertanyaan saya kurang menyenangkan diri awak?”

“Silakan, saya tak marah.”

“Dah lama masuk Islam?”

“Sejak berada dalam perut ibu saya.”

“Awak mempermain-mainkan saya.”

“Tidak saya bercakap benar.”

Datuk terdiam sambil merenung wajah saya berkali-kali. Mungkin orang tua itu tahu, apa yang bergolak dalam dada datuk. Dan ia merasakan dirinya perlu menyelesaikan rasa sangsi yang bersarang dalam dada datuk dan saya. Di bawah bumbung masjid yang tenang didakap malam. Orang tua tersebut terus mengungkapkan kisah dirinya pada saya dan datuk.

Menurutnya, ia berasal dari Yunan satu daerah di Negara China. Semua penduduk di situ beragama Islam sejak abad ke-8 yang dikembangkan oleh pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab.

“Minta maaf, kalau saya katakan bahawa kami lebih awal mengenali agama Islam, jika dibandingkan dengan kedatangan Islam ke Melaka. Saya bukan baru sepuluh atau dua puluh tahun beragama Islam, saya Cina Islam tulin, sejak datuk nenek lagi,” orang tua itu memperkemaskan silanya.

“Masih ada lagi kaum keluarga di sana,” soal datuk.

“Itu saya tak tahu, hanya Allah saja yang menyelamatkan diri mereka.”

“Saya tak faham dengan cakap awak.”

“Kalau awak mahu memahaminya, saya terpaksa bercerita panjang, mahukah awak mendengarnya.”

“Mahu,” sahut datuk.

Orang tua itu tunduk merenung lantai masjid. Kemudian ia membaca doa. Katanya, doa itu untuk para arwah umat Islam di tempatnya. Bila dia selesai membaca doa, wajah datuk direnungnya dengan pandangan yang sayu. Ia pun memulakan ceritanya.

“Bila komunis berkuasa kebebasan terus disekat, orang-orang Islam di tempat saya ditekan,” katanya memulakan kisah dirinya.

Menurut orang tua itu lagi, ayahnya menjadi Imam Masjid dan dihormati oleh para penduduk setempat. Pihak komunis kurang senang dengan kegiatan ayahnya. Mereka melarang ayahnya menjadi imam dan menggunakan masjid.

Melihat tekanan yang begitu kuat terhadap diri ayahnya membuat ia membentuk satu pasukan yang terdiri dari tiga orang pemuda untuk mempertahankan kesucian agama Islam di samping menghalang anggota komunis dari membunuh dan memukul orang-orang Islam yang sedang bersembahyang.

“Dua orang kawan saya ditangkap dan dihukum tembak selepas menunaikan sembahyang Zuhur, saya sungguh sedih dengan peristiwa tersebut, dua hari kemudian saya terus bertindak menetak dua orang anggota komunis yang berkawal di kampung saya,” orang tua itu berhenti bercerita.

Ia menelan air liur dan meraba pangkal hidungnya berkali-kali. Menahan rasa sedih yang mula menggoncang dada. Akibat dari tindakannya yang terburu-buru itu. Dia terus diburu oleh anggota komunis. Ia berpisah dari kedua orang tua yang dicintai.

Pada suatu malam ia berjaya meloloskan dirinya masuk ke rumah. Ia terus meminta pertolongan dari ayahnya untuk menyelamatkan dirinya. Ia kecewa bila orang tuanya menyatakan tidak dapat berbuat sesuatu terhadapnya. Orang tuanya menyuruh ia melakukan sembahyang Istikharah. Lepas sembahyang tersebut, orang tuanya menyuruh ia berzikir hingga menjelang fardhu Subuh.

“Saya masih ingat, ketika saya melakukan sembahyang Subuh, emak saya memasukkan pakaian saya ke dalam beg kecil berserta dengan bekalan nasi serta wang,” orang tua itu berhenti bercerita. Ia termenung panjang.

“Ayah menyuruh saya meninggalkan rumah setelah sembahyang Subuh. Saya keberatan mahu mengikut cakapnya kerana kawasan rumah saya sudah dikepung oleh orang-orang komunis, mereka tahu tentang kepulangan saya,” kata orang tua itu pada datuk. Ia mematikan ceritanya.

“Akhirnya apa yang kau buat?” soal datuk.

“Ayah terus mendesak supaya saya meninggalkan rumah. Ia menyuruh saya melangkah dengan kaki kanan dan terus membaca doa qunut sepanjang perjalanan di samping meyakinkan yang diri saya dilindungi Allah.”

“Kau turut cakapnya?”

“Ya, saya turut cakapnya. Saya terus melangkah dan membaca doa qunut sepanjang perjalanan. Dengan izin Allah, semua anggota komunis tidak nampak saya. Akhirnya, saya bertemu dengan seorang lelaki dan membawa saya ke sebuah pelabuhan lalu saya naik tongkang miliknya hingga sampai ke Singapura.”

“Hebat pengalaman awak.”

“Semuanya atas izin Allah.”

Saya renung muka orang tua itu sejenak. Saya kira ceritanya berakhir di situ sahaja. Sangkaan saya itu tidak tepat. Orang tua itu masih mahu bercerita tentang dirinya.

Menurutnya, dari Singapura ia berhijrah ke Semenanjung dan kedatangannya disambut oleh saudara-saudara Islamnya di semenanjng dengan senang hati. Bagi menyarai kehidupannya, ia berniaga buku-buku agama dan minyak wangi. Hasil dari berjimat cermat, ia sudah dua kali pergi ke tanah suci.

Orang tua itu juga menceritakan pada datuk ketika di Yunan dulu, ia sempat belajar dari orang tuanya cara-cara mengubat orang yang kena sakit lumpuh dan bengkak paru-paru.

“Saya tak pakai hantu syaitan, saya memohon pada Allah berdasarkan pada ayat-ayat dari quran. Tetapi, orang yang mahu diubati itu mesti diyakinkan pada diri sendiri.”

“Awak mengubat orang sepenuh masa?” Datuk cungkil rahsia dirinya.

“Tidak, saya ni berniaga menjual buku-buku agama, minyak wangi, saya merantau dari satu tempat ke satu tempat.”

“Kalau dah berniaga kenapa merayau ke hospital.”

“Ini amal jariah saya, kalau dulu saya pernah ditolong oleh orang, kenapa saya tidak boleh menolong orang terutama orang seagama dengan saya.”

“Saya berdoa awak akan selamat sejahtera.”

“Alhamdulillah, memang sudah jadi kebiasaan saya, bila saya tinggal di masjid yang berhampiran dengan hospital saya mesti pergi ke hospital untuk menolong orang-orang yang memerlukan pertolongan seperti cucu awak.”

Saya mula menguap. Tetapi, datuk saya lihat masih bertenaga. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan diri datuk akan mengantuk atau mahu tidur. Ia masih ghairah lagi mahu mendengar cerita dari orang tua itu. Walaupun apa yang ingin diketahuinya dari orang tua itu sudah habis.

“Cucu awak sakit ganjil, ada syaitan campur tangan.” Saya terkejut mendengar cakap orang tua itu. Bulu tengkok saya mula berdiri.

“Boleh awak menolong saya dalam hal ini.”

“Minta maaf, awak berusahalah sendiri. Yakinlah syaitan akan kalah dengan kuasa Allah,” orang tua itu segera bangun. Ia meminta maaf pada datuk kerana ia mahu tidur.

“Besok saya akan merantau lagi menjual buku-buku agama ke arah selatan, mungkin dua tiga bulan atau lebih saya akan datang ke sini,” katanya lalu merebahkan badan di tepi dinding.

Saya dan datuk pun meninggalkan masjid Lumut, kira-kira pukul satu malam. Sepanjang jalan menuju ke rumah Pak Din, suasana terasa amat sepi sekali. Cuma terdengar bunyi deru bunyi angin dari Selat Dinding. Tiba-tiba kaki kiri saya terkena air embun. Sakit datang serta-merta. Tidak terdaya rasanya mahu melangkah. Mujurlah rasa sakit itu tidak lama, cuma lima minit sahaja. Lepas itu kaki saya pulih kembali.

Lepas sarapan pagi di rumah Pak Din, datuk bergegas menuju ke masjid dengan harapan untuk menemui orang tua tersebut. Ternyata, kedatangan datuk sudah terlewat. Datuk diberitahu, oleh Tuk Siak masjid, yang orang tua sudah meniggalkan masjid setelah menunaikan sembahyang Subuh. Datuk pulang ke rumah Pak Din dengan rasa hampa.

“Tak apa, bila ia datang lagi saya beritahu Pak Long,” kata Pak Din, ketika saya, nenek dan datuk masuk ke dalam perut teksi.

Waktu teksi bergerak meninggalkan bandar kecil Lumut saya melambai-lambaikan tangan pada Pak Din. Sejak hari itu, saya tidak pernah lagi berjumpa dengan Pak Din.

Beberapa tahun yang lalu, saya menerima berita Pak Din sudah berhenti dari jadi pemandu di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Khabarnya sejak berhenti, Pak Din membuka kedai makan di Lumut yang dikenali sebagai Warung Pak Din.

Di samping itu Pak Din juga membawa teksi bagi menambahkan pendapatannya. Anak-anaknya sudah besar-besar belaka dan sudah ada yang bekerja.

EPISOD KE-59

KELAWAR PONTIANAK

Biji-biji getah yang dikutip saya lambakkan atas tanah. Datuk masih lagi menjalin bilah buluh dengan rotan. Dia membuat lukah (bubu) baru yang panjangnya satu hasta dengan injap bermata belas. Memang perangai datuk, kalau membuat lukah, mesti dimulakan waktu matahari terbit. Bila matahari sudah tinggi segalah, kerja itu diberhentikan.

Kalau diteruskan, lukah yang dibuat tidak membawa tuah. Ertinya, tidak ada ikan yang mahu masuk dalam lukah. Saya terus memecahkan kulit biji getah dengan kayu. Isinya saya taruh dalam penapis buluh.

“Jumlahnya mesti ganjil,” tegur datuk ketika saya mencucukkan dawai halus ke dalam isi biji getah untuk umpan lukah.

Saya terpaksa mengira kembali isi biji getah yang sudah dicucuk berangkai. Semua jumlahnya ganjil belaka. Tetapi, ada satu yang mesti saya patuhi. Isi biji getah itu tidak boleh dilangkah, tidak boleh kena bayang.

“Sekarang kau masukkan umpan biji getah ke dalam lukah yang kita angkat dari sungai pagi tadi, sandarkan ke pangkal pokok manggis,” datuk suruh dengan hati-hati. Kalau tersilap, pasti datuk bertempik dari atas pelantar.

“Menahan lukah dengan umpan biji getah ni bagus, bila biji getah tu dah masam, ikan akan mencari sampai ke dalam bubu,” datuk tersenyum dan terus bangun.

Semua bilah buluh, rotan serta pisau peraut diletakkannya dalam bakul mengkuang. Datuk tidak mahu meneruskan kerja tersebut kerana matahari sudah meninggi.

“Tuk nak ke mana?”

“Aku nak tengok putik Salak Jambi,” katanya.

“Tapi tuk, orang yang berjanji dengan kita dulu datang hari ini, tempohnya dah cukup.”

“Aku tahu, dia orang datang sebelah petang,” balas datuk dengan tenang. Langkahnya dipercepatkan menuju ke perdu Salak Jambi yang ditanamnya tidak jauh dari kawasan rumah.

Saya tidak tahu, kenapa datuk menaruh perhatian yang besar pada perdu Salak Jambi yang jumlahnya tidak sampai lima perdu.

Datuk Cuma memberitahu saya yang pokok salak itu benihnya dibawa dari tanah Jambi.

Buahnya besar dan agak panjang bentuknya, berbeza dengan buah salak dari Pahang dan Terengganu. Rasanya manis dan isinya juga tebal.

Datuk tidak pernah menjual buah salaknya. Dia lebih suka memberi percuma pada orang-orang kampung. Datuk juga menyuruh orang-orang yang menerima pemberiannya menanam biji salak tersebut.

Kata datuk, pada satu waktu nanti, buah salak akan menjadi buah yang berharga dan amat digemari orang ramai. Hanya keadaan saja yang dapat menentukan kebenaran dari kata-kata datuk itu.

Saya mengelap peluh yang mula mengalir di bahu dengan telapak tangan.

Matahari terus memancar dengan garang. Semua kulit-kulit biji getah yang bertaburan atas tanah saya kumpulkan dalam kertas lalu saya buangkan ke tempat sampah. Petang nanti akan saya bakar.

TEGUR

“Apa yang kau menungkan,” tegur nenek bila melihat saya termenung panjang di halaman rumah. Saya tidak menjawab pertanyaan kecuali memberikan senyum mesra.

“Kenapa tak ikut tuk tengok pokok salak?”

“Habis kau nak buat apa.”

“Saya nak pergi ke surau, saya nak main gasing dengan kawan-kawan di situ.”

“Ikut suka kaulah,” balas nenek.

Saya terus ke surau. Sampai di halaman surau saya lihat sudah ada dua tiga orang kawan-kawan main gasing. Saya turut campur dalam permainan tersebut. Saya bangga kerana gasing yang saya buat dari kayu limau berjaya memecahkan dua buah gasing kawan. Setiap kali saya memangkah gasing dalam gelanggang kawan-kawan semuanya terdiam. Mereka tumpukan perhatian ke arah saya. Kerana terlalu asyik bermain, saya pulang ke rumah kira-kira pukul lima petang dengan perut yang lapar.

Mungkin kerana ada tetamu di rumah, datuk tidak marah pada saya. Macam selalu, pukul berapa saya pulang, nenek yang baik hati akan menyediakan hidangan untuk saya. Nenek cuma menasihatkan saya supaya jangan mengulangi perbuatannya yang tidak disenangi oleh datuk.

Datuk tidak marah saya bermain gasing dengan kawan-kawan. Apa yang jadi pantangnya, kerana asyik main, saya lupa sembahyang Zuhur serta lewat menunaikan fardu Asar.

“Bila kau main gasing sampai melupakan perintah Allah, ertinya kau bermain dengan syaitan,” kata datuk dengan nada suara yang lembut, ketika saya melintas di depannya menuju ke bilik.

Tetamu yang datang menjeling kearah saya. Terasa tebal kulit muka bila saya disindir begitu. Saya terus memencilkan diri dalam bilik.

“Sudah awak buat perkara yang saya suruh,” saya terdengar suara datuk. Telinga saya rapatkan ke dinding. Saya tidak dapat mengawal perasaan ingin tahu yang timbul meluap-luap dalam dada.

“Sudah,” terdengar suara perempuan menjawab. Pasti suara Sariyah.

“Apa kesannya?”

“Anak-anak ular hitam dan belalang tidak datang lagi. Tetapi, saya tidak dapat tidur lena, selalu terjaga, mimpi yang bukan-bukan.”

“Apakah mimpi yang kau alami sama pada setiap malam?”

“Ya sama.”

“Apa mimpinya.”

“Orang hitam berbadan besar menangkap saya, dibawa ke sarang ular bisa. Saya mahu dicampakkan ke situ. Bila saya menjerit saya terus terjaga.”

“Pelik,” kata datuk.

Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak. Saya terasa macam ada makhluk halus yang tidak dapat saya lihat berdiri di belakang saya. Dan saya rasakan makhluk itu berbadan besar seperti apa yang diceritakan oleh Sariyah pada datuk. Saya lawan perasaan yang terjadi dalam diri saya itu. Makin saya lawan, makin terasa seram. Benda ganjil yang tidak dapat dilihat itu seperti mengarahkan biji matanya kearah saya.

Saya terus meluru keluar. Duduk dekat datuk. Saya lihat wajah datuk begitu tenang, seolah-olah dia mengerti dengan apa yang terjadi. Sariyah dan ibunya tercengang melihat kedatangan saya itu.

“Sekarang awak urut perempuan ini lagi,” beritahu datuk pada nenek. Dahi nenek nampak berkedut.

“Tak payah pasang tirai? Awak ni dah mengarut nak mengurut perempuan di depan lelaki,” nenek melahirkan protes dalam senyum. Datuk terdiam sejenak.

“Tak payah, bawa dia masuk ke dalam bilik Tamar.”

“Lagi?”

“Saya akan memberi perintah dari luar macam yang kita buat dua minggu lalu.”

“Awak tahu, lepas saya mengurut perempuan ini dua minggu lalu, saya mimpi seperti apa yang diceritakannya pada awak, kemudian seluruh badan saya terasa bisa-bisa.”

“Kenapa awak tak cakap?”

“Malas nak cakap dengan awak,” nenek menjuihkan bibirnya ke depan. Datuk tersenyum panjang.

Sariyah dan ibunya masuk ke dalam bilik saya dengan ditemani oleh nenek. Datuk memperkemaskan silanya dengan meletakkan kedua belah lengannya atas kedua belah tempurung lututnya. Kedua belah matanya datuk rapatkan.

“Urut rusuk kiri bawa ke kanan. Berhenti di situ. Tekan pangkal pusatnya dengan tangan kiri. Tangan kanan tekan pangkal pinggangnya kuat-kuat,” begitu datuk mengeluarkan arahan dengan mata terpejam. Saya kira nenek tentu mengikut apa yang datuk suruh.

“Aduhhh, tolong,” saya terdengar suara Sariyah.

“Jangan lepaskan, biar dahinya berpeluh,” balas datuk.

“Ada ketul keras macam batu,” jawab nenek.

“Tekan, jangan lepas,” balas datuk.

“Tolong sayaaaa,” suara Sariyah bertambah lemah. Akhirnya saya terdengar Sariyah mengeluh kuat. Lepas itu tidak terdengar apa-apa.

Dalam masa yang sama, tanpa angin. Daun-daun tingkap bergerak lalu menghempaskan kayu jenang, melahirkan bunyi yang kuat macam ada orang yang membuka dan menutup, kain langsir putus dari pengikatnya, tidak ubah macam direntap oleh tangan manusia dengan kasar.

PEDULI

Datuk tidak mempedulikan keadaan yang agak ganjil itu. Dia terus pejamkan matanya. Dan suasana yang tidak menyenangkan itu terus hilang.

“Sudah lepaskan bahagian yang awak pegang,” seru datuk dari luar. Saya terdengar suara Sariyah kembali dengan keadaan normal, bercakap sesuatu dengan ibunya.

“Sekarang genggam penumbuk di tangan kiri dan tekankan ke perut perempuan itu di bahagian pusatnya,” sambil mengeluarkan perintah itu datuk membuka silanya lalu bertinggung untuk beberapa minit. Datuk duduk kembali.

“Buka tangan awak dan lihat apa yang ada.”

“Serpihan papan berbalut kain merah,” jawab nenek.

“Masukkan barang itu ke dalam mangkuk putih, tutup dengan kain atau kertas, kemudian bawa pada saya,” selesai saja datuk bercakap, kedua belah kelopak matanya dibuka.

Nenek keluar dari bilik lalu meletakkan mangkuk putih bertutup kain di hadapan datuk. Bila nenek mahu melangkah ke dalam bilik datuk terus bersuara:

“Awak urut dia macam awak mengurut perempuan yang baru lepas bersalin tiga hari.”

“Baiklah.”

Nenek masuk ke bilik lalu melakukan apa yang datuk suruh. Bila nenek selesai mengurut, Sariyah dan ibunya segera keluar.

Saya lihat muka Sariyah berseri-seri dan merah, macam wajah anak dara yang baru berusia belasan tahun. Kalau dilihat sekali imbas, pasti orang tidak menyangka yang Sariyah sudah punya anak lima.

Saya tidak menafikan, sesungguhnya dalam usia saya yang begini, saya memang tertarik pada dirinya. Air mukanya begitu menarik dan menawan boleh membuat lelaki tidak tidur malam.

Mereka terus duduk di hadapan datuk. Saya lihat kulit Sariyah yang kemerah-merahan itu bersih dan gebu sekali, tidak terlihat lubang-lubang bekas jerawat seperti sebelumnya. Kulitnya cukup lembut sekali.

“Awak mesti mematuhi syarat-syarat yang saya berikan ini, jika awak benar-benar mahu masalah yang awak alami ini berakhir,” kata datuk sambil merenung wajah Sariyah dan ibunya.

“Apa dia syarat-syaratnya tu?” Tanya ibu Sariyah macam tidak sabar-sabar. Datuk termenung sejenak.

“Mudah saja, syarat pertama jangan meninggalkan sembahyang lima waktu, membaca yasin malam Jumaat dan selalu bersedekah pada anak-anak yatim atau orang miskin bila awak mampu berbuat begitu,” datuk bercakap sebentar.

“Syarat kedua, jangan mengatakan atau membabitkan orang lain yang kononnya penyakit awak ni, adalah perbuatan orang lain, itu perbuatan yang salah,” datuk raba pangkal tengkuknya sejenak.

“Awak mesti berbaik dengan ipar dan mak mentua awak,” tambah datuk lagi.

“Kalau mereka menolak dan menyakitkan hati saya bagaimana?” Tanya Sariyah.

“Awak harus bersabar, biar apapun yang mereka lakukan jangan melawan mentua, emak mentua sama juga dengan emak sendiri, kalau tidak tahan dengan sikapnya, cari jalan asalkan jangan sampai timbul permusuhan, saya tidak mahu awak memberitahu orang lain awak berubat di sini.”

“Saya berjanji dan saya berterima kasih pada tuan.”

“Jangan berterima kasih pada saya tetapi, bersyukurlah pada Allah kerana dengan Allah juga, saya boleh menolong awak, jangan panggil saya tuan, panggil saja ayah atau pakcik.

“Ya ayah.”

“Kerana awak saya kira perempuan yang baik dan jujur, mulai dari hari ini awak saya anggap macam anak saya sendiri,” datuk luahkan apa yang tersirat dalam hatinya.

Sariyah dan ibunya berpandangan. Mereka pun berbalas senyum tetapi, tidak dapat mengatasi senyum nenek yang membayangkan kepuasan tersendiri.

Dengan wajah yang manis datuk menyuruh saya memetik tujuh helai daun sirih yang bertemu urat di belakang rumah. Suruhannya itu segera saya patuhi. Tujuh helai daun sirih bertemu urat saya serahkan padanya.

Datuk patahkan semua tangkai sirih, begitu juga dengan bahagian hujungnya. Tiap daun sirih datuk lipat tiga. Semua tulang belakang daun sirih datuk buang. Daun-daun sirih yang sudah dilipat itu datuk taruh tiga butir gula pasir.

“Ini bukan apa-apa, cuma petua untuk penyeri wajah kamu, tiap-tiap daun sirih ini ada tiga biji gula putih, jangan jatuhkan gula-gula itu, selepas bangun tidur kumur mulut dan kunyah daun sirih ini hingga hancur, telan hampasnya sesudah itu barulah kamu basuh muka dengan air suam, kenakan air itu ke seluruh kulit muka kamu,” kata datuk.

Sebelum datuk serahkan daun-daun sirih pada Sariyah datuk membaca sesuatu.

“Pantangnya, jangan makan benda-benda masam dan pahit sebelum masuk waktu Asar selama tiga bulan, lepas itu tak apa,” datuk mengingatkan Sariyah.

Semua daun sirih yang dibungkus itu diserahkan pada Sariyah. Datuk juga mengingatkan Sariyah supaya daun sirih itu jangan dilangkah atau terkena bayang diri.

“Berapa upahnya ayah?” Soal Sariyah.

“Saya tidak mencari rezeki cara ini.”

“Tapi ayah sudah menolong saya.”

“Ayah tidak menolong awak, Allah yang berkuasa menolong awak, saya cuma berusaha, kalau Allah tidak mengizinkan, usaha saya tidak berjaya, lupakan hasrat awak tu.”

“Oh…” keluh Sariyah.

“Pulanglah ke rumah awak, jangan lupa dengan syarat yang saya kenakan,” ujar datuk dengan tenang.

Sariyah dan ibunya terus bersalaman dengan nenek. Kemudian mereka meninggalkan rumah dengan tenang.

“Apa yang awak rasa waktu mengurutnya tadi,” datuk bertanya pada nenek.

“Sudah banyak berubah, sudah cukup syaratnya sebagai seorang isteri, semua urat-urat dalam perut dan sendinya bergerak macam manusia yang sempurna, tidak terasa macam papan sekeping, sudah ada lekuknya, sebagai orang perempuan saya tahu apa yang ada pada diri seseorang isteri, semuanya itu ada pada Sariyah,” jelas nenek pada datuk. Datuk puas hati dengan keterangan yang diberikan oleh nenek itu.

PISANG

Matahari sudah mula condong tetapi, datuk masih juga mahu mengajak saya ke kebun pisang. Saya tidak tahu kenapa datuk harus pergi ke tempat tersebut dalam waktu begini.

Biasanya, kalau matahari sudah condong, datuk tidak mahu pergi ke kebun pisang.

Dia lebih suka menghabiskan masa petangnya membuat kerja dalam rumah hingga menjelang waktu Maghrib.

“Sudah petang benar tuk.”

“Tak apa, bila hari sudah remang-remang senja kita baliklah ke rumah.”

“Tak apalah tuk,” balas saya.

Saya dan datuk pun menuju ke kebun pisang. Dedaun pisang yang tua dibuang. Anak-anak pisang yang tumbuh banyak di sesuatu perdu dikurangkan menjadi satu atau dua. Buah-buah pisang yang sudah cukup tua diambil untuk dibawa pulang.

Saya begitu seronok bekerja dalam suasana petang yang begitu tenang dan aman. Datuk juga begitu.

Tanpa disedari matahari kian rapat ke kaki langit, suasana yang terang mula beransur kelam, beburung kelicap sudah mula kurang hinggap di jantung pisang. Semuanya pulang ke sarang.

“Sudah beransur gelap tuk,” saya mengingatkan datuk.

“Tunggu sikit lagi Tamar, biar aku buang anak pisang yang tak berguna ni,” datuk masih lagi membongkok di perdu pisang.

Bila kerjanya selesai di perdu pisang tersebut, datuk meneruskan kerjanya di perdu pisang lain.

Tidak ada tanda-tandanya yang datuk akan pulang segera. Dia sungguh ayik dengan kerjanya. Cara ini membuat saya resah dan gelisah.

Hari sudah beransur gelap. Suara gagak liar terbang senja mula kedengaran. Beberapa ekor gagak liar terus hinggap di pokok pisang sambil berbunyi.

Saya baling burung-burung gagak itu dengan kayu. Burung-burung terbang sebentar kemudian datang semula ke pokok pisang sambil berbunyi. Saya cuba sorak dengan suara yang kuat. Burung-burung gagak itu tidak peduli. Terus berbunyi seolah-olah tidak takut dengan manusia. Saya jadi lemas dalam keadaan yang tidak menyenangkan itu.

Hari mula beransur gelap. Puncak bukit yang letaknya tidak jauh dari kawasan kebun pisang sudah tidak jelas untuk saya tatap. Burung-burung gagak liar terus berbunyi. Saya terus berlari kearah datuk. Darah saya tersirap. Datuk sedang berguling-guling atas tanah. Tiga ekor kelawar yang bentuk tubuhnya lebih besar dari kelawar yang biasa saya temui, menuju kearah pangkal leher datuk. Suara kelawar itu cukup nyaring sambil mengeluarkan giginya yang tajam berbentuk taji kearah datuk. Suara kelawar itu juga berbeza dengan suara kelawar biasa, begitu juga dengan bentuk giginya.

Dalam keadaan yang berguling-guling itu datuk sempat membelitkan daun-daun pisang kering ke batang lehernya. Cara datuk mempertahankan diri dari jadi mangsa kelawar aneh itu. Dalam keadaan yang cemas itu, salah seekor dari kelawar tersebut menjunamkan badannya kearah datuk.

Dengan cepat datuk menghalakan parang panjangnya kea rah kelawar. Tetakan dari datuk tidak kena sasaran. Dan kelawar itu sempat membenamkan kukunya ke lengan kiri datuk. Baju di lengan terbelah dua. Dalam keadaan yang samar-samar itu, saya melihat darah mengalir dari lengan kiri lalu membasahi seluruh lengan baju yang berwarna putih. Suara kelawar bertambah kuat, bagaikan orang bersorak dalam sesuatu perlawanan bola.

“Berlindung Tamar,” jerit datuk, saya segera berlindung di balik pokok pisang.

Datuk saya lihat berjaya bangun. Dia terus menghayun parang panjangnya kea rah tiga ekor kelawar. Salah seekor dari kelawar itu terkena parang panjang. Sayapnya putuh dua. Kelawar itu jatuh atas tanah. Sementara yang dua ekor lagi terus menyerang bertubi-tubi kearah muka datuk. Saya terdengar suara datuk menjerit, mukanya mula berdarah. Datuk terus berjuang hingga kedua-dua ekor kelawar aneh itu terkorban. Datuk segera menghampiri saya. Darah masih lagi mengalir di mukanya.

“Pipi kanan aku kena cakar,” kata datuk tercungap-cungap sambil mengesat darah di mukanya dengan pucuk pisang yang belum kembang.

“Kelawar apa tu tuk, ganjil benar rupanya.”

“Kelawar jenis ni menghisap darah manusia dan binatang, kata orang kelawar pontianak. Selalunya kelawar jenis ini berada dalam hutan tebal terutama di kawasan yang banyak terdapat rusa, landak dan harimau, banyak pemburu yang jadi korbannya,” datuk menerangkan pada saya.

“Macam mana boleh masuk ke kampung kita tuk?”

“Entahlah, agaknya sudah banyak hutan yang dibuka orang atau sudah tak ada harimau dan rusa lagi dalam hutan, kelawar jenis ni mencari mangsa waktu malam.”

“Seram saya tuk.”

“Apa mahu diseramkan, mari kita balik, hari dah gelap benar. Waktu Maghrib sudah masuk,” balas datuk.

Memang benar hari sudah gelap. Suasana dalam kebun pisang terasa kurang menyenangkan. Belum pernah datuk meninggalkan kebun pisang dalam keadaan begini.

Sambil melangkah saya terus merenung ke kiri dan ke kanan. Saya lihat dedaun pisang terus bergerak, walaupun tiada angin yang bertiup. Saya lihat beberapa ekor burung gagak liar berterbangan tanpa suara.

“Datuk,” jerit saya. Datuk pun mematikan langkahnya.

“Ada apa Tamar?”

“Tuk tengok ke kanan.”

Datuk segera toleh ke kanan. Dia tidak berkata apa-apa. Badan saya terus menggeletar. Siapa yang tidak menggeletar bila melihat bayang manusia yang besar dan tinggi bergerak dalam kebun pisang sambil mematahkan batang-batang pisang.

Dalam saat-saat tertentu, bayang-bayang itu memperlihatkan bentuk badannya yang sebenar. Wajahnya mengerutu. Dagunya panjang. Kepalanya botak dan kuku dari sepuluh jarinya terjulur kira-kira dua kaki. Biji matanya terperosok ke dalam dan mengeluarkan cahaya yang halus.

“Tak ada apa-apa pun Tamar,” balas datuk.

“Ada hantu tuk.”

“Ah jangan mengarut mana ada hantu di sini, cepat jangan fikir yang bukan-bukan.” Sergah datuk.

Saya cuba melangkah tapi tidak terdaya. Bayang-bayang itu serasa memburu saya. Bila melihat keadaan saya begitu. Datuk terus mendukung saya. Sampai di rumah saya diletakkan di anjung. Saya terkapar di situ. Tidak terdaya bangun. Sendi-sendi badan terasa tidak dapat digunakan seperti selalu. Datuk terus menunaikan fardu Maghrib. Sementara menanti datuk selesai sembahyang bayang-bayang aneh itu terus mengganggu saya dalam pelbagai bentuk.

Ada ketikanya wajah yang mengerutu itu mengeluarkan darah ke seluruh muka. Ada ketika lain pula bertukar menjadi wajah yang paling hodoh dengan mata satu di tengah dahi. Dari kulit wajah yang hodoh itu keluar beribu cacing tanah. Dan cacing itu dimakannya macam orang makan mi rebus atau mi goreng.

Paling menakutkan bila bayang-bayang itu mempamerkan giginya yang bertaring dua. Darah celah-celah taring kulit keluar ulat tidak ubah macam ulat tahi dengan bau yang amat busuk. Saya tidak terdaya melawan. Hanya berserah pada Allah.

“Ayahmu menghalang apa yang aku buat, sekarang aku mahu kamu merasakan kesakitan dari apa yang aku buat,” terdengar bergemuruh suara dari bayang-bayang tersebut, waktu saya mendengar suara itu, saya melihat cacing tanah berguguran dari wajahnya lalu menimpa muka saya.

Kemudian, saya terlihat kaki besar, seperti kaki gajah yang kulitnya berlapis-lapis. Dari lapisan kulit yang berbulu itu mengalir nanah bercampur darah bersama ulat-ulat halus yang bentuknya panjang, kira-kira dua inci. Ulat-ulat itu bergerak ke kiri dan ke kanan.

Anehnya, kaki itu cuma sebelah sahaja yang dapat saya lihat. Lagi sebelah saya tidak tahu ke mana perginya. Kaki gajah itu bergerak untuk memijak dada saya. Sampai di sini saya tidak terdaya lagi. Saya terus menjerit.

SUARA

Datuk dan nenek terus menerpa pada saya. Mereka meraba seluruh badan. Saya tidak terdaya mengeluarkan suara. Tekak saya terasa amat kering dan panas sekali.

“Ambilkan aku semangkuk air,” saya terdengar suara datuk. Air yang diminta segera nenek adakan. Diserahkan pada datuk. Dengan tenang datuk membaca surah Al-fatihah yang jumlahnya saya tidak tahu. Datuk curahkan air itu ke muka saya. Bila air terkena muka baru saya boleh bersuara dan tekak tidak terasa panas lagi.

“Apa yang kau nampak Tamar?”

“Benda dari kebun pisang datang.”

“Apa yang dibuatnya pada kamu?”

“Mahu memijak dada saya tuk.”

“Kenapa kau tak baca ayat Quran yang aku ajar untuk menghalau syaitan.”

“Saya terlupa tuk.”

“Ah…,”

Datuk dan nenek terus mengusung saya ke bahagian dapur, saya dimandikan. Kemudian saya diletakkan atas katil lalu diselimutkan dengan kain tebal.

Nenek terus mengurut badan saya.

“Cuba bangun dan berjalan,” saya terdengar suara datuk. Selimut saya buka. Saya turun dari katil dan cuba melangkah. Saya terjatuh. Sepasang kaki saya jadi lemah dengan tiba-tiba.

Kerana saya tidak mahu ditinggalkan sendirian di atas katil, nenek dan datuk terpaksa mengusung saya ke tengah rumah. Saya disuruh duduk bersandar pada dinding. Nenek meneruskan kerjanya di dapur. Dan datuk terus membaca al-Quran.

Lebih kurang pukul dua belas tengah malam, datuk berhenti dari membaca Quran. Suasana malam terasa sepi dan dingin sekali. Saya sudah dua kali terlelap dalam duduk. Datuk sudah bersedia untuk melakukan sembahyang sunat, sebelum melakukan sembahyang istikharah.

Tiba-tiba datuk menghampiri saya. Dia tidak jadi melakukan sembahyang sunat.

“Kalau kau mengantuk, biar tuk bawa kau ke dalam bilik.”

“Tak apa tuk, biarlah saya di sini.”

“Kalau sudah begitu kata kau, tak apalah.”

Tanpa diduga datuk terus menarik sepasang kaki saya dengan kuatnya. Saya terus jatuh. Tetapi, saya tidak merasa sakit di bahagian kaki yang datuk tarik. Saya tidak merasakan apa-apa. Jauh sekali untuk menjerit dan mengadu sakit.

Datuk mendudukkan saya seperti sediakala. Air mukanya nampak berubah. Saya dapat menduga datuk berada dalam keadaan pilu dan hampa yang amat sangat. Tetapi, dia tidak mengeluarkan air mata. Datuk terus memeluk dan mencium dahi saya.

“Tamar, kau lumpuh dengan tiba-tiba, kau tidak dapat menemani datuk ke mana-mana, apa dosa cucuku hingga dia jadi begini,” keluh datuk. Dia terus mencium saya dan saya terasa air matanya mengalir di dahi saya.

Datuk terus masuk bilik mengambil bantal. Dia suruh saya baring dan badan saya terus diselimutkan. Saya lihat datuk berada dalam keadaan yang serba salah. Sekejap menggigit bibir, sekejap menggigit bibir dan lidah.

Datuk terus membuka pintu dengan luasnya. Saya dapat melihat keadaan yang gelap di luar. Angin malam terus menyerbu masuk ke dalam rumah. Suara pungguk terdengar sayup-sayup, bersama dengan bunyi suara kucing jantan mencari betina.

Belum pernah saya lihat datuk melakukan pekerjaan seperti itu. Macam kerja orang bodoh membuka pintu rumah waktu malam. Tidak ada sesuatu keindahan yang dapat dilhat dalam malam yang pekat, selain dari rasa sejuk, bunyi burung pungguk, bunyi burung hantu dan lolongan anjing liar yang memanjang dan menyeramkan.

Datuk terus duduk menghadapi pintu yang terdedah. Kerana perbuatan itu agak asing bagi diri saya lantas saya menyoal.

“Kenapa buka pintu tuk?”

“Ada tetamu yang nak datang malam ni, begitulah mengikut petua dan gerak tubuhku Tamar.”

“Siapa orangnya tuk? Orang gila saja yang berjalan malam.”

“Aku sendiripun tak tahu, kalau yang datang baik, baiklah yang aku beri, kalau jahat yang datang, jahatlah yang aku beri,” kata datuk.

Datuk terus duduk menghadapi muka pintu yang terdedah. Lengan bajunya yang agak labuh itu nampak bergerak-gerak disentuh angin, begitu juga dengan hujung rambutnya yang terjulur dari bawah songkok hitamnya.

Saya terdengar bunyi kucing menggaru papan yang diikuti dengan suara burung tukang dan jampuk bersahut-sahutan. Datuk masih lagi duduk di tempatnya.

“Masuk,” saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu sekeping papan yang panjangnya kira-kira lebih dari lima kaki masuk ke tengah rumah menerusi pintu, macam ada tangan ajaib yang menolak papan itu masuk.

Papan sekeping yang sudah agak reput itu membawa beberapa cebisan kain putih yang terlekat pada papan tersebut tertanggal dengan sendirinya.

“Bukan papan dan kain saja yang datang, ada pengikutnya kenapa tak tunjukkan diri, bukankah kita semuanya makhluk Allah,” ujar datuk dengan tenang.

Habis sahaja datuk bercakap, semua tingkap rumah yang tertutup terbuka dengan sendiri. Kemudian tertutup kembali. Papan sekeping di tengah rumah terus bergerak tersandar pada dinding.

“Ada yang mengangkat dan mengubahnya, aku tahu iblis dan syaitan selalu menipu dan menggoda manusia mengikut kemampuan yang ada pada diri manusia, kalau manusia boleh mengubat manusia yang sakit, syaitan akan mencelah untuk memesongkan keyakinan orang itu, kalau boleh cuba mahu memaksa orang itu memainkan ayat-ayat Quran untuk tujuan yang tidak baik,” datuk terus berkata-kata dengan tenang.

Datuk terus berdiri. Saya lihat di depannya wujud seorang lelaki berjanggut dan berjubah membawa tasbih. Orang itu tersenyum pada datuk. Bila datuk hulurkan tangan untuk bersalam orang itu tidak mahu menyambutnya.

“Tak apa kau tak mahu bersalam dengan aku. Tetapi, aku megah kerana kau datang dalam keadaan begini, kau datang seperti orang alim yang taat pada hokum Allah, kau berbuat begitu kerana kau tahu aku selama ini patuh dengan perintah Allah,” tambah datuk lagi.

Orang itu tersenyum. Dia terus membilang tasbih di tangan.

“Kau halang kerja aku?” suara lelaki itu keras.

“Halangan itu terjadi dengan izin Allah.”

“Tapi, aku memberi pertolongan pada orang yang memerlukan pertolongan, bukan itu jalan kebaikan.”

“Bukan pertolongan, kau mahu memisahkan sebuah rumahtangga yang didirikan oleh manusia dengan cara yang betul. Allah tidak menyuruh sesiapapun di dunia memisahkan si suami dengan isteri yang dinikahinya secara halal.”

Orang itu terdiam. Datuk tetap tenang. Saya saksikan kejadian dengan penuh minat, meskipun kedua belah kaki saya ketika itu berada dalam keadaan lumpuh.

“Aku ini Wali Allah, jangan permainkan aku.” Orang berjanggut dan berjubah tinggikan suara. Tasbih di tangan terus dibilangnya tanpa berhenti.

“Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa dirinya Wali Allah, sama ada orang itu Wali atau tidak ditentukan oleh Allah Yang Maha Besar, bukannya dirinya sendiri atau manusia yang masih hidup menentukannya, kau syaitan,” pekik datuk.

Lelaki berjanggut dan berjubah jegilkan biji mata. Datuk terus membaca ayat-ayat dari al-Quran. Tiba-tiba lelaki itu terus hilang. Tempatnya, segera digantikan oleh bayang seorang lelaki.

Orangnya berbadan sederhana, memakai songkok dan misaim tebal. Sekali imbas orang itu macam seorang yang baik dan warak. Orang itu merenung wajah datuk.

Beberapa saat kemudian bayang orang itu hilang. Begitu juga dengan papan sekeping di tengah rumah.

Datuk rapatkan daun pintu. Datang menghampiri saya. Badan saya digosoknya berkali-kali.

“Masih ada halangan yang panjang kerana aku menolong Sariyah dan menjadikan dia anak angkat aku,” kata datuk.

“Siapa orangnya tuk.”

“Aku tak kenal, tapi orang itu berteduh di bawah ketiak syaitan, banyak menggunakan ilmu salah dan sihir dalam menolong orang, pandai memainkan ayat-ayat suci untuk tujuan jahatnya.”

“Kenapa begitu tuk?”

“Aku pun tak tahu, mungkin untuk dihormati mungkin juga untuk mencari wang, dan orang itu satu ketika akan membalas dendam,” keluh datuk sambil merenung wajah saya.

EPISOD KE-58

ILMU PAPAN SEKEPING

SUDAH dua jam, saya duduk di pangkal pokok kekabu di tebing sungai. Tidak ada seekor ikan pun yang mahu menjamah umpan di mata pancing.

“Banyak ikan yang kau dapat?”

Saya segera menoleh ke kanan. Samad Perang tercegat di situ dengan sepasang matanya merenung tajam ke arah saya. Batang pancing saya cacakkan ke tanah.

“Tak ada ikan yang mahu makan umpan pancing. Bila pakcik datang dari Kuala Lumpur?”

“Dah dua hari, melihat rumah lama dan kawasannya. Sudah penuh dengan lalang.”

“Dah jumpa datuk saya?”

“Belum lagi, cadang tu memang nak jumpa dia, sengaja pak cik jalan ikut tepi sungai, redup sikit.”

“Kalau pakcik nak jumpa dia elok sangat tu, diapun ada di rumah. Masa saya tinggalkan tadi, dia mencangkul.”

“Tak apalah Tamar, kau memancinglah tetapi, kau ingat memancing ni mesti sabar.”

“Ya pakcik.”

Samad Perang terus meninggalkan saya di perdu kekabu. Samad Perang yang saya lihat sebentar tadi, berbeza dengan Samad Perang yang dulu. Mukanya kelihatan bersih dan badannya gemuk. Kulit mukanya kelihatan kemerah-merahan. Matahari petang yang memancar garang mula menurun. Air sungai yang tadi memancarkan cahaya yang berkilau-kilau kerana dipanah sinar matahari, sudah tidak bercahaya lagi. Tetapi, ikan-ikan terus bermain di permukaan air sambil menangkap serangga yang hanyut. Anehnya, ikan-ikan itu tidak mahu menjamah umpan beras kunyit di mata pancing. Selalunya, umpan yang dibuat oleh nenek jadi kegemaran ikan, belum pernah saya pulang ke rumah dengan tangan kosong. Paling kurang saya akan dapat dua tiga ekor baung putih dan teroboi atau ikan keli. Petang itu, tuah tidak berada di pihak saya. Pulanglah saya dengan tangan kosong bersama matahari petang yang kian rapat ke puncak gunung di seberang sungai.

“Kenapa muka masam macam cuka, kau tak dapat ikan,” tegur nenek bila saya sandarkan batang pancing di pokok rambutan di belakang rumah.

Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Saya terus duduk di anak tangga bongsu.

“Tamar, aku bercakap dengan kamu, kenapa kamu diam?” Suara nenek mula meninggi. Berdiri di depan saya bercekak pinggang. Kain tudung yang menutup kepalanya jatuh atas bahu. Dan sanggul lintangnya jelas kelihatan, hitam berkilat diselang-seli dengan uban.

“Saya meradang tak dapat ikan nek.”

“Itu puncanya, eh apa kau sudah lupa, rezeki kita di tangan Allah, kalau kau sudah berusaha tetapi, tidak dapat, ertinya rezeki kau tak ada, apa kau mahu melawan kuasa Allah.”

“Tidaklah begitu nek.”

“Kalau sudah tahu, kenapa kau mesti marah? Kau harus bersyukur kerana hari-hari lain kau dapat ikan.”

Saya terdiam mendengar kata-kata nenek itu. Saya terus senyum dan bangun menuju ke arah datuk yang sedang duduk termenung di penjuru halaman rumah sebelah kanan. Tangannya masih memegang cangkul.

“Ada pakcik Samad Perang jumpa Tuk?”

“Ada, kenapa Tamar?”

“Sebelum dia jumpa tuk, dia jumpa saya di tepi sungai.”

“Hum, macam tu, dia baru saja balik.”

Saya anggukkan kepala mendengar cerita dari datuk itu. Datuk dan saya beredar dari situ menuju ke bawah pokok manggis yang tidak jauh dari kaki tangga. Di bawah pokok tersebut datuk dirikan pelantar papan yang muat untuk empat orang duduk bersila. Tiang pelantar datuk buat dari buluh kuning, tingginya kira-kira satu kaki dari paras bumi. Saya dan datuk terus duduk di situ. Beberapa minit kemudian nenek datang meletakkan dua cawan kopi panas.

“Apa cerita Samad Perang dengan awak? Saya nampak tadi, bukan main rancak bercakap,” nenek menyoal datuk. Saya cuma senyum saja.

“Tak ada apa-apa, Cuma dia bertanya pendapat saya berhubung dengan tanah dan rumahnya yang sudah ditinggalkannya hampir dua tahun tu.”

“Kenapa pula?”

“Dulu dia suruh anak buahnya duduk dan bersihkan tanah, tapi anak buahnya tak mahu, kata mereka tanah dan rumah tu berhantu.”

“Dia suruh awak duduk di situ?”

“Tidak pula...,” datuk tidak meneruskan kata-katanya.

Datuk terus menghirup air kopi. Saya menggigit bibir sambil merenung ke arah beberapa ekor burung yang hinggap di dahan manggis.

MAWAR

Datuk meletakkan cawan kopi yang berbunga mawar di atas piring. Datuk kedutkan kedua belah keningnya macam memikirkan sesuatu. Ia merenung ke arah muka jalan.

“Mamat Bukit datang,” katanya dengan tenang. Saya dan nenek terus merenung ke arah muka jalan masuk ke halaman rumah.

Mamat Bukit terbongkok-bongkok mengayuh basikal menuju ke arah kami. Sampai dekat pelantar Mamat Bukit tongkatkan basikal tuanya. Tanpa mengucapkan sesuatu, Mamat Bukit terus duduk di sisi datuk. Dahinya berpeluh dan nafasnya turun naik. Datuk tidak peduli dengan Mamat Bukit yang nampak agak cemas. Dengan tenang datuk menghirup kopi.

“Pergi buatkan kopi untuk dia,” bisik datuk pada nenek. Nenek pun bangun. Bila Mamat Bukit sudah tenang, datuk pun menghadiahkan senyum padanya.

“Ada apa masalah Mamat?” tanya datuk. Mamat Bukit tersenyum, dalam masa yang sama nenek menghulurkan secawan kopi padanya.

“Minum Mamat.” Kata nenek.

“Terima kasih, kerana susah-susah buat kopi untuk saya,” balas Mamat Bukit. Nenek terus duduk di tempat asalnya. Saya terus menghirup kopi. Beberapa helai daun manggis yang sudah tua, gugur ke bumi.

“Jadi kau menjaga dan mengusahakan tanah Samad Perang?” Mamat Bukit agak terkejut dengan pertanyaan yang dihadapkan oleh datuk padanya.

“Mana awak tahu semuanya ini?” soal Mamat Bukit.

“Samad Perang bertanyakan pendapat aku dalam hal tersebut dan aku setuju dengan apa yang dirancangkannya, eloklah kau mengusahakan tanah dan menjaga rumahnya, aku kira kau orang yang paling sesuai sekali, kau sahabatnya.”

“Apa kata anak buahnya yang lain?”
“Usah kau bimbang hal tersebut, dia sudah serahkan pada anak buahnya tapi, mereka tak mahu menjaganya.”

“Tapi, ada hal lain lagi.”

“Apa dia Mamat? Cakaplah,” suara datuk agak meninggi. Biji matanya cukup tajam merauti wajah Mamat Perang. Mamat Perang segera menundukkan kepala. Dahinya nampak berkerut.

“Sebaik saja saya menerima amanat Samad Perang untuk menjaga rumah dan mengusahakan tanahnya, anak saudaranya datang dan mengatakan rumah dan tanah Samad Perang, ditunggu jin tanah,” suara Mamat Bukit tersangkut-sangkut.

Nenek terus renung muka Mamat Bukit. Saya lihat nenek tersenyum dan terus bersuara:

“Kenapa kau tak tanya Samad Perang, tentang hal itu?”

“Nak tanya macam mana? Anak saudaranya datang sesudah Samad Perang balik.”

Saya dan datuk ketawa mendengar jawapan dari Mamat Bukit. Datuk terus menepuk bahu Mamat Bukit.

“Semuanya tu karut, kerana Samad Perang dulu diserang penyakit ganjil, kaum kerabatnya merasakan penyakit itu berpunca dari tanah yang didudukinya, semuanya tu karut, kau pergi jaga rumah dan usahakan tanahnya, jalankan amanat kawan kamu tu dengan jujur dan ikhlas,” ujar datuk.

Mamat Bukit anggukan kepala. Setuju dengan cakap datuk. Lebih-lebih lagi datuk telah memberi jaminan padanya. Sedia membantunya jika menghadapi sebarang masalah.

“Kalau dah ada jaminan macam tu. Saya tak bimbang,” suara Mamat Bukit merendah. Di bibirnya terpamer senyum. Dia pun menghirup kopi yang tersedia di depannya. Kemudian Mamat Bukit minta diri untuk pulang.

“Apa yang mahu awak tahu, sekarang sudah jelas,” datuk renung muka nenek. Saya lihat nenek tersenyum, lalu mengambil cawan kosong.

Beberapa minit kemudian, saya dan datuk pun beredar dari pelantar di bawah pokok manggis. Senja pun merangkak tiba. Suasana beransur menjadi samar-samar. Beduk di surau pun dipalu orang dan diikuti dengan suara azan Maghrib.

TETAMU

Saya tidur kembali setelah menunaikan sembahyang Subuh. Bila saya terjaga dari tidur yntuk kali yang kedua, saya lihat jam bulat yang terletak atas meja di hujung kepala, sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Saya terus melakukan senaman seperti yang diajar oleh datuk. Senaman yang dilakukan selamat sepuluh minit itu mengeluarkan peluh di seluruh badan. Saya biarkan peluh badan kering dengan sendirinya. Saya ingat pesan datuk yang mengatakan, bila badan berpeluh kerana bersenam, jangan terus mandi. Jangan kesat peluh dengan tuala, biarkan peluh itu keluar dan kering dengan sendirinya. Bila dikesat dengan tuala, mungkin liang-liang bulu roma tersumbat oleh daki peluh. Akibatnya, boleh menimbulkan rasa sakit-sakit dalam badan. Bila peluh sudah kering, saya terus ke sungai. Biasanya saya terjun dari bibir tebing ke dalam sungai. Tetapi, pagi itu kebiasaan tersebut tidak saya lakukan. Apa yang saya lakukan ialah mengenakan kedua belah telapak kaki saya dengan air di permukaan sungai. Sedikit demi sedikit saya meranduk air sungai. Mula-mula, kedua belah buku lali saya kena air. Lepas itu, buah betis melarat hingga ke tempurung lutut. Randuk lagi hingga air sungai paras pinggang. Kemudian, baru saya tenggelamkan badan paras leher. Akhirnya, saya terus menyelam dan berenang dengan bebas.

Semuanya yang saya lakukan itu semata-mata mematuhi petua dari datuk. Menurutnya, bila kita mandi sebaik-baiknya hindarkan menjirus air atau mengenakan air terus ke badan dengan mengejut. Cara itu, kurang baik, boleh membuat pergerakan darah dalam urat terganggu. Cara yang baik kenakan air dari bawah, kemudian terus membawa ke atas (kepala). Dengan berbuat demikian perjalanan darah tidak terganggu. Tambah datuk, jika petua itu diamalkan terus menerus, boleh menghindarkan diri dari diserang penyakit lumpuh,kebas atau sakit-sakit di bahagian sendi badan. Apakah petuadatuk itu betul atau tidak, saya tidak dapat mempastikannya tetapi, petua tetap saya amalkan.

Lepas mandi di sungai, saya terus pulang ke rumah. Sampai di rumah saya agak terkejut sedikit. Dua orang wanita, sedang duduk di pelantar di bawah pokok manggis. Saya segera menghampiri mereka. Saya lihat wanita yang memakai baju kurung merah, berusia dalam lingkungan dua puluhan. Wanita yang memakai baju kurung putih berusia kira-kira lima puluhan.

“Cari siapa?” tanya saya. “Tuan rumah ni.”

“Yang lelaki ke, yang perempuan?” wanita yang berusia lima puluhan itu terdiam. Dia renung muka saya sejenak.

“Awak siapa.” Cara mendadak wanita berusia lima puluh menyoal saya. Tanpa membuang masa, saya terus menerangkan hubungan diri saya dengan orang yang dicakap oleh mereka.

“Saya ada hajat besar nak jumpa datuk awak,” terang wanita yang memakai baju kurung putih. Saya menggigit lidah, saya yakin mereka datang dari Kedah.

Kalau tidak dari Kedah mungkin mereka dari Perak Utara atau Pulau Pinang. Sebabnya saya berkata begitu, loghat percakapan mereka, loghat orang utara.

“Begini saja makcik, biar saya pakai seluar dan baju dulu, kemudian saya panggil datuk dan nenek saya, kalau tak silap mereka pergi ke kebun pisang,” terang saya dengan jujur.

“Jauh ke, kebun pisangnya?”

“Dekat aje, makcik tunggulah. Apa hajat makcik yang sebenar?”
“Tak payahlah saya terangkan pada awak, pergilah panggil datuk awak tu, makcik ni datang dari jauh,” tambah wanita berbaju kurung putih, tanpa menyebut dari mana dia datang. Setelah mengenakan seluar dan baju, saya segera menemui datuk dan nenek di kebun pisang. Tanpa banyak cakap mereka pun pulang.

Nenek terus menjemput kedua orang perempuan itu ke dalam rumah. Macam selalu, nenek terus menghidangkan kopi pada tetamu yang tidak diundang itu.

“Saya ni datang dari Kulim, menurut adik lelaki saya yang bekerja di Pusat Pertanian di pekan ini, awak bomoh handal,” perempuan berbaju kurung membuka mulut di depan datuk. Saya lihat datuk tenang saja.

“Ini anak perempuan saya nombor dua, dia ni ada penyakit, sudah ramai bomoh mengatakan dia ni kena buatan orang, saya minta tuk bomoh tolong tilikkan siapa yang membuat anak saya ni,” tambahnya dengan wajah serius.

Datuk segera sandarkan badan ke dinding. Merenung tajam pada nenek yang duduk tidak jauh dari perempuan berbaju kurung putih.

“Saya bukan bomoh, saya bukan dukun. Cuma adik awak saja yang mengatakan saya dukun,” suara datuk agak meninggi.

“Tapi...”

“Tak ada tapinya, saya bukan bomoh saya bukan dukun,” datuk terus memotong cakap wanita yang berbaju kurung putih. Air mukanya segera berubah. Nenek agak terkejut dengan sikap datuk itu.

Saya tidak tahu kenapa datuk bertindak demikian. Saya lihat kedua orang wanita itu jadi serba-salah.

“Maafkan saya,” suara datuk menurun. Dia menarik nafas panjang sambil menggaru-garu pangkal lehernya. Dan wanita yang memakai baju kurung putih terus tunduk merenung lantai.

“Sepatutnya, saya yang minta maaf kerana datang tidak memberitahu, mungkin melanggar pantang.”

“Awak tak melanggar pantang, kita sesama Islam tetap bersaudara. Tetapi, saya kesal kerana awak mengatakan saya bomoh handal, seolah-olah saya ni lebih berkuasa dari Allah, sedangkan saya bukannya bomoh atau dukun.”

“Maafkan saya.”

“Lagi satu saya marah, kerana awak minta tilik atau minta tengok tentang orang yang kononnya, membuat anak awak. Saya nak tanya, awak orang Islam? Betul atau tidak.”

“Saya orang Islam, kenapa awak tanya macam tu.”

“Sebagai orang Islam, awak harus tahu menengok dan menilik tu perbuatan syirik, kenapa kerja yang ditegah oleh agama awak lakukan? Apa awak percaya pada bomoh dan dukun dari kuasa Allah?” Wanita berbaju kurung putih itu terdiam.

Kemudian, dengan cara terhormat datuk meminta kedua orang wanita itu pulang saja ke Kulim dan datuk tidak mahu mendengar tentang masalah yang mereka hadapi. Bila datuk sudah bertindak demikian, nenek segera campur tangan.

“Mereka datang dari jauh, setidak-tidaknya awak dengarlah cerita mereka, kenapa awak nak naik darah tak tentu sebab,” kata nenek. Datuk segera bangun, berdiri di muka tingkap kedua belah telapak tangannya menekan bendul tingkap.

Datuk merenung ke arah dedaun manggis dan rambutan yang bergoyang disentuh angin. Saya lihat kedua belah cuping telinganya seakan-akan bergerak-gerak. Datuk duduk kembali di tempat asalnya.

“Begini saja, kerana hal ini, hal orang perempuan eloklah awak ceritakan pada isteri saya. Minta maaf, kalau saya bersikap kasar dengan awak berdua, saya tahu sangat perangai orang perempuan, kerja tengok menengok atau menilik dan jumpa bomoh memang kesukaan orang perempuan, janganlah menambahkan dosa kering dalam hidup kita,” cukup tenang datuk berkata-kata.

Datuk bangun kembali. Dia terus menarik tangan saya.

“Ke mana tuk?”

“Tolong kerja aku di kebun pisang.”

“Orang yang datang ni macam mana?”

“Biar nenek kamu yang selesaikan.”

KELUAR

Saya terpaksa patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh datuk. Sampai di kebun pisang saya terpaksa mencangkul. Bila matahari berada betul-betul di ubun kepala. Barulah saya dan datuk pulang. Setelah menunaikan sembahyang Zuhur. Saya dan datuk terus menghadapi hidangan yang disediakan oleh nenek. Waktu saya dan datuk berehat di anjung rumah. Nenek segera datang. Duduk dekat saya. Nenek memerhatikan gerak geri datuk dengan teliti. Bila dilihatnya, datuk berada dalam keadaan yang betul-betul tenang. Nenek terus mengusik datuk.

“Awak ni, makin tua makin menarik,” kata nenek.

“Sudahlah, jangan nak mengada-ngada, malu dilihat cucu. Dah tua-tua nak bergurau,” balas datuk dengan senyum yang lebar.

Nenek terus ketawa panjang sambil menjeling ke arah saya. Datuk terus mengipaskan badan dengan kipas yang dibuat dari daun mengkuang rimba.

“Apa cerita perempuan tadi?” tanya datuk. Nenek kenyit mata. Memberitahu saya yang jeratnya sudah mengena.

“Saya dah suruh mereka datang jumpa awak lepas waktu Asar.”

“Apa halnya?”

“Soal rumahtangga. Menurut ceritanya, si suami bersikap dingin pada isteri dalam setahun hanya sekali bersama, mana ada orang perempuan yang sanggup menghadapi masalah begini,” terang nenek dengan wajah yang selamba.

Kemudian nenek terus bercerita:

Perempuan yang memakai baju kurung putih itu namanya Naemah. Suaminya berniaga kedai runcit. Mereka mempunyai tiga orang anak. Anak yang tua, lelaki sudah bekerja. Anak yang kedua perempuan namanya Sariyah yang datang bersamanya memakai baju kurung merah. Anak yang ketiga seorang perempuan. Sudah menikah dan mengikut suaminya bertugas di Arau, Perlis. Suami Sariyah bertugas sebagai pegawai dalam Angkatan Tentera Laut di bahagian kejuruteraan dan ditempatkan di Butterworth. Usia Sariyah sudah dua puluh tiga tahun dan mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Sebelum menikah dengan Zainuddin (suaminya) Sariyah bertugas sebagai guru sekolah rendah. Bila sudah menikah terus berhenti atas permintaan suaminya. Di awal perkahwinan, mereka cukup bahagia. Bila sudah dapat anak lima. Suaminya berubah sikap, sudah tidak mahu tidur bersama. Bila didesak, suaminya akan mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan.

“Tak apalah, bila mereka datang nanti saya tanya lagi. Pelik juga ceritanya,” kata datuk sambil termenung panjang. Nenek segera ke dapur.

Saya mengikut nenek. Sampai di ruang dapur nenek meneruskan kerjanya menganyam tikar mengkuang. Saya terus belajar menganyam tikar mengkuang dari nenek. Ternyata kerja itu tidak sesuai dengan diri saya. Nenek saya tinggalkan. Saya terus menuju ke pelantar di bawah pokok manggis. Rebahkan badan di situ. Saya terus tertidur. Saya dikejutkan oleh datuk bila sampai waktu Asar untuk sembahyang. Seperti yang dijanjikan lepas waktu Asar Naemah dan anaknya Sariyah pun datang. Mereka terus duduk di hadapan datuk yang menunggu kedatangan mereka di anjung rumah. Kali ini wajah datuk nampak gembira.

“Awak menikah dulu macam mana? Maksud saya, ada tak berkenalan dulu sebelum nikah,” soal datuk pada Sariyah.

“Kami menikah suka sama suka, kami berkawan sejak di bangku sekolah lagi. “

“Awak yakin, masa berkenalan dulu suami awak, tidak ada berkenalan dengan orang lain?”

“Setahu saya tak ada.”

“Hubungan awak dengan mertua dan adik serta abang ipar awak bagaimana?”

“Dengan mertua tidak begitu baik, begitu juga dengan kakak dan ipar yang lain.”

Datuk menarik nafas panjang. Dia termenung sejenak. Wajah Naemah direnungnya sebentar. Datuk menggigit kuku di ibu jarinya dua tiga kali.

“Awak ada ambil tahu tentang anak awak ni, maksud saya awak sudah mengajar dia memasak dan melayan suami dengan baik,” tanya datuk pada Naemah, yang sejak tadi mendengar percakapan datuk dengan anaknya.

“Sudah, rumahtangga mereka elok tapi...,” Naemah tidak meneruskan kata-katanya. Dan datuk tidak mendesak supaya Naemah menerangkan sesuatu dengan lebih lanjut lagi. Datuk menghampiri nenek. Mereka berbisik sesuatu.

“Kerana anak awak perempuan, biarlah orang perempuan yang menyelesaikan. Isteri saya akan menguruskan hal anak awak,”ujar datuk pada Sariyah. Datuk memerintahkan saya memasang tirai kain. Perintah itu segera saya patuhi.

“Isteri saya pandai mengurut, biarlah dia memeriksa diri anak awak. Sekarang pergi sebelah tirai sana,” beritahu datuk lagi. Naemah dan anaknya segera berubah tempat duduk di
sebalik tirai. Kerana kain tirai itu dibuat dari kain bekas guni gandum yang tebal, saya tidak tahu apa yang berlaku di balik tirai tersebut. Datuk duduk dengan membelakangi ke arah muka pintu. Kedua belah telapak tangan datuk menekan lantai rumah.

“Apa yang mesti saya buat,” terdengar suara nenek dari balik tirai.

“Jamah dan urut perutnya dari pangkal pusat ke atas, Awak tak usah takut saya akan memberi tunjuk ajar,” jawab datuk.

Saya terus duduk di sisi datuk. Saya lihat telapak tangan datuk bergerak ke sana ke mari atas lantai, macam orang mengurut tubuh manusia.

“Berhenti di situ,” nada suara datuk meninggi.

“Ya, saya berhenti di sini,” jawab nenek.

“Nafsu suaminya dikunci, melalui urut yang dibuat tadi. Sariyah banyak kurangnya sebagai seorang isteri bila bersama, tidak dapat memberi sesuatu yang baik untuk suami, dirinya macam papan sekeping.”

“Apa maksud awak papan sekeping?”
“Sejenis ilmu syaitan yang diamalkan oleh manusia yang lupakan kekuasaan Allah, Ilmu itu dikenali sebagai ilmu papan sekeping, kalau terkena pada orang perempuan hidupnya sudah tidak bermakna lagi.”

“Bagaimana dengan perempuan yang saya urut ini?”

“Sudah terlalu jauh.,” datuk seakan-akan mengeluh. Wajahnya nampak gusar sekali.

Datuk menyuruh saya membuka tirai. Datuk memanggil Sariyah. Suruh duduk berhadapan dengannya. Naemah duduk dekat nenek.

"Apa benda-benda ganjil yang selalu awak temu dalam rumah awak?" Agak terkejut juga Sariyah mendengar pertanyaan dari datuk itu.

Sariyah renung muka ibunya (Naemah) sambil mengerutkan dahi. Saya lihat ibunya anggukkan kepala.

"Sudah setahun lebih, setiap Selasa saya jumpa anak-anak ular di bilik air. Pada setiap malam Khamis ada sejenis belalang, macam belalang kunyit masuk ke bilik tidur, belalang tu suka hinggap di pangkal belikat saya."

"Apa yang kamu buat?"

"Anak-anak ulat hitam tu, saya jirus dengan air panas. Tapi sebanyak mana yang mati, sebanyak itu yang datang."

"Dengan belalang."

"Saya bunuh tapi dia datang juga."

Datuk terdiam. Sepasang matanya, merenung keluar menerusi pintu rumah yang terdedah. Angin terus berlegar-legar di luar rumah menyentuh dedaun pokok yang terdapat di situ. Dan angin yang masuk ke dalam rumah menyentuh wajah saya.
Terasa amat nyaman sekali. Tiba-tiba suasana yang begitu tenang, macam ada orang membaling batu ke dinding. salah satu papan dinding rumah tercabut. Bila saya mahu memeriksanya datuk segera menahan. Kata datuk, biarkan papan dinding
itu di situ. Biar dia yang uruskan semuanya.

Aneh, sungguh. Tidak ada manusia yang lalu lalang di sekitar kawasan rumah. Siapa pula yang membaling batu ke rumah waktu siang. Bunyinya ada tetapi batunya tidak ada. Macam mana papan dinding yang dipaku kuat boleh tercabut? Semua
persoalan itu menerpa dalam tempurung kepala saya.

"Saya akan cuba berikhtiar mengatasi nasib malang yang menimpa awak. Kalau diizinkan Allah usaha saya akan berjaya. Tetapi, awak jangan menggantungkan harapan pada saya," cukup lemah nada suara yang keluar dari mulut datuk.

"Berdoalah pada Allah, semoga apa yang kita lakukan diberkatinya, sebagainya, sebagai orang perempuan, saya tahu perasaan awak yang tidak mendapat perhatian dari suami," nenek meningkah. Sepasang matanya merenung redup ke wajah Sariyah.

"Awak balik dulu ke tempat awak, dua minggu lagi awak datang ke sini, kalau tak boleh datang beritahu pada saya cepat. Dengan itu mudah saya pergi ke tempat awak," saya bangga mendengar kata-kata datuk. Saya berdoa supaya Sariyah jangan
datang ke rumah datuk. Biar datuk sendiri yang pergi ke rumahnya. Dapat juga saya berjalan.

"Saya datang. suami saya tidak ada di sana. Dia pergi kursus selama tiga minggu di Singapura. Semasa dia tak ada, dia izinkan saya pergi ke mana-mana untuk menghiburkan hati."

"Saya yakin suami awak kasihkan awak tapi ada penghalangnya."

"Bolehkah awak tengok siapa penghalangnya?" Ibu Sariyah turut campur.

"Tolong jangan sampai saya membatalkan usaha ini," jawab datuk keras. Ibu Sariyah terus membisu.

Datuk terus merenung muka Sariyah. Saya membetulkan rambut saya yang jatuk ke dahi. Ibu Sariyah tunduk merenung lantai. Nenek terus termenung panjang.

"Awak balik nanti, buatlah sembahyang hajat. Awak buat sendiri jangan minta tolong pada orang lain. Mohon pada Allah supaya bencana yang ada segera hilang dari awak."

"Baiklah," Sariyah memberikan janji.

Sebelum mereka pulang. Datuk membekalkan dua buku lengkuas dan dua buku kunyit pada Sariyah.

"Lengkuas ni potong empat dan letakkan pada empat penjuru dalam bilik air awak. Kunyit pun potong empat letakkan pada empat penjuru bilik tidur, sebelum meletakkan di tempat yang saya sebut itu, bacalah surah Al-Fatihah sepuluh kali, barang-barang
ni jangan dilangkah. Awak tinggal di rumah batu?"

"Ya, saya menyewa rumah dua tingkat."

"Bagus, bila awak datang ke mari nanti, ceritakan apa yang awak lihat setelah benda-benda itu diletakkan di tempat yang saya katakan. Awak kena buat cepat."

"Ya, saya akan balik ke Butterworth hari ini juga."

Datuk gembira dengan pengakuan yang diberikan oleh Sariyah. Datuk suruh nenek menghantar Sariyah dan ibunya hingga ke tepi jalan enam kaki.

Datuk terus mencari penukul dan mengenakan papan dinding yang tercabut ke tempat asalnya. Bila semua kerjanya selesai. Datuk terus duduk di muka pintu merenung arah ke selatan.

"Tuk"

"Kenapa"

"Ilmu papan sekeping tu apa dia tuk."

Datuk tersenyum. Dia memanggil saya duduk di sisinya. Bila saya berada dekatnya. Datuk gosokkan kepala saya dua tiga kali. Dia tersenyum. Menurut datuk, ilmu itu berasal dari salah satu tempat dari selatan benua India. Ilmu itu dibawa oleh orang-orang India Muslim yang datang ke tanah Semenanjung.

"Kebanyakkan orang-orang India Muslim yang datang ke tanah air sudah beristeri, sebelum mereka datang, mereka kenakan ilmu itu pada isterinya, tujuannya untuk mengelakkan isteri mereka melakukan perbuatan terkutuk, bila mereka tidak ada kerana merantau," datuk memulakan ceritanya.

"Bila ilmu itu dikenakan, setiap orang lelaki yang memandang isteri mereka walau secantik mana pun, tidak terasa apa-apa," sambung datuk. Saya hanya anggukkan kepala.

Tiba-tiba bulu tengkuk saya meremang. Bila datuk menjelaskan orang-orang yang mengamalkan ilmu tersebut biasanya menyimpan sekeping papan keranda orang yang mati berdarah. Papan itu dipotong kecil-kecil dan disimpan dalam peti hitam di sesuatu tempat yang tertentu. Selalunya peti hitam itu ditanam dalam tanah.

"Cara mereka membuatnya macam mana tuk?" Tanya saya.

"Mereka akan mengambil tiga helai rambut perempuan yang gugur di atas bantal waktu pagi, dililitkan pada salah satu papan keranda yang sudah dipotong halus-halus itu, kemudian ditanam di pangkal pokok atau disimpan saja. Biasanya orang-orang India Muslim yang merantau membawanya ke mana-mana atau di buang ke laut."

"Kejam," kata saya.

"Memang kejam menganiayakan kaum perempuan, kalau dah sayangkan bini bawalah ke mana-mana, buat apa ditinggalkan dengan cara ini. Peliknya, bila sampai ke sini mereka kahwin, bini yang ditinggalkan terus merana," datuk semacam mengeluh.

Datuk turun ke tanah. Saya terus mengekorinya menuju ke sudut rumah. Datuk melihat lukah yang tergantung di dahan belimbing buluh. Salah satu lukah itu datuk ambil.

"Aku mahu menahan lukah di sungai, kau pikul lukah ini ke sungai," saya segera menyambut lukah yang datuk hulurkan pada saya. Sepanjang jalan menuju ke sungai datuk terus bercerita tentang ilmu papan sekeping.

Kata datuk, ilmu papan sekeping banyak menggunakan mentera dalam bahasa yang sukar dimengertikan, banyak menggunakan pemujaan pada hantu syaitan.

"Bahasa bercampur aduk, ada bahasa hindu tua, ada bahasa jawa tua dan Siam. Ilmu itu cukup terkenal di kalangan dukun-dukun Siam yang kemudian dituntut oleh beberapa orang Melayu secara diam-diam,' datuk berhenti bercakap kerana kami sudah sampai ke tepi sungai.

Saya lihat air sungai mengalir dengan tenang. Dua tiga helai daun getah yang sudah tua terkapar di permukaan sungai dibawa oleh arus menuju ke hilir.

"Apakah suami Sariyah mengenakan ilmu itu pada isterinya tuk?"

"Aku tak fikir begitu, suaminya orang berpelajaran, mana mungkin mahu buat kerja macam itu."

"Jadi, siapa yang membuat angkara buruk tu tuk?"

"Aku tak tahu, mungkin perkara itu jadi secara kebetulan. Tak apalah Taman, aku akan berusaha memulihkannya, selalunya kerja-kerja syaitan akan musnah dengan kuasa Allah," kata datuk.

Tanpa membuang masa datuk turun ke dalam perut sungai. Dia mencari lubuk yang difikirkan banyak ikan. Di situ datuk menahan lukah.

EPISOD KE-57

SUMPAH SELENDANG MERAH

Saya lihat datuk kurang senang dengan arahan yang diberikan oleh Sajono pada saya.

“Ayuh, orang muda,” suara Sajono lembut.

“Cucu saya, masih bodoh pak.”

“Dia harus belajar, mungkin di masa akan datang dia tidak akan berhadapan dengan perkara semacam ini.”

“Tapi...”

“Jangan bimbang, biarkan dia lalui pengalaman ini, setidak-tidaknya akan jadi bahan sejarah untuk dirinya. Ayuh,” Sajono menggosok-gosok kepala saya.

Badan saya menggeletar. Takut dan bimbangnya Tuhan saja yang tahu. Saya berharap datuk akan berusaha menggagalkan rancangan yang diaturkan oleh Sajono itu.

“Pergi Tamar, jangan kecewakan kepercayaan orang.” Kata datuk. Ternyata, saya tidak ada pilihan lain.

Saya pun rapat ke arah Samad Perang yang terlentang, kedua belah kakinya terkangkang. Biji matanya bergerak mengikut gerak geri saya. Dengan hati-hati saya masukkan anak kunci ke lubang kunci. Usaha saya berjaya. Saya renung muka Sajono.

“Kau sudah membuka kunci di kakinya, sekarang rantai dan kunci di bahagian tangannya,” perintah Sajono. Saya renung muka datuk minta simpati. Datuk tersenyum.

“Buka kunci di tangannya Tamar,” perintah datuk. Saya sungguh kecewa dengan sikapnya itu.

Saya terus membuka kunci di kedua belah tangannya. Bila saya memberi belakang pada Samad Perang, saya terasa ada sesuatu yang menghentak pada pangkal belikat saya. Saya terjerumus di hujung lutut Sajono. Samad Perang mula melompat dan menari, tidak ubah macam orang orang berjoget.

“Bangun nak, kau jatuh sendiri, orang yang sakit tidak menendangmu, ada orang lain yang membuatnya,” Sajono melekapkan telapak tangan kanannya di dahi saya.

Badan saya tidak terasa sakit malah macam tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya. Saya segera duduk di sebelah datuk. Sajono terus merenung dengan renungan yang tajam dan marah. Samad Perang berhenti menari.

“Duduk di sini,” kata Sajono. Samad Perang terus duduk.

Sajono mengeluarkan rotan seni sepanjang enam inci dari celah pinggangnya. Badan Samad Perang dipukulnya lima kali berturut-turut. Kemudian dia menentang biji mata Samad Perang. Samad Perang angkat kepala dan terus menentang mata Sajono dengan wajah yang bengis. Sajono tetap tenang dan matanya tidak berkedip memanah ke mata Samad Perang. Saya lihat seluruh badan Samad Perang menggeletar dan akhirnya rebah atas lantai.

“Bangun, tentang mata saya,” kata Sajono. Samad Perang berusaha bangun. Percubaannya itu tetap gagal, setiap kali dia bangun, setiap kali pula dia rebah.

Mukanya nampak pucat, kedua-dua belah cuping telinganya nampak kecut.

“Awak bangun perlahan-lahan Samad dan kemaskan sila, duduk mengadap saya,” ucap Sajono dalam nada suara yang lembut.

Cukup sukar Samad Perang mematuhi arahan Sajono itu. Setelah menghempas pulas, akhirnya Samad Perang berjaya. Duduk bersila di hadapan Sajono. Saya sudah dua kali mengucap. Datuk dan Mamat Bukit tidak berkata apa-apa. Mereka Cuma memperhati dengan penuh teliti segala gerak-geri Sajono dan Samad Perang. Sajono merenung muka datuk dan Mamat Bukit. Mereka berbalas senyum. Sajono rapat pada Samad Perang.

“Yang jahat, yang baik semuanya keluar,” suara Sajono meninggi.

Samad Perang rebah kembali. Tidak sedarkan diri. Tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh Sajono untuk menyedarkan Samad Perang dari pengsan.

“Biarkan dia sedar sendiri.” Beritahu Sajono pada Mamat Bukit dan datuk. Isteri Samad Perang sandarkan badan ke dinding dengan wajah yang tenang.

Malam bertambah tua udara terasa amat dingin sekali. Sayup-sayup kedengaran kokok ayam. Bunyi burung hantu dan jampuk, tidak kedengaran lagi, suara cengkerik juga tidak sehebat tadi. Sesekali terdengar bunyi dedaun rumbia di pinggir rumah berlaga sama sendiri, disentuh angin malam yang bertiup. Samad Perang sedar dari pengsan. Dia terus duduk dalam keadaan yang amat letih sekali. Sajono tersenyum sambil menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Kemudian, Sajono membetulkan letak songkoknya yang senget. Kain pelikat berpetak besar yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri.

“Yang jahat jangan datang, yang baik berumah dalam diri,” cukup lantang suara Sajono.

Mukanya kelihatan merah padam. Anak rambut di kiri kanan pelipisnya bergerak-gerak.
Samad Perang jatuh pengsan lagi. Kali ini, Sajono segera memulihkannya dengan menggunakan kain pelikat.

“Air,” muka Samad Perang.

“Berikan,” ujar Sajono.

Isteri Samad Perang hulurkan segelas air pada Mamat Bukit dan Mamat Bukit serahkan pada Samad Perang.

“Minum,” kata Sajono.

“Terima kasih,” jawab Samad Perang.

Semua yang ada di situ merasa gembira. Saya lihat kelopak mata isteri Samad Perang digenangi air jernih. Tetapi dibibirnya tetap terukir segaris senyum yang melambangkan kebahagiaan dirinya.

“Pertama kali saya melihat suami saya bercakap dengan baik dan sopan santun,” kata isteri Samad Perang pada datuk. Sajono yang berwajah tenang menggigit bibir. Samad Perang merenung wajah isterinya.

“Kau menangis, Sofiah?”

“Tak, saya tak menangis bang.”

“Matamu berair.”

“Ya, saya menangis bang, saya gembira kerana abang dah baik.”

“Aku tak faham dengan cakap kau Sofiah.”

“Abang sebenarnya sakit.”

“Sakit?” Samad Perang renung Mamat Bukit.

Saya lihat Mamat Bukit anggukkan kepala. Membenarkan kata-kata yang diucapkan oleh isterinya.

“Beri dia bantal, biar dia berehat,” Sajono menujukan kata-kata itu pada isteri Samad Perang.

Perempuan yang berbadan kurus dan berwajah cengkung itu segera masuk ke bilik tidur dan keluar membawa sebiji bantal. Samad Perang saya lihat seperti keadaan orang bingung. Dia renung pada rantai besi dan ibu kunci yang terdapat pada tiang seri.

“Saya mengantuk,” katanya pada Mamat Bukit.

“Tidurlah dulu.”

“Maafkan saya, mata saya tak boleh tahan,” suara Samad Perang lemah sekali.

Dia terus merebahkan badannya atas lantai. Mamat Bukit angkat kepalanya dan isterinya menyorongkan bantal.

“Ikat tangannya saja, bukan apa-apa sekadar untuk berjaga,” isteri Samad Perang segera mematuhi arahan dari Sajono.

Dalam beberapa minit saja, kami yang berada di situ sudah dapat mendengar suara dengkur Samad Perang.

“Selesai atau ada lagi Kiai?” cukup hati-hati Mamat Bukit mengajukan pertanyaan pada Sajono yang sedang duduk termenung macam memikirkan sesuatu.

“Ada lagi ke Kiai?” ulang Mamat Bukit.

“Untuk malam ini dah selesai, malam esok saya datang untuk menamatkannya,” Sajono bangun.

Saya dan datuk juga berjalan dalam ruang rumah dua kali. Bermula dari arah selatan menuju ke utara dan berhenti di muka pintu. Dia merenung malam yang gelap, merenung pokok-pokok yang tertegun di halaman. Kokok ayam bertambah kerap. Udara sejuk kian terasa.

“Saya nak pulang,” kata Sajono pendek dan ketika itu juga saya terdengar jam dinding di rumah Samad Perang berbunyi sebanyak dua belas kali.

Mamat Bukit segera turun ke tanah. Isteri Samad Perang membawa lampu gasolin ke muka pintu. Cahaya daripada lampu gasolin menerangi sebahagian daripada kawasan halaman rumah.

“Saya hantarkan Kiai,” ujar Mamat Bukit sambil menolak basikal tua keluar dari bawah rumah. Sajono memijak mata anak tangga dengan teliti. Dia akhirnya menyarungkan selipar kulit ke kaki. Berdiri di situ sejenak.

“Malam esok saya datang lagi, saya minta sediakan rotan halus atau rotan seni yang panjangnya kira-kira tiga kaki,” Sajono meninggalkan pesan pada isteri Samad Perang.

“Saya balik dulu, malam esok saya harap awak datang,” Sajono merenung muka datuk.

“Dengan izin Allah saya akan datang,” balas datuk.

“Saya harap Allah akan memperkenankan permintaan awak,” balas Sajono lalu bersalaman dengan datuk.

“Jaga suami awak baik-baik, saya rasa malam ni dia akan tidur sampai siang. Kalau takut, cari kawan,” Sajono renung isteri Samad Perang.

“Baik Kiai, saya jaga dia.”

“Lepas hantar Kiai, saya datang ke mari,” cara mendadak Mamat Bukit bersuara.

“Bagus,” celah datuk. Sajono renung muka saya dan tangan kanannya menepuk bahu kiri saya.
Sajono terus duduk di bahagian belakang basikal. Mamat Bukit pun kayuh basikal tanpa lampu membelah malam yang gelap.

“Hebat, naik basikal malam tak berlampu,” kata saya.

“Mamat sudah biasa begitu,” sahut isteri Samad Perang.

Datuk ketawa kecil, seolah-olah memberitahu saya, itulah keistimewaan orang kampung yang tidak kenal duna moden, tidak kenal lampu letrik di tepi jalan. Tetapi, mereka tidak pernah mengeluh dengan keadaan itu, mereka hadapi dengan tenang dan penuh cabaran.

“Kami balik dulu,” beritahu datuk pada isteri Samad Perang.

“Selamat jalan, jangan lupa malam esok datang lagi.”

“Kalau tak ada sakit demam dan umur pula panjang, saya sampai, jawab datuk.

Saya dan datuk sampai ke rumah hampir pukul satu subuh. Nenek menyambut kami dengan wajah yang masam di muka pintu. Tetapi, datuk tetap memberikan senyum yang paling manis untuk seorang isteri yang setia, seperti nenek.

“Janda mana yang awak gila, anak dara mana yang awak intai hingga jauh malam baru sampai ke rumah,” gegendang telinga saya menangkap suara nenek.

“Tak ada janda, tak ada anak dara, yang ada awak seorang aje, sebab itulah saya balik ke rumah,” tingkah datuk yang diakhiri dengan ketawa pendek.

Nenek terus diam dan merapatkan daun pintu serta menguncikannya sekali. Saya terus merebahkan badan di bilik kecil yang dikhaskan untuk saya. Semua yang saya lihat dan alami di rumah Samad Perang terbayang kembali. Sukar untuk dipercayai dengan fikiran yang waras, bila seseorang menyuruh sesuatu yang dianggap jahat dan baik keluar dari tubuh manusia, kemudian mengizinkan benda yang baik menguasai hati dan perasaan manusia seperti yang dilakukan oleh Sajono pada Samad Perang. Andainya, kalau saya ceritakan pada orang lain tentang kejadian itu, pasti orang yang mendengarnya ketawa dan mengira perkara itu tidak masuk akal lalu menuduh saya pembohong.

Tetapi, perkara yang tidak masuk di akal itulah yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri. Memang aneh, dunia dan manusia tidak dapat dipisahkan dari menjalani kejadian-kejadian aneh yang kadang-kadang tidak masuk di akal, kata hati kecil saya sambil menarik selimut. Akhirnya saya terlelap.

Saya terjaga dari tidur, bila datuk menarik kaki saya dengan kuatnya.
“Bangun, jangan dilayan kemahuan hati, nanti kau berkawan dengan syaitan, bangun sembahyang Subuh,” katanya keras.

Saya tidak boleh membantah. Saya pun bangun dan menjalankan rukun Islam kedua.

Datuk sengaja pulang lewat ke rumah Samad Perang malam ini. Kata datuk tidak guna pergi awal, Sajono sendiri sudah mengatakan yang dirinya akan sampai ke rumah tersebut pukul dua belas tengah malam.

“Pukul sebelas kita bertolak dari rumah, sementara itu biar aku membaca Quran,” beritahu datuk pada saya.

Rasa gembira menguasai hati saya, bila mendengar keputusan dari datuk.

“Kau pergi baca surah Yasin,” ujar datuk lagi.

“Saya baca dalam bilik tuk.”

Tanpa membuang masa saya masuk ke bilik. Pintu bilik saya kunci dari dalam.
Membaca surah Yasin, bukanlah satu tugas yang menyenangkan hati saya, lebih-lebih lagi kalau ada tugas lain yang saya kira lebih mustahak dari itu. Jadi, saya buat keputusan yang muktamad. Saya tidak mahu membaca surah Yasin. Saya harus menyambung kerja saya yang terbengkalai sejak dua tiga hari yang lalu, iaitu membuat sangkar burung. Pelita minyak tanah saya pasang dua sekali. Keadaan dalam bilik cukup terang tetapi, saya tidak puas hati. Saya mahu cahaya yang terang lagi. Saya pasang lima batang lilin. Kemudian saya keluarkan pisau kecil serta bilah-bilah buluh yang sudah diraut dari bawah katil. Saya pun memulakan kerja membuat sangkat burung mengikut bentuk yang saya ingini.

“Tamar kau baca Yasin atau tidur, tak dengan suara pun.”

“Saya baca tuk, tapi tak boleh kuat, suara serak, tekak saya sakit.”

“Betul ke ni Tamar.”

“Betul, sumpah tuk,” kata saya sambil menajamkan bilah buluh bahagian bawah, kemudian bilah itu saya tekan pada rotan yang dijadikan gelegar sangkar.

Bagi meyakinkan hati datuk yang saya membaca surah Yasin sesekali saya tinggikan suara sambil menyebut beberapa ayat dari surah tersebut yang saya ingati. Sambil melakukannya, saya ketawa sendirian kerana saya sudah berjaya memperdayakan datuk. Tepat jam sebelas malam, datuk terus ketuk pintu bilik. Kelam-kabut saya sorongkan sangkat yang baru siap separuh ke bawah katil. Kepala saya sarungkan dengan songkok, surah Yasin saya pegang. Pintu bilik saya buka lebar-lebar.

“Bagus, kau cucu yang baik dan mendengar cakap,” kata datuk.

“Terima kasih tuk.”

“Habis, apa lagi.”

Saya dan datuk pun meninggalkan rumah. Nenek Cuma menghantar hingga ke kaki tangga saja. Nenek berpesan supaya kami berhati-hati berjalan kerana banyak binatang bisa yang merayap malam. Begitulah sikap nenek saya, dalam marah dia tetap sayangkan suami. Setiap detik yang berlalu, tidak dipersiakan begitu saja, tetap diisi dengan doa dan harapan semoga berbahagia serta dipanjangkan usia.

“Nenekmu wanita kampung yang banyak menyerahkan harapan pada keadaan. Seorang isteri yang setia tetapi mempunyai suami yang kurang mementingkan hati dan perasaannya,” datuk mengeluh dalam perjalanan.

“Saya sayangkan nenek tuk.”

“Aku juga sayangkan dia Tamar. Kalau kau mencari isteri, carilah perempuan sebaik nenekmu.”

“Saya tak mahu kahwin tuk.”

“Satu waktu, kau akan kahwin juga Tamar.”

“Dengan siapa tuk.”

“Hanya Allah Yang Maha Besar akan menentukan jodohmu Tamar.” Saya tersenyum mendengar cakap datuk.

Saya bayangkan dalam kepala wajah-wajah gadis yang saya kenali. Tetapi, semuanya tidak saya minati. Kami sampai ke rumah Samad Perang. Sajono dan Mamat Bukit duduk di bawah pokok bertemankan lampu minyak tanah. Datuk tidak menyoal kenapa mereka duduk di luar tidak di dalam rumah. Datuk tahu selagi belum tepat jam dua belas malam, Sajono tidak akan memijak lantai rumah Samad Perang. Saya dan datuk turut duduk di bawah pokok. Sajono yang tenang tidak banyak bercakap. Tetapi, Mamat Bukit tetap rancak bercakap dengan datuk.

Tepat jam dua belas. Kami pun masuk ke rumah Samad Perang. Duduk di ruang tengah. Isteri Samad Perang menyerahkan rotan seni pada Sajono.

“Bagaimana keadaannya,” tanya Sajono.

“Alhamdulillah, dia tidak meracau dan terus tidur, bila dia jaga dia minta air.”

“Lagi.”

“Dia bercakap dengan baik dan mula bertanya khabar tentang kawan-kawannya.”

“Bersyukurlah pada Allah yang memberkati usaha-usaha kita,” Sajono menadahkan kedua belah telapak tangannya sambil membaca sesuatu.

Bila mulutnya berhenti bergerak, kedua belah telapak tangannya menyapu muka.

“Saya mulakan sekarang,” beritahu Sajono pada datuk dan Mamat Bukit.

“Silakan,” jawab Mamat Bukit dan datuk serentak.

Sajono terus membuka kunci pada rantai besi yang mengikat tangan Samad Perang.

“Bangun,” Sajono kejutkan Samad Perang, tergesa-gesa Samad Perang, gosok kelopak mata serta duduk bersila di depan Sajono.

Tangan kanan Samad Perang dijamah oleh Sajono, tiap sendi jejari tangan itu dipicitnya berkali-kali. Kemudian Sajono mengikat jejari tangan kanan itu dengan rotan seni. Bila dirasakannya ikatan itu sudah cukup kejap, Sajono terus merentapnya dengan kasar sekali. Samad Perang kelihatan cemas wajahnya berkerut menahan rasa sakit. Samad Perang terus menjerit dan meronta-ronta. Sajono terus memegang hujung rotan dengan sekuat hatinya. Samad Perang berpusing-pusing di lantai, dia bagaikan kehilangan tenaga untuk berdiri dan jejari tangan kanannya yang diikat dengan rotan, kelihatan lembik. Samad Perang terus lemah, suaranya bagaikan tidak keluar ketika itu juga Sajono meratapinya, lalu menepuk belakangnya. Saya lihat Samad Perang terus kaku, macam patung kayu tetapi, kelopak mata masih boleh dipejam celikkan.

“Syaitan masih mahu mengganggunya lagi,” Sajono renung muka Mamat Bukit. Cepat-cepat Mamat Bukit anggukkan kepala. Datuk juga begitu.

Samad Perang rebah perlahan-lahan atas lantai. Tetapi Sajono segera memulihkan badan Samad Perang yang lemah itu dengan melucutkan rotan yang mengikat kelima-lima jari kanannya.

“Samad,” kata Sajono.

“Ya.”

“Kau kenal dengan saya?”

“Tak kenal, awak siapa?”

“Saya Sajono, datang untuk berusaha memulihkan sakit dan Allah mengizinkan usaha itu, kau beransur sembuh.”

“Terima kasih.”

“Ingat Samad, Allah itu Maha Besar, Maha Mengetahui, tidak ada kuasa yang boleh mengatasi kuasa Allah, penunggu itu syaitan.”

“Saya faham,” kata Samad Perang.

Sajono tersenyum merenung kami. Dia menyerahkan rotan yang telah digunakannya pada isteri Samad Perang. Dia pun membaca doa kesyukuran pada Allah yang telah memberkati segala usahanya itu.

“Hantarkan saya pulang,” Sajono mengemukakan pertanyaan pada Mamat Bukit yang bersandar di dinding.”

“Terlalu cepat nak balik,” kata datuk pula, muka Sajono di renungnya lama-lama.
Sajono membetulkan songkoknya. Dan hujung kain pelikat di bahu dirabanya berkali-kali.

“Niat dari rumah untuk menolong orang, bila niat sudah tercapai, mesti pulang, hidup tidak boleh banyak cabang nanti ditumpangi syaitan,” Sajono memberikan ceramah pendek. Datuk anggukkan kepalanya.

“Apa puncanya sakit kawan saya ni Kiai,” Mamat Bukit menyoal.

“Amalan yang baik, tersilap langkah itu saja silapnya.”

“Maksud Kiai.”

“Saya cuma dapat memberi tahu setakat itu saja.”

Sajono pun bangun melangkah menuju ambang pintu. Mamat Bukit segera memintas di depannya dan terus menuju ke tanah. Dalam beberapa minit saja, Mamat Bukit sudah sedia dengan basikal buruk di kaki tangga.

“Semoga Allah akan memberkati perjalanan awak,” suara datuk pendek.

“Mudah-mudahan,” jawab Sajono.

Mamat Bukit pun kayuh basikal. Saya dan datuk berpandangan, ketika itu juga saya terdengar suara dari isteri Samad Perang menyuruh kami duduk untuk minum kopi panas. Permintaan itu tidak kami hampakan. Samad Perang yang sudah pulih itu turut sama duduk dekat datuk. Terlalu banyak yang Samad Perang tanyakan pada datuk berhubung dengan dirinya. Semua pertanyaan itu tidak perlu dijawab oleh datuk. Isterinya menjelaskan kedudukan yang sebenar. Di malam yang singkat itu, tanpa diminta oleh sesiapa Samad Perang menceritakan pada datuk dan saya bagaimana nama perang tercantum di hujung namanya.

Menurut Samad gelaran perang di hujung namanya itu diperolehi waktu zaman darurat dulu. Ketika itu dia berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Saya jadi polis di bahagian Jungle Squad, setiap kali saya membawa orang-orang saya masuk hutan, pasukan yang saya pimpin selalu kena serang dan sejak itu nama saya ditambah dengan perkataan perang kerana bila masuk hutan saya mesti berperang dengan komunis,” kata Samad Perang dengan nada suara yang rendah tetapi, wajahnya tetap membayangkan rasa bangga dan megah. Samad Perang juga memberitahu kami, ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan jugalah, dia belajar ilmu yang bertujuan untuk mempertahankan dirinya dari serangan pihak musuh.

“Apa ilmu yang kau belajar?” tanya datuk.

“Ilmu kebal, saya juga mandi minyak dan lain-lain lagi hingga saya diberikan oleh guru saya selendang merah.”

“Di mana kau belajar semuanya itu?”

“Waktu saya bertugas di Cincin, Melaka.”

“Apa yang kau dapat dari ilmu yang kau tuntut itu.”

“Bila saya masuk hutan, saya pakai selendang merah, komunis tidak sanggup menentang pasukan yang saya pimpin terlalu lama.”

Datuk terdiam mendengar keterangan dari Samad Perang. Isterinya tersenyum mendengar cerita suaminya. Samad Perang nampak bersih, biji matanya merenung tulang bumbung rumah dua tiga kali.

“Dulu, suami saya patuh dengan syarat yang diberikan oleh mahaguru, tetapi, sejak dia berhenti semua syarat-syarat itu dilupa,” tiba-tiba isteri Samad Perang bersuara. Biji mata datuk terbeliak mendengarnya. Samad Perang cuma senyum saja.

“Apa syarat-syaratnya?” Datuk mula mencungkil rahsia. Samad Perang renung isterinya, kemudian anggukkan kepala, seolah-olah memberi kebenaran pada isterinya untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh datuk.

“Apa syaratnya?” Ulang datuk lagi.

“Sembahyang lima waktu tak boleh tinggal, tidak boleh minum arak, tidak boleh berjudi dan main perempuan, setiap malam Jumaat mesti baca Yasin, tidak boleh makan minum di kedai bukan Islam,” cukup lancar isteri Samad Perang bercakap.

Saya lihat Samad Perang terdiam. Wajahnya nampak kesal sesekali dia menarik nafas panjang, membayangkan rasa hampa dan kecewa dalam hati.

“Semuanya saya langgar, saya minum arak, saya berjudi saya percaya pada perkara-perkara tahyul, akibatnya saya tanggung sekarang. Saya menyesal,” kata Samad Perang.

Saya simpati dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang. Tetapi, bila saya fikirkan yang dirinya gagal memenuhi syarat-syarat yang dicarinya sendiri. Rasa simpati itu segera hilang.

“Mulai sekarang, ikut pesan guru kamu yang baik itu dan buang perangai yang tidak baik dari dirimu,” datuk melahirkan nasihat.

Datuk minta diri untuk pulang. Samad Perang dan isterinya mengizinkan permintaan datuk itu.
Bila saya dan datuk berada di halaman rumah. Mamat Bukit pun tiba. Mukanya berpeluh dalam kedinginan malam.

“Bagaimana keadaan dirinya,” Mamat Bukit bersuara.

“Nampaknya sihat dan elok.”

“Kata Kiai, dia akan pulih betul dalam seminggu dua ini. Kiai itu juga beritahu saya, guru tempat Samad Perang belajar ilmu dulu, sepupunya.”

“Apa pesannya, ilmu yang dituntut sudah luput, pesan yang baik mesti diikut, kalau tidak diikut syaitan datang lagi.”

“Sepupunya, masih ada lagi?”

“Sudah balik ke Tanah Jawa.”

Datuk bersalam dengan Mamat Bukit. Kami tinggalkan halaman rumah Samad Perang ketika Mamat Bukit memijak anak tangga pertama. Angin malam terus bertiup lembut, menggugurkan dedaun tua. Kokok ayam mula kedengaran sayup-sayup. Saya dan datuk terus melangkah dengan tenang. Waktu saya dan datuk sampai ke rumah, nenek masih belum tidur lagi. Dia menunggu kami pulang untuk makan malam bersama.

“Nasi dan lauknya masih panas, baru selesai dimasak, saya dah agak awak bersama cucu pulang dalam waktu begini,” kata nenek lalu duduk di sisi datuk.

Kami makan dengan penuh selera, meskipun malam sudah terlalu dekat menuju ke pagi.

Sebulan kemudian, saya dan datuk mengunjungi rumah Samad Perang. Keadaannya sudah banyak berubah, tidak mudah naik darah. Wajahnya kelihatan tenang, berhati-hati bila bercakap.

“Sejak malam itu, saya sudah insaf, saya berkawan baik dengan Sajono, saya belajar ilmu mengubat orang sakt dengan menggunakan rotan,” beritahu Samad Perang pada datuk.

“Kau mahu jadi dukun pula?”

“Saya sudah belajar, kalau ada anak buah saya mengalami sakt macam itu, bolehlah saya gunakan ilmu yang saya tuntut.”

“Bagus, apa kau tak pernah ke hutan lagi mencari rotan?”

“Saya sudah berhenti, biarlah Mamat Bukit dan kawan-kawannya membuat kerja itu.”

“Kau buat apa sekarang?”

“Saya mengusahakan tanah di belakang rumah, saya tanam pisang dan keledek, ini sumber rezeki saya.”

“Pelik?”

“Tak pelik, saya tak mahu buat kerja maksiat.”

“Maksud awak?”

“Masa mencari rotan dulu, sayalah kepala memuja tunggul buruh, pokok besar untuk mencari kekayaan.”

“Aku tak faham Samad.”

“Saya jadi kepala menurun nombor ekor, memang kami berjaya dapat duit ekor sampai lima enam ribu, tapi duit habis begitu saja. Duit haram tetap panas,” Samad Perang mengeluh.

Datuk tersenyum kerana sudah mengetahui rahsia sebenar kenapa Samad Perang menentang bermati-matian ketika dia menyertai rombongan Mamat Bukit mencari rotan dulu.

“Sudahlah Samad lupakan semuanya itu,” kata datuk dengan tenang. Samad Perang ketawa.

“Sebulan dua lagi, saya nak pindah ke Kuala Lumpur, anak saudara saya mengajak saya ke sana, katanya di sana ada banyak peluang berniaga,” terkejut juga saya mendengar cakap Samad Perang itu.

Saya harap apa yang diucapkannya itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Kau bergurau atau sungguh-sungguh,” tanya datuk.

“Apa yang dicakapkannya tu betul, saya dah pergi ke Kuala Lumpur, saya sudah menandakan tanah untuk dibuat rumah, anak saudara saya yang buat semuanya ini,” jawab isteri Samad Perang.

“Di mana? Di Kuala Lumpur tu luas,” soal datuk lagi.

“Di Kampung Nakhoda, dekat Batu Caves, pacak rumah dulu, sementara nak bertapak, malam saya nak jual mee, siang Samad menjual ikan dan sayur di pasar Selayang,”

“Banyak modalnya itu.”

“Anak saudara yang keluarkan modal dulu,” tambah isteri Samad Perang.

Beberapa bulan kemudian, Samad Perang dan isterinya pindah ke Kuala Lumpur. Berita terakhir yang saya dengan dari kawan-kawannya, Samad Perang sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya di Kampung Nakhoda. Tanah haram yang didudukinya, sudah menjadi miliknya sendiri. Dia mendirikan rumah batu dua tingkat. Samad Perang banyak menghabiskan masa lapangnya di masjid.

Saya gembira mendengar berita itu dan berharap Samad Perang tidak akan jatuh dalam dunia perniagaannya, kalau dia jatuh, saya bimbang dia akan membuat kerja lamanya menyembah tunggul dan pokok-pokok besar untuk meminta nombor ekor.

“Allah memberikan jalan yang baik untuknya, semoga dia akan jadi manusia yang berguna pada agama, saya senang dengan cara saya mencari rezeki dengan memanjat bukit untuk mencari rotan,” kata Mamat Bukit, bila dia mendengar berita tentang kawan karibnya itu.