Followers

Thursday, October 13, 2011

Cari dana bola sepak daripada GLC


KUALA LUMPUR, 12 Okt: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) menyarankan kerajaan mencari dana daripada syarikat GLC untuk mengatasi masalah kekurangan dana bola sepak.

"Hari ini bola sepak negeri dan kelab menanggung kos begitu tinggi kalau nak dibandingkan pencapaian bola sepak tempatan, contohnya Liga Super hanya dapat RM500 ribu sedangkan kos yang ditanggung RM4 juta hingga RM5 juta menyebabkan pihak swasta tak berminat buat pelaburan dalam bola sepak tempatan.

"Kita minta FAM boleh cari dana khas seperti daripada GLC untuk beri penajaan utama," katanya yang juga AJK Pemuda PAS Pusat.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan ahli Parlimen Bayan Baru, Mohamad Zahrain Hashim agar kerajaan menggunakan cukai rokok dan arak untuk membiayai sukan bola sepak sebagai cadangan terkebelakang.

Firdaus yang juga Timbalan Presiden Bola Sepak Melayu Kedah berkata, kerajaan tidak perlu menerima cadangan tersebut kerana mereka pernah menjalankan kempen ‘katakan tak nak kepada rokok’ dan ‘remaja sihat tanpa rokok’.

"Cadangan itu tidak perlu diterima kerajaan Malaysia kerana FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) telah menolak penajaan utama Dunhill yang ingin memberikan RM40 juta setahun disebabkan kempen katakan tak nak pada rokok dan remaja sihat tanpa rokok.

"Ini cadangan yang patah ke belakang, seolah-olah rokok dan arak sahaja boleh semarakkan bola sepak tempatan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Firdaus berkata, Zahrain mungkin memikirkan masalah bola sepak di negerinya memandangkan beliau merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Namun katanya, semua negeri mempunyai masalah kekurangan dana untuk sukan popular itu.

"Sebenarnya semua negeri berhadapan situasi yang sama cuma saya tak bersetuju untuk menjadikan hasil arak dan rokok untuk perbelanjaan bola sepak.

"Kita kena ingat budaya kita dan kita telah berjaya memisahkan rokok dengan penajaan sukan negara kita," katanya.

Zahrain pada sidang media sebelum itu meminta kerajaan menggunakan kutipan cukai rokok dan arak untuk meningkatkan pendapatan sukan tersebut.

No comments:

Post a Comment