Followers

Thursday, November 11, 2010

EPISOD KE-40

PEMUDA MENJERIT DI TENGAH MALAM

Setelah selesai menari kera itu akan membawa tempurung menemui orang yang melihatnya. Orang ramai akan mencampakkan wang ke dalam tempurung. Bila bertemu dengan budak perempuan yang comel kera itu akan menarik baju atau memeluk pinggang gadis comel sebagai tanda persahabatan. Tarian kera ini pada mulanya diperkenalkan oleh orang-orang India yang datang dari Madras. Orang Melayu juga ada menjalankan pertunjukan ini de­ngan tujuan mencari wang. Kalau kera itu bertuankan orang-orang India tarian yang dipersembahkan tetap berunsurkan tarian India, kalau orang Melayu yang jadi tuannya, kera itu pandai menari joget atau inang.

Kalau kera betina akan dinamakan Minah dan kera jantan dinamakan Mulung atau Meletik. Kata orang tarian kera ini ada unsur-unsur sihir yang dapat menarik perhatian orang ramai serta rasa simpati untuk menghulurkan ban­tuan, sejauh manakah kebenaran kata-kata itu tidak dapat dipastikan oleh sesiapapun. Akhirnya, lelaki berbaju putih itu pun pulang. Rambutnya kelihatan kusut masai dan matanya merah serta berair. Isterinya terus bertanya:

"Mana keranya bang?"

"Ada di luar"

"Bawa masuk”, tingkah datuk sambil bangun.

Beberapa saat kemudian kera dan tuannya muncul di muka pintu. Datuk mempersilakan tuan punya kera duduk disisinya. Setelah bercakap sebentar dengannya, datuk sudah dapat mengetahui serba sedikit tentang latar belakang tuan punya kera itu.

"Saya nak ambil sehelai bulu tengkuk kera ini”, ujar datuk.

Saya jadi hai­ran mendengar cakap datuk itu. Kalau hanya memerlukan sehelai bulu tengkuk kera, tidak wajar tuan punya kera itu di bawa bersama. Suruh saja lelaki berbaju putih itu mencabut sehelai saja bulu kera tersebut. Ini lebih mudah dan tidak menyusahkan tuan punya kera . Kadang-kadang saya jadi bodoh dengan sikap datuk. Tuan punya kera tidak membantah dengan hasrat yang disuarakan oleh datuk. Dia pun menolak kera ke depan datuk. Dengan tenang datuk mencabut bulu kera tersebut . Isteri lelaki berbaju putih nampak resah.

"Bulu kera ini saya rendam dalam gelas kira-kira setengah jam, kemudian air diminumkan pada anak awak, dengan izin Allah setelah air diminum anak awak akan sembuh. Saya yakin anak awak ni kena sihir bulu kera dan inilah ubatnya”

Lelaki berbaju putih dan isterinya mendengar cakap datuk dengan teliti. Tuan punya kera yang berbadan tegap itu terus melurut-Iurut badan keranya. Dia macam buat tidak kisah dengan apa yang terjadi di depan matanya. Dia sanggup menanti di situ hingga ke pagi asalkan diberi wang.

Masa terus berlalu, semuanya menanti waktu yang di janjikan dengan dada yang berdebar. Gadis comel itu sudah dua kali menjerit sekuat hati . Datuk masih lagi bertahan, dia tidak akan melakukan sesuatu selagi belum sampai waktu setengah jam. Saya melihat ke gelas, tempat merendam bulu kera.

Sementara itu tuan punya kera terus bercerita tentang pengalaman manis dan pahit sepanjang waktu dia menjaja tarian kera, merantau dari satu tempat ke satu tempat. Dia berasal dari Burma dan menetap bertahun-tahun di India sebelum datang ke Tanah Melayu. Dia tidak menganut sebarang fahaman agama. Namanya juga sering berubah-ubah mengikut keadaan.

"Bila masuk ke pekan yang banyak orang Melayu, saya jadi Melayu, kalau masuk estate saya jadi India, kalau pergi ke tempat Cina saya jadi Cina, nama saya ada tiga, saya tidur tidak kira di mana-mana, kadang-kadang di masjid, kadang-kadang dikuil atau tokong Cina”, demikian tuan punya kera menceri­takan perihal dirinya penuh bangga dalam bahasa Melayu pasar yang tonggang langgang tapi boleh difahami.

"Sekarang sudah sampai masanya”, tekanan suara nada datuk penuh yakin.

Dia lalu mengambil gelas yang berisi air dan bulu kera. Dengan sedikit paksaan datuk berjaya memaksa gadis comel itu minum air bulu kera.

"Kita tunggu setengah jam lagi, kalau dia tidak menjerit bererti anak encik sudah sembuh. Tetapi, kalau dia tidak sembuh atau akan maut kerana sa­kitnya ini, kera ini terpaksa di sembelih, darahnya di beri pada anak encik untuk di minum”, semua yang ada disitu bertambah kecut mendengar pen­jelasan datuk.

Lebih-Iebih tuan punya kera. Lelaki berbaju pu­tih dan isterinya mula didatangi butir-butir peluh di dahi, mereka sering kali melihat jam di dinding. Gadis comel terbujur di atas lantai pucat le­si. Masa terus berlalu, kedinginan kian kuat terasa menyapa tubuh badan saya.

"Limat minit lagi”, kata datuk.

Isteri lelaki berbaju putih anggukkan kepala. Empat minit, tiga minit, dua minit dan akhirnya tepat setengah jam. Gadis comel itu tidak menjerit, dia bangun dari tempat baringnya. Datuk menyuruh gadis comel itu membaca Al-Fatihah dan mengucap dua kalimah syahadah. Gadis itu dapat melakukan segala-galanya dengan lancar dan teratur. Datuk gembira. Tetapi, kegembiraan hanya berlaku sebentar saja. Lelaki berbaju putih dan tuan punya kera bertengkar. Tuan punya kera itu tidak patuh dengan janjinya.

"Waktu saya ajak datang tadi dia mengenakan bayaran sepuluh ringgit, sekarang dia mahu dua puluh ringgit”, keluh lelaki berbaju putih.

Isterinya pula mula membuka gelang dan kalung di leher untuk diserahkan pada tuan punya kera. Perbuatan itu segera ditegah oleh datuk. Cepat-cepat datuk menepuk bahu tuan punya kera dan terus mengambil wang sepuluh ringgit dari lelaki berbaju putih, lalu diserahkan pada tuan punya kera yang bagaikan terkena pukau, menerima dan mendengar cakap datuk. Datuk, saya dan tuan punya kera meninggalkan rumah lelaki berbaju putih. Bila sampai di luar kawasan balai polis, datuk terus memegang bahu tuan punya kera.

Tiba-tiba kera yang didukung oleh tuan punya menyerang datuk dengan meng­gigit lengan datuk. Ternyata gigi kera yang tajam itu tidak mampu menembus kulit lengan datuk. Dalam malam yang dingin itu, saya lihat muka tuan punya kera berubah, dari wajah seorang yang agak bodoh dan tolol menjadi bengis dan garang. Dia mengarahkan keranya menyerang di.mana-mana bahagian tubuh datuk. Datuk terus bertahan. Tiba-tiba badan saya mengeletar, bukan kerana rasa sejuk yang di bawa oleh angin subuh, tetapi, kerana kera yang saya lihat kecil itu berubah jadi besar. Lebih tinggi dari datuk, kera itu membuka mulutnya dengan luas , kedua-dua taring yang panjang dan tajam itu menyeringai. Datuk masih bertenang, dia mengelak bila kera itu menyerang. Tuan punya kera terus mengeluarkan arahan.

Tiba-tiba datuk berjaya menangkap ekor kera itu. Dalam beberapa saat saja kera itu kembali kepada keadaan asalnya. Tuan punya kera pula mula me­nyerang dari sebelah kanan. Datuk mengelak setapak, kemudian memukul pangkal leher tuan punya kera hingga tersungkur. Ketika itu, beberapa orang anggota polis yang dapat melihat keadaan di luar balai segera keluar. Masa anggota polis itu sampai ke situ, datuk sudahpun membangunkan tuan punya kera. Dengan nada suara yang merayu-rayu tuan punya kera minta datuk jangan mengapa-apakan dirinya.

"Awak jahat. Awak sengaja menggunakan ilmu halus awak untuk memper­dayakan orang. Saya tahu, awak sengaja kenakan pada budak perempauan itu. Bila dia sakit awak tahu menawarnya dan awak kenakan bayaran yang tinggi, ini kerja awak”, kata datuk sambil memulas tangan tuan punya kera.

"Saya cari makan tuan”

"Bukan cara ini awak cari makan, lagi sekali awak buat kerja ni, awak mati tahu?”, ugut datuk sambiI memeriksa badan tuan punya kera.

Datuk menemui sekeping kulit kera yang sudah kering yang dibalut dengan beberapa rajah serta tulisan Burma. Datuk bakar kulit keras dan pembalutnya, datuk tidak peduli dengan rayuan dari tuan punya yang menyembah-nyembah kakinya.

"Awak balik”, kata datuk.

Tanpa banyak cakap tuan punya kera beredar dari situ dengan wajah yang muram. Pada anggota polis yang berada di tempat tersebut ,datuk menasihatkan mereka supaya jangan membenarkan anak-anak perempuan mereka melihat tarian kera dalam jarak dekat, apa lagi membiar­kan kera memanjat atau memeluk badan anak-anak mereka.

"Tarian tu selalu digunakan oleh tuan punya menyerapkan semangat ke­ra. Tetapi, tidak semua pula tuan punya tarian kera berperangai begitu. Kita harus berjaga-jaga. Tarian itu ada unsur-unsur pe­mujaan roh ghaib”, datuk membuka rahsia di seba­lik tarian kera.

Kemudian kami terus ke masjid. Tidak lama le­pas itu waktu subuh sudah tiba, kami pun bersem­bahyang subuh dengan orang-orang yang datang ke masjid tersebut. Kerana memikirkan saya dan datuk orang musafir yang menumpang tidur di masjid, ti­dak banyak yang mahu bercakap dengan kami, walau­pun kami bersikap ramah pada mereka. Mereka datang ke masjid hanya untuk sembahyang saja dan melupakan ajaran agama yang menyuruh pengikutnya menjalin persahabatan dan kemes­raan dengan orang yang seagama dengan mereka.

Lebih kurang pukul lapan pagi kami pun keluar dari masjid menuju ke kedai tempat kami makan ma­lam tadi. Sepanjang jalan ke kedai datuk terus merungut kerana dia tidak melakukan kebiasaannya mandi embun.
Kedatangan kami di sambut oleh tuan punya kedai makan ramah sekali. Malah, dia turut makan semeja dengan kami. Banyak perkara yang ditanyakan­nya pada datuk. Saya kira tuan punya kedai itu seorang yang bijak kerana sambil bercakap itu dia sebenarnya mengemukakan pertanyaan yang tidak begitu ketara terhadap diri datuk.
Secara tidak langsung datuk sendiri membuka rahsia tujuan sebenarnya mahu mengubati lelaki yang dikatakan mengidap penyakit aneh itu.

"Sebenarnya, lelaki tu ada hubungan keluarga dengan saya. Tetapi, saya tidak begitu yakin berubat cara tradisional ni “, kata tuan punya kedai sambil menghirup air kopi.

Datuk pandang muka saya seolah-olah datuk memberitahu bahawa, dirinya terperangkap dalam kemanisan budi dan tutur bicara tuan punya kedai.

"Kenapa awak tidak berterus terang dengan saya sejak semalam?”,datuk melahirkan rasa kurang senangnya.

Tuan punya kedai terdiam. Datuk hirup kopi dengan tenang. Beberapa orang pelanggan terus keluar dan masuk.

"Minta maaf, kalau saya katakan kebanyakan orang-orang kita ni terutama yang mendakwa dirinya bomoh dan pawang, selalunya cari kesempatan, ke­bolehan tidak setinggi mana cakap saja yang melambung”, tuan punya kedai meluahkan apa yang tersirat dalam hatinya.

Datuk tersenyum sambil menjentik badan cawan dengan jari manisnya. Tuan punya kedai menyepitkan sebatang rokok cap tembak (Rough Rider) ke bibirnya. Hujung rokok itu di bakarnya dan disedutnya panjang-panjang. Asap rokok yang diluahkannya berlegar-Iegar dalam ruang kedai sebelum hilang di bawa angin pergi.

"Hubungan keluarga macam mana tu?", datuk menyoal tuan punya kedai sambil menghabiskan sisa-sisa kopi yang ada di dalam cawan.

"Pangkat dua pupu dengan saya”

"Awak kenal dengan Kiai Muslih?"

"Kenal tu tidak, saya cuma kenal pada namanya saja. Kiai itu juga pemah mengubatnya. Tapi, tidak juga mahu sembuh”

"Apa pendapat awak tentangnya?"

"Dia tu saya rasa jujur orangnya”

"Awak tahu dia dah meninggal?"

"Saya tak tahu, bila dia meninggal?", tuan punya kedai terkejut.

Datuk terus menerangkan pada tuan punya tentang kedudukan yang sebenarnya. Wajah tuan punya kedai kelihatan cemas sedikit, bila datuk menyatakan kedatangan­nya ke situ adalah untuk menunaikan amanat Kiai Muslih.

"Kita sekadar mahu menunaikan permintaan kawan, itu pun kalau kaum keluarga sipemuda tu setuju. Kita sekadar mahu menolong dan kita bukannya pawang atau dukun. Kita tidak mencari makan atas nama pawang atau bomoh”, cukup tentang datuk berkata.

Tuan punya kedai terdiam. Datuk pun bangun untuk membayar harga makanan serta bersedia mahu meninggalkan kedai tersebut.

"Nanti dulu, maafkan saya kalau tersinggung”

"Saya tak tersinggung, itu hak awak”

"Saya tahu itu hak saya tapi, perbuatan itu kurang baik. Lagi sekali saya minta maaf. Sebab zaman sekarang, banyak orang menyamar jadi bomoh”

"Selalunya yang asli tetap asli, jarang mahu menunjuk kebolehan”

"Saya setuju”

Bila datuk mahu membayar harga minuman dan makanan, tuan kedai itu tidak menerimanya. Malah tuan punya kedai itu membawa saya dan datuk ke sebuah bilik khas di bahagian belakang kedainya. Tuan punya kedai itu memberitahu pada datuk yang saudaranya (Ielaki berpenyakit ganjil) berusia lebih kurang tiga puluh lapan tahun. Tidak suka menerima tetamu datang ke rumah walaupun ibubapanya.

“Hati-hatilah awak bila kesana. Banyak orang yang cuba mengubati dikejar dengan parang panjang, kecuali Kiai Muslih”, tuan puny a kedai mengingatkan datuk.

"Aneh juga perangainya”, balas datuk.

"Dia bukan sakit tapi kemasukan syaitan”

"Barangkali”, jawab datuk pendek.

Datuk terus memberitahu tuan punya kedai yang dirinya tidak dapat pergi dengan segera ke rumah lelaki aneh itu. Paling cepat dua hari lagi. Datuk perlu membuat beberapa persiapan tertentu. Dan datuk tetap memilih masjid sebagai tempat menginap sementara menanti masa yang di tunggu itu tiba.

Sejak menginap di masjid datuk terus menjalin persahabatan dengan anggota-anggota polis disitu. Dan datuk sudah pun mendapat kebenaran untuk berjalan pada setiap subuh di kawasan pinggir pekan Tanjung Malim yang terdapat pokok-pokok tumbuhan. Sebelum pergi ke tempat tersebut datuk dikehendaki melaporkan diri kepada pihak berkuasa di balai polis. Walaupun tujuan datuk pergi ke kawasan hutan tersebut untuk mandi embun.

Tarikh yang dijanjikan pun tiba. Datuk dijemput oleh tuan punya kedai dengan kereta menuju ke kawasan perkampungan Melayu yang terletak ke selatan bandar Tanjung Malim. Bila sampai ke kawasan tersebut datuk pun diperkenalkan dengan kaum kerabat pemuda yang malang itu. Saya dengan datuk sampai di kampung tersebut pada sebelah pagi. Dan pada sebelah petangnya saya dan datuk sudahpun mengetahui kedu­dukan rumah batu tempat pemuda aneh itu tinggaI. Kawasan sekeliling rumah batu itu ditumbuhi pohon-pohon besar. Halaman rumahnya lapang dengan pokok-pokok bunga raya. Dibelakang rumah terdapat kolam besar. Petang itu juga datuk menghampiri rumah batu tersebut. Dari jauh lagi pemuda ganjil melambai-Iambaikan tangan pada datuk. Datuk terus masuk ke kawasan rumah tersebut. Pemuda ganjil mendekatinya.

"Apa hajat kemari?" tanya pemuda ganjil.

Wajahnya cengkung. Matanya merah, misai dan janggut serta jambang tumbuh liar di wajahnya. Datuk cuba tersenyum kepadanya.

"Saya nak memancing ikan”, datuk berbohong.

"Pergilah ke tempat lain. Kawasan ni kawasan saya dan tuan puteri”, ujarnya serius.

"Minta maaf, saya tak tahu”, kata datuk.

Pemuda ganjil itu tersenyum dan terus menghalau datuk dari kawasan rumahnya dengan maki hamun. Datuk terus menemui ke dua orang tua lelaki ganjil itu. Datuk memberitahu mereka segala usaha akan diikhtiarkan pada waktu malam hari Selasa ketika bulan mengambang. Sebelum usaha itu dilancarkan, datuk perlu mengetahui gerak-gerinya. Da­tuk merasa senang hati kerana kedua orang tua lelaki ganjil itu sanggup membantu datuk. Sementara menanti musim bulan mengambang, saya dan datuk perlu tinggal di kampung tersebut selama dua hari lagi.

"Malam ni tiga belas Syaaban, malam esok empat belas dan malam lusa baru lima belas”, kata datuk pada saya sambil menggigit ibu jarinya. Saya anggukkan kepala dengan harapan datuk akan terus duduk di tebing sungai itu. Saya sudah tidak sanggup lagi untuk berjalan di kawasan yang penuh se­mak samun itu. Selain dari itu, hati saya sentiasa bimbang dan cemas. Manalah tahu, tiba-tiba pemuda yang tinggal di rumah batu akan keluar membawa parang untuk memotong leher saya dan datuk. Dan bermacam-macam perkara bermain dalam kepala saya.

"Memang elok, malam lumaat”, tambah datuk lagi sambil merenung ke arah rumah batu yang sudah jauh tertinggal di belakang.

Saya terus menggigit bibir sambiI merenung ke langit. Saya lihat awan petang itu cukup bersih. Datuk berhenti melangkah. Dengan teliti dia meletakkan punggungnya atas batu besar yang terdampar di bibir Sungai Bernam. Tidak jauh dari batu besar itu terdapat sepohon pokok ara yang akarnya terjuntai ke dalam air sungai. Perdu pokok ara itu cukup besar, kira-kira dua pemelok. Air Sungai Bernam yang mengalir itu seakan-akan berpusing-pusing di bahagian akar pokok ara itu sebelum mengalir ke selatan. Kerana air Sungai Bernam yang mengalir itu cukup jernih, pasir dan batu-batu yang terdapat di dasarnya boleh dilihat dengan jelas. Datuk saya lihat merenung air sungai yang seakan-akan berpusing berhampiran dengan akar ara yang terjuntai itu. Datuk macam mencari sesuatu. Dahinya saya lihat berkedut bersama bintit-bin­tit peluh yang tumbuh di kiri kanan pipinya. Saya merasa hairan dan takjub dengan sikap datuk yang tiba-tiba berubah itu.

"Kita harus mencari akar-akar kayu, pucuk-pu­cuk kayu dan batu-batu yang terdapat dalam sungai ni Tamar”, ujar datuk sambil merenung muka saya.

Macam ada sesuatu yang timbul dalam diri saya untuk menentang apa yang datuk cakapkan. Apa perlunya batu dan akar kayu itu? Apakah datuk tidak tahu hari sudah petang? Apakah dia tidak terfikir pemuda yang berada di rumah batu itu akan sampai ke tempat saya dan datuk duduk sekarang? Saya mengeluh dalam hati.

"Semuanya ada guna untuk kita Tamar. Aku tahu apa yang kau fikirkan dan kau jangan cuba membantah cakap aku”

Mendengar suara datuk itu, muka saya segera berubah. Saya malu pada diri saya sendiri. Datuk sudah tahu apa yang tersirat dalam hati saya. Datuk renung muka saya sebentar. Kemudian dengan tenang datuk Iipatkan kedua belah kaki seluarnya hingga separas kepala lutut. Datuk terus turun ke dalam sungai. Meranduk air sungai dengan tenang sambil membongkokkan badan mengutip batu-batu yang berada betul-betul di tengah sungai. Kebanyakan batu yang dikutip itu berbentuk leper dan bersegi tiga. Datuk masukkan batu-batu itu ke dalam saku bajunya. Jumlah batu yang dikutip oleh datuk lebih kurang tiga puluh tiga biji. Datuk memanjat tebing sungai dan terus menghampiri saya.

"Mari kita ke sana”, ujar datuk sambil menuding jarinya ke arah matahari terbit.

Saya pun segera bangun dan mengeliat dua tiga kali. Datuk terus lang­kah. Saya tidak ada pilihan lain dan terpaksa mengikutnya saja.

Matahari petang kian condong, bebayang pokok memanjang di tanah. Awan saya lihat tetap berarak tenang. Kami masuk ke kawasan hutan kecil yang bersambung dengan kaki sebuah bukit. Pokok-pokok yang tumbuh di kaki bukit itu agak subur . Dengan menggunakan tangannya datuk pun mematahkan beberapa dahan kayu yang berdaun lebat. Kami kian jauh mara ke dalam hutan dipinggir bukit itu, matahari kian mengecil membuat suasana di sekitar kawasan tersebut agak muram. Dan datuk dengan menggunakan kekuatannya berjaya mencabut beberapa akar kayu hutan.

"Balik”, kata datuk .

Kepalang gembiranya hati saya mendengar cakap datuk itu. Kami berpatah balik menuju ke tebing sungai, tempat kami mula bergerak tadi. Sebaik saja sampai di bawah pokok ara tempat saya dan datuk duduk tadi, terdapat kesan-kesan darah pada akar pokok tersebut. Datuk melihat kesan darah itu dengan teliti.

"Darah apa agaknya?", rungut datuk sambil merenung muka saya.

Cepat-­cepat saya gelengkan kepala. Ketika itu saya lihat di kaki langit, cahaya merah dan kekuningan mula bangkit, menandakan tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba. Tanpa banyak cakap, datuk pun menutup kesan darah di akar kayu ara dengan daun kering.

Tiba-tiba saya Iihat wajah datuk berubah. Ekor matanya menjeling tajam ke kiri dan ke kanan, macam kucing mengamati langkah mangsanya. Saya segera menggigit bibir, bila melihat ada titisan darah jatuh dari dahan pokok ara. Darah itu menitik atas lengan datuk dan mengalir perlahan-Iahan menuju ke hujung jarinya.

"Ambilkan daun keladi dan sapukan darah di lengan ini”, kata datuk.

Saya pun segera mematuhi perintahnya. Sebaik saja darah di lengan itu saya sapukan dengan daun keladi, datuk pun mengambil daun keladi dari saya lalu diletakkan atas tanah dengan keadaan yang terlentang.
Macam kilat datuk melompat lalu membuka silat langkah pertama sambil melepaskan buah silat kiri dan kanan. Pergerakan datuk cukup cepat dan tangkas. Bila datuk mematikan langkahnya, saya lihat daun keladi yang dile­takkan dalam keadaan terlentang hancur.

Akhirnya datuk dongakkan kepala dan sepasang matanya merenung tajam ke arah salah satu dahan ara. Urat-urat di mata datuk kelihatan seakan-akan timbul dan berwarna merah. Dari kedua-dua belah bibir matanya, saya lihat keluar asap yang nipis macam kabus. Dahi datuk berpeluh begitu juga kulit pipinya, dagu datuk bergerak­gerak. Datuk terus menenung dahan ara itu. Tiba-tiba dahan yang ditenungnya patah dan jatuh ke bumi.

"Selesai”, kata datuk lalu menarik tangan saya ke arah kesan kena bakar.

Daun yang terdapat di dahan itu semuanya layu dan kecut. Datuk tidak mence­ritakan apa-apa pun berhubung dengan dahan yang patah dan darah yang menitis pada lengannya. Kami pun meninggalkan kawasan tersebut. Hari sudah beransur gelap. Kerana kami ditempatkan di sebuah rumah khas oleh keluarga pemuda ganjil itu membuat saya dan datuk terasa agak selesa dan bebas bergerak.

Malam itu, datuk membuat keputusan yang amat menakjubkan. Dia mahu meninjau keadaan kawasan sekitar rumah batu. Dia mahu melihat apa yang dilakukan oleh pemuda itu ketika bulan menggambang.

"Siapkan keris kecil untuk aku”, datuk mengeluarkan perintah.

Sebaik saja dia selesai menunaikan sembahyang Isyak, saya segera mengeluarkan keris kecil dari tempatnya dan terus menyerahkan pada datuk. Datuk gulung keris itu dengan kain hitam dan terus diselitkan ke pinggangnya. Sebelum meninggalkan rumah khas tempat kami menginap, datuk terlebih dahulu duduk bersila di muka pintu sambil membaca sesuatu. Saya di suruhnya melihat bulan di langit. Saya berdiri dimuka tingkap melihat langit dan awan. Datuk terus bertafakur, kepalanya sudahpun dililit dengan kain merah.

"Malam ni baru 13 Syaaban, bulan tidak begitu besar”, ujar datuk sambil menepuk lantai tiga kali.

Dia terus mundar-mandir di ruang rumah. Saya biarkan datuk dengan keadaannya. Saya tidak mahu campur dalam urusannya. Saya tersenyum, di langit bulan mula timbul, awan nipis yang melitupinya mula bergerak, terpisah dengan bulan yang sebesar buah kelapa sulung itu. Datuk segera menghampiri dan berdiri dekat muka tingkap. Wajahnya kelihatan berseri-seri.

"Malam ni mulakan dulu”, kata datuk.

"Terlalu cepat datuk bertindak?"

"Apa salahnya, menguji dulu sebelum masuk gelanggang”

"Saya takut kerja datuk jadi kerja yang sia-sia?"

"Kita sekadar mencuba”, jawab datuk.

Tiba-tiba datuk dan saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup. Bulan di langit kian menyerlah. Awan kian bersih dan bergerak-gerak perlahan-Iahan mengikut arah angin. Suara lolongan anjing kian kuat dan menyeramkan. Pokok-pokok sekitar kawasan rumah tempat kami menginap mula bergerak-gerak disentuh angin.

"Aku dengar bunyi suara orang menjerit”, bisik datuk ke telinga saya.

Dan datuk menyuruh saya mengamati arah mana suara orang menjerit itu datang. Saya pun pasang telinga dengan teliti. Dada saya mulai berdebar.

"Dari arah rumah batu tuk”

"Aku rasa pun begitu juga”

"Apa yang patut kita buat tuk?"

"Kita pergi kesana, meninjau”

Saya menarik nafas panjang bila mendengar cakap datuk itu. Suara lolongan anjing kian kuat, angin juga mula bertiup agak kencang. Saya merasa hairan, kenapa hal itu terjadi dengan mendadak. Bila dilihat keadaan hari, memang tidak wajar angin boleh bertiup begitu kencang. Suara orang menjerit kian galak, bersambung-sambung dalam lolongan yang memanjang. Datuk menyuruh saya turun dahulu. Dia mahu menguncikan daun pintu. Saya terus turun. Bila kaki saya memijak bumi, dada saya terasa berdebar-debar.

Dalam keadaan yang resah itu, sebiji pisang muda macam dibaling orang tertentu mengenai dahi saya. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Badan saya terhuyung-hayang. Dalam keadaan yang tidak keruan itu datuk terus memeluk saya. Datuk dudukkan saya atas anak tangga. Dengan perlahan-lahan datuk menepuk dahi saya tiga kali berturut-turut. Pandangan saya kembali normal. Dan badan saya tidak lagi terhuyung-hayang.

EPISOD KE-39

DENDAM ORANG SABAR

Selama satu minggu saya dan datuk berada di kampung Kiai Muslih, boleh dikatakan hari-hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing-masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta datuk tinggal disitu untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya.

"Kenapa datuk terima permintaannya?",saya menyoal datuk pada suatu pagi.

Datuk tersenyum dan memberitahu saya, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia merasakan keselamatan diri Kiai Muslih tidak terjamin. Tetapi, datuk sendiri tidak dapat mencari siapakah orang yang mahu menjahanamkan diri Kiai Muslih.

"Alamat dan petua yang aku pakai bagaikan memberitahu sesuatu yang tidak baik. Apa salahnya kita tengok dan lihat dulu Tamar. Lagi pun Kiai Muslih tu orang berilmu, banyak yang boleh aku belajar darinya”, demikian datuk memberitahu saya. Dan saya tidak membantah apa juga kemahuan datuk.

Sepanjang masa saya dan datuk tinggal di rumah Kiai Muslih, ternyata rumahnya tidak putus-putus di kunjungi oleh para penduduk. Mereka datang menemui Kiai Muslih dengan berbagai-bagai maksud. Kebanyakan yang datang itu adalah orang-orang sakit dan sudah puas menemui doktor tetapi, sakit yang di tanggung tidak juga mahu sembuh. Bila mereka menemui Kiai Muslih dengan izin Allah penyakit yang di rawat itu terus sembuh. Biasanya, Kiai Muslih akan memberikan orang yang sakit itu minum air sejuk yang sudah dijampinya terlebih dahulu. Kemudian tangannya bergerak sendiri mencari bahagian-bahagian yang sakit. Bila sudah bertemu, disempurnakan dengan membaca ayat suci dari Al-Quran.

Kemudian pesakit itu akan diubat dengan ramuan tradisional. Perbuatannya itu seperti tidak masuk di akal. Tetapi anehnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya sembuh atau bertambah kurang penyakitnya. Kerana kebolehannya yang luar biasa itu, Kiai Muslih amat dihormati oleh para penduduk disitu, dia dianggap sebagai orang tua yang berilmu tinggi. Saya amat kagum dengan sikap Kiai Muslih yang tidak pernah membe­sarkan diri. Dia amat menghormati datuk. Melihat keadaan itu, mustahil ada orang lain yang mahu memusuhi dirinya.

"Aku gagal mengubat dan memulih semangat seorang lelaki di Tanjung Malim”, Kiai Muslih mengadu pada datuk.

"Apa sakitnya?"

"Bila bulan terang dia akan menjerit, penyakitnya cukup ganjil. Aku yakin dia dirasuk syaitan. Rumahnya besar dan pada setiap malam dia tidur dengan perempuan cantik. Aku harap kau dapat menolong aku"

"Tengoklah dulu"

"Aku harap benar-benar pertolongan kau"

"Begini saja, minggu depan kita kesana”, datuk memberikan jawapan.

Kiai Muslih cukup gembira sambil memandang ke halaman rumahnya. Datuk mengeliat lemah dan saya melihat jam di tangan. Sudah pukul tiga petang. Kerana keadaan cuaca agak baik, Kiai Muslih mengajak datuk melihat tanah sawahnya. Datuk memenuhi permintaan itu. Ketika berjalan di tepi sawah itu, anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih muncul di hadapan kami. Anak muda itu terus menahan perjalanan kami. Dia rapat pada Kiai Muslih.

"Pinangan saya di tolak, apa kurangnya saya dengan anak muda dari Langkap tu”, nada suara anak muda itu keras.

"Suriati yang tidak mahu. Lagi pun jodoh kau dengannya tak ada"

"Suadahlah muka sial”, anak muda itu terus meninggalkan kami. Kiai Muslih masih tersenyum menghadapi peristiwa itu.

Dua hari kemudian sesudah peristiwa di tepi sawah itu terjadi, penduduk-­penduduk kampung Kiai Muslih jadi gempar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan ditemui mati di pinggir sawah. Seluruh badannya hitam. Perempuan malang itu ialah sepupu dengan anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih di dewan dulu.

Serentak dengan itu tercetus khabar-khabar angin yang mengatakan perbuatan itu dilakukan oleh Kiai Muslih. Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita itu mengatakan, Kiai Muslih memelihara syaitan dan perbuatannya itu dilakukan sebagai membalas dendam pada anak muda yang menjatuhkan air mukanya di khalayak ramai. Golongan yang tidak bertanggungjawab itu lalu mengapi-apikan anak muda yang sememangnya memusuhi Kiai Muslih, supaya melakukan sesuatu. Anak muda yang sudah hilang perhitungan itu lalu bertindak liar. Anak muda itu terus mendatangi rumah Kiai Muslih. Kerana Kiai Muslih tidak ada di rumah, anak muda itu terus memukul isteri Kiai Muslih kemudian menikam cucu Kiai Muslih iaitu, Suriati hingga mati.

Anak muda itu terus mencari Kiai Muslih yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai. Anak muda itu tanpa berkata sepatah apa pun terus menikam Kiai Muslih. Kiai Muslih rebah ke bumi. Saya dan datuk se­cara kebetulan pula tidak pulang bersama Kiai Muslih dari kedai petang itu. Bila kami sampai ke tempat kejadian itu, Kiai Muslih masih bernyawa. Kami segera membawanya ke rumah. Sampai di rumah Kiai Muslih mendapati cucunya sudah tidak bernyawa lagi dan kepala isterinya berdarah. Datuk terus merawat Kiai Muslih.
Datuk juga menasihatkan Kiai Muslih supaya bersabar. Saya disuruh oleh datuk supaya tinggal di rumah Kiai Muslih kerana datuk mahu melaporkan kejadian itu pada pihak berkuasa. Saya terus duduk disisi Kiai Muslih yang terbaring di dalam rumahnya. Tiba-tiba saya terkejut, Kiai Muslih bangun. Mukanya merah. Dia boleh berjalan macam orang sihat.

"Kau uruskan bersama datukmu jenazah cucu aku”, katanya pada saya.

"Mahu ke mana ?", tanya saya.

Kiai Muslih tidak menjawap dan terus keluar rumah. Kehilangan Kiai Muslih merunsingkan hati datuk. Walaupun isterinya sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan dan jenazah cucunya sudah di kuburkan, Kiai Muslih tidak juga muncul-muncul. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang menye­barkan fitnah. Kononnya Kiai Muslih melarikan diri kerana tidak sanggup menghadapi kemarahan orang kampung terhadap perbuatannya. Datuk menafikan semua tuduhan itu, akibatnya datuk dituduh bersuhabat sama dalam
kerja terkutuk itu. Datuk di beri kata dua untuk membuktikan ke­benaran cakapnya itu dalam tempoh dua hari oleh ketua kampung. Jika datuk gagal, ketua kampung minta datuk dengan hormatnya keluar dari kampung tersebut.

"Tamar, inilah ujian yang berat buat aku, kita harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik­-baiknya Tamar”, kata datuk pada saya, sebaik sahaja dia pulang dari menemui ketua kampung kira-kira pukul dua petang.

Selepas sembahyang Zuhur di kampung tersebut, datuk terus menuju ke rumah Kiai Muslih. Dia terus duduk bersila di anjung rumah tersebut. Kedua belah tapak tanganya terlekap atas tempurung lututnya. Datuk bertafakur.

"Keimanan Kiai Muslih tercabar, sabarnya sudah hilang. Dia mahu mem­balas dendam yang sepatutnya tidak boleh dilakukan olehnya, kemarahan yang dipengaruhi syaitan sudah menguasai dirinya”, dengan mendadak datuk ber­suara, wajahnya kelihatan muram. Datuk mengajak saya pergi ke arah kawasan bukit yang terdapat di situ. Cuaca yang tadi terang mula muram dengan awan hitam di langit. Datuk dan saya terus meredah hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di situ kawasan lapang. Di atas batu besar kelihatan Kiai Muslih duduk bersila bertafakur.

"Mantera hitam, mantera putih bersatulah”, kedengaran suara Kiai Muslih. Kemudian Kiai Muslih menumpukan kekuatan batinnya, menyatukan rasa dengan alam. Dari mulutnya terkeluar bermacam-macam mantera yang kian lama kian keras diucapkannya.

"Kiai berhentikan perbuatan itu, kau sudah dipengaruhi syaitan”, jerit da­tuk berkali-kali.

Kiai Muslih mempersetankan larangan datuk. Dia terus membaca manteranya. Awan hitam di langit semakin menebal dan guruh mula bersahut­-sahutan. Datuk menggunakan kekuasaaan batin untuk menghubungi diri Kiai Muslih. Saya lihat dahi datuk berpeluh dan mukanya merah, macam udang kena bakar. Tiba-tiba datuk tersungkur atas bumi macam dihentak sesuatu. Saya mula resah tidak menentu. Dalam keadaan yang cemas itu hujan pun turun bersama dengan petir. Hujan bagaikan dicurah-curah lakunya, cukup lebat bersama dengan angin dan petir. Datuk saya lihat bergerak dan merangkak ke perdu pokok besar. Saya mengikutinya berteduh di situ. Datuk menangis tersedu-sedu. Dia tidak putus-putus menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan Kiai Muslih yang terburu-buru itu.

"Semuanya sudah menjadi bubur Tamar, aku tidak berdaya menahan ke­marahan orang yang paling sabar”, ujar datuk dalam sedu sedan yang meman­jang.

Hujan lebat terus mencurah-curah, beberapa kawasan rendah mula dinaiki air. Menjelang waktu Maghrib seluruh kampung dilanda banjir besar. Gelombang banjir yang besar itu menghancurkan apa saja yang merinta­nginya. Kiai Muslih terus membaca manteranya tanpa mempedulikan hujan dan petir yang meledak di atas kepalanya. Datuk masih juga berusaha untuk memulihkan semangat Kiai Muslih ke alam nyata. Datuk menggunakan segala kepandaian yang ada pada dirinya. Usahanya gagal. Saya sudah menggigil, kulit badan terasa kecut tetapi, datuk saya lihat tidak mengalami apa yang saya alami. Badannya sentiasa panas dan nampak berasap.

"Kiai, kau sudah sesat", pekik datuk dengan sekuat hati. Serentak dengan itu Kiai Muslih menoleh kearah datuk.

Tiba-tiba kilat menyambar dengan kuatnya di kepala Kiai Muslih. Lidah petir yang tajam menyambar kearah Kiai Muslih. Terdengar satu gegeran yang amat kuat, seluruh kawasan itu dijilat api. Seluruh tubuh Kiai hangus terbakar. Saya terus pengsan. Bila saya sedar dari pengsan, saya dapati datuk duduk bertafakur atas bahu di tempat Kiai Muslih duduk. Datuk membaca ayat-ayat Quran dengan nyaring dan kuat, hujan beransur-ansur teduh dan akhirnya berhenti terus.

"Allah yang Maha Besar telah menunjukkan pada kita bahawa perbuatan membalas dendam sesama manusia tidak diperkenankan. Dalam membalas den­dam orang yang tidak berdosa akan terkorban”, kata datuk pada saya, kemudian datuk melihat mayat Kiai Muslih yang hangus.

Esoknya, bila banjir beransur surut, datuk pun menemui ketua kampung dan menceritakan perkara yang telah berlaku. Ketua kampung mula sedar dan insaf. Ketua kampung mengakui yang dirinya telah banyak membuat kesilapan dan percaya pada khabar-khabar angin, akibatnya banyak anak buahnya yang tidak berdosa menjadi korban. Ketua kampung juga memberitahu datuk, anak muda yang menjadi musuh Kiai Muslih hilang di bawa air yang melanda kampung tersebut. Walaupun begitu, datuk tetap menasihatkan ketua kampung supaya bersabar.

Ketika saya dan datuk meninggalkan kampung tersebut menuju ke Tan­jung Malim, kami mendapat khabar yang ketua kampung juga menemui ajalnya secara ngeri. Ketua kampung mati ditimpa pokok kelapa ketika membersihkan kawasan rumahnya dari sampah sarap yang dibawa oleh air ketika banjir. Datuk hanya terdiam mendengar berita itu dan terus menghadiahkan Al-Fatihah pada roh ketua kampung.

Saya tahu, datuk pergi ke Tanjung Malim untuk menunaikan permintaan arwah Kiai Muslih untuk mengubati penyakit ganjil yang dihadapi seorang lelaki di tempat tersebut. Kerana kami sampai ke pekan Tanjung Malim pada waktu senja, kami terus menuju ke masjid. Setelah menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid Tanjung Malim, kami terus pergi ke sebuah kedai makan di pekan tersebut. Datuk terus bertanya pada tuan punya kedai tentang seorang lelaki yang tinggal di rumah besar dan mengidap penyakit ganjil. Tuan punya kedai itu memberikan jawapan yang menghampakan tetapi, dia berjanji pada datuk untuk menemukan datuk dengan penghulu.

"Barangkali penghulu tahu, kalau dia tidak tahu saya akan membantu encik”, ujar tuan punya kedai.

Setelah membayar harga makanan dan minuman, datuk dan saya pun segera beredar dari kedai tersebut. Saya kira datuk akan menginap di hotel malam itu. Kiraan saya itu tidak tepat. Datuk mengambil keputusan untuk tidur di masjid sahaja.

"Kita tidur di masjid saja, buat amalan sikit. Sementara kita masih hidup ni buatlah mana patut untuk bekalan hari akhirat”, kata datuk pada saya.

Ketika itu kami sedang melintasi landasan keretapi yang dibina atas dada jalan raya. Beberapa buah lori dan kereta membunyikan hon menyuruh kami berjalan ke tepi. Hati saya tiba-tiba jadi marah dengan sikap pemandu kenderaan itu. Mereka memandu agak laju sambiI memasang lampu besar, tanpa memikirkan keselamatan orang-orang yang berjalan kaki. Pemandu-pemandu kenderaan itu merasakan jalanraya tersebut adalah hak mereka saja. Mereka seolah-olah berlumba dijalanraya sama ada mereka datang dari arah Kuala Lumpur atau arah lpoh (masa itu lebuhraya Slim River-­Tanjung Malim masih belum ada) masing-masing mahu sampai segera ke tempat yang di tuju. Mata saya dan datuk jadi silau akibat suluhan lampu kenderaan.

"Kadang-kadang manusia ni, bila dapat kemudahan tidak pernah bersyukur pada Allah dan tidak pula mahu memikirkan tentang orang lain yang tidak ada kemudahan”, rungut datuk.

Saya menggigit bibir sambiI memijak rerumput di tepi jalan. Sesekali saya merenung kearah tiang dan lampu jalan yang setia memancarkan cahaya. Waktu saya dan datuk masuk ke kawasan masjid, kami bertemu dengan seorang lelaki berumur sekitar tujuh puluhan memakai kain dan baju Melayu serta memakai serban hijau. Orang tua yang kelihatan gagah itu memberi salam. Datuk membalas salamnya dan terus berjabat tangan.

"Ke mana?", tanya orang tua itu pada datuk.

"Cadang tu nak bermalam di masjid ni"

"Memang baguslah tu, berlindung di rumah Allah nanti awak dapat syafaatnya. Tetapi sebelum tu eloklah awak merepotkan diri ke balai polis dan nyatakan awak nak bermalam di masjid"

"Apakah ini undang-undang?"

Orang tua yang berserban hijau itu terdiam sejenak dan memalingkan mukanya ke arah pekan Tanjung Malim. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana cahaya dari lampu jalan tidak berapa kuat menyinari kawasan masjid.

"Bukan udang-undang, tapi untuk keselamatan diri awak. Bukan awak tak tahu kawasan sekitar Tanjung Malim belum jadi kawasan putih, sekarang zaman darurat, musim orang komunis mengamuk”, jelas orang tua itu tanpa memandang wajah datuk.

"Saya faham sekarang. Terima kasihlah atas nasihat awak"

"Sama-sama, nama saya Haji Ramli, saya nak balik sekarang"

Sebaik saja dia mengakhiri kata-kata itu, dia terus berjalan menuju ke arah jalan raya. Datuk terpinga-pinga ada semacam kekesalan terbayang di wajah datuk kerana tidak sempat memperkenalkan dirinya pada orang tua itu.
Tetapi, datuk mematuhi nasihatnya. Kami terus menuju ke balai polis. Salah seorang anggota polis yang bertugas pada malam itu menyambut keda­tangan kami dengan ramah. Saya melihat jam yang tersangkut di dinding balai polis sudah hampir pukul dua belas tengah malam.

"Apa halnya pakcik?"

"Saya dan cucu saya ni nak repot diri, kami nak tidur di masjid”, kata datuk.

"lnilah yang sebaiknya untuk faedah bersama. Waktu darurat begini kadang-­kadang ada pemeriksaan mengejut waktu malam yang masanya tidak me­nentu. Siapa yang suruh pakcik kemari?"

"Haji Ramli"

"Haji Ramli?”, anggota polis itu nampak resah sambil mengerutkan dahi­nya. Anggota polis itu merenung wajah datuk penuh keraguan.

"Kenapa encik?"

"Haji Ramli tu sebenarnya sudah mati kira-kira enam bulan yang lalu dalam serangan hendap komunis di Behrang.

"Siapa dia Haji Ramli yang sebenarnya encik?"

"Dia sebenarnya sarjan di balai polis ni. Dia orang Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Agaknya pakcik ni silap orang. Pakcik dah mengantuk agaknya”, anggota polis yang bercakap dalam loghat Kedah itu mengetawakan datuk.

Sesungguhnya datuk tidak tersinggung dengan sikap anggota polis itu. Dan datuk tidak mahu mempertahankan kenyataan yang dilihatnya. Barangkali datuk memikirkan perbuatan itu satu perbuatan yang sia-sia. Cukup sukar me­nerangkan sesuatu tanpa bersandarkan pada kenyataan yang lojik.

"Barangkali cakap encik betul”, kata datuk sebaik saja anggota polis itu berhenti ketawa.

Anggota polis itu minta kad pengenalan (kad pengenalan la­ma yang bentuknya kembar dua dari kertas biasa, ukuran gambarnya besar sedikit dari ukuran gambar kad pengenalan sekarang). Anggota polis itu menatap gambar datuk sejenak. Kemudian mencatatkan sesuatu di kertas. Kad pengenalan datuk dikembalikan. Saya sudah dua tiga kali menguap panjang.

"Pakcik ni mahu ke mana sebenarnya?", soal anggota polis itu lagi.

"Saya datang kemari, nak menolong orang sakit, saya cuma menunaikan amanat seorang kawan"

"Pakcik ni Tuk Pawanglah?"

"Tidak"

"Dukun?"

"Tidak"

"Bomoh?"

“Juga tidak, saya sekadar mahu membuat jasa sesama manusia"

"Pakcik ni ganjil orangnya"

"Dalam dunia ni tak ada manusia yang ganjil, semuanya sama belaka"

Anggota polis itu tersenyum sinis. Kemudian dia menyerahkan sekeping kertas kuning yang tercatat nama datuk dan nombor repot. Kertas itu datuk masukkan ke dalam saku bajunya.

"Terima kasih encik"

"Sama-sama. Bila pakcik mahu meninggalkan masjid untuk pergi ke mana-mana sila laporkan diri"

"Baik encik"

Datuk dan saya pun meninggalkan balai polis menuju ke masjid. Bila berada dalam perut masjid datuk terus membaca Al-Quran dan saya pun mencari tempat yang sesuai untuk merebahkan badan. Tempat yang sesuai saya temui, badan pun saya rebahkan dalam beberapa saat saja saya sudah tidak dapat mendengar suara datuk.

Rasa marah dan geram mula menguasai diri saya. Kerana terlalu geram saya genggam penumbuk lalu menekan penumbuk ke dinding masjid, hingga buku lima saya terasa sejuk menyentuh simen dinding. Siapa tidak meradang sedang nyenyak tidur dipaksa bangun.

"Sial”, pekik saya.

"Jangan biadab!”, balas datuk serentak dengan itu tangan kanan datuk menekan rehang mulut saya. Lepas itu, dia menekan pangkal pelipat kaki kanan saya beberapa minit, hingga muka dan badan saya berpeluh. Badan terasa segar dan bertenaga rasa mengantuk dan malas terus hilang. Datuk terus menarik tangan saya menuju ke pintu masjid. Di situ sudah sedia menanti dua orang lelaki. Mereka tersenyum merenung pada kami. Salah seorang dari lelaki itu saya kenali, iaitu anggota polis yang kami temui di balai polis. Dan seorang lagi tidak saya kenali. Orangnya kurus memakai baju kemeja putih dan berseluar kuning. Wajahnya nampak muram.

"Ada apa encik? Encik nak periksa kami?”, tanya saya.

“Tidak"

"Jadi kenapa encik datang kemari?”, datuk me­nyoal pada anggota polis.

Saya lihat anggota polis yang menyandang senjata api di bahunya terse­nyum.

"Begini pakcik. Dia ni kawan saya dan kerjanya pun macam saya juga. Dia nak minta tolong tengokkan anaknya tidak berhenti-henti menjerit”, anggota polis itu menjelaskan tujuannya yang sebenar.

Datuk termenung sejenak. Ada rasa kurang senang hati terpamir di wajahnya. Memang, datuk tidak berapa suka orang lain tahu tentang kebolehannya. Datuk gigit bibir.

"Saya minta Tuk Pawang tengokkan saja”, rayu lelaki yang memakai baju putih sambil merenung wajah datuk.

Anggota polis di sebelahnya tidak berkata apa-apa.

"Saya bukan pawang, saya bukan bomoh”, kata datuk serius. Wajah lelaki yang berbaju putih itu segera berubah.

"Kami minta tolong pakcik”, anggota polis pula merayu. Lagi sekali datuk termenung panjang.

"Saya bukan bomoh dan bukan pawang , saya cuma boleh berikhtiar saja. Allah yang menentukan”, nada suara datuk lemah.

"Kami faham dan apa yang kami buat ni adalah ikhtiar kami”, sahut anggota polis.

Setelah meraba pangkal telinga kanannya dua kali berturut-turut, datuk memberi persetujuan untuk memenuhi permintaan mereka. Kami pun meninggalkan kawasan masjid. Dalam jangkaan saya waktu itu sudah pukul tiga pagi kerana bintang-bintang di langit sudah berkurangan angin pula tidak sekuat tadi bertiup.

Akhimya, saya dan datuk sampai ke rumah yang di tuju. Anggota polis tidak turut sama, dia kembali ke balai menyambung tugasnya. Masa berada di rumah itu, kami terdengar bunyi tembakan yang bertalu-talu dari arah barat laut. Lelaki yang berbaju putih itu memberitahu datuk ada pertempuran di hutan antara pasukan keselamatan dengan pihak komunis. Datuk hanya ang­gukkan kepala mendengar penjelasan itu. Tetapi, saya bagaikan terasa ada sesuatu yang ganjil, lalu saya membuat kesimpulan bahawa diri saya dan datuk sudah dipermainkan. Saya membuat kesimpulan itu, kerana saya tidak terdengar suara orang menangis. Suasana dalam rumah itu terasa tenang dan damai sekali lampu letrik ber­sinar dengan terangnya. Saya dan datuk duduk bersila dekat pintu sementara lelaki berbaju putih duduk tidak jauh dari datuk membelakangi ruang rumah.

"Mana dia anak awak?", tanya datuk.

"Begitulah keadaannya, ada masa dia diam ada masa dia menangis"

"Bawa dia kemari"

Lelaki berbaju putih itu terus memerintahkan isteri membawa anaknya ke ruang tamu. Isteri lelaki berbaju putih itu dalam ling­kungan usia tiga puluhan berkulit cerah dan tinggi lampai orangnya. Kelopak matanya kelihatan bengkak, barangkali terlalu lama menangis. Dia pun meletakkan anak yang dipangku di hadapan datuk. Anak itu cukup nyenyak tidur. Tiba-tiba anak itu menangis dengan sekuat hatinya. Ma­tanya terbeliak macam melihat sesuatu yang amat menakutkan, sedangkan kaki dan tangannya bergerak-gerak macam orang menari mengikuti irama gen­dang yang di palu.

Datuk tidak melakukan sesuatu terhadap anak perempuan itu. Budak pe­rempuan itu cukup comel rupa parasnya, berusia kira-kira sepuluh tahun, berambut ikal yang dipotong separas bahu. Kulitnya cerah macam ibunya juga.
Dia kelihatan menarik dengan pakaian baju kebaya merah dan berkain hijau. Budak comel itu terus menjerit dan menangis hingga wajahnya kelihatan agak kebiru-biruan. Datuk membaca sesuatu lalu memegang tumit kaki gadis comel. Tangisan dan jeritan budak comel itu terhenti. Dia kembali tidur. Datuk terus diberi penjelasan oleh lelaki yang berbaju putih.

Menurut lelaki itu, anaknya sudah dua hari dua malam berkeadaan demi­kian. Sudah di bawa ke klinik swasta dan doktor mengesahkan anaknya tetap normal. Beberapa orang dukun tempatan pula menga­takan anaknya itu terkena sampuk ketika melin­tasi sebuah busut jantan sekembalinya dari seko­lah. Dukun-dukun itu cuma mengubatinya. Semua­nya tidak berjaya keadaan anaknya tetap macam itu.

"Tolong saya tuan. Anak saya cuma dua orang saja, dialah yang tua. Seorang lagi lelaki. Apa yang tuan syaratkan saya tunai, ambillah emas di badan saya ini sebagai cagaran”, isteri lelaki berbaju pu­tih merayu datuk sambil menangis. Keadaan dalam rumah sudahjadi hara biru, beberapa orang jiran kiri kanan bangunan sederet itu terjaga. Mereka lalu datang ke tempat kami.

"Begini saja. Saya minta awak membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Iklas seberapa banyak boleh. Jangan menangis dan meratap. Perbuatan itu tidak baik, memberi peluang syaitan menguasai hati awak”, kata datuk dengan tenang.

Isteri lelaki berbaju putih itu terdiam. Kemudian datuk meminta jiran-­jiran tetangga yang datang supaya pulang ke rumah masing-masing. Datuk memberitahu mereka selagi mereka berada disitu, datuk tidak dapat melakukan sesuatu. Permintaan itu dipatuhi oleh jiran-jiran yang datang. Suasana dalam rumah kembali tenang. Datuk terus menepuk lantai rumah tiga kali. Mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu, kemudian datuk meletakkan ibu jarinya atas dahi gadis co­mel. Ditekannya dahi anak comel itu hingga berbekas.

"Saya minta maaf. Anak awak ni suka sangat melihat kera berjoget”, kata datuk sambil memandang wajah lelaki yang berbaju putih dan isterinya. Mereka kelihatan tercengang. Datuk tersenyum lalu meminta isteri lelaki berbaju putih itu membangunkan anak lelakinya yang berusia lapan tahun. Permintaan itu di tunaikan.

Bila budak lelaki yang berusia lapan tahun itu berada di depan datuk, wajahnya kelihatan cemas. Datuk pun memegang tapak tangan kanannya sebentar.

"Jangan takut. Cakap perkara yang betul dengan tuk”, kata datuk sambil melepaskan tangan budak lelaki yang dipegangnya. Budak lelaki itu anggukkan kepala.

"Cucu sama kakak ada tengok tarian kera?"

"Ada”

"Seronok tak?"

"Seronok. Kera tu menari joget ikut gendang. Dia menari dekat kakak sambil memeluk pinggang kakak"

Datuk puas hati dengan penjelasan budak lelaki itu. Datuk menyuruh isteri lelaki berbaju putih membawa anaknya ke kamar tidur semula. Bila isteri lelaki yang berbaju putih datang semula dan duduk di sisi sua­minya, datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk pun mengedutkan dahinya hingga pangkal ke dua keningnya seakan-akan bertemu. Mata datuk saya lihat kian mengecil.

"Mengapa dibiarkan anak perempuan awak dipegang oleh kera yang me­nari?", pertanyaan itu datuk ajukan pada lelaki yang berbaju putih.

Lelaki itu kelihatan resah, kemudian secara terus terang dia memberitahu datuk bahawa perkara yang terjadi itu di luar pengetahuan isteri dan dirinya. Datuk lalu menggesa lelaki berbaju putih mencari kera dan tuannya. Lagi sekali wajah lelaki itu cemas, bukanlah mudah untuk mencari kera dan tuannya waktu begini.

"Saya tak kenaI dengan tuannya?"

"Begini. Aku rasa kera dan tuannya tu bermalam di kaki lima kedai, cubalah pergi ke sana. Tetapi ingat, jangan kau apa-apakan dia, bawa dia kemari”, beritahu datuk.

Lelaki berbaju putih itu segera keluar dari rumah menuju ke balai polis. Dengan di temani oleh anggota polis yang bertugas di situ dia pergi ke tempat tersebut. Sementara menanti kepulangan mereka, datuk terus merawat gadis comel secara kebatinan. Datuk tidak menyentuh kulit gadis comel itu. Datuk hanya memusingkan hujung bajunya dengan jari kelingking. Setiap kali hujung baju itu dipusingkan, gadis comel itu akan menjegilkan biji matanya, macam orang ketakutan.

Saya hanya melihat saja apa yang berlaku di hadapan mata. Sementara dalam kepala saya tergambar permainan tarian kera yang pernah saya lihat. Tarian kera ini selalunya dipertunjukkan di kawasan yang menjadi tempat lalu lintas orang ramai. Kera yang menari itu dikenakan baju cantik, macam baju orang perempuan serta di beri kipas yang di buat dari bilah buluh. Tuan punya kera akan memukul gendang dan kera itu akan menari mengikut rentak dan irama gendang yang dipalu.

EPISOD KE-38

SUARA AZAN DALAM KOLAM

“Dapat mayat nya pun jadilah”, sahut lelaki berbadan tegap.

Datuk angguk kepala dan tersenyum dalam cahaya gasolin yang memancar garang.

"Baiklah, kalau dah begitu hajat kamu”, nada suara datuk cukup lembut.

Dia menyuruh saya memadamkan lampu gasolin.

"Memadailah dengan cahaya unggun saja”, bisiknya pada saya.

Datuk bangun dan terus menghentak tumitnya ke bumi berkali-kali. Datuk menggigit bibirnya sambil melangkah tiga tapak ke depan dan undur tiga tapak. Kemudian berdiri macam patung dengan kedua belah tangannya terletak atas dada.

"Ada kamu dengar sesuatu?”, datuk bertanya pada kami.

"Tak ada”, jawab kami serentak.

Datuk menggigit jari. Saya lihat apa yang datuk lakukan semuanya tidak kena. Macam ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk terus bertafakur beberapa saat. Akhirnya, dia membongkok dan menumbuk bumi sebanyak tiga kali berturut-turut. Bunyi bumi yang ditumbuk oleh datuk jelas kedengaran. Lepas itu tidak ada apa yang kedengaran lagi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara burung. Saya terus toleh kiri dan toleh kanan. Bila saya melihat kearah kolam, dada saya berdebar-debar. Seluruh kolam itu sudah dipenuhi dengan burung belibis. Burung-burung itu mandi sambil membelai bulunya dengan asyik.

Datuk masih bertafakur. Mulutnya bergerak-gerak macam membaca se­suatu. Suara orang mengilai kedengaran lagi. Pokok-pokok sekitar kolam mula bergoyang dirempuh angin. Serentak dengan itu terdengar suara gadis membaca ayat-ayat suci. Bila suara gadis itu hilang, seekor burung belibis hitam terbang dipermu­kaan air dan akhirnya hinggap diatas dahan pokok yang menjulur ke atas kolam. Angin pun berhenti bertiup. Mata burung belibis yang bertenggek atas dahan itu bagaikan merenung ke arah kami.

Dari atas dahan itu burung belibis hitam terbang ke arah busut jantan dan hinggap di situ. Datuk masih lagi membaca sesuatu. Seluruh badannya dibasahi peluh. Saya terus menahan nafas, saya tidak mahu bunyi tarikan nafas saya akan mengganggu datuk yang sedang menjalankan tugasnya. Malam pekat terus menguasai sekitar kawasan kolam.

Burung belibis yang hinggap di busut jantan terus hilang dari pandangan mata saya. Bunyi bising mula kedengaran bercampur dengan suara petir, bumi bagaikan bergegar. Saya terus berdoa semoga jangan terjadi gempa bumi atau puting beliung. Saya lihat datuk mula bergerak kearah busut jantan. Kami bergerak mengikut datuk dengan hati-hati. Kami menarik nafas panjang. Di atas busut jantan tertonggok satu lembaga yang besar. Duduk bersila dengan kedua belah tangannya mendakap dada. Lembagayang berkulit hitam tanpa baju itu bagaikan sedang menghening cipta atau bertafakur.

Datuk terus mara ke arahnya. Lebih kurang dalam jarak lima kaki darinya datuk terus berhenti. Kami jadi resah . Tetapi, tidak seorang pun yang berani menyatakan keresahan masing-masing.

"Pergilah ke kolam itu semula, tepuk airnya tujuh kali kemudian sapukan ke muka, dengan berbuat begitu saja mayat orang yang hilang itu akan timbul”, kami terdengar suara lelaki.

Suara itu parau dan bernada keras. Saya yakin suara itu keluar dari mulut datuk. Rasa ragu yang timbul di hati saya itu segera hilang. Suara itu adalah suara lembaga yang duduk atas busut jantan tetapi, telah di pindahkan ke dalam diri datuk. Ertinya datuk sudah berjaya mempersatukan perasaannya dengan alam ghaib. Seterusnya kami dapat mendengar percakapan yang terjadi antara datuk dengan lembaga itu seperti berikut.

"Ada lagi yang mahu aku pinta padamu"

"Apa dia, cakaplah sekarang"

"Kami mohon keselamatan diri orang-orang yang datang ke sini. Janganlah diri mereka dianaiya"

"Boleh. Dengan syarat jangan menembak atau membunuh rakyat aku. Kalau mahu, minta cara baik"

"Bagaimana caranya?"

"Sebelum menembak atau menangkap rakyat aku, sembelih kambing dan darahnya buang ke dalam kolam"

"Baik"

Bila suara itu tidak kedengaran lagi, datuk terus menampar dada sebelah kanan tiga kali. Lembaga di atas busut jantan terus hilang dari pandangan kami. Datuk tergesa-gesa meraba kedua belah kelopak matanya, bagaikan orang yang baru sedar dari tidur.

"Kita turut saja apa yang diperintah oleh orang di sini”, kata datuk kepada kami.

Dia menyuruh saya menghidupkan lampu gasolin. Perintahnya itu saya ikut. Bila lampu gasolin sudah menyala, seluruh kawasan itu terang benderang. Burung-burung belibis yang tadinya penuh satu kolam sudah tidak kelihatan lagi . Air kolam nampak tenang dengan pokok-pokok teratai dan kiambang di permukaannya. Kerana waktu Isyak masih ada, kami terus menunaikan sembahyang Isyak dan imamnya tetap juga datuk.

Lepas sembahyang, kami merebahkan badan dan terus tidur. Datuk menghabiskan masa malam dengan membuat amalannya. Dia berdoa dan membaca Surah Yasin. Selepas menunaikan sembahyang subuh, datuk terus melakukan senaman. Bila matahari mula terbit di kaki langit, kami sudahpun berkumpul dibibir kolam. Datuk akan melakukan upacara menepuk air kolam tersebut.

"Bersedialah. Kalau buruk yang datang kita tentang, kalau baik yang datang kita tatang”, ujar datuk sambil duduk mencangkung di bibir kolam.

Rasa sejuk menguasai seluruh badan kami. Dengan hati-hati datuk pun menepuk air di kolam. Tepukan itu menimbulkan gelombang di permukaan kolam, pokok-pokok teratai dan kiambang bergerak ke sana ke mari, bersama hembusan angin yang cukup kuat. Bila datuk menyapukan air kolam ke mukanya, gelombang dan angin yang bergemuruh itu terus berhenti. Kemudian datuk menyuruh kami menepuk air di kolam dan menyapu ke muka masing-masing. Bila upacara itu selesai datuk terus duduk di tepi kolam sambil mulutnya berkomat-kamit membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit datuk berbuat demikian, tiba-tiba mengapung tubuh manusia dipermukaan kolam.

"Usman, mayat Usman”, pekik lelaki berbadan tegap.

Dia segera mahu masuk ke dalam kolam. Datuk segera menahan dengan menolaknya ke belakang. Lelaki berbadan tegap itu jatuh ke atas bumi. Muka datuk jadi merah. Marah benar dia dengan perbuatan lelaki itu, memang pantang tujuh keturunan pada datuk jika ada orang lain mahu mendahului kerja-kerjanya.

"Kalau aku yang memulakannya, biarlah aku yang menyelesaikan se­muanya”, nada suara datuk cukup keras.

Dia pun menyingsing lengan dan melipatkan kaki seluarnya. Mata datuk tertumpu pada mayat yang terapung atas permukaan kolam. Datuk segera membuka kain yang mengikat kepalanya. Kain itu diletakkannya atas bahu kanan. Dengan tenang datuk turun ke dalam kolam. Air dalam kolam mula bergelombang. Pancaran matahari pagi yang menikam permukaan kolam menimbulkan cahaya kilau kemilau pada gelombang air yang membentuk bulatan kecil. Datuk terus berenang mendapatkan mayat yang terapung. Lelaki gagah yang jatuh di tolak oleh datuk tadi segera bangun, dia mengarahkan kawan-­kawannya supaya membuat pengusung. Saya tidak mahu membantu mereka. Saya lebih senang melihat tindak-tanduk datuk yang berada dalam perut kolam.

Datuk terus menarik mayat Usman ke tepi kolam. Dengan bantuan orang bertiga, mayat Usman diletakkandi atas pengusung. Untuk mengusung mayat ke tepi jalan raya bukanlah satu perkara yang mudah.

"Begini saja, biarkan mayat itu di situ, kita pulang sekarang”, datuk mengeluarkan perintah yang ganjil.

Muka orang bertiga nampak cemas. Tetapi, mereka tidak berani bertanya kenapa datuk berbuat demikian. Datuk menyuruh kami keluar dari kawasan kolam itu dahulu. Kami patuh pada perintahnya. Ketika kami melintasi pokok besar di tengah kawasan hutan, kami bertemu dengan seekor harimau yang melangkah gagah, tanpa merenung ke arah ka­mi.

Harimau itu menuju ke kawasan kolam. Bila kami sampai ke tepi jalan raya, mayat Usaman sudah berada di situ. Datuk berdiri tidak jauh dari mayat tersebut, bercakap dengan beberapa orang anggota Pasukan Polis Hutan. Bila saya memeriksa kawasan tempat mayat Usman diletakkan, saya tersua dengan tapak kaki harimau. Saya senyum sendirian. Datuk meminta pertolongan dari rakan karibnya bagi mengatasi masalah yang dihadapinya. Datuk menghampiri kami. Datuk terus memberitahu kami, Pasukan Polis Hutan itu mahu masuk ke dalam hutan untuk melancarkan gerakan mencari Usman yang hilang.

Salah seorang adik Usman yang bertugas sebagai guru sekolah di Kuala Kangsar telah mengadu kepada polis atas kehilangan abangnya itu. Salah seorang pegawai Pasukan Polis Hutan menemui datuk. Mereka berjabat salam dan mempamirkan senyum masing-masing di bawah sinaran matahari pagi yang cerah.

"Saya ASP Mualim Hamid”, dengan keramahan, pegawai yang berbadan tegap dan berkumis rapi memperkenalkan dirinya pada datuk. Mayat Usman yang terkapar di bibir jalan terus ditutup dengan kain pelikat oleh kawan­-kawannya.

"Anak orang mana?", tanya datuk.

"Orang Kota Bharu, Kelantan. Tetapi ayah saya berasal dari Perak"

"Dari daerah mana tu nak?"

"Saya kurang periksa pula tu"

"Bukan apa-apa. Ada saudara sepupu isteri saya yang merantau ke Kota Bharu. Orang dari Kampung Gurap dekat Ipoh. Menurut ceritanya tinggal di Daerah Kubang Krian dan membuka perusahaan batik di situ"

"Menarik juga ceritanya. Tak pernah jumpa dia?"

"Belum pernah. Tetapi saudara maranya ramai di sini iaitu anak buah abangnya, Uda Lanca"

"Cubalah cari di sana"

"Memang ada niat di hati tu kalau panjang umur nanti sampailah saya. Saya nak cari anak-anak atau cucunya”, kata datuk pada pegawai Pasukan Polis Hutan itu.

Datuk dan ASP Mualim Hamid terus menemui kawan-kawan Allhyarham Usman. Datuk dan ASP Mualim Hamid bercakap-cakap dengan mereka. Kemudian ASP Mualim Hamid menghubungi pegawai Polis Daerah Dinding (sekarang Manjung) di Lumut.

"Sekejap lagi mayat ini akan dihantar ke tempatnya dengan kereta polis”, beritahu ASP Mualim Hamid kepada datuk.

ASP Mualim Hamid terus memerintahkan anak buahnya masuk ke dalam dua buah trak yang berhenti di situ .
Datuk pun menghantar ASP Mualim Hamid ke jipnya. Sebelum jip itu bergerak, lagi sekali ASP Mualim Hamid bersalaman dengan datuk. ASP Mualim memberikan alamat rumahnya kepada datuk.

"Kalau ada masa lapang datanglah ke rumah saya di Hulu Kinta. Boleh kita bercerita panjang”, kata ASP Mualim Hamid dari dalam jip.

"Tengoklah, kalau ada rezeki dan panjang umur, sampailah saya ke rumah anak”, balas datuk dengan tenang.

Ketiga-tiga buah kenderaan yang membawa anggta Pasukan Polis Hutan terus bergerak. ASP Mualim Hamid dan anak buahnya melambai-Iambaikan tangan kepada kami. Kami membalasnya dengan rasa bangga. Datuk menghampiri mayat Usman. Kemudian datuk menyuruh orang yang berbadan tegap dan kawannya mengangkat mayat Usman untuk diletakkan di tempat yang redup.

Lebih kurang pukul sepuluh pagi, sebuah jip polis tiba. Dua orang polis meluru keluar. Mereka terus menuju ke tempat mayat Usman. Datuk terus menghampiri pemandu jip. Datuk bercakap dengannya sebentar. Datuk menarik pengusung dari belakang jip dengan dibantu oleh pemandu jip yang berkulit agak cerah. Tingginya lebih kurang sama dengan tinggi datuk. Datuk dan pemandu jip membawa alat pengusung ke tempat mayat Usman. Mayat Usman pun diletakkan atas pengusung dan di bawa ke dalam perut jip.

"Awak tak pergi sarna?" tanya pemandu jip pada datuk.

"Tidak. Kawan-kawannya boleh tunjukkan tempatnya”, balas datuk sambil menepuk bahu pemandu jip itu. Dua tahun kemudian saya mendapat tahu nama anggota polis yang menjadi pemandu jip itu ialah Mior Hassan. Ayah kepada kartunis dan novel Mishar dan penyanyi terkenal Sohaimi Meor Hassan.

"Saya doakan selamat sampai”, ujar datuk lagi.

Pemandu jip itu tersenyum dan terus menghidupkan injin jipnya. Beberapa saat kemudian jip itu meninggalkan kami. Suasana di situ terasa sunyi, tidak banyak kenderaan yang lalu di situ. Saya dan datuk terus pulang. Sampai di rumah, nenek menyambut kami di kepala tangga dengan wajah yang agak sugul. Datuk tidak bertanya pada nenek kenapa dia berkeadaan demikian. Datuk terus pergi ke sungai. Datuk mandi dan membersihkan badannya. Lepas menunaikan sem­bahyang Zuhur datuk dan saya terus makan. Selesai sahaja makan, datuk terus berehat di anjung rumah sambil membuka beberapa buah kitab agama.

Saya terus baring di ruang tengah rumah membilang atap serta melihat beberapa ekor kupu-kupu sesat yang masuk ke rumah. Kupu-kupu itu berlegar-Iegar disitu mencari jalan ke luar. Nenek terus mendekati datuk. Duduk berhadapan dengan datuk. Tergesa-gesa datuk menutup kitab yang dibacanya.

"Apa yang awak susahkan ni”, datuk mengaju­kan pertanyaan sambil meraba pangkal kening kiri­nya beberapa kali. Nenek menarik nafas panjang. Wajah datuk direnungnya lama-lama.

"Apa yang awak risaukan? Cakaplah dengan saya”, soal datuk lagi. Nenek garu pangkal lehernya berkali-kali. Kerongko­ngnya bagaikan tersekat untuk memperkatakan sesuatu kepada datuk. Saya bangun terus menghampiri datuk dan nenek. Wajah mereka saya tatap. Temyata mereka dalam keresahan.

"Semalam ada orang datang mengugut kita semua. Kalau awak campur dalam urusan mereka”, nenek bersuara lemah.

"Siapa orangnya?"

"Saya tak kenal, mereka datang berdua. Badan mereka tegap-tegap belaka"

"Apa katanya?"

"Kalau awak menolong Kiai Muslih, mereka nak bunuh kita semua. Mereka nak bakar kita hidup-hidup"

Datuk menarik nafas panjang setelah meridengar keterangan dari nenek. Datuk sandarkan badan pada dinding. Datuk merenung keluar, melihat pangkal pokok mempelam di halaman rumah yang di panah matahari petang.
Saya lihat datuk kerutkan keningnya macam mengingati sesuatu. Datuk cuba mengingati orang-orang dimusuhinya. Datuk gelengkan kepala, sepanjang ingatannya tiada orang yang dimusuhinya.

"Siapa mereka?", tanya datuk pada nenek.

"Saya tak kenaI"

"Lupakan saja. Tidak ada manusia yang mati kerana sumpah dan ugutan"

"Tapi kita kena berjaga-jaga"

"Saya faham”, datuk bersuara lemah. Datuk bangun dan terus turun dari rumah. Saya mengikuti datuk yang duduk di bangku panjang di bawah pokok manggis. Datuk termenung panjang di situ. Datuk menekan-nekan bumi dengan ibu jari kaki kirinya. Tiba-tiba datuk menepuk pangkal paha kirinya tiga kali berturut-turut.

"Aku tahu dan aku ingat siapa Kiai Muslih”, kata datuk dengan tekanan suara yang meninggi.

Dia terus berdiri dan memeluk tubuhnya erat-erat. Sepasang mata datuk merenung tajam ke hadapan. Datuk merapatkan kelopak matanya perlahan-Iahan sambil menarik nafas. Dadanya nampak berombak dan kedua belah bahu dan kedua belah cuping telinganya bergerak-gerak sendiri. Datuk membuka matanya. Muka datuk saya lihat berpeluh.

"Siapa Kiai Muslih, tuk?" tanya saya.
"Dia kawan aku satu masa dulu. Orangnya baik dan kuat beribadat. Pelik kenapa orang memusuhinya”, keluh datuk sambil menggosok pangkal hidungnya hingga merah.

Datuk terus mengelilingi pokok manggis dua tiga kali, macam mencari sesuatu. Dahinya masih berkerut. Saya hanya melihat sahaja telatah datuk. Kemudian datuk mencari arah angin datang.

"Mari”, datuk menarik tangan saya.

Pada mulanya saya menduga datuk akan mengajak saya pergi kekawasan tanah yang agak tinggi. Dugaan saya tidak tepat. Datuk mengajak saya masuk ke rumah. Datuk kembali membaca kitab-kitab agama hingga menjelang waktu Asar. Lepas sembahyang Asar, datuk kelihatan resah tidak menentu. Keresahan itu berlanjutan hingga waktu Maghrib dan Isyak. Semua yang di buatnya serba tidak kena. Macam ada sesuatu yang besar mengganggu dirinya.

"Kiai Muslih baik orangnya”, keluh datuk sambil menggigit ibu jari kanannya. Waktu itu sudah pukul sebelas malam.

"Tamar"

"Kenapa tuk?"

"Kau tidur dekat tuk malam ini"

"Baik tuk"

Saya pun membentangkan tikar mengkuang di anjung rumah. Kemudian nenek memberikan saya sebiji bantal. Saya terus merebahkan badan. Datuk terus membaca Quran. Tiba-tiba datuk berhenti membaca Quran. Dia merenung ke arah saya.

"Ingat, bacalah Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas dan mengucap dua kalimah syahadah dan hadapkan badan kamu ke kiblat, barulah kau tidur"

"Baik tuk”, saya pun patuh dengan apa yang diperintahnya.

Dalam beberapa detik saya terus terlena. Lebih kurang pukul tiga pagi datuk kejutkan saya. Bila saya buka mata, saya lihat datuk sudah memakai baju hitam dan seluar hitam. Kepalanya sudahpun dililit dengan kain merah sebesar dua jari.

"Ke mana tuk?"
"Jangan banyak cakap, ikut sahaja cakap aku"

"Tuk marahkan saya?"

"Aku tak marah cuma menegur aja”, balas datuk dengan ketawa kecil.

Saya senang hati kerana berjaya mengusik datuk. Wajahnya yang kelihatan serius sudah berubah. Wajah datuk nampak manis bila ketawa, meskipun kulit pipinya sudah berkedut. Dengan langkah yang tenang saya ikut datuk keluar dari rumah. Suasana terasa amat sepi sekali. Badan terasa cukup dingin. Dalam keadaaan subuh yang damai itu, saya dan datuk menuju ke kawasan tanah lapang yang agak tinggi kedudukannya dari tanah sekelilingnya. Datuk terus duduk bersila di atas tanah itu. Saya duduk sebelah kanannya. Datuk lekapkan tapak tangan kanan ke dada sebelah kiri. Mulutnya terkumat­-kamit membaca sesuatu. Datuk terus bangun dan berdiri tegak menghadap ke arah barat daya. Suasana cukup sepi. Tetapi langit kelihatan begitu cerah. Saya lihat kabus mula bangkit di kawasan yang agak rendah. Kedua belah cuping telinga saya terasa sejuk di sentuh angin.

"Kiai Muslih, Kiai Muslih”, datuk bersuara.

Tidak ada apa-apa yang kedengaran kecuali bunyi deru angin yang datang dari arah barat daya. Datuk tarik nafas panjang.

"Kiai Muslih, Kiai Muslih”, ulang datuk lagi.

"Ya, kenapa?" saya terdengar suara.

Saya tidak dapat mempastikan dari arah mana suara itu datang. Saya renung kiri kanan, hadapan belakang kalau­ kalau ada manusia yang muncul di situ. Tidak ada orang lain selain daripada kami.

"Kau sihat sekarang Muslih?"

"Sihat"

"Keadaan kampung kamu bagaimana?"

"Kemarau panjang"

"Boleh aku datang ke sana?"

"Memang itu yang aku harapkan. Sudah dua kali aku menghubungi kau dengan angin, tapi tak berjaya"

"Macam mana kau tahu aku ada di sini."

"Tiba-tiba saja hati aku tergerak dan ada alamat yang menunjukkan kau mahu bercakap dengan aku, kerana itu aku cari tempat yang sesuai untuk bercakap dengan kau"

"Hajat kita sudah ditunaikan oleh Allah"

"Syukurlah pada-Nya"

"Baiklah Kiai Muslih, esok aku datang"

Saya terpegun melihat keadaan yang serba aneh itu. Memang ganjil dua manusia yang duduk berjauhan boleh bercakap dengan perantaraan angin.

"Balik”, saya terkejut.

Apa yang saya fikirkan dalam kepala semuanya hilang. Saya tergesa-gesa bangun dan melangkah mengikut langkah datuk yang begitu cepat. Tetapi, saya tetap berazam mahu bertanya pada datuk berhubung dengan peristiwa yang berlaku itu. Hati saya cukup gembira. Tanpa di duga sesudah sembahyang subuh dan mandi embun, datuk menceritakan pada saya apa yang dilakukannya itu adalah jalan terakhir dalam usahanya untuk membantu seorang kawan.

"Bercakap dengan perantaraan angin tak boleh dilakukan selalu, kecuali sudah terdesak terutama waktu darurat”, kata datuk.

"Kenapa begitu tuk?"

"Banyak amalan yang mesti dibuat sebelum melakukannya dan orang yang kita lawan bercakap pula mestilah tahu petua dan syarat. Orangnya mesti warak, jiwanya mesti bersih"

"Saya faham tuk."

Pagi itu, nenek melepaskan kami dengan iringan airmata. Nenek bimbang kalau langkah kami pagi itu, merupakan langkah terakhir. Nenek tidak mahu datuk menemui ajal di tempat orang. Kalau boleh biarlah datuk menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

"Usah bimbang, kita pergi bukan mencari lawan, niat kita baik. Kalau sudah ajal itu lainlah”, datuk memujuk nenek.

"Tapi, orang tu dah beri amaran"

"Ajal maut bukan di tangan manusia. Kau harus tahu Allah yang lebih berhak dan berkuasa"

"Entahlah”, suara nenek cukup lemah.

Tetapi hatinya terus berdoa pada Allah semoga kami selamat pergi dan selamat pulang. Kami sampai di kampung Kiai Muslih yang terletak di daerah Sungai Manik kira-kira pukul lima petang. Kiai Muslih yang berasal dari Pakalungan, Jawa Tengah menyambut kedatangan kami dengan tangan terbuka. Menurut datuk Kiai Muslih datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun tiga puluhan. Sebelum menetap di daerah Sungai Manik dia pemah tinggal di Johor.

"Bagaimana sekarang Kiai?"

"Alhamdulillah, saya setakat ini masih sihat"

"Cucu perempuan awak dah besar sekarang?"

"Dah jadi anak dara. Sudah bertunang dengan orang di Langkap"

"Siapa namanya?"

"Suariati"

"Tunangnya orang Jawa juga ke?"

“Tidak dengan orang Banjar"

"Ingat dulu, nak dijodohkan dengan cucu saya"

"Tak ada jodoh, carilah cucu saya yang lain"

Sebaik sahaja Kiai Muslih selesai bercakap, datuk terus ketawa sambil menjeling ke arah saya. Petang itu juga Kiai Muslih membawa datuk dan saya melawat ke kawasan sekitar kampungnya. Saya dapati parit dan sungai semuanya kering kontang, tanah sawah kelihatan gersang dan merekah. Menurut Kiai Muslih, sudah tiga bulan hujan tidak turun. Tetapi penduduk-penduduk di situ tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan air minum kerana pihak Jabatan Kerjaraya yang berpusat di Teluk Intan membekalkan air sehari dua kali iaitu pada sebelah petang dan pagi. Air yang dikhaskan untuk diminum itu juga digunakan untuk membasuh dan mandi. Masalah besar yang dihadapi oleh para penduduk ialah tanah sawah yang menjadi punca rezeki mereka tidak dapat diusahakan.

Saya dan datuk hanya dapat menyatakan rasa simpati terhadap nasib malang yang menimpa penduduk di situ. Datuk juga berjanji pada Kiai Muslih untuk berikhtiar bagi mengatasi masalah tersebut. Pada sebelah malamnya, datuk dan Kiai mengadakan perundingan untuk mengajak para penduduk mengadakan sembahyang hajat. Belum pun Kiai Muslih memberi kata putus mengenai cadangan datuk itu, seorang penduduk mengetuk pintu rumah Kiai Muslih. Cepat-cepat Kiai Muslih membuka pintu.

"Kenapa?", tanya Kiai Muslih pada orang yang datang.

"Ketua kampung suruh berkumpul di dewan, ada mesyuarat"

"Dah malam baru mengadakan mesyuarat, kenapa tak buat pada sebelah siang?"

"Saya tak tahu. Kalau mahu ikut datang ke dewan, jangan banyak cakap”, balas orang yang datang lalu menghilangkan diri.

Datuk dapat mempengaruhi Kiai Muslih untuk patuh dengan arahan ketua kampung itu. Tanpa membuang masa lagi, kami terus menuju ke dewan. Waktu kami sampai di dewan orang sudah ramai berkumpul di bawah sinaran tiga buah lampu gasolin. Tidak sampai dua minit kami duduk di dalam dewan, ketua kampung pun tiba dan terus memberikan ucapan. Ketua kampung meminta orang yang hadir memberikan pandangan untuk mengatasi masalah kemarau panjang yang melanda kampung mereka. Sebaik sahaja ketua kampung berhenti bercakap, Kiai Muslih terus bangun dan berkata:

“Masalah hujan sebenamya adalah kekuasaan Allah. Tetapi Allah juga telah memberikan fikiran dan akal pada manusia untuk berikhtiar supaya tidak menyerah diri begitu saja pada alam”, Kiai Muslih berhenti bercakap.

Dia merenung setiap wajah yang ada di dalam dewan.

"Kita sebagai manusia wajib berikhtiar dan berusaha untuk menguasai alam demi untuk meneruskan hidup kita, berjaya atau tidaknya terletak pada kuasa Allah. Anehnya, bila saya mengajak tuan-tuan berusaha semuanya tidak mahu”, Kiai Muslih menambah.

Tiba-tiba perhatian orang yang ada di dalam dewan tertumpu ke arah seorang anak muda yang secara mendadak menumbuk dinding dewan. Anak muda itu meluru ke tengah dewan. Berdiri di situ.

"Orang tua ini menyuruh kita berdoa. Dari dulu lagi dia suruh kita berbuat demikian. Apa dengan berdoa hujan boleh turun dari langit”, kata anak muda dengan suara yang cukup lantang.

Orang yang berada dalam dewan berpandangan sama sendiri. Tetapi ketua kampung anggukkan kepala seolah­olah bersetuju dengan pendapat anak muda itu. Kiai Muslih kelihatan tenang sambil meraba-raba janggutnya.

"Allah Maha Pemurah”, balas Kiai Muslih dengan penuh keyakinan.

“Allah selalu memperhatikan doa orang yang takwa serta beriman”, tambah Kiai Muslih.

Seorang penduduk bangun lalu bertanya, "Apa yang patut kita lakukan Kiai?"

Belum pun sempat Kiai Muslih memberikan jawapan, datuk segera berkata:

"Bagi mereka yang percaya dan yakin, marilah kita melakukan sem­bahyang Istisqa untuk memohon pada Allah supaya segera diturunkan hujan rahmat, hujan yang memberikan air kehidupan pada manusia, insyallah permintaan kita akan dikabulkan"

Anak muda yang menumbuk dinding segera merenung ke wajah datuk.

"Awak siapa?"

"Saya kawan Kiai Muslih"

"Awak tahu ini bukan urusan awak"

"Saya tahu, apa awak tidak sedar sesuatu yang baik memang dituntut oleh Allah untuk dilakukan oleh umatnya"

Anak muda itu terdiam mendengar kata-kata dari datuk. Ketua kampung segera menyuruh anak muda itu duduk. Setelah diadakan perbincangan selanjutnya, mesyuarat pun ditamatkan dengan dua kumpulan. Kumpulan pertama orang yang mahu melakukan sembahyang Istisqa. Kumpulan kedua orang yang tidak mahu melakukannya yang terdiri dari orang yang tidak ada pendirian dan jarang melakukan ibadah. Kumpulan kedua ini diketuai oleh anak muda dan ketua kampung yang menganjurkan pada orang-orang kampung supaya menggali telaga dan kolam sebanyak-banyaknya untuk mengatasi masalah kemarau. Pada waktu yang dijanjikan, kedua kelompok ini menjalankan rancangan masing-masing.

Sembahyang memohon hujan turun dilakukan di halaman surau kam­pung tersebut. Yang bertindak selaku imam ialah Kiai Muslih sendiri. Manakala kelompok anak muda membawa cangkul ke tengah sawah menggali kolam dharurat. Beberapa hari kemudian, terdapat tanda-tanda hari akan hujan. Langit kelihatan mendung dan gerimis mula turun yang diikuti ke­mudiannya dengan hujan yang amat lebat. Semua penduduk merasa gembira menyambut kedatangan hujan terutama mereka yang melakukan sembahyang tempohari.

EPISOD KE-37

TERKENA BADI BELIBIS

Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah didahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.

"Mereka sudah hampir”, kata datuk.

Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat. Saya lihat muka datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.

"Cuba renung ke depan”, bisik datuk.

Saya pun renung ke depan. Dari celah­-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga manusia datang kearah kami. Dua daripadanya membawa senapang kampung laras dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya. Sambil melangkah mereka mere­nung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya, mereka terus duduk atas tanah datuk.

"Keluar”, kata datuk.

"Ke mana?" tanya saya.

"Rapat pada mereka”

"Merbahaya tu tok”

"Kau ni suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah”, datuk mula marah dan menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.

Datuk suruh saya berdiri sambiI meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian pung­gung.

"Jatuhkan tangan itu dan melangkah perlahan-Iahan”, perintah datuk saya patuhi.

Kerana kami melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka. Datuk pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar. Salah seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.

"Kerana awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu”, kata datuk.

Orang itu tergamam melihat wajah datuk yang dibasahi peluh. Senapangnya terlepas dari tangan, datuk terus menyambarnya. Melihat senapang sudah berada di tangan datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas.
Kawannya itu merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah datuk lalu menarik pemetik senapang. Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun pemetiknya ditarik berkali-kali. Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu jadi cemas. Mukanya pucat.

"Saya tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga masuk ke tanah saya”, beritahu datuk pada orang ketiga.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada orang yang berhak.

"Saya bukan musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan”, tambah datuk lagi.

Saya lihat orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan datuk minta maaf. Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut datuk, peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari tuan punya senapang. Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya sendiri. Berpan­dukan pada petua datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang berlaras dua melepaskan tembakan. Gema dari tembakan itu menguasai seluruh kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet-monyet liar bertiampiaran lari, melompat dari dahan ke dahan. Dedaun getah muda dan tua berguguran. Suasana di kawasan tersebut jadi haru-hara.

Bila suasana sudah tenang, datuk pun mengajak ketiga-tiga orang itu bersila di atas tanah. Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang datuk pun menjamu mereka. Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga.

Saya merenung ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang de­ngan parut besar melintang atas dahinya. Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau bimbang.

"Ceritakan pada saya”, datuk mengajukkan per­tanyaan pada orang yang berbadan tegap itu. O­rang itu kerutkan dahinya lalu memandang kepada dua orang kawannya. Dan kawannya memberikan isyarat supaya menjawap apa yang di soal datuk.

"Kami mencari kawan kami yang ghaib tiba­-tiba waktu menembak burung belibis”, lelaki ber­badan tegap membuka rahsia.

Datuk anggukkan ke­pala sambil melihat langit yang cerah dan bersih.

"Di mana?"

"Di kolam dekat kaki gunung waktu senja”

"Bila hilangnya?"

"Kira-kira dua hari yang lalu”

"Awak semua ni dari mana?"

"Kami dari Talang, Kuala Kangsar”

"Jauhnya mencari burung belibis”

"Ada orang yang diberitahu kami di situ tempat burung belibis mandi senja”

Datuk menarik nafas panjang. Datuk menikam-nikam tanah dengan ran­ting getah. Orang bertiga itu melihat sahaja telatah datuk. Wajah orang bertiga itu jadi pucat bila datuk memberitahu mereka, sejak lepas perang Jepun, sudah tujuh orang ghaib di kaki gunung itu kerana menembak burung belibis. Kehi­langannya tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun.

"Masuk kawan awak ini, sudah jadi lapan orang”, ujar datuk sambil menyapu peluh yang berkumpul dipangkal dagu dengan tapak tangan kiri. Orang bertiga berpandangan sesama sendiri. Saya melihat ke arah lubang yang baru saya korek.

"Kalau kami tak jumpa, kami nak buat sembahyang ghaib”, mendadak sahaja orang berbadan tegap bersuara sambil menggosok laras senapangnya.

Saya tahu bila datuk merenung awan berarak, ertinya dia mencari ke arah mana tiupan angin itu menuju. Datuk tersenyum, dia sudah menemui apa yang di carinya.

"Awak semua berhajat benar nak menemui kawan awak yang hilang tu”, tanya datuk minta kepastian.

"Memang berhajat. Kami mahu mencari mayatnya untuk disempurnakan pengebumiannya sebagai seorang Islam. Pihak warisnya berharap benar pada kami mencarinya”, jawab orang berbadan tegap.

Belibis ialah sejenis burung yang bentuk badannya hampir serupa dengan itik biasa. Tetapi ukurannya lebih kecil. Biasanya terbang berkawan dan mencari ma­kan di bekas-bekas lombong dan paya yang terpencil. Dagingnya boleh dimakan oleh orang Islam dan rasanya lebih kurang macam daging ayam hitam.

Datuk terus berpeluk tubuh. Rapatkan kedua belah matanya dan mulutnya membaca sesuatu. Datuk bertafakur lebih kurang dua minit. Dia muka mata kembali, renung wajah orang bertiga dengan tenang.

"Sebenarnya kau orang masuk kawasan orang lain. Kawan yang hilang tu namanya Usman, ada isteri dan anak. Satu anaknya bekerja sebagai kerani Jabatan Parit dan Taliair di Kuala Kangsar, umurnya baru 32 tahun”, demikian datuk memberi keterangan tentang orang yang hilang. Orang bertiga besar mengakui apa yang datuk katakan itu memang benar.

"Apa dia ditawan oleh komunis?" tanya orang berbadan tegap.

"Tidak, ada di kawasan kolam tinggal tu”

"Masih hidup lagi ke?"

"Susah nak cakap”, balas datuk sambil tersenyum.

Datuk dan orang bertiga mengadakan perundingan dan datuk pula bersedia memberikan khidmatnya untuk membantu mereka. Supaya kerja yang akan dilakukan berjalan lancar, datuk mengajak mereka tinggal di rumah datuk. Tawaran datuk itu mereka terima. Datuk pun mengadakan rundingan kilat dengan orang bertiga. Datuk ber­sedia memberikan khidmatnya bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi. Tawaran dari datuk yang tidak pernah mereka duga itu amat mengembirakan me­reka.

"Kita akan mencari orang yang ghaib tu dua hari lagi. Kita mulakan pada sebelah petang dan kita mesti berada di tepi kolam tempat belibis turun sebelum waktu senja”, datuk meluahkan rancangan pada orang yang tergonggok di hadapannya.

Ada beberapa persediaan yang perlu datuk ada­kan. Orang bertiga itu perlu dibekalkan dengan be­berapa tangkal tertentu bagi menghindarkan diri mereka dari diresapi semangat penunggu kolam. Lebih kurang pukul satu petang, kami pun sam­pai dirumah. Datuk menyuruh orang bertiga mandi di sungai. Saya terus memberitahu nenek supaya memasak nasi dan sayur lebih dari bisa. Ada tetamu baru yang harus di jamu makan sampai kenyang.

Bila selesai sembahyang Zuhur, kami pun terus makan. Memang enak makan pucuk ubi bersama gulai lemak pucuk labu dan nasi dari padi huma. Lepas makan saya terus tersandar di dinding rumah. Datuk menyuruh salah seorang dari orang bertiga itu pulang ke tempatnya untuk memberitahu pada orang-orang ditempatnya yang diri mereka berada dalam keadaan selamat.

"Biarlah saya saja yang pergi”, orang yang berbadan tegap itu menawarkan diri.

Tidak ada bantahan dari kawan-kawannya yang lain. Orang itu pun segera berangkat dengan janji dia akan sampai kerumah datuk sebelum tengah hari keesokannya. Lepas sembahyang Asar, datuk terus mengajak kenalan barunya berborak di bawah pokok manggis. Sedang asyik berborak, dua orang anak muda datang menemui datuk. Datuk terkejut dengan kedatangan anak muda yang tidak di kenalinya itu. Rasa terkejutnya itu segera hilang dari dari hati datuk, bila salah seorang anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman Hitam datang dari Parit Terachi, Negeri Sembilan.

"Kami sebenarnya mengelilingi tanah semenanjung dengan berbasikal, singgah ke sini nak jumpa Mohammad Ramli, kawan saya sama-sama belajar di Ipoh dulu”,kata Abdul Rahman Hitam yang berbadan kurus.

"Di Ipoh belajar dimana?",soal datuk.

"Trade School, macam Ramli”

"Macam mana tahu rumah ini?"

"Ikut alamat yang diberi oleh Ramli”
"Ramli itu cucu saya, dia baru dua hari pergi ke Segamat”

"Apa halnya?"

"Kerja. Dia jadi juruteknik rendah JKR di sana”

Abdul Rahman Hitam termenung panjang. Rasa hampa terbayang di wajahnya. Datuk terus menepuk bahu kanan Abdul Rahman dua kali, sambil menjeling ke arah kawannya yang duduk atas bangku panjang bawah pokok manggis.

"Sabarlah. Satu hari nanti kau akan berjumpa juga dengannya”, ujar datuk.

"Dia kawan baik saya, dah lama kami tak jumpa”, keluh Abdul Rahman sambil menggigit ibu jari kiri.

Datuk pun memperkenalkan saya dengan Abdul Rahman Hitam. Datuk memberitahu padanya, saya adalah salah seorang daripada cucunya yang dipelihara sejak berusia sebulan. Dan Abdul Rahman memberitahu saya, dia salah seorang pekerja syarikat lombong besi iaitu EMMCO di Bukit Besi, Terengganu. Dia dihantar oleh sya­rikat tersebut belajar ke Trade School Ipoh mengikuti kursus jurutera selama tiga tahun. Di Ipoh dia berkenalan dan berkawan rapat dengan sepupu saya Mohammad Ramli. Bila dia tamat belajar dia terus berhenti dari menjadi pekerja dengan syarikat tersebut.

Abdul Rahman mahu meneruskan cita-cita mengelilingi dunia dengan basikal dan mahu menetap di Jerman Barat di samping meneruskan pe­lajarannya di bidang kejuruteraan. Tidak lama Abdul Rahman bercakap dengan datuk dan saya, kira-kira satu jam sahaja. Kemudian Abdul Rahman Hitam dan kawannya meneruskan perjalanan ke utara. Bila selesai mengelilingi tanah semenanjung, dia akan mengelilingi dunia pula.

Tetapi sejak petang itu cerita tentang diri Abdul Rahman Hitam tidak saya ketahui. Apakah dia berjaya dalam cita-citanya atau dia masih hidup lagi kini, saya pun tidak tahu. Malah, sepupu saya pun tidak pemah menyebut tentang dirinya.

"Dia anak muda yang bercita-cita besar”, kata datuk pada saya sebaik sahaja Abdul Rahman dan kawannya meninggalkan kawasan rumah.

Suasana petang itu cukup damai. Langit cerah dan angin bertiup lemah tetapi, mampu meng­gugurkan daun-daun manggis yang tua. Datuk mengajak dua orang kenalannya itu pergi menjala ikan di sungai untuk di buat lauk makan malam. Kenalannya itu setuju. Saya dengan nenek pula pergi ke sawah melihat dan memetik buah terung dan mentimun yang ditanam atas batas ben­dang. Sebelum menjelang waktu Maghrib kami berkumpul kembali di rumah.

Pada sebelah malam membawa ke waktu subuh datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran. Pada sebelah paginya, datuk mengajar kedua kenalannya cara membaling buluh runcing supa­ya tepat pada sasarannya. Menurut datuk, perkara itu perlu untuk mere­ka bila masuk ke dalam hutan kelak. Datuk tidak mahu mereka menggunakan besi jika berhadapan dengan binatang buas.

Masa yang ditetapkan pun tiba. Datuk sudah pun mengikat benang hitam bercampur putih pada pergelangan tangan kiri kedua orang kenalannya, manakala kenalan yang berbadan tegap pula datuk gantungkan benang hitam ber­campur putih di lehernya.

"Kau aku jadikan harapan”, kata datuk pada lelaki yang berbadan tegap itu.

Datuk menyerahkan pada mereka buluh kuning sepanjang tiga kaki, tiap se­orang. Datuk melihat matahari di langit.
Dia membaca sesuatu dan melangkah tiga tapak ke depan lalu memacakkan buluh kuning yang dibawanya kesitu. Datukpun menyukat bayang buluh itu dengan tapak kaki kanannya. Dia merenung wajah saya dan orang bertiga de­ngan tersenyum.

"Dah pukul lima lebih, eloklah kita pergi, semua barang-barang dah siap?", datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang berbadan tegap.

"Dah”, jawab lelaki itu.

"Periksa lagi sekali. Kita terpaksa bermalam dalam hutan, kalau tak kena caranya, kita pula yang sesat”

"Ah, seram juga dengarnya. Biarlah saya periksa”

Lelaki berbadan tegap itu terus memeriksa barang-barang yang akan dibawa sekali lagi. Dia yakin, semua barang yang diperlukan oleh datuk sudah ada. Tetapi datuk tidak puas hati, dia sendiri memeriksa barang-barang itu bagi kali terakhir.

"Saya puas hati”, katanya pada kami.

Tanpa banyak bicara datuk mening­galkan pesan pada nenek, kalau dia tidak pulang dalam masa tiga hari, dia
minta nenek memberitahu orang-orang kampung supaya mencarinya. Nenek berjanji akan melaksanakan semua pesan datuk, dan nenek mem­berikan doa selamat atas keberangkatan rombongan kami pada petang itu.

Bila sampai kegigi hutan, datuk menyuruh lelaki berbadan tegap dan berambut panjang jadi kepala jalan. Pada mulanya lelaki berbadan tegap itu enggan memenuhi permintaan datuk dengan memberi berbagai-bagai alasan.

"Jangan takut, aku tak membiarkan kamu susah, aku ada bersama kamu. Aku ingat kamu ikut saja cakap aku ni. Kamu sudah biasa datang ke sini, ini lebih memudahkan kita, cepat sampai ke tempat yang dituju," suara datuk mula keras.

"Saya ..... saya"

"Usah berdalih lagi. Jalan saja. Kalau aku jadi kepala jalan lambat sampai nanti. Semua kerja kita tak menjadi"

"Baiklah"

Lelaki berbadan tegap yang berambut panjang itu membawa kami masuk ke kawasan hutan sebelah kanan. Saya mula terasa sukar untuk melangkah. Kaki saya selalu sahaja tersepak akar-akar kayu. Pokok-pokok besar yang terdapat di situ semuanya dililit oleh akar yang berjuntaian, sesekali saya melihat ular daun memanjat akar menuju ke dahan pokok besar.

Nyamuk mula terasa menggigit muka dan telinga, manakala pacat hutan berkeliaran di daun-daun kayu dan cuba memanjat tubuh kami. Bunyi burung-burung hutan yang bersahutan membuat bulu tengkuk saya meremang. Beberapa ekor pelanduk melompat-Iompat di celah-celah perdu pokok besar.

"Jangan anaiyakan binatang itu, dia mahu hidup," pesan datuk bila dia melihat lelaki berbadab tegap mahu melontarkan buluh runcing ke arah binatang terse but.

Lelaki berbadan tegap itu segera minta maaf pada datuk. Matahari bertambah condong. Perjalanan menjadi bertambah sukar. Lelaki berbadan tegap dua tiga kali tersungkur akibat tersepak akar kayu.

"Jauh lagi ke ?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Tak jauh lagi, lebih kurang lima rantai dari sini"

"Tak apalah," balas datuk sambil meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba lelaki berbadan tegap itu berhenti melangkah. Mukanya pucat dan undur mendapatkan datuk. Keadaan jadi kelam kabut sebentar. Seekor harimau duduk mencangkung di hadapan kawasan yang akan kami lalui. Datuk tersenyum dan memaksa lelaki berbadan tegap itu mara. Ternyata lelaki berbadan tegap itu tidak berdaya melangkah. Dia jatuh terjelupuk. Kedua orang kawannya bersedia untuk lari tetapi diha­lang oleh datuk. Perbuatan datuk itu menimbulkan kemarahan pada mereka dan mereka menghalakan buluh run­cing kearah datuk.

"Awak berdua jangan nak buat kurang ajar de­ngan saya”, datuk mula marah.

Saya menggigit bibir dan terus duduk di pangkal pokok besar sambil memerhati dengan teliti kearah harimau. Saya lihat harimau itu menjelirkan lidahnya dan terus menguap.

"Awak nak anaiyakan kami!”, jawap salah seorang dari mereka.

"Anaiya apa, saya nak tolong awak”

"Harimau ada di depan awak suruh pergi”

"Apa salahnya?” ,

"Awak nak suruh kami mampus!”, pekik orang itu lalu merodokkan buluh runcing ke perut datuk.

Buluh runcing itu tidak dapat menembusi perut da­tuk. Orang itu jadi serba salah. Bila orang itu mencuba merodok perut datuk untuk kali yang kedua, ha­rimau yang ada di hadapan melompat dan terus merebahkan orang itu ke bumi.

"Jangan”, pekik datuk.

Harimau itu tidak jadi mencakar muka orang itu dengan kukunya. Datuk menepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Saya lihat harimau itu dengan penuh manja menjilat lengan datuk.

"Kau tahu aku ke sini”, kata datuk.

Harimau itu goyangkan ekornya sam­bil mengesel-geselkan badannya pada kaki datuk.

"Merbahayakah aku ikut sini?", tanya datuk pada harimau.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk. Dia mengaum dengan perlahan lalu memusingkan kepalanya dari arah matahari terbit ke arah matahari jatuh.
"Kita ikut arah yang ditunjukkannya”, kata datuk pada saya.

Datuk menyuruh lelaki yang mahu menikamnya dengan buluh runcing bangun. Begitu juga dengan lelaki yang berbadan tegap. Kali ini saya lihat gerak-­geri lelaki bertiga itu kian bersopan dan menghormati datuk. Mereka tidak berani memandang wajah datuk. Saya tidak tahu apakah perbuatan itu kera­na malu atau kerana mereka takut pada datuk.

"Biar aku jadi kepala jalan, kalau ada diantara kita berniat jahat, jangan marahkan saya bila menerima padahnya”, datuk mengingatkan lelaki bertiga. Mereka diam dan tunduk.

"Untut, kau jaga kami dan bawa kami ikut jalan selamat”, kata datuk.

Harimau yang berada beberapa ela di hadapan datuk segera menghampiri datuk dari rusuk sebelah kiri. Harimau itu mencium badan datuk dan menjilat tangan kiri datuk sebelum berlari ke depan semula. Kami terus mengekori harimau itu. Sebaik sahaja sampai ke satu kawasan lapang harimau itu terus ghaib. Datuk berdiri di kawasan lapang itu sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Kiri kanan kawasan lapang itu di tumbuhi oleh pokok -pokok buluh.

"Kita dah sampai”, secara mendadak sahaja lelaki berbadan tegap bersuara.

Dia terus berdiri dekat datuk. Tiba-tiba kami terdengar kokok ayam hutan bertalu-talu. Daun-daun buluh yang tua berguguran meskipun angin tidak bertiup ketika itu. Saya merenung di bahagian kawasan lapang yang ditumbuhi pokok-pokok buluh. Ternyata pokok-pokok buluh itu bersambung dengan kawasan hutan yang tebal hingga ke kaki Gunung Titiwangsa.

"Mana kolamnya?", datuk menyoal lelaki berbadan tegap.

"Mari kita ke hadapan lagi”, jawabnya.

Datuk pun mengikutinya. Saya mula terasa sakit pada pergelangan kaki. Badan mula terasa letih tetapi saya paksakan juga melangkah menuju ke tempat yang di cari.

"Disini”, jerit lelaki berbadan tegap.

Dan saya melihat sebuah kolam terbentang di hadapan mata dengan airnya yang cukup jernih. Di permukaaan kolam terdapat pokok teratai dan kiambang terapung-apung. Anak-anak ikan yang melompat mencipta alun kecil yang menghempas pada batang teratai. Suasana terasa nyaman dan sunyi sekali. Datuk segera memerintahkan kami mencari tempat yang sesuai untuk tempat duduk. Datuk dan lelaki berbadan tegap itu terus mengelilingi kolam tersebut. Sesekali saya terdengar suara harimau mengaum yang memberikan keyakinan pada saya bahawa kami berada da­lam keadaan yang selamat.

Saya lihat langit yang terbentang. Awan ber­selisih bersama pancaran matahari yang membekalkan keadaan yang samar-­samar di sekitar kawasan kolam.

"Pukul berapa?", tanya saya pada salah se­orang kenalan datuk yang duduk dekat saya. Orang itu segera melihat jam tangannya.

"Lagi lima minit pukul enam setengah”, katanya.

"Kalau di luar keadaan tak macam ini”

"Tentulah kita sekarang berada di tengah hutan, pokok-pokok besar ini melindungi sinar matahari”

"Betul cakap awak tu”, tingkah saya.

Kami berbalas senyum. Kawannya yang seorang lagi membakar ranting-ranting kayu untuk di buat unggun. Asap yang datang dari unggun itu menghalau nyamuk dari menggigit kami. Datuk dan lelaki tegap tu masih lagi mengelilingi kolam. Saya terus duduk mencangkung macam Cina kalah judi. Saya masih memikirkan bagaimanakah rupa dan bentuk burung belibis itu. Tanpa saya sedari, datuk dan lelaki berbadan tegap itu sudah berdiri di belakang saya. Datuk merenung ke tengah kolam macam mencari sesuatu. Semua orang yang berada di situ diam tidak berkata melihat keadaan datuk.

"Di mana hilangnya?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Di situ”, lelaki berbadan tegap itu menunjuk ke arah sebuah busut jantan yang tidak jauh letaknya dari perdu buluh.

Datuk anggukkan kepala. Datuk mengeliat dan menguap panjang, kemudian terus duduk dekat perdu buluh. Datuk termenung panjang di situ. Suasana yang tenang dan damai itu dipecahkan oleh bunyi suara azan. Kami berpandangan sesama sendiri. Kami tidak tahu dari arah mana suara azan itu datang. Bila suara azan itu ghaib, datuk segera bangun menuju ke bibir kolam. Datuk benamkan tangan kirinya ke dalam air kolam kira-kira dua tiga minit. Datuk buat tidak kisah tentang suara azan yang didengarinya itu.

"Kalau siapa nak mandi boleh mandi, tapi jangan pergi jauh”, ujar datuk pada kami.

Dia terus memacakkan buluh kuning yang di bawanya dalam kolam. Datuk terus basuh muka sambiI mulutnya bergerak-gerak macam mem­baca sesuatu. Keadaan di sekitar kawasan kolam bertukar dari samar-samar menjadi gelap. Bunyi burung-burung hutan mula kedengaran tingkah me­ningkah antara satu sama lain. Datuk terus memandang ke arah saya dan kawan-kawannya.

"Siapa yang mahu mandi, silalah turun”, suara datuk lembut.

Tidak ada seorang pun yang mahu memberi jawapan atas pertanyaan datuk itu, masing-­masing membatu dengan wajah cemas. Datuk pun beredar dari bibir kolam, berdiri dekat unggun api.

"Kalau mahu mandi, jangan lepas dari kawasan buluh yang aku pacakkan tu”, tambah datuk sambil membuka baju.

"Saya tak mahu mandi”, tiba-tiba lelaki berbadan tegap bersuara.

Dan dua orang lagi rakannya juga memberikan jawaban yang sama. Datuk ter­senyum sambiI membuka seluar dan membelitkan kain basahan ke pinggangnya. Datuk terus terjun ke dalam kolam. Setelah selesai mandi dan menyarungkan kain dan baju ke tubuhnya, datuk terus ambil air sembahyang. Bila melihat datuk berbuat demikian kami terus ambil air sembahyang.

Kami pun sembahyang Maghrib dan datuk jadi imamnya. Tidak ada sesuatu pun yang mengacau kami ketika itu. Bila selesai memberi salam, saya lihat ada harimau duduk tertungguk berhampiran perdu buluh. Bila datuk selesai membaca doa, harimau tersebut terus ghaib. Datuk tukar pakaian. Dia menyarungkan seluar dan baju hitam ke tubuhnya. Datuk lilit kepalanya dengan kain merah dan mendongakkan kepalanya ke langit, melihat langit dan awan kira-kira dua tiga saat.

"Kau yakin tempat ini belibis turun?”, soal datuk pada lelaki berbadan tegap.

Lelaki itu anggukkan kepalanya. Datuk kerutkan kening, dia terasa sudah cukup lama menanti, sedangkan belibis tidak juga turun bermain dalam kolam. Datuk terus berpeluk tubuh sebentar. Sepasang matanya tertumpu kepada air kolam yang tenang itu.

"Baiklah, kita mulakan sekarang. Jangan ada di antara kamu menegur apa yang aku buat”, datuk mengeluarkan perintah dan dia terus duduk bersila.

Kami pun segera mencari tempat duduk yang sesuai. Datuk terus me­nekan bumi dengan ibu jari kiri. Tiga kali berturut-turut dia melakukan perkara itu. Kemudian datuk pun meletakkan kedua lengannya atas kepala lutut kiri dan kanan. Mulutnya membaca sesuatu dan kedua belah matanya dirapatkan. Datuk menumpukan seluruh pancainderanya ke alam ghaib. Anehnya, saya lihat datuk berkali-kali menggelengkan kepalanya dan berusaha dengan se­daya upayanya menyatukan seluruh perasaannya dengan alam ghaib. Wajah datuk terus berpeluh.

Suara burung hantu mula kedengaran. Pokok-pokok buluh bergoyang dengan sendirinya macam dilanda ribut besar. Bermacam jenis suara mula kedengaran. Ada suara orang bertempik, ada suara orang membaca syair bersama paluan gendang. Bila suara itu hilang, seekor ular sawa sebesar batang kelapa merayap di hadapan kami. Ular sawa itu menuju kearah datuk lalu membuka mulutnya di belakang datuk. Badan datuk bagaikan berada dalam rahang ular itu. Manakala bahagian badan ular pula melingkari kawasan datuk duduk, tetapi, datuk tidak menghiraukan semuanya.

Kenalan datuk yang bertiga tidak dapat berkata apa-apa, wajah mereka pucat. Beberapa saat kemudian ular itu ghaib. Air dalam kolam pula berkocak. Kemudian berhenti, suasana kembali aman. Tidak ada sebarang keganjilan berlaku. Semuanya seperti keadaan biasa. Datuk berhenti dari tugasnya. Datuk nampak resah sekali, wajahnya yang dimandi peluh nampak merah. Saya terus menyuruh lelaki berbadan tegap menyalakan lampu gasolin. Tergesa­-gesa dia membuka bungkusan yang di bawanya. Dia keluarkan lampu gasolin dan minyak tanah lalu memasangnya. Cahaya gasolin menerangi seluruh kawasan tanah lapang. Datuk menggaru pangkal kening kirinya berkali-kali. Sesekali dia merenung ke arah busut jantan.

"Susah. Dia sudah tidak bernyawa lagi”, keluh datuk.