Followers

Tuesday, September 28, 2010

Episod ke-11

Menunggang Harimau Di Tengah Malam

Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibalingkan pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melempah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepuk dalam perut sampan.

"Dia sudah pergi," kata datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.

Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke bunglownya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown menyuruh saya dan datuk tidur di bunglownya. Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan bunglownya sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan bunglownya dengan rotan seni. Dan datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulan dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasuk ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.

Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.

"Orang putih tu tak jujur," datuk mengadu pada saya.

"Kenapa tok kata macam tu ?"

"Aku yakin dia tak jujur," suara datuk merendah. Saya bertambah binggung kerana datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.

"Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri," datuk merunggut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.

"Buat apa datuk ke rumah dia ?" Dia bukan ada."

"Kau mana tau, ini urusan aku." Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima petang datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.

"Jangan pegang bungkusan tu."

"Apa bendanya tok ?"

"Tanah yang diambil Mat Sallih bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg."

"Tok nak buat apa dengan tanah itu."

"Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.

Mendengar cakap datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan kumat-kamit membaca sesuatu.

Seminggu selepas datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England. Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di bunglow. Setiap kali dia tidur di bunglow tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr.Brown. Kadang-kadang pengurus baru tiu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman bunglow. Jadi, bunglow besar yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 bunglow besar itu dibakar oleh seorang pekarja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam bunglow tersebut. Sebaik saja bunglow itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam bunglow itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.

Semua peristiwa itu dijadikan datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini : Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Telalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiannya.

Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama datuk pergi ke tempat tersebut.

"Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi," datuk mengingatkan saya.

"Baguslah tu tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik."

"Kau bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?" tanya datuk.

"Saya malaslah datuk." Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian. Pada suatu petang. Selepas datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.

"Ada apa datuk ?"

"Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit."

"Habis datuk nak pergi ke sana ?"

"Hajat tu memanglah begitu."

"Kata datuk, datuk nak pergi ke Kampung Sadang."

"Itu tak mustahak yang penting adik beradik." Saya terdiam mendengar cakap datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalanraya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan datuk terpisah dengan keluarga.

Petang itu juga kami bertolak dari rumah datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.



Suara Harimau



Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, datuk mengejutkan saya.

"Bangun kita pergi ke Hulu Kuang."

"Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar."

"Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah," suara datuk keras.

Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.

"Sebentar lagi dia datang," Datuk beritahu saya.

"Apa yang datang tok ?" tanya saya ingin tahu.

"Kau jangan banyak cakap," Datuk menyergah saya.

Mukanya kelihatan bengis. Masa itu datuk sudahpun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman dharurat.

"Ke tepi," datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. Kemudian datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya mengeletar. Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.

"Makanlah kau lapar," suara datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung datuk. Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan datuk. Datuk mengosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan datuk tujuh kali.

"Bangun, kau dah kenyang." Mendengar cakap datuk itu , harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu menggaum lagi. Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.

"Ini cucu aku," datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah datuk. Datuk berdehem tiga kali berturut-turut. Harimau itu melunjukan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau.

Bulu harimau yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.

"Peluk tengkuknya kuat-kuat," datuk mengigatkan saya.

Antara sedar dengan tidak saya lihat datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.

"Ke Hulu Kuang," saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk. Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudahpun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.



Toyol



Sebelum harimau meninggalkan kami, datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. Lagi sekali datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh datuk kerana telinganya bergerak-gerak.

"Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita," suara datuk meninggi. Harimau itu mengguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu datuk terkejut , bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus menyoal datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.

Sambil minum kopi pagi, adik bongsu datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu datuk. Perbualan datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.

"Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni," saya terdengar suara datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.

"Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula," jawab adik bongsu datuk.

"Hai, musim dharurat pun kena berjaga malam ?"

"Berjaga dalam rumah ?" sahut isteri adik bongsu datu dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah datuk. Datuk saya lihat mengkerutkan keningnya.

"Kenapa pula tu. Ada pencuri ke ?" Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.

"Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya," datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu datuk tersenyum. Adik bongsu datuk termenung panjang.

"Susah orang nak menolongnya," begitu hampa nada suara adik bongsu datuk.

"Susah macam mana ?" tanya datuk.

"Kerja iblis."

"Kita lawan cara iblis."

"Begini, di kampung ni ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus." Adik bongsu datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. "biasanya toyol jadi-jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada dia masuk ?"

"Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri." Dengan penerangan adik bongsunya itu datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.

Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.

"Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi," jelas datuk dengan tenang.

"Macam mana caranya ?" soal isteri adik bongsu datuk. Mendengarkan pertanyaan itu datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.

"Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. " Cakap datuk itu membuat adik bongsu datuk dan isterinya berpandangan.

Dalam kepala isteri adik bongsu datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang menganggu kampung mereka. Nasib datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.

Tetapi, sebaik sahaja datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam. Dia didatangi dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.

Datuk pun mengejutkan saya.
Assalamualaikum..

Apa khabar semua yang mengenali diri ni. Diharapkan semua baik-baik belaka. Dirasakan sudah lama aku tak menulis di dalam blog aku ini. Terasa rindu pula bila sudah lama tak menulis di dalam blog aku ni.

Hari ini,atau lebih spesifiknya,minggu ini ada minggu bagi menjalankan aktivi presentati0n saja. Banyak betul perkara baru yang aku dapat pengalaman apabila aku menjalankan pembentangan. Diharapkan apa yg aku buat ini memberikan aku semangat dan juga kelebihan apabila aku bekerja nanti.

Nampaknya aku sudah tidak tahu apa yg aku hendak tulis lg. Sehingga berjumpa lagi. Sekian.

Friday, September 24, 2010

Episod ke-10

Mencari Harta karun


Mahu atau tidak mahu. Saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.

"Berapa lama kita di sana tok," tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dahulu. Dia mahu mempastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.

"Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan."

"Keadaan mana tok ?"

"Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana."

"Bila kita nak bertolak."

"Aku fikir pagi esok saya."

Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.

Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya perhiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan menta datuk mengurutnya. Kalau tida masakan dia datang, fikir saya. Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup faseh bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Plastine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.

Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.

"Di sini, harta itu ada di sini,' ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.

"Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan," tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.

"Minggu dulu mandor saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandor saya tidak berani ambil," jelas Mr.Brown lagi,

"Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkangua."

Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. Satu ketika dalu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakamam di raja. Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.

"Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang." Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.

"Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara," Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.

"Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong," Mr.Broin berhenti menandakan peta dengan pensil merah. Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Ganga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.

"Dari mana awak tahu ?" Soal datuk.

"Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak."

"Kalau dapat awak mahu buat apa ?"

"Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak," ujar Mr.Brown dengan bangga. Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. Dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.

Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke sawasan pecah batu di Seputih. Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ. Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.

Lama juga bersampan di Sungai Bruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ. Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang. Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.

Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran. Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok. Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.

"Kita masuk ke dalam lagi," katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.

"Kita berada di kawasannya," kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gaslin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.

"Siapa namamu," tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.

"Ke mana ?" soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.

"Siapa namamu ?" ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.

"Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga," dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah yang dikutipnya. Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.

Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk mengali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana dalampeti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. Malam pun tiba. Fatuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.

"Tengkorak ni tak ada apa-apa," kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala. Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang mengoyangkan bahu kanan saya. Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.

Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.

Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.

Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang belaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.

Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.

"Kenapa begini," tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merunggut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.

Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.

Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.

"Ini merbahaya," bantah Mr.Brown.

"Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya." Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.

"Ok saya ikut."

"Begitulah." Datuk pun ketawa berdekah-dekah.

Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.

"Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain," kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya. Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam."

"Di mana tempatnya tok, " tanya saya tidak sabar.

"Sabar, esok saja aku ceritakan." Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.

Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara - dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.

"Puteri itu telah membawa aku ke mari, " kata datuk, "menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran." Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.

Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.

Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.

Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.

Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudahpun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : "Kalau kami salah ampunkanlah."

Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, mestipun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.

"Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhinati kami," lelaki bertubuh besar bersuara.

Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.

Wednesday, September 22, 2010

Episod ke-9

Panjat Bilik Anak Dara

Sepanjang malam itu, datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.

"Agaknya, dia sudah lari dari sini," beritahu datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.

"Lari atau menyiapkan diri," terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus menghirup air kopi.

"Biasanya perkara yang jahat tidak lama berkuasa," suara datuk lembut.

"Maksud awak ?"

"Yang jahat tidak diperkenankan oleh Tuhan," sahut datuk dan terus bangun.

Datuk menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah anak-anak getah.

"Tebang yang mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita," pesan datuk. Saya mengangguk. Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. Terkejut juga saya, bila melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan datuk. Saya kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam. Saya terus ke sungai untuk mandi. Lepas itu makan dan membaca suratkhabar jawi, memang datuk tidak pernah tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.

Tanpa di duga datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru padanya.

"Ada apa tok ?"

"Malam ini, kau turut sama berjaga."

"Sayaaa….." suara saya mati di situ. Kawan-kawan datuk mengetawakan saya.

"Kau takut ?" tanya datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata kawan-kawan datuk tertumpu ke muka saya.

"Tidak," jawab saya tegas. Kawan-kawan datuk berpandangan sama sendiri. Saya ditugaskan berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyurkan oleh datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.

Sementara menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal datuk tentang kehilangan Imam Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh datuk tentang Imam Hamid. Datuk cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi. Menurut datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.

"Tapi orang yang macam tu dak ada lagi," keluh datuk. Di mukanya terbayang rasa kecewa dan kesal yang amat sangat. Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.

"Macam mana orang tu boleh jadi begitu tok ?" soal saya. Datuk renung muka saya tepat-tepat. Dia mengaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong ke depan.

"Kadang berpunca dari keturunan, " ujar datuk.

"Caranya."

"Boleh jadi masa dulu ada datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri, bukan untuk tujun jahat, maklumlah orang zaman duu banyak mengembara dalam hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu," datuk berhenti bercakap. Dia telan air lior dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.

"Biasanya yang datang dari keturunan tu," jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri, umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala sungai. Dan orang itu akan sempurna terus," saya mendengar cakap datuk dengan penuh teliti.

"Di kampung kita ni macam mana ?" soal saya.

"Orang ini menuntut, tapi silap bawa, fasal tu dia mengganas."

"Silap macam mana ?"

"Tujuan dai menuntut untuk diri sendiri, tapi masa dia menuntut tu, boleh jadi dia menjalani pertapaan, masa itu dia dipengaruhi syaitan untuk membawa kerja yang tidak baik."

"Jadi."

Mendengar cakap saya itu, datuk jadi tergamam. Bila rasa tergamamnya hilang. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya dua tiga kali.

"Dia terus jadi syaitan," tambah datuk

"kerana itulah bila mahu menuntut ilmu keduniaan, terlebih dahulu mengisi dada dengan ilmu agama, dapat membesakan mana yang direlakan oleh agama dan yang mana pula ditegahnya. Tak boleh main ikut-ikut silap-silap gaya kita terkeluar dari ajaran agama.

"Keluar macam mana."

"Takbur dan menafikan kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sedangkan sesuatu yang berlaku adalah atas kehendaknya, kita boleh jadi murtad," Datuk segera bangun. Memang kalau dia masih ada depan saya, banyak lagi pertanyaan yang mahu saya tanyakan. Datuk tahu perangai saya. Dia memilih jalan mudah dengan meninggalkan saya.

Berjaga Malam

Tepat pukul sepuluh malam. Saya dan Bidin tiga suku mudar-mandir dari satu kawasan ke satu kawasan. Kemudain menuju ke kawasan rumah Haji Shafie dengan membawa sebatang kayu panjangnya kira-kira empat kaki. Saya tidak suka dengan perangai Bidin tiga suku yang suka bercakap besar. Sesekali dia bersilat tidak tentu fasal. Tidak boleh terdengar katak melompat. Dia buka silat. Kalau dekat dengannya bertabur darah kepala kena kayu di tanganya. Memang saya tahu, Bidin tiga suku baru dua bulan belajar silat cekak.

"Kau jalan seorang dulu Din, aku nak rehat di tangga surau," kata saya sambil duduk di anak tangga bongsu. Ketika itu sudah pukul sebelas lebih, bulan mula mengambang. Suara salakkan anjing. Mula kedengaran. Sayup-sayup.

"Ok, kalau aku jumpa, aku lipat empat,"

"Jangan begitu, tak baik." Saya terdiam. Bidin tiga suku terus meronda. Dua minit kemudian Bidin tiga suku datang pada saya.

"Kenapa ?" tanya saya sambil melihat muka Bidin tiga suku yang pucat lesi. Dia tidak bersuara, jari kelingkingnya menunjukkan ke arah pangkal pokok mempelam. Dada saya berdebar. Saya beranikan diri pergi ke pangkal pokok mempelam. Sebaik saja saya sampai ke pangkal pokok tersebut. Saya terserempak dengan seekor kucing hitam belang putih menangkap tikus. Saya segera mendapatkan Bidin tiga suku kembali.

"Tak ada apa pun di situ ?" kata saya.

"Di situ, aku jumpa dia, biarlah aku balik dulu, perut aku sakit," kata Bidin tiga suku terputus-putus. Saya membenarkan dia pulang. Tahulah saya kenapa Bidin tiga suku jadi begitu. Saya terus berjaga tanpa Bidin tiga suku. Berjaga tanpa kawan bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Dua tiga kali aya membuat keputusan untuk pulang, tapi kerana memikirkan keselamatan orang ramai saya terpaksa juga berjaga. Suara lolongan anjing makin hebat. Sekali-sekala terdengar bunyi suara burung jampok. Tingkah meningkah dengan suara burung hantu.

Angin malam terus juga bertiup, dedaun bergerak. Saya keraskan semangat dan terus meronda. Kalau ada apa-apa yang meragukan hati, saya akan terus memukul bedok memberitahu kawan-kawan lain. Saya terus berjalan di bawah sinaran bulan yang agak kabur itu. Waktu saya sampai ke pangkal pokok mempelam bagi kali yang ketiga. Saya lihat kucing hitam berbelang putih masih lagi bermain dengan tikus yang ditangkapnya. Saya berdiri di situ. Tiba-tiba bahu saya ditepuk dari belakang. Darah saya tersirap. Badan saya mengeletar. Tidak berani saya menoleh ke belakang saya benar-benar jadi kelam-kabut. Saya mula mahu menjerit, tapi sepasang tangan mencekup mulut saya dengan keras. Saya berhempas pulas berusaha melepaskan diri. Saya terasa mulut saya tidak dicekup lagi. Segera saya menoleh ke belakang.

"Pak Imam."

"Iya, jangan bising,"

Imam Hamid memberi amaran. Dia berkain pelikat. Berbaju Melayu putih dan bersongkok putih. Matanya merah merenung ke muka saya.

"Ke mana Pak Imam menghilang."

"Itu bukan urusan kau."

"Pak Imam yang jadi……," belum sempat saya menghabiskan perkataan, Imam Hamid menarik tangan saya ke bawah pokok mempelam. Dia suruh saya duduk dan dia berdiri gagah di depan saya tidak memalingkan pandangan ke mana-mana. Saya tentang wajahnya dengan harapan di bawah sinaran bulan yang muram, saya dapat melihat pertukaran wajahnya dari manusia kepada anjing. Apa yang saya harapkan tidak terjadi. Pak Imam tetap berwajah manusia. Suara salakkan anjing terus menerus. Burung kian kuat berbunyi. Angin malam menggugurkan mempelam tua. Dengan mendadak saja bulu tengkok saya berdiri.

"Datuk kau berjaga sebelah mana ?"

"Sebelah barat Pak Imam ?"

"Bagus, satu peluang yang baik."

"Apa yang Pak Imam cakapkan ini."

"Kau mana tahu," suaranya keras sekali. Dia menarik tangan saya dengan kasar menuju ke surau. Tidak lama kami berdiri dekat surau. Pak Imam menarik tangan saya menuju ke rumah Pak Jalil. Dia berdiri betul-betul dekat tingkap bilik Minah anak dara Pak Jalil. Saya makin yakin, bahawa manusia berkepala anjing yang dicari selama ini, adalah Pak Imam. Cara yang paling baik saya pilih ialah memukul kepala Pak Imam dekat kayu bila dia terlali.

Sesungguhnya Pak Imam cukup berhati-hati dalam kerjanya. Dia tahu dan ingat tiap langkah yang sudah dan langkah yang akan dibuatnya.

"Saya panggil orang kampung Pak Imam."

"Jangan, tegahnya. Saya bertambah bingung dengan sikap dan tindak-tanduk Pak Imam Hamid.

"Mari berlindung," Pak Imam Hamid menolak badan saya hingga jatuh atas tanah. Kemudian kami merangkak perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok asam jawa yang dikelilingi oleh semak samun. Pak Imam Hamid mendongak ke langit melihat bulan. Wajahnya nampak muram, kerana bulan dilangit dilindungi oleh awan tebal. Bila awan tebal berlalu bulan tersembul indah di dada langit. Wajah Pak Imam nampak berseri-seri. Mulutnya mula kumat-kamit membaca sesuatu. Dada saya mula berdebar.

Dalam keadaan yang mendebarkan itu, saya lihat Pak Imam Hamid menukar baju dan kain dengan seluar. Seluruh badan Imam Hamid dibalut oleh kain hitam. Songkok putihnya juga ditukar hitam.

"Aku mahu jadi anjing," katanya sambil menekan batang leher saya ke bumi. Hidung saya mencium tanah. Imam Hamid meniarap. Sama rata dengan tanah. Dia memberitahu saya supaya jangan lari atau menjerit. Kalau saya tidak menurut perintahnya, dia akan menikam saya dengan lawi ayam. Saya bertambah menggeletar. Suara anjing bertambah kuat. Angin makin kencang bertiup. Berdetup-detap bunyi ranting menimpa bumi. Bulan terus mengamban. Suara katak bertambah rancak menyanyi. Imam Hamid masih meniarap. Matanya merenung ke arah runpun senduduk dan serunai laut di sebelah kanan rumah Pak Jalil. Dua ekor anjing hitam keluar dari situ meraung panjang ke bulan. Ekornya terpacak ke langit. Rumpun seduduk dan serunai laut bergerak hebat. Imam Hamid tidak berkata sepatah apa pun. Mulutnya terus kumat-kamit. Saya lihat matanya tidak berkedip memandang belukar kecil di depannya.

"Lihat katanya." Saya memandang ke depan, seorang lelaki berkulit hitam berkepala anjing keluar dari celah semak itu. Di meraung bagaikan anjing merenung bulan. Lembaga manusia berkepala anjing melompat ke arah tingkap tempat Minah tidur.

"Datuk kau di mana ?" bisik Imam Hamid.

"Macam saya cakap tadi. Orang ini membalas dendam, selagi keluarga datuk kau tidak dirosakkan dia tidak akan berhenti,"

Saya segera teringat Pak Jalil memang ada hubungan keluarga dengan datuk, malah dalam perkiraan datuk, Minah mahu dijadikannya isteri pada seorang cucunya. Jadi cakap Imam Hamid ini memang ada benarnya. Fikir saya sendirian. Dalam berfikir begitu saya lihat manusia berkepala anjing menepuk dinding, dan daun tingkap rumah Pak Jalil terkuak dengan sendirinya.

Manusia berkepala anjing melompat ke atas. Bertenggik di bendul tingkap. Saya bertambah kelam-kabut. Imam Hamid bangun menuju ke bawah rumah. Dia terus bertempik dan menjerit sekuat hati., kemudian diikuti dengan suara azan yang nyaring. Saya terus menuju ke surau lalu memukul beduk. Bila saya pulang ke tempat asal, saya lihat Imam Hamid sedang berhadapan dengan manusia berkepala anjing. Manusia berkepala anjing terus menyerang Imam Hamid. Dengan tenang Imam Hamid mengelak serangan itu. Saya mendekati Imam Hamid. Dia menyuruh saya pergi jauh. Jelas kedengaran Imam Hamid membaca ayat-ayat suci masa dia bertarung dengan manusia berkepala anjing. Saya terus berdoa semoga orang-orang kampung akan datang segera ke tempat Imam Hamid. Dalam keadaan yang gawat itu, saya lihat manusia berkepala anjing tidak berdaya menyerang Imam Hamid. Dia lemah. Ketika itulah Imam Hamid memasukkan jawi ayam ke perut manusia berkepala anjing. Imam Hamid meneruskan pembacaan ayat-ayat suci.

Manusia berkepala anjing berguling-guling atas tanah. Seluruh isi rumah Pak Jalil terjaga. Dan orang-orang kampung pun tiba. Datuk meluru ke depan, Imam Hamid segera menghalang.

"Jangan dekat dia, biarkan di situ nanti kita akan tahu siapa dia."

"Biar saya tikam," kata datuk.

"Jangan, kita cuma boleh menikam hanya sekali, kalau dua kali kita tikam dia tidak akan mati," terang Imam Hamid. Datuk akur dengan perintahnya itu.Bila manusia berkepala anjing itu berhenti menggelupur, kepalanya segera hilang dan diganti dengan kepala manusia.

"Anjang Dollah," kata datuk. Imam Hamid senyum, saya bertambah bingung. Macam mana orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Perkara itu segera tanyakan pada Imam Hamid. Dengan senyum Imam Hamid menjawab, "roh dan badannya tidak di terima bumi, keran mengamalkan ilmu salah."

"Begitu," sahut saya lembut. Saya lihat bekas tempat manusia berkepala anjing itu berguling terdapat batang pisang. Datuk terus memotong batng pisang itu tujuh kerat. Dua dibuang ke dalam semak dan yang lima lagi dicampakkan ke laut pada keesokan harinya.Atas arahan Imam Hamid, dia menyuruh penduduk kampung membaca Yassin empat puluh empat malam berturut. Perintah itu juga dituruti oleh orang-orang kampung. Sejak itu kampung saya tidak diserang oleh manusia berkepala anjing hingga sekarang.



Dua bulan lepas peristiwa itu, datuk mengajak saya pergi ke Kampung Sungai Sadang. Datuk ke situ kerana, dia diajak oleh kenalan rapatnya menangkap burung waktu malam. Saya membantah rancangannya, tapi datuk yang terkenal dengan keras kepala itu tidak peduli dengan bantahan saya.

START BERJUANG SEMULA

SALAM.

APA KHABAR SEMUA?? DIHARAPKAN SEMUA YANG MENGENALI DIRI INI SIHAT-SIHAT BELAKA..
SETELAH KITA LALUI BULAN SYAWAL INI, DAN MASIH LAGI BERADA DI DALAM BULAN SYAWAL, SUASANA RAYA MASIH LAGI KITA RASAI WALAUPUN TELAH BEBERAPA MINGGU 1 SYAWAL MENINGGALKAN KITA..

DAN AKU, AKU TELAH PULANG KE MELAKA UNTUK MENERUSKAN PERJUANGAN MENDAPATKAN SEGULUNG DIPLOMA(EH, BARU DIPLOMA!!!,HIHIHI).. TAK KIRA LAH DI MANA KITA MENUNTUT ILMU, SELAGI KITA TIDAK DIUSUNG DI DALAM KERANDA, TIDAK DI SIMPAN DI TANAH PERKUBURAN, KITA MESTI MENUNTUT ILMU SEHINGGA KE LUBANG CACING SEKALIPUN..

AKU BERTOLAK DARI RUMAHKU UNTUK PULANG KE MELAKA PADA PUKUL 8.30 PAGI.. BERAT RASANYA UNTUK AKU MENINGGALKAN KAMPUNG HALAMAN,NAMUN APAKAN DAYAKU ( TU LA, SAPA SURUH BELAJAR JAUH-JAUH!!) DI PERTENGAHAN JALAN, AKU TERSESAT UNTUK MENCARI HIGHWAY SELAMA SEJAM LEBIH.. MAKLUMLAH TAK PERNAH BERJALAN JAUH, NAMUN ALHAMDULILLAH AKHIRNYA AKU SAMPAI JUGA KEPADA RAKANKU YANG MENUNGGU DI KAWASAN HENTIAN REHAT LEBUHRAYA..

PERJALANAN KAMI BERDUA BERJALAN LANCAR TANPA SEBARANG MASAELAH DAN KAMI SEMPAT BERAYA DI RUMAH SAHABAT SERUMAH DENGAN KAMI DI TANJUNG MALIM PADA PUKUL 1.30 PETANG..SEMPAT MAKAN KUIH RAYA DAN MAKAN MEE GORENG... REZEKI JANGAN DITOLAK,MAUT CARI SENDIRI.. KEMUDIAN KAMI MENERUSKAN PERJALANAN PADA PUKUL 2PETANG.. CUACA PADA MASA ITU PANAS TERIK..

SEMASA MELALUI LEBUHRAYA SEREMBAN N9, HUJAN TURUN DENGAN LEBAT, SELAMAT PAKAIAN DAN LAPTOP KAMI APABILA KAMI MENGAMBIL LANGKAH PENCEGAHAN DENGAN MENINGGALKAN BEG DAN JUGA LAPTOP KEPADA RAKAN KAMI YANG DI TANJUNG MALIM ITU..( DIA PULANG KE MELAKA MENAIKI KERETA).

TEPAT PUKUL 5 PETANG, ALHAMDULILLAH KAMI SELAMAT SAMPAI DI RUMAH SEWA KAMI.. DENGAN PAKAIAN YANG BASAH KAMI SEMPAT LAGI MERAIKAN HARI JADI RAKAN KAMI YANG MENYAMBUTNYA PADA HARI TERSEBUT.. SEMOGA PANJANG UMUR DAN DIMURAHKAN REZEKI.. SESUDAHNYA MAJLIS KECIL-KECILAN TERSEBUT, AKU MANDI DAN TERUS TIDUR.. TAK INGAT DUNIA..HAHHAHA!!!!!!!!!

(Apa yang aku tulis ini adalah perjalanan pulang aku ke melaka pada 19.09.2010/sabtu lepas)

Thursday, September 16, 2010

(Manusia Berkepala Anjing - Siri ke 8)

Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang.
"Mustahak ke ?" soalnya agak ragu.
"Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam."
"Dengan diri saya ?"
"Iya," datuk angguk kepala.
Tanpa banyak bicara Imam Hamid mengikut datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila di anjung rumah. Macam selalu datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah kakinya berdiri lutut. Ini memang amalan datuk. Menurut datuk duduk begitu bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu menyerang, payah hantu syaitan mahu mengoda.
"Apa dia perkara yang mustahak tu?" Imam Hamid mula mendesak. Datuk tersenyum. Serentak dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.
"Begini," datuk menggeliat dan terus bercerita :
"Anjang Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia mati dibunuh syaitan yang dibelanya." Imam Hamid terkejut. Kemudain dia senyum. Sepasang matanya merauti paras datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur orang tua-tua bercakap.
"Pemintaan saya diberkati Allah." Itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya bercahaya memandang muka saya.
"Dengan apa Pak Imam membinasakan kerja laknat tu, "datuk terus bertanya. Imam Hamid gosok batang hidungnya beberapa kali.
"Dengan ayat Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan, lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati Tuhan." Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada datuk. Datuk angguk kepala. Imam Hamid pun terus bercerita pada datuk tentang diri Anjang Dollah. Menurut Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak mengamalkan ilmu kedudukannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan rambut orang yang baru mati beranak.
"Agaknya dia dukun sihir Pak Imam," dengan mendadak datuk bersuara. Imam Hamid mengakuinya sambil berkata : " Dia sudah dipengaruhi syaitan sanggup mengambil darah orang mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya."
"Siapa pula yang di belanya tu ?" saya tanya. Datuk merenung dengan marah pada saya.
"Hantu itu, adik perempuannya sendiri, dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh sesiapapun."
"Dahsyatnya," ujar datuk.
"Memang dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia untuk menghantarkannya." Imam Hamid berhenti bercerita. Dia minta diri untuk pulang ke rumahnya. Mula daripada malam itulah datuk mendapat tahu, bahawa Imam Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat. Sifat orang terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di mata orang ramai. Inilah yang mengkagumkan diri datuk.
Sebaik sahaja Imam Hamid pulang. Saya dan datuk tidak dapat tidur. Rumah datuk diganggu dengan bermacam-macam cara. Pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu datuk terbakar sendiri. Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk di tengah rumah. Bila datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh dan batang pisang.
"Syaitan, semuanya kerja syaitan," keluh datuk. Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja datuk sembahyang semua daun pisang dan batang buluh hilang. Pagi itu, kami berdua segera pergi ke tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan. Imam Hamid dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ. Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke dalam guni. Dua orang anak muda sudapun mengandar guni yang berisi mayat Anjang Dollah.
Datuk segera mendapatkan Imam Hamid minta kebenaran untuk melihat mayat Anjang Dollah. Permintaan datuk itu tidak dihampakannya. Sebaik sahaja datuk melihat mayat Anjang Dollah dalam guni. Air mukanya segera berubah. Jadi cemas.
"Kenapa jadi macam itu ?" Datuk dengan tiba-tiba bersuara.
"Itulah pembalasan yang dapat kita lihat, bila orang melakukan kerja-kerja yang bertentangan hukum Allah," bisik Imam Hamid pada datuk. Mayat Anjang Dollah pun dibawa ke rumah. Dia dimandi dan dikapan, akhirnya disemadikan di tanah perkuburan.
Cerita tentang Anjang Dollah pun padam dari jadi pokok perbualan orang-orang kampung. Datuk mula berkawan dengan Imam Hamid. Tujuan utama datuk berkawan ialah untuk menambahkan ilmu buat dirinya. Orang yang selalu dibawa oleh datuk ke rumah Imam Hamid, saya sendiri. Kadang-kadang saya jadi bosan dan benci dengan perangai datuk itu. Bila saya memprotes, datuk cuma ketawa sahaja. Dia berharap benar-benar supaya saya ambil tahu tentang kepandaian orang Melayu dalam beberapa bidang tertentu yang menurut datuk kebolehan dan kepandaian itu sudah mulai pupus. Pada dasarnya , saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh datuk itu.
"Aku tak mahu kau jadi dukun atau pawang," kata datuk pada satu malam.
"Tak guna saya ikut datuk."
"Ada gunanya,"
"Apa gunanya, sekadar untuk tahu sahaja tak lebih dari itu, aku mahu kau jadi doktor atau peguam."
"Jadi dukun, sama juga tarafnya dengan doktor."
"Itu pendapat yang salah," dalih datuk.
Kerana malam itu terlalu dingin, saya minta pada datuk untuk tidur dalam biliknya. Permintaan saya itu diizinkan oleh datuk dengan syarat saya tidak dibenarkan mengusik semua perkakas datuk dalam biliknya. Pesan datuk itu saya akur. Waktu saya menolak pintu bilik datuk, saya lihat jam di ruang tengah baru pukul sebelas malam. Sepatutnya saya tidur lebih awal dari itu kerana esoknya saya mesti pergi ke Kuala Lumpur untuk temuduga sebagai buruh hutan atau forest labourer.
Datuk sudahpun memberikan beberapa petua untuk temuduga tersebut. Antaranya, bila saya mahu melangkah harus dimulakan dengan kaki kanan. Tidak boleh berpatah balik. Bila berhadapan dengan orang yang menemuduga kelak. Saya harus membengkokkan jari telunjuk saya sambil berkata.
"Aku tidak mematahkan jariku, tapi mematahkan hati orang yang menyoal. Biar dia simpati dan kasih pada diriku." Sebaik sahaja berkata begitu, saya disuruh salawatkan Nabi tiga kali sambil membaca ayat Kulya.
Semuanya saya lakukan dalam hati. Saya masuk ke dalam bilik datuk rebahkan badan atas katil. Tiba-tiba saya rasa katil bergerak. Saya bangun dan menoleh ke kanan. Badan saya mengeletar. Seorang lelaki berbadan tegap, bermandikan peluh, berdiri di situ. Muka lelaki itu kelihatan hitam. Bila direnung lama-lama muka lelaki itu berubah menjadi muka anjing yang garang mula dari pangkal lehernya.
Lelaki itu menjelerkan lidah anjing dan cuba menjilat badan saya. Saya terus menjerit, serentak dengan itu datuk melompat ke dalam bilik dengan keris di tangan. Manusia berpala anjing merenung muka datuk dan bersedia untuk menerkam padanya. Datuk angkat tangan kiri separas dada. Tangan kanannya menunjuk ke arah manusia berkepala anjing. Jari manis dan jari kelingking datuk berkait antara satu sama lain. Manusia kepala anjing melompat ke sebelah kiri, kemudian hilang di balik dinding. Serentak dengan itu juga tingkap bilik datuk terbuka kemudian bagaikan dihempas oleh sesuatu benda, papan tingkap memukul jenang, seluruh bilik bergegar. Barang-barang yang tersangkut di situ jatuh berserak ke lantai.
Datuk menerpa ke tepi tingkap. Dilihatnya bulan sedang mengambang. Angin tidak bertiup tetapi pokok rambutan gading di depan rumah bergerak. Beberap minit kemudian terdengar salakkan anjing bersahut-sahutan. Datuk meniup tingkap. Dia menyuruh saya pindah ke bilik lain yang dekat dengan bilik nenek.
"Jaga cucu kita ni baik-baik," datuk beritahu nenek
"Awak na ke mana ?"
"Aku nak selesai masalah baru ini di rumah Imam Hamid."
"Awak nak pergi seorang."
"Tentulah," suara datuk keras.
Baru lima langkah datuk melangkah di halaman terdengar jeritan orang perempuan dari rumah Hussein Janggut. Datuk bergegas ke situ.
"Kenapa Sin ?" datuk tercungap-cungap.
"Bilik anak dara saya di masuk orang berkepala anjing."
"Kemudian apa jadinya ?"
"Dia cuba membawa anak dara saya keluar dari rumah ni," sungut Hussein Janggut parau. Dalam beberapa detik sahaja rumah Husein Janggut mula dikerumuni orang kampung. Malam itu sahaja sekurang-kurangnya lima buah rumah yang ada anak dara telah didatangi oleh mahluk manusia berkepala anjing. Seluruh kampung Paya Liam jadi gempar. Malam itu juga bentuk dibentuk jawatankuasa pengawal kampung. Seluruh isi perut kampung Paya Lima berazam mahu menangkap manusia aneh itu. Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.
Dua malam kemudian atas inisiatif Imam Hamid, orang lelaki Paya Lima dikumpulkan di surau. Mengadakan pembacaan Yassin untuk hindarkan manusia kepala anjing berluluasa di kampung tersebut. Ibubapa yang mempunyai anak dara diminta supaya jangan membenarkan anak dara mereka berjalan waktu malam, terutama ketika bulan mula mengambang. Setiap anak dara disuruh membawa pisau atau parang bila mahu tidur. Pintu dan tingkap harus dikunci. Datuk dan Imam Hamid sungguh runsing dengan kejadian itu.
Dalam sibuk-sibuk perkara manusia berkepala anjing, Imam Hamid menghilangkan diri dari kampung tersebut. Dengan itu beberapa tuduhan mula dilemparkan oleh orang-orang kampung pada Imam Hamid. Datuk bertindak tegas. Dia menolak semua tuduhan itu dengan alasan yang dapat diterima oleh orang-orang kampung.
"Cara yang paling selamat kita lakukan ialah bejaga pada setiap malam." Itu nasihat datuk pada orang-orang kampung. Beberapa orang dukun memberikan petua pada anak dara dan teruna supaya menaruh inai di jari manis. Dukun-dukun juga menasihatkan setiap rumah harus menyimpan Quran dan membacanya pada setiap malam. Dengan itu akan melumpuhkan kegiatan manusia kepala anjing datang ke rumah yang ada anak dara dan teruna.
Dukun-dukun atau pawang mengesahkan bahawa manusia kepala anjing itu adalah manusia yang datangnya dari kampung berhampiran yang sedang mengamalkan ilmu salah. Dia sedang menuntut ilmu seri pandang yang antara lain memaksa penuntut ilmu menjadi anjing. Dia akan menjadi manusia yang kacak dan cantik, bila dia sudah dapat memperkosa empat puluh orang gadis atau dapat menghisap darah anak teruna sebanyak empat puluh empat orang. Kalau dia tidak dapat berbua begitu, dia akan terus menjadi anjing berbadan manusia hingga hari kiamat. Kalau dia berjaya, dia akan dapat menguasai hantu syaitan yang akan memberikan kemewahan pada dirinya.
Malam itu, datuk pulang dari surau sesudah membaca Yassin. Waktu datuk mahu melintasi parit kecil yang memisahkan Kampung Paya Besar dengan Paya Lima, datuk terpandang pokok keduduk dan serunai laut tepi parit bergerak-gerak. Datuk sembunyikan diri di balik pokok besar. Di langit bulan mula mengambang, makin kuat sinar bulan memanah bumi, makin kuat pokok-pokok kecil di situ bergerak.
Anjing mula bersuara keras. Datuk membuat keputusan untuk mengetahui apakah gerangan yang bergerak dalam hutan kecil itu. Bila bulan sudah cukup mengambang. Datuk melihat satu lembaga manusia bergerak dan berjalan macam anjing, mencium tanah dan pokok-pokok di situ.
"Syaitan," sergah datuk. Lembaga itu terus menyalak macam anjing. Dari merangkak lembaga itu tegak berdiri. Dengan tiba-tiba sahaja beberapa ekor anjing besar mengelilingi lembaga itu.
"Engkau rupanya memang aku cari selam ini," suara datuk keras. Bila dia melihat manusia berkepala anjing hitam itu dengan matanya yang bercahaya ke merah-merahan. Bulunya cukup tebal. Giginya putih tajam dan air lior melilih di muncungnya. Rupanya cukup mengerikan. Manusia berkepala anjing itu mula menerkam pada datuk. Macam selalu datuk yang memang pandai bersilat itu mengelak dengan mudah. Perbuatan datuk itu menaikan darah manusia berkepala anjing itu. Ia melolong dengan kuatnya. Empat ekor anjing hitam di sampingnya datang menyerang datuk. Anehnya semua anjing-anjing itu hilang entah ke mana, bila datuk membaca ayat Al-Kursi. Dengan itu menguatkan hati datuk, bahawa dia berhadapan dengan syaitan.
Sekarang, datuk berhadapan dengan manusia berkepala anjing satu sama satu. Tidak mudah bagi datuk untuk menewaskannya. Manusia berkepala anjing tidak menyerang datuk, tapi dia menenung muka datuk dengan matanya yang bersinar tajam. Dua kali datuk jatuh terlentang. Belumpun sempat manusia berkepala anjing menerkam padanya datuk segera bangun. Datuk pun menggunakan ilmu kebatinannya untuk menentang manusia kepala anjing. Di samping itu datuk juga menggunakan ayat-ayat al-Quran. Datuk mula terasa musuh yang ditentangnya beransur lemah.
Benarlah, manusia kepala anjing itu mula rabah ke bumi. Dengan sekilas pandang datuk sudah dapat mengenali manusia berkepala anjing.
"Aku kenal kau," pekik datuk. Serentak dengan itu tempat manusia berkepala anjing terus ghaib. Datuk menang dalam perjuangan ini. Tapi datuk memang tidak menduga manusia yang jadi kepala anjing itu, adalah manusia yang dikenalinya. Dia pernah bercakap dengan orang itu. Memang di luar dugaan perkara itu boleh berlaku. Apakah orang itu melakukan semuanya kerana mahu membalas dendam. Persoalan ini timbul dalam kepala datuk sepanjang malam.

Teruskan Cabaran

Salam...

sudah lama aku tak menulis di dalam blog ini.. di dalam tiga empat hari ini... byak perkara sudah terjadi pada diriku ini... semasa aku menulis post ini pun, henset aku baru sahaja hilang.. entah di mana aku letak, aku pon tak tahu..pelik-pelik..

semoga aku dapat balik henset aku.. ok, berkenaan dengan diriku, sekarang ini di kampung aku sangat sibuk pada waktu malam.. setiap malam aku akan bermain futsal bersama rakan-rakan kampungku... bermacam-macam karenah dan telatah dapat dilihat semasa rakan-rakan ku sedang bermain.. walaupun letih, kami gembira..

Di sebelah petang pula, kami akan sibuk dengan bermacam-macam projek yang dijalankan oleh pemuda kampung bikan.. hari sabtu nanti akan ada majlis sambutan aidilfitri yang diadakan di masjid kampungku.. pemuda ditugaskan untuk membakar lemang.. aku berharap kami akan dapat melaksanakan tugas dengan sempurna..

Namun, pelajaran tidak boleh dilupakan, lagi 3 hari aku akan pulang kembali ke Melaka untuk study kembali... aku berharap aku tidak akan lupakan kampungku.. walaupun sudah dua minggu di kampung, belum puas rasanya aku untuk aku tinggalkan kampung halamanku ini...

Sunday, September 12, 2010

Episod ke-7

(Terkencing Dalam Seluar - Siri ke 7)


Bulan di langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan datuk terus melangkah dengan tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.
"Kenapa kita ikut sini tok ?" tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh datuk, bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.
Saya yang memakai baju Melayu cekak musang terpaksa mengulung lengan baju hingga ke siku, kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh aori embun. Langkah datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi-tinggi.
"Kita patah balik ikut jalan lain tok," saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti. Dia cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah di kaki seluarnya.
"kenapa mesti patah balik, ikut sini dekat," datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.
Cakapnya tidak boleh dibantah. Saya melangkah dengan hati-hati. Silap langkah nanti jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun-rumpun padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah. Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Wwan telah kelindungi permukaan bulan. Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun-daun dari pokok besar yang memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.
"Lagi cepat kita sampai, lagi baik," suara datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.
"Saya sejuk tok, jauh lagi ke ?"
"Ah, kejap lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang." Itu perintah datuk. Badan saya jadi mengeletar, macam-macam perkara buruk datang dalam hati saya.
"Tok jalan dulu, saya tak tahu jalan," saya berdalih.
"Kau tak tahu, atau pun kau takut ?" Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan datuk sampai di sebuah taliair. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di tepi taliair itu sambil merenung pada air yang mengalir.
"Jalan ke depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat," ucap datuk dengan tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun lebat. Cakap datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah ynag lebarnya kira-kira dau kaki.
"Ikut jalan ini ke utara," ujar datuk sambil meraba ulu golok peraknya. Saya anggukkan kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan datuk, suara burung hantu terus juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah perkuburan. Dari sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu-batu nisan terpacak dengan gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakkan anjing kian dekat terdengar. Pokok-pokok puding dan pokok-pokok kecil lain yang berhampiran dengan tanah kubur saya lihat bergerak-gerak, bagaikan ada benda yang menggoncangnya.
Awan tebal yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian dari jalan yang kami lalui, tiba-tiba awan tebal datang kembali menutup bulan dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang kelapa yang baru, memang datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk digunakan dalam satu-satu keadaan yang tertentu.
"Jalan cepat sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini," datuk menyuarakan suara hatinya. Saya diam.
"Langkah panjang sikit,"tambah datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja. Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan ranting-ranting, berderup-derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering. Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada datuk.
Saya dan datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.
Tanah perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan-akan mengikuti langkah kami. Datuk berhenti berjalan.
"Siapa tu," suarnya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih berjalan terhincut-hincut di depan datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan tebal dan cahaya dari andang datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak dapat melihat dengan jelas benda tersebut.
"Barangkali ada orang nak lalu," datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan datuk. Suara burng hantu dan jampuk bertambah galak. Salakkan anjing bertalu-talu, sayup-sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda putih terus menghampiri kami, bila datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut itupun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat mempastikan apakah dia masuk ke dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan. Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.
"Bukannya manusia," datuk membisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api andang daun kelapa.
"Kita ke tepi, biarkan dia lalu," perintah datuk. Saya patuh pada arahan datuk. Kami berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami. Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya. Apa yang saya lihat pada benda putih itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan tanah perkuburan, saya dan datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.
"Apa ni tok," tanya saya pada datuk.
"Kau diam, kau ikut saya apa yang aku buat,"
"Baik tok," saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah. Dia menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan perkuburan. Saya menurut sahaja. Dua tiga kali saya tersungkur kerana tersepakkan batu-batu nisan. Datuk berhenti.Saya mendongak ke langit, awan tebal sudah berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas, kami dapat apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah perkubur. Benda putih duduk dekat batu nisan.
Anjang Dollah dapat menyelesaikan semua tugas-tugas dalam masa kurang lebih empat puluh lima minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak-minyak ditampar sinar rambulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak. Kemudian dia berkata pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa kepala dan kakai itu, bagaikan terawang-awangan, bergerak dan berhenti di depan Anjang Dollah.
"Hai sahabatku, tunggu di sini, biarkan aku ambil kain kapan dan rambut perempuan, kemudian kau bawa barang-barang itu pulang ke rumah kita kau tunggu aku di sana, aku tak boleh balik bersama, kerana banyak kerja yang mahu aku selesaikan," itulah yang dicakapkan oleh Anjang Dollah pada sahabatnya.
Anjang Dollah terjun ke dalam kubur. Dia mengambil kain kapan orang mati beranak dan rambut. Lama juga Anjang Dollah berada di dalam lubang kubur. Benda putih tanpa kepala dan kaki berlegar-legar di tepi kubur. Kadang-kadang dia nampak bagaikan duduk di akar pokok cempedak. Suara burung hantu kian gamat. Suara jampuk bersahut-sahutan. Lolong anjing tingkah meningkah. Suara dahan kayu berlaga sama sendiri jelas kedengaran di rempuh angin malam. Ranting tua dan daun tua gugur ke bumi.
Saya bagaikan terdengar bunyi orang berjalan di belakang. Bila ditoleh , tidak ada apa-apa. Saya bagaikan terdengar bunyi burung terbang di atas kepala. Bila diperhatikan tidak ada apa-apa. Bulu tengkok saya berdiri tegak. Macam-macam perkara aneh saya rasakan. Saya rapat pada datuk yang duduk tenang. Mulunya membaca sesuatu, saya sendiri tidak tahu apa yang dibaca olehnya.
"Kau ingat, tidak ada benda yang berkuasa di dunia ini, selain daripada Allah yang maha besar, dan tiada manusia yang boleh melawan kekuasaannya. Ingatkan Allah yang maha besar," datuk memberitahu saya, bila dilihatnya saya mengeletar sendirian.
"Kau lihat di depan," datuk menajamkan mulutnya ke arah kubur yang digali oleh Anjang Dollah. Saya merenung ke depan. Saya lihat benda putih tanpa kepala dan kaki itu terjun ke dalam kubur. Saya terdengar bunyi suara Anjang Dollah terpekik dalam kubur, tanah kubur berterbangan ke udara, serentak dengan itu juga saya dengar suara mengaum macam suara harimau dari dalam kubur.
Suara jeritan Anjang Dollah beransur lemah. Tanpa dapat ditahan datuk meluru ke tanah kubur. Datuk mahu menolong Anjang Dollah, dia mengambil sepotong kayu, lalu memukul benda putih yang keluar dari lubang kubur. Setiap kali datuk memukulnya, benda itu tidak melawan, malah dia mengelak, akhirnya ghaib dari kawasan perkuburan. Datuk memanggil saya, waktu saya mahu sampai dekat datuk, saya rasa pangkal seluar saya basah. Sesungguhnya, saya tidak sedar waktu bila saya terkencing dalam seluar. Datuk suruh saya membakar andang daun kelapa. Saya patuh dengan cakapnya. Bila andang daun kelapa sudah terbakar. Kawasan sekitar tanah kubur yang digali oleh Anjang Dollah terang.
"Kau lihat ," datuk menuding jari kelingkingnya ke dalam lubang kubur. Lubang kubur saya jenguk. Anjang Dollah terbaring di dalamnya. Seluruh mukanya berdarah. Di sebelahnya terdapat mayat seorang perempuan, kepalanya sudah terpisah dengan badan. Kain kapannya sudah koyak dan berdarah.
"Perbuatan yang dikutuki oleh Allah, perbuatan sesat yang terpisah dari ajaran agama, cuma orang yang tidak beriman dan tidak percayakan Allah saja yang berani membuat kerja sial ini," datuk merungut panjang. Saya renung muka datuk. Wajahnya penuh kesal. Memang, di luardugaan datuk, bahawa pawang Anjang Dollah boleh membuat kerja yang tidak direlakan oleh agama Islam.
"Apa yang patut kita buat datuk," saya menyoal datuk. Lama juga datuk termenung di situ. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.
"Sebagai orang Islam, Anjang Dollah tidak boleh dibiarkan begini, dia harus dimandikan, dikapan dan ditanam serta dibacakan talkin," terang datuk.
"Siapa yang mahu menguruskan semuanya ini."
"Siapa lagi, kita yang mesti menyelesaikannya," datuk bersuara tegas.
"Dia membuat kerja yang silap, biarkan dia di situ," bantah saya. Datuk senyum. Suara burung hantu dan jampok terus bersahut-sahutan, tapi suara salakkan anjing sudah tidak ada lagi. Bunyi dahan jatuh masih kedengaran.
"Kau silap, kita tahu dia memang beragama Islam, soal dia membuat kerja yang tidak baik tu, soal dia dengan Tuhan," datuk memberitahu saya. Datuk membuat keputusan yang tepat. Dia mahu memberitahu pada seluruh penduduk tentang peristiwa yang menimpa diri Anjang Dollah. Dia mahu menghebahkan hal itu ke seluruh kampung. Datuk juga mengharap pada sesiapa yang mengambil ilmu salah atau yang berguru dengan Anjang Dollah supaya bertaubat dan membuangkan semua ilmu itu untuk kembali ke jalan Allah.
Saya merenung ke dalam kubur kembali. Saya lihat mayat perempuan mati beranak itu masih berdarah, saya kira perempuan itu tentu sahaja baru ditanam. Hal itu saya tanyakan pada datuk.
"Agaknya dia mati semalam," kata datuk.
Dia menarik tangan saya keluar dari kawasan perkuburan. Kami berpatah balik menuju ke kampung. Bila sampai di kampung nanti, datuk mahu melapurkan perkara itu kepada penghulu. Kami kembali meredah tanah sawah yang luas terbentang. Kali ini saya tidak mahu berjauhan dengan datuk. Datuk tahu perasaan hati saya. Dia menyuruh saya memegang painggang seluarnya.
Sebaik sahaja kami sampai di gigi kampung, saya dan datuk terserempak dengan Imam Hamid. Dia agak terkejut bila kami nyatakan yang kami baru sahaja kembali dari tanah kubur.
"Apa halnya," tanya Imam Hamid.
"Panjang ceritanya dan Pak Imam ni dari mana," soal datuk.
Imam Hamid terdiam. Kemudian dia memberitahu kami, bahawa dia juga mahu pergi ke kubur.
"Apa sebabnya," datuk mengemukakan soalan. Imam Hamid diam sejenak.
"Anak aku Sepinah mati beranak, dah ditanam pun pagi semalam."
"Kami tak tahu," jawab datuk.
"Silap aku, aku mahu menanamnya cepat, tiba-tiba malam ini hati aku teringatkan dia, aku bimbang kuburnya dikorek orang, kau sendiri tahulah sekarang, kubur perempuan mati beranak suka sangat digali orang," terang Imam Hamid.
Mendengar cakap Imam Hamid itu, wajah datuk segera berubah. Dia mula ragu dengan apa yang dituturkan oleh Imam Hamid. Jauh dalam hati datuk, timbul satu pertanyaan apakah Imam Hamid bersubahat dengan Anjang Dollah dalam perkara ini ? Datuk terus menepuk bahu Imam Hamid dalam mengajak dia pulang. Imam Hamid keberatan. Datuk terus memujuk. Ada sesuatu yang mahu disoal oleh datuk pada Imam Hamid. Kalaulah Imam Hamid membuat kerja terlarang, dia mahu memujuknya supaya kembali ke jalan Allah.
"Ke rumah saya saja malam ini, ada hal yang mahu saya tanya pada Pak Imam," kata datuk. Mendengar cakap datuk itu muka Imam Hamid berubah menjadi pucat.

Episod ke-6

(Melihat Jembalang Air - Siri ke 6)
Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.
"Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti." Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan raungan anjing yang mendayu-dayu.
Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.
Dalam suasana agak kelam-kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengag-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara-perkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci al-quran. Kali ini datuk membaca ayat 'Kursi' dengan khusuk. Semasa dia membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.
"Syaitan ?" kata datuk sambil meninggal kan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing-masing. Separuh dari pada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu-bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.
Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.
Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang-kadang jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mengetawakan pada orang yang menceritakannya.
Sebulan selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.
"Agaknya perut anak kau kembung," kata datuk sambil merenung muka Udin.
"Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya." Jawab Udin dengan tenang. Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yahng tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal-hal kedukunan.
"Bawa saja anak kau ke klinik," datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama-lama.
"Malam klinik dah tutup."
"Sepatutnya, kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa daktor lagi baik, sebabnya mereka boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,"
"Saya tahu, tapi…." Udin berhenti bercakap. Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di wajahnya.
"Baiklah, bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik," kata datuk lagi. Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin. Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk memgingatkan Udin supaya membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang dapat dikesan dengan cepat.
Pesan datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor dan menerima rawatan dengan baik. Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam. Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka mengalakkan orang-orang kampung berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.
"Mari ikut aku ke rumah Anjang Dollah," kata datuk pada saya.
Pemintaan datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan kawan-kawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.
"Apa halnya," tanya saya
"Sajalah,aku dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, anu nak tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya."
"Belajar buat apa ?" balas saya. Datuk tersenyum dan terus berkata : "Belajar untuk tahu apa salahnya, tidak merugikan kita."
Setelah mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau pertanyaan. Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk. Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak terpencil dari rumah-rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan berhadapan dengan sebuah belukar kecil.
Lebih kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah. Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya ialah untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.
"Apa salahnya, " balas Anjang Dollah dengan senyum bangga. Anjang Dollah pun mempersilakan saya dan datuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil. Di dalam bilik itu penuh dengan barang-barang perubatan seperti kemenyan hantu, buah limau, buah kelapa dan tempat membakar kemenyan. Di tepi bilik terdapat sebuah katil dengan tilam dan bantal bersarung kain hitam. Bantal dan tilam itu sudah buruk benar. Bila saya menghampirinya hidung saya tidak tertahan mencium bau hapak dari bantal dan tilam.
Bila saya mahu membuka kain tilam yang menutup katil itu saya ditahan oleh Anjang Dollah. "Jangan," suara Anjang Dollah keras. Saya duduk kembali. Hati saya ingin tahu, siapakah gerangan yang tidur di situ. Saya yakin ada orang yang tidur di atas katil itu, kerana bila saya perhatikan kain hitam itu bagaikan bergerak-gerak mengikuti tarikan nafas manusia.
"Siapa yang baring tu," datuk pula bertanya. Anjang Dollah merenung muka datuk. Saya mula resah tidak menentu.
"Sahabat saya, orang suruhan saya. Boleh disuruh keluar waktu malam dan balik pagi." Anjang Dollah memperjelaskan pada datuk. Saya dan datuk pun angguk kepala.
"Dia tidur agaknya," tanya saya lagi.
"Dia tak tidur," sahut Anjang Dollah.
"Kalau tak tidur kenapa tak bangunkan." Tingkah datuk.
"Dia malu tengok orang." Itulah jawapan Anjang Dollah. Jawapan itu sebenarnya tidak memuaskan hati saya. Dan saya mahu bertanya lagi. Bila saya mahu membuka ulut, datuk segera mencuit bahu saya. Fahamlah saya, bahawa datuk tidak mahu saya menyoal lebih lanjut tentang apa yang berada di atas katil.
Anjang Dollah meninggalkan kami di dalam bilik. Ada orang datang ke rumahnya. Sepeninggalan Anjang Dollah itu, bulu roma saya mula berdiri. Rasa takut datang dalam hati saya. Kalaulah tidak ada datuk di samping pasti tempat itu saya tinggalkan. Anjang Dollah datang. Dia minta kami duduk di ruang tengah. Di ruang tengah itu terdapat sorang perempuan muda. Duduk bersila di atas lantai. Perempuan muda itu datang ke rumah Anjang Dollah kerana mahu meminta tolong mengubati adiknya yang menjerit dan meraung tidak tentu arah macam orang gila.
"Adik saya kena buatan orang Pak Anjang," kata perempuan itu dengan muka agak muram. "Dia terpaksa diikat dengan tali di tiang rumah," tambah perempuan itu lagi. Anjang Dollah mengigit bibir dan terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Tanpa bercakap sepatah, Anjang Dollah terus ke dapur. Datang semula keruang tengah dengan mangkok putih yang penuh berair.
"Mari masuk ke dalam bilik saya, " Anjang Dollah menjemput peremmpuan , datuk dan saya. Kami pun masuk ke dalam biliknya. Anjang Dollah bersila, di depan katil. Matanya merenung air dalam mangkok putih sambil mulutnya membaca sesuatu. Entah apa yang dibacanya saya pun tidak tahu. Dia menoleh ke belakang merenung perempun muda seraya berkata, "Kau balik dulu."
Bila perempuan itu sampai dekat muka pintu. Anjang Dollah memanggilny akembali dan menyuruh perempuan itu duduk di depannya. Perempuan itu akur dengan perintahnya itu. Anjang Dollah terus membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit Anjang Dollah berbuat begitu. Mukanya bertukar menjadi hitam. Matanya jadi hijau berkilai. Separuh anggota badannya mengeletar, macam orang kesejukan. Lama juga Anjang Dollah jadi begitu. Hati saya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya ketika itu. Bila wajahnya berubah dalam keadaan biasa. Barulah Anjang Dollah bersuara, tapi suaranya bertukar menjadi parau.
"Siapa nama adik kau," tanya Anjang Dollah pada perempuan itu.
"Aishah."
"Berapa umurnya?"
"Sembilan belas tahun."
"Siapa nama emaknya."
"Hamidah."
Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.
"Hai sahabatku yang setia, pergilah engkau ke tempat asalmu, ambillah sehelai rambut perempuan mati beranak," kata Anjang Dollah. Kain hitam mula bergerak. Datuk duduk dengan tenang. Saya merasakan mahu buang air kecil, terasa mahu buang air besar. Saya jadi serba salah. Rasa mahu buang kecil dan air besar itu hilang juga, bila saya terfikir kalau masa buang air kecil atau buang air besar kain hitam itu akan datang pada saya. Buruk padanya.
"Pergilah sahabatku," ualng AnjangDollah. Dengan tiba-tiba kain hitam terjatuh atas lantai. Apa yang saya lihat di atas katil ialah bantal dan tilam bergerak sendiri. Tilam bagaikan digulong oleh orang.
"Dia sudah pergi," kata Anjang Dollah pada datuk. Datuk pun mengangguk kepalanya. Anjang Dollah pun mengambil kain hitam dan terus memberikan pada perempuan muda itu.
"Kau rimbaskan kain hitam ke muka adikmu tujuh senja, lepas tu kalau tak juga mahu hilang, kau datang ke mari lagi," kata Anjang Dollah. Dan perempuan itu pun menghulurkan wang pada Anjang Dollah. Dengan tenang perempuan itu meninggalkan rumah Anjang Dollah.
"Ini baru sedikit sahaja, minggu depan kalau kalian datang, kalian boleh lihat cara lain saya mengubat, saya boleh kenalkan awak berdua dengan sahabat saya itu," megah benar Anjang Dollah.
"Saya datang lagi," sahut datuk.
"Datanglah, tapi kena datang malam tau,"
"Baiklah."
Datuk memberikan janji. Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untuk menyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji biuntang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup-sayup dari gigi kampung.

Selamat hari raya!!!

Selamat hari raya,
aidilfitri mulia.
Haaaaaaaaaaa!!!!!!!! sambung sendiri ek??/
ihihihihih..

wah! sudah lama aku tak updated blog aku ni..lebih kurang sebulan semenjak laptop aku rosak.. sekarang laptop aku dah ok la sikit..alhamdulillah...
Dalam kesempatan raya ini, aku ingin ucapkan selamat menyambut aidilfitri kepada seluruh rakyat malaysia yang beragama islam.. mudah-mudahan raya pada kali ini lebih meriah daripada raya pada tahun-tahun lepas... Tak dilupakan juga kepada keluarga yang tercinta,rakan-rakanku yang mengenali diriku ini..

selamat hari raya juga diucapkan kepada seluruh umat islamdi seluruh dunia yang menyambut aidilfitri... lemang di dapur.rendang di kuali,ketupat di dalam perut,kuih muih raya yang sedap-sedap belaka.... semoga kita bergembira pada hari yang mulia ini..

Namun, harus kita ingat bahawa masih ada lagi yang serba kekurangan di dalam kita sedang bergembira,yang menyambut dalam keadaan daif ini... Ingatlah, satu hari nanti kita mungkin akan menjadi seperti mereka... jadi, bersederhanalah kita di dalam menyambut lebaran ini..

saban hari kita menonton tv tentang kejadian kanak-kanak tercedera bermain mercun,..oleh itu,jgnlah kita bergembira sampai lupakan keselamatan diri kita ini...ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka dan cubalah mencegah anak-anak mereka bermain mercun... semoga kita mendapat pengajaran daripada perkara-perkara yang telah berlaku ini..

hari raya pada tahun ini boleh dikatakan sederhana bagi aku..Sepanjang hari aku bersama-sama pemuda kampungku menziarahi rumah kawan-kawanku beraya...macam-macam ada!!!!!! mee kuah,mee sup, bihun goreng,bihun sup. lemang,ketupat dan macam-macam lagi hidangan yang disediakan... sampai kembung oerut aku ni..tak nak makan apa lak kata kawan-kawanku...jd terpaksa la aku makan..

raya ke tiga dan keempat nanti ada pula rumah terbuka,puh! makin gemuk lah perut aku ini..hihihi... semoga apa yang dirancangkan berjalan dengan lancar..AMIN!!!!!