Followers

Friday, April 22, 2011

EPISODE KE-70

BANTAL PELUK BERJALAN MALAM

“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.”

“Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”

“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.

“Kita setuju,” jawab datuk.

“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.

“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.

“Silakan,” ujar datuk tersenyum.

“Nanti dulu,” kata saya.

“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara datuk.

“Saya terkentut dalam diam tuk.”

“Ah kamu ni, ada ada saja. Pergi cepat.”

Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.

Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.

Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.

Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.

Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.

“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.

Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.

“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.

“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka datuk dan saya.

Serentak datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap datuk.

“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah datuk. Saya lihat datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.

“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.

“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan datuk berpandangan.

“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.

“Baik tuk.”

“Pergi sekarang.”

SEMPIT

Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.

Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.

Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.

Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.

Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.

Tiba-tiba saya tersepakkan benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.

Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.

Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.

Setelah diperhitung dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.

Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.

Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.

Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.

Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.

“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.

“Tuk Siak di mana?”

“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”

“Haji Salim yang mati.”

“Eloklah tu.”

Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.

Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.

“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.

“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.

“Sudahlah, tak lama lagi giliran datuk kamu.”

“Nyawa datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”

“Tunggu, dan lihat sendiri.”

“Laknat.”

Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.

“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.

Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.

Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.

“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.

“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.

“Pak Mat Upih kenal orangnya?”

“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.

Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.

“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.

“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.

“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”

“Bila balik ke sini?”

“Malam ni juga.”

Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.

Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.

Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.

Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.

Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh datuk. Menurut datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.

“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.

“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” datuk mempertahankan pendapatnya.

“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.

“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara datuk merendah.

“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”

“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”

“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.

Saya tersenyum mendengar percakapan antara datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.

“Tamar.”

Saya membuka mata. Saya lihat datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.

“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.

“Saya mengantuk tuk.”

“Kalau mengantuk balik ke rumah.”

“Saya takut tuk.”

“Takut?” datuk membeliakkan biji mata pada saya.

Saya terus menceritakan pada datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.

“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemanui oleh nenek.

Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.

“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”

“Ini sudah cukup baik tuk.”

“Cepat bangun.”

Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.

Langkah datuk cepat, tidak tersepakkan tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalakan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.

“Tamar.”

Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.

“Ada apa tuk?”

“Kau nampak apa-apa Tamar.”

“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan datuk.

“Ada orang tuk.”

Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.

Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan datuk.

Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan datuk, bagaikan kilat datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.

Orang itu terus tercengan. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.

Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.

“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.

“Kamal, kamu menggelarkan diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.

“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingkan pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.

Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.

“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu datuk lagi. Kamal terus bangun.

“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.

“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”

“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”

“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”

“Mana kamu tahu.”

“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” datuk berhenti bercakap.

Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.

“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”

“Ah mengarut.”

“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”

“Sudahlah.”

Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.

Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Mari Tamar.”

Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.

Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang datuk lakukan dalam biliknya.

USUNG

Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.

“Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Kau ingat dengan Daud.”

“Ingat tuk, kenapa tuk.”

“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”

“Betul ke tuk.”

“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”

Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.

Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.

“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.

“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.

“Ya Pak Lebai,” jawab saya.

Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.

“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.

“Borhan beritahu.”

“Macam mana datang?”

“Jalan kaki Tamar.”

“Jauh tu Pak Lebai.”

“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.

Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh datuk.

“Bila mahu dikebumikan,” tanya Lebai Din.

“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”

“Bagus, menyegerakan mengkebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.

Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.

“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada datuk. Saya lihat datuk terkejut.

“Macam mana awak tahu.”

“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”

“Biadab, manusia biadab.”

“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”

“Bersyukur, bersyukur apa?”

“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”

“Begitu,” saya lihat datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri datuk.

Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.

“Mata kamu rabun.”

“Tak, saya nampak tuk.”

“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara datuk keras. Saya terus diam.

Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.

“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.

“Saya kehilangan kawan,” tambah datuk lagi.

“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.

“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu datuk. Muka datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.

EPISODE KE-69

ILMU KAUM KUBU

“Kamu ni ada-ada saja,” datuk terus meraba dan menggosok serta memicit pergelangan kaki saya. Berkerut muka saya menahan sakit. Sendawa saya bertalu-talu.

“Aku dah pesan. Setiap kali bangun tidur, jangan bangun terus. Pusing ke kanan sekali, pusing ke kiri sekali sambil gerakkan kaki dan tangan perlahan-lahan. Kemudian duduk dan membongkok dua tiga kali. Kemudian menggeliat perlahan-lahan dan tarik nafas panjang-panjang,” datuk mula membebel.

“Saya jarang buat tuk.”

“Inilah yang susah. Ada petua diberikan tetapi tidak mahu diamalkan. Tujuan aku suruh buat macam itu, untuk melembutkan urat, mengeluarkan angin dari badan dan perut. Lepas sembahyang Subuh terus tidur. Tidak makan tidak minum, akibatnya angin masuk perut,” tambah datuk lagi.

Nenek yang baik hati terus menggosok-gosok bahu kanan dan kiri saya. Datuk bangun dan terus keluar. Dengan langkah yang tenang saya terus ke daput mencuci muka. Lepas ucui muka saya terus makan.

Bila perut diisi dengan nasi dan lauk-pauk, badan mula terasa segar dan malas mahu bergerak ke mana-mana. Saya sandarkan badan ke dinding. Datuk tetap dengan kerjanya di luar. Selesai menjemur jalan, ia meraut bilah lukah. Kadang-kadang saya merasa hairan dengan datuk. Setiap masa ada sahaja kerja yang dilakukannya. Ia seolah-olah tidak pernah merasa letih.

Setelah penat bersandar, saya bangun menuju ke arah serambi rumah. Baru tiga kali melangkah saya teringatkan tentang barang yang dibungkus oleh datuk malam tadi. Saya tidak tahu di mana datuk meletakkan barang tersebut. Saya terus mendapatkan datuk yang sedang meraut bilah lukah.

“Ha, apa yang kamu mahu. Kamu nak pergi menangkap burung?”

“Tidak tuk.”

“Kalau bukan itu, apa yang kamu mahu?”

“Saya nak tanya tentang barang yang tuk bungkus malam tadi.”

“Barang,” datuk kerutkan dahi.

“Barang yang nampak bercahaya kemudian tuk bungkus,” saya mengingatkan datuk.

Datuk senyum. Ia faham dan ingat kembali peristiwa yang dialami. Ia meninggalkan bilah-bilah lukah yang baru diraut separuh.

Datuk masuk bawah rumah, ia mengambil sesuatu dari gelegar rumah. Saya hanya melihat dari luar. Tetapi, saya tahu datuk meletakkan benda itu pada gelegar rumah yang ada kuda-kuda dan kuda-kuda itu pula mengarah hala matahari terbenam.

Tentu ada petua dan muslihat yang tertentu datuk melakukan semua itu. pada hal kalau diletakkan di mana-mana pun benda itu saya fikir tidak mendatangkan mudarat pada sesiapa saja.

Ah, datuk sudah tua ada pengalaman dan ada sedikit ilmu. Tentu dia tahu dengan apa yang dibuatnya, fikir saya.

Datuk keluar dari bawah rumah membawa bungkusan kain merah. Tanpa memanggil saya, datuk menuju ke halaman rumah. Ia membuat garisan bulat di tanah dengan ranting kayu. Bungkusan kain merah diletakkan di tengah dalam garisan bulat.

“Tamar ke mari,” laung datuk. Saya terus berlari menghampiri datuk yang duduk bertinggung di luar garisan bulat. Peluh terus membasahi baju datuk dalam panas yang terik dan garang.

“Kamu bertinggung di sini.”

Saya terus bertinggung di sisi datuk. Peluh-peluh halus mula meruap di muka saya. Dengan perlahan-lahan datuk membuka bungkusan kain merah.

Bila bungkusan itu terbuka, saya lihat biji telur burung puyuh. Datuk tidak menjamah telur tersebut. Ia menolak telur itu dengan ranting kayu supaya kedudukannya beratur lima sebaris.

Saya menggigit bibir. Pelik, telur yang sekecil itu boleh mengeluarkan api dan membakar dedaun kering. Memang sekali pandang telur puyuh itu tidak ada bezanya dengan telur puyuh yang sering saya temui di sarangnya.

Tetapi bagaimana orang yang kakinya mempunyai tokak memanfaatkan telur tersebut untuk mengancam keselamatan orang lain.

Pertanyaan itu terus berputar-putar dalam tengkorak kepala saya. Mahu saya ajukan pertanyaan pada datuk tetapi, bila saya melihat datuk termenung panjang, hasrat itu saya batalkan.

Datuk terus duduk bersimpuh sambil menguris-guris tanah dengan ranting kayu. Ia menulis perkataan Allah dan Muhammad di tanah.

Beberapa minit kemudian tulisan di tanah itu dipadamkannya. Ia merenung ke arah saya. Kedua belah bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya berhenti bergerak, ia menyerahkan ranting kayu pada saya.

“Pukul semua telur tu hingga pecah,” katanya. Saya terus memukul ke lima-lima biji telur puyuh itu dengan sekaligus. Saya lihat ada percikkan api yang halus keluar dari telur.

Bila percikkan api itu berhenti, keluar asap nipis dan akhirnya asap itu hilang dalam sinaran matahari yang keras.

“Orang itu menggunakan ilmu tuju-tuju telur puyuh, ilmu syaitan yang ada di dadanya sudah terlalu tinggi,” beritahu datuk pada saya. Datuk terus mengkuis-kuiskan kulit telur burung puyuh hingga berserakkan atas tanah.

Sekejap lagi, kamu nampak apa yang ada dalam telur yang baru kamu pecahkan tadi,” dengan rasa dada yang lapang, saya terdengar ungkapan yang diluahkan oleh datuk.

Sepasang mata saya tumpukan pada kulit-kulit telur burung puyuh dalam garisan bulat.

Panas terik terus menggigit kulit tubuh. Dan muka saya terus dibasahi peluh. Datuk pun demikian juga. Saya terlihat beberapa batang jarum berkelip-kelip dipanah matahari. Saya juga melihat beberapa ekor semut api mengelilingi gumpalan rambut dan tulang ikan terubuk. Beberapa ketul batu juga terdapat di situ.

“Tuju-tuju telur puyuh ini kalau kena tubuh kita, sukar untuk diselamatkan. Bisanya tidak boleh ditahan. Seluruh badan jatuh biru. Tempat yang jadi sasarannya dada, perut dan mata,” terang datuk.

“Macam mana, kalau jatuh atas tanah boleh mengeluarkan api?” soal saya. Datuk mengelap peluh di dahi dengan jari telunjuk.

“Bila ada orang yang mampu mengalihkannya, benda itu jatuh ke tanah dan keluarkan api. Kalau jatuh dalam air menjadi racun. Berbulan-bulan baru racun dalam air itu hilang.”

“Di mana orang ni menuntut ilmu syaitan ni tuk?”

“Aku agak dari kaum Kubu tu. Ilmu dunianya terlalu kuat.”

“Kau tak usah tanya semuanya itu. Makin lama kau hidup, makin banyaklah hal-hal dunia yang diturunkan oleh syaitan pada anak Adam dan kau akan tahu,” tamat berhenti bercerita.

Datuk menggenggam sekepal tanah dan tanah itu ditaburkan dalam garisan bulat. Bila tanah yang ditabur oleh datuk itu kena pada kulit telur, jarum, rambut dan tulang terubuk terus menjadi hitam, macam arang. Kemudian hancur menjadi abu. Tanah dalam garisan bulat bertukar menjadi warna kemerah-merahan macam darah.

“Sekejap lagi tanah tu akan bertukar menjadi macam warna asalnya,” kata datuk. Tidak lama kemudian tanah yang di dalam garisan kembali dalam warna asalnya. Datuk terus memadamkan garisan bulat dan menepuk bumi dengan tangan kiri sebanyak tiga kali berturut-turut.

Kau tengok sendiri, kain kuning jadi lapik telur puyuh pun hangus jadi abu,” datuk menudingkan jari telunjuknya. Cakap datuk itu memang benar. Kesan kain kuning itu sukar dijejaki.

Suara azan Zuhur terus berkumandang. Datuk mengajak saya mengambil air sembahyang. Selesai sembahyang datuk mengajak saya duduk di ruang tengah. Ia mengajar saya tentang sifat dua puluh serta menunjukkan cara sembahyang yang betul.

“Awak tak pergi tengok Haji Salim?” nenek muncul di ambang pintu dapur dengan wajah yang agak cemas. Datuk menutup kitab di depannya dan diletakkan atas rak. Datuk mengenakan baju ke badan, menukarkan kain dengan seluar.

“Kenapa dengan Haji Salim, bukankah dia nak ubat sakitnya sendiri,” datuk berhenti melangkah dan merenung ke wajah nenek dengan seribu persoalan.

“Sakitnya datang balik. Dia muntah darah dan meracau tak tentu arah,” jawab nenek.

“Apa yang nak dibuat oleh bininya?”

“Nak dihantar ke hospital.”

“Ah,” kata datuk dan terus meluru ke muka pintu. Dengan sekelip mata datuk hilang dari pandangan saya.

IKUT

Tanpa mengucapkan sesuatu pada nenek, saya terus melompat dan memburu datuk dari belakang. Tercungap-cungap saya bila sampai ke rumah Haji Salim. Saya lihat datuk sedang memangku Haji Salim. Saya segera menghampiri datuk.

“Bawakan saya ke hospital sahabat,” rayu Haji Salim.

“Saya tunaikan, kalau itu yang awak mahu,” balas datuk dan meletakkan kembali kepala Haji Salim atas bantal.

Datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Datang kembali dengan sebuah teksi. Haji Salim pun diusung dan diletakkan dalam perut teksi. Bila berada dalam teksi batuk darah yang dideritai oleh Haji Salim berhenti. Ia tidak meracau lagi.

“Ke mana kita, nak bawa ke Taiping atau ke Ipoh?” tanya datuk pada isteri Haji Salim yang memakai baju kurung kedah dan berkain batik. Isteri Haji Salim termenung sejenak.

“Bawa ke Taiping. Anak saudaranya ada kerja di hospital Taiping,” tiba-tiba sahaja isteri Haji Salim bersuara.

“Kerja apa?” tanya datuk.

“Pembantu hospital. Kalau haji masuk hospital, saya boleh tumpang di rumah anak saudaranya. Dapat saya menengok haji di hospital tiap-tiap hari,” terang isteri Haji Salim.

Teksi pun bergerak meninggalkan halaman rumah Haji Salim. Saya dan nenek serta jiran-jiran berdoa, semoga Haji Salim yang peramah, suka mengambil berat tentang jiran-jiran akan segera sembuh.

“Mari kita balik Tamar. Kalau tunggu di sini pun tak guna, dia tu balik lambat tu. Agaknya dekat Maghrib baru sampai,” ujar nenek pada saya. Nenek pun merapatkan pintu rumah Haji Salim. Kami pun meninggalkan rumah sahabat baik datuk.

Sampai di rumah, saya beritahu nenek yang saya mahu pergi keluar. Tetapi nenek keberatan untuk memenuhi permintaan saya. Nenek menyuruh saya menyambung kerja-kerja datuk yang belum selesai. Nenek suruh saya raut bilah lukah, nenek suruh saya membetulkan jala yang koyak.

“Saya nak pergi ke sawah nak menangkap burung,” kata saya.

“Nak tangkap burung apa Tamar?”

“Burung wak-wak.”

“Panas macam ni. Eh kau tahu kalau terlalu lama berpanas nanti demam.”

“Tak apalah,” balas saya terus meninggalkan nenek.

Dengan nenek saya berani menentang atau membantah perintahnya. Tetapi, dengan datuk saya tidak berani buat demikian. Telinga saya pernah dipulas oleh datuk, macam mahu tercabut rasanya, akibat saya membantah cakapnya.

Sampai di kawasan sawah yang lapang, saya mula mencari rumpun Menerung yang jadi tempat berlindung burung wak-wak. Pokok atau rumpun tersebut berbatang lembut serta mempunyai tiga segi, berdaun kecil dan panjang, mempunyai umbi dan akar yang kuat.

Tumbuhan jenis ini memang jadi musuh pada pesawah. (Mungkin di tempat anda tumbuhan jenis ini disebut dengan perkataan yang lain.)

Kini saya berdiri di depan kawasan tumbuhan Menerung (nerung) yang luas. Dua ketul kayu pembaling yang saya ikat di pinggang pun saya buka. Kayu itu saya pegang. Kayu yang berukuran kira-kira satu kaki itu digunakan untuk membaling ke arah burung wak-wak yang mahu terbang.

Tiga minggu saya belajar membaling ke arah wak-wak yang terbang dari Haji Salim. Tanpa membuang masa saya terus meranduk ke dalam rumpun Menerung.

Beberapa ekor burung wak-wak muncul dari rumpun menerung dan terus terbang untuk menyelamatkan diri. Tanpa membuang masa saya terus membalingkan kayu ke arah burung-burung tersebut.

Dua ekor tidak cukup. Paling kurang dapat sepuluh ekor baru cukup, saya membuat keputusan tersendiri sambil mengikat kaki dua ekor burung wak-wak dan saya letakkan di bawah perdu mempelam. Saya terus mengharungi rumpung menerung lagi.

“Bagaimana? Banyak burung yang kau dapat?” saya tergamam sebentar.

Di depan saya wujud dua orang lelaki. Mereka ialah Kamal dan Daud. Saya tidak menjawab pertanyaan mereka. Kamal mengangkat kaki yang dikuasai tokak separas dada saya.

“Sampaikan salam kami pada datuk kamu,” kata Daud.

Saya terus muntah bagaikan mahu keluar semua isi perut saya. Tanpa membuang masa saya terus memusingkan badan dan lari langkah seribu.

Semua yang saya alami ketika berada di tengah sawah tidak saya ceritakan pada nenek. Dan nenek terus menyindir saya kerana pulang dengan tangan kosong.

KEMBALI

Tepat pukul enam setengah petang, teksi yang membawa Haji Salim ke Hospital Taiping pun pulang. Saya dan nenek bergegas ke rumah Haji Salim kembali.

“Doktor sudah mengesahkan Haji Salim sihat. Sebaik sahaja meninggalkan rumah ini batuk darahnya terus berhenti, badannya cukup sihat,” isteri Haji Salim memberitahu nenek.

Datuk dan pemandu teksi menganggukkan kepala mengiakan kata-kata isteri Haji Salim.

Bagi orang lain saya tidak tahu tetapi bagi saya, cerita yang disampaikan oleh isteri Haji Salim itu menimbulkan keraguan dalam hati saya. Dalam saat-saat begitu, saya teringatkan Kamal (si tokak di kaki) dan Daud.

Jiran-jiran yang berkerumun di halaman rumah terus dikejutkan dengan suara batuk Haji Salim bertalu-talu. Setiap kali datuk itu berakhir, Haji Salim akan muntah darah. Darah yang diluahkannya berbuku-buku serta merah kehitam-hitaman. Muntah dari Haji Salim datuk kumpulkan dalam mangkuk putih. Jiran-jiran yang berkumpul di halaman terus bercakap sama sendiri.

Ada yang mulut lepas mengatakan Haji Salim kena buatan manusia. Bila kata-kata itu didengar oleh Haji Salim, ia segera bangun dan berdiri di muka pintu. Tidak peduli dengan larangan datuk dan isterinya yang menyuruh ia baring.

“Hei kamu. Sakit yang aku tanggung ni bukan buatan mausia. Sakit ini datangnya dari Allah. Baliklah ke rumah masing-masing. Jangan bercakap yang bukan-bukan di sini,” suara Haji Salim meninggi.

Jiran-jiran yang jumlahnya antara sepuluh hingga lima belas orang berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka bersurai. Haji Salim terus merebahkan badanya atas pelantar.

Isterinya memberikan segelas air Lidah Buaya yang dicampurkan dengan gula batu yang dibancuh dengan serbuk Lampoyang.

Bila bahan yang ada dalam gelas itu diteguk oleh Haji Salim. Batuknya beransur kurang dan muntah darahnya tidak sekerap tadi berlaku.

“Kenapa awak halau jiran-jiran kita?” isteri Haji Salim mengajukan pertanyaan. Perlahan-lahan Haji Salim mengalihkan wajahnya ke kanan, merenung muka datuk. Saya lihat datuk meraba batang hidungnya dua tiga kali.

“Kalau dibiarkan mereka di situ, makin banyak perkara karut-marut mereka cakapkan. Membiarkan mereka bercakap tentang manusia yang melebihi kuasa Allah, mengajar mereka menjadi syirik. Aku tak mahu bersubahat dalam perkara semacam ini,” kata Haji Salim dengan tenang. Datuk anggukkan kepala. Isteri Haji Salim terdiam.

Saya terus menguap sambil merenung ke luar rumah. Sebentar lagi maghrib pasti tiba. Tetapi, datuk masih tidak berganjak dari duduk merenungi ke arah Haji Salim.

Kerana cuaca sudah beransur gelap, isteri Haji Salim terus memasang pelita minyak tanah. Pelita minyak tanah itu diletakkan tidak jauh dari saya. Isteri Haji Salim terus bangun. Ia mahu menutup semua jendela rumah.

Bila semua jendela rumah sudah dirapatkan, isteri Haji Salim terus keluar, menutup pintu reban ayam itik. Kemudian terus ke telaga.

Dari cahaya lampu minyak tanah, saya terlihat jejari Haji Salim yang kasar dan keras meraba pergelangan tangan datuk. Kemudian jejari datuk dan Haji Salim kelihatan bercantum.

“Kamu jangan balik, tunggu aku,” suara Haji Salim tenang.

“Ya, saya tunggu kalau itu hajat sahabat.”

“Aku rasa persahabatan kita tidak lama. Aku kembali kepada yang berhak.”

“Tak usahlah mengarut sahabat.”

“Aku bercakap benar. Banyak ayat-ayat suci yang aku amal sudah lupa atau tersilap baca.”

“Sudahlah haji.”

“Aku mahu kau jadi imam maghrib di sini, kita sembahyang sama-sama.”

“Baiklah.”

Haji Salim tersenyum. Dengan perlahan-lahan ia bangun. Saya cuba menolongnya tetapi, Haji Salim menolak pertolongan saya. Ia sendiri pergi ke perigi mengambil air sembahyang. Kemudian menukarkan kain yang dipakainya dengan kain baru.

Kali ini saya lihat, Haji Salim berpakaian lengkap sebagai seorang Haji. Perkara seperti ini memang jarang dilakukannya. Datuk hanya memerhatikan sahaja gerak dan tingkah laku kawan karibnya itu.

Apa yang nyata, sejak Haji Salim bercakap-cakap dengannya sebentar tadi, datuk lebih banyak termenung. Macam memikirkan sesuatu.

Dalam keadaan yang saya anggap berlainan dari keadaan biasa itu, saya terdengar suara azan Maghrib. Beberapa saat kemudian datuk mengambil tempatnya sebagai imam.

Fardhu Maghrib sudah ditunaikan. Doa dan wirid sudah pun selesai dibaca. Tetapi, Haji Salim tidak membenarkan saya dan datuk pulang. Sebenarnya, saya tidak setuju dengan tindakan Haji Salim itu. Ada kerja yang perlu saya lakukan di rumah.

Saya mahu menyiapkan sangkar burung yang belum siap. Apakan daya datuk sendiri memperkenankan permintaan Haji Salim. Sama ada rela atau tidak, saya terpaksa akur dengan keputusan datuk.

“Tunggu, kita sembahyang Isyak pula. Kali ini biar kita jadi imam. Lepas tu kita makan dan baca Quran sampai pagi,” ujar Haji Salim dalam sinar lampu gasolen yang menyinar menerangi tiap sudut ruang.

Datuk sandarkan badan ke dinding. Isteri Haji Salim menyorongkan tepak sirih. Sehelai daun sirih yang besar dan hijau segar datuk ambil. Datuk renung urat-urat sirih yang berselirat. Datuk letakkan kembali daun sirih ke tempat asalnya kembali.

“Ada sedikit petua yang nak kita sampaikan pada awak,” Haji Salim bersuara tenang.

“Petua apa tua?” sahut datuk.

“Nanti dulu, lepas sembahyang Subuh kita bagi tahu.”

“Tak apalah, saya tunggu.”

“Bila kita bagi tahu, amalkan petua tu.”

“Tengoklah, kalau sesuai dan saya yakin pula, tentulah saya amalkan.”

“Baguslah tu.”

Datuk dan Haji Salim berbalas senyum. Angin malam yang masuk melaui jejaring bahagian atas dinding rumah, membekalkan rasa dingin pada diri saya. Datuk menegakkan kaki kiri dan terus memeluk kepala lutut. Haji Salim memicit daging lengan kirinya perlahan-lahan. Suasana begini amat membosankan bagi diri saya.

Bunyi cengkerik dan dedaun yang disentuh angin jelas kedengaran. Sesekali gegendang telinga saya menangkap bunyi suara kucing biang menggaru papan, terdengar juga suara burung jampuk merayu di hujung dahan.

Isteri Haji Salim terus merendang ikan pekasam, baunya cukup menyelerakan. Saya kira, isteri Haji Salim seorang yang yang cukup cekap membuat kerja-kerja di dapur.

Kalau saya mahu mencari calon isteri, saya pasti memilih gadis yang memiliki tingkah laku macam isteri Haji Salim. Barangkali cucunya, Saadiah mewarisi perangai yang terpuji itu. Saya senyum sendirian.

Saadiah berwajah manis, memilik lesung pipit di pipi, berkulit cerah terus terbayang di ruang mata. Bagi saya, Saadiah gadis melayu yang cukup ayu, bersopan santun tetapi berat mulut. Sinar matanya cukup tajam.

Pernah saya bermimpi berjalan dengannya sambil berpegang tangan. Dan mimpi itu tidak pernah saya ceritakan pada sesiapa.

“Kenapa senyum seorang diri,” kejut Haji Salim. Matanya merenung muka saya. Apakah Haji Salim dapat membaca rahsia hati saya? Kalau benar, perkara itu amat memalukan, fikir saya.

“Orang yang senyum sendiri, dipermainkan syaitan,” tambah Haji Salim lagi. Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat Haji Salim.

“Begini Pak Aji, saya fikir orang yang senyum sendiri dan bercakap sendiri tu bukan dipermainkan syaitan. Tetapi ia melepaskan sesuatu yang tersembunyi dalam hatinya,” antara berani bercampur takut, saya menjawab kata-kata Haji Salim.

“Betul cakap kamu tu Tamar. Tapi syaitan tu selalu mengambil kesempatan dari orang yang suka mengikut perasaan,” jawab Haji Salim.

“Macam mana nak mengatasinya Pak Aji?”

“Kita mesti selalu beristighfar Tamar.”

“Sekarang kau dah faham,” celah datuk.

“Faham,” jawab saya.

Ingatan saya pada Saadiah terus punah. Kesal juga rasa hati bila khayalan dikacau oleh orang lain. Saya terus menelan air liur. Harapan terus juga berbunga, semoga pada satu waktu dan ketika, saya dapat bertutur sepatah dua dengan Saadiah yang saya rindui secara diam-diam.

Saya menguap panjang. Badan kian bertambah dingin. Bunyi angin malam kian keras bertiup di luar. Suara anjing terdengar sayup-sayup di pinggir kampung.

Haji Salim bangun menuju ke ruang kerjanya. Datang kembali ke tempat saya dan datuk dengan sebilah keris tanpa ulu. Keris itu diletakkan atas lantai.

Haji Salim bangun kembali. Kali ini masuk ke bilik tidurnya. Entah apa yang dibuatnya di dalam, tidak ada sesiapa pun yang tahu. Haji Salim keluar dari bilik. Di tangannya ada ulu keris berbentuk kepala burung geruda.

“Ulu dan mata keris ni, saya berikan awak.”

“Terima kasih,” datuk menyambut pemberian itu dengan wajah tenang. Beberapa saat, datuk menatap ulu dan mata keris itu dengan teliti sekali. Saya lihat datuk menarik nafas dengan penuh bersemangat.

“Kenakan ulu dan matanya pada pagi Jumaat, buat sarungnya pada pagi Isnin, ini petua.”

“Usah bimbang, pesan awak saya buat.”

“Simpanlah baik-baik.”

“Sudah tentu.”

Datuk terus menatap wajah Haji Salim tanpa berkedip. Haji Salim tetap mempamerkan senyuman yang cukup manis. Dua tiga kali, saya terdengar batuk isteri Haji Salim di dapur. Haji Salim terus memperkemaskan silanya.

“Awak ada dengar cerita, ilmu dunia boleh mengambil nyawa manusia,” datuk bagaikan terkejut mendengar kata-kata dari Haji Salim.

“Takbur dan bidaah,” sahut datuk.

EPISODE KE-68

PUJA LIDAH ANAK DARA

“Cuba kau tengok Tamar, apa yang jatuh atas lantai,” cukup lembut datuk mengeluarkan perintah. Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap datuk. Saya periksa ulat-ulat yang ada atas lantai.

“Bukan ulat tuk,” beritahu saya terketar-ketar.

“Kalau bukan ulat, apa bendanya?”

“Benang putih yang sudah reput dan bercerai-cerai, kalau dikumpulkan jumlahnya dekat tiga buku benang.”

“Sebenarnya, penglihatan kita sudah disihir. Benang nampak macam ulat,” datuk terus renung ke muka isteri Haji Salim. Datuk juga menyuruh isteri Haji Salim mencari tiga pucuk pisang tanduk yang belum kembang penuh.

Isteri Haji Salim menyediakan bahan-bahan tersebut. Tubuh Haji Salim diletakkan atas pucuk pisang tersebut, manakala kepalanya dilapik dengan badan kukur kelapa. Mata kukur yang bergigi seratus dicabut. Diikat pada ibu kaki kanan dan kiri Haji Salim.

Tubuh Haji Salim tidak menggeletar lagi. Ia terbaring kaku, macam orang pengsan. Beberapa minit kemudian, Haji Salim membuka mata. Mukanya yang pucat kembali menjadi merah. Pucuk pisang yang melapik badannya terus kecut dan layu, seperti kena api.

Haji Salim terus duduk. Bengkak di lengannya terus surut. Wajah datuk direnung oleh Haji Salim seketika, seolah-olah mengucapkan ribuan terima kasih. Datuk terus memeluk tubuh Haji Salim erat-erat.

“Kita sedar kita kena sihir, tapi tak terdaya melawannya. Pengaruh syaitan tu cukup kuat. Kita jadi lupa dengan beberapa ayat Quran yang perlu dibaca bila terasa diri disihir orang,” beritahu Haji Salim pada datuk dalam keadaan suara yang terputus-putus.

Datuk terus menepuk-nepuk belakang Haji Salim sambil berkata:

“Rawatlah luka awak tu. Kalau tak boleh pergi saja ke klinik kerajaan.”

“Rasanya, boleh dibuat cara kampung.”

“Buatlah mana yang patut. Asalkan luka awak sembuh.”

“Saya cuba. Dengan izin Allah, tetap sembuh.”

Saya cuma tersenyum sahaja mendengarkan perbualan datuk dengan Haji Salim. Isteri Haji Salim juga tersenyum. Senyumnya tentu lebih lebar daripada saya. Suaminya sudah beransur pulih.

Datuk juga menceritakan pada Haji Salim tentang usahanya mencari rumah Dukun Pendekar yang mencari guru pada Daud. Haji Salim anggukkan kepala.

“Saya tidak mampu melawannya. Ilmu batinnya yang diapit syaitan cukup kuat,” terang datuk dengan wajah kesal.

“Berusaha dan berikhtiarlah. Kalau dibiarkan ramai orang yang jahanam.”

“Tengoklah, sebelah malam nanti saya pergi lagi ke pondoknya.”

“Kalau begitu, biar saya ikut sama.”

“Tak payahlah, diri awak belum cukup baik.”

“Apa yang boleh saya tolong?”

“Awak doakan kejayaan saya.”

“Saya berjanji.”

Datuk terus bersalam dengan Haji Salim. Kami meninggalkan rumah Haji Salim. Waktu saya sampai di kaki tangga rumah datuk, matahari sudah pun berada di kaki langit. Beberapa ekor burung gagak berterbangan menuju ke sarang. Kelawar mula mengembangkan kepak mahu memulakan tugas mencari rezeki.

Saya renung ke langit, cukup bersih. Saya lihat keluang terus terbang berkawan-kawan mencari bunga durian. Cara kebetulan waktu itu musim durian berbunga di kampung saya. Terdengar sayup-sayup tembakan senapang kampung berlaras satu, berturut-turutan. Dan fahamlah saya tembakan itu dilepaskan oleh beberapa orang Cina yang datang dari Sitiawan dan Air Tawar yang suka makan daging keluang.

“Cepat mandi. Maghrib dah tiba, kita nak pergi ke surau sekarang. Kau lambat, kau tinggal,” sergah datuk dari anjung rumah. Ia sudah siap mandi dan mengenakan pakaian yang rapi.”

“Malam ini, ada guru agama dari Jabatan Agama Islam mengajar rukun haji dan mandi mayat,” sambung datuk lagi.

Tanpa membuang masa saya terus mandi. Tergesa-gesa sarungkan kain pelekat dan baju Melayu. Kepala saya terus diserkup dengan ketayap putih.

TINGGAL

Saya meninggalkan surau kira-kira jam sebelas lebih. Lepas makan malam, saya terus masuk ke bilik tidur. Datuk terus membaca Quran di ruang tengah. Mungkin badan terlalu letih, saya terus terlelap.

Saya terjaga, bila datuk menyentapkan kaki kanan saya agak kuat dari biasa. Tanpa fikir panjang, saya terus duduk.

“Cepat sangat Subuh datang.”

“Bukan Subuh. Baru pukul tiga pagi. Bangun ikut aku.”

“Ke mana tuk?”

“Bangun, jangan banyak cakap.”

Saya terus bangun dan tukar pakaian. Kemudian terus mengikut datuk menuju ke pondok lama di tengah sawah. Berjalan, dalam keadaan yang agak gelap dalam suasana yang dingin memang terasa sukar sekali. Dua tiga kali saya terjatuh kerana tersepakkan tunggul dan ranting kayu.

“Melangkah dengan teliti,” beritahu datuk bila kami sampai di halaman pondok lama. Semua pintu dan tingkap pondok tertutup rapat.

Dari celah-celah papan dinding yang susunannya tidak teratur dan rapat, terlihat cahaya pelita minyak tanah. Saya dan datuk mengintai ke dalam pondok melalui celah-celah papan dinding. Ada dua tubuh bengkok terkapar atas lantai, macam angka lima yang jaraknya tidak jauh dari pelita minyak tanah. Mereka memakai baju dan seluar hitam.

Saya kenal mereka. Lelaki yang meletakkan tangannya atas leher sambil mengeluarkan dengkur yang kecil itu ialah Daud. Manakala lelaki yang merapatkan kepala lututnya dengan pangkal dagu dan tidak berdengkur itu ialah Kamal, guru pada Daud.

Tidak jauh dari pelita minyak tanah, di sebelah kanan terdapat beberapa keping daging kering yang nipis, diletakkan atas daun pisang. Sekali pandang daging itu bentuknya macam paru goreng. Tidak jauh dari daging kering terdapat dupa yang diisi dengan bara. Dupa itu mengeluarkan asap yang nipis bersama bau kemenyan.

“Apa benda yang macam daging kering tu tuk?”

“Cuba kau kira, berapa jumlah daging kering tu,” selesai mendengar cakap datuk itu, saya terus menghitung daging kering tersebut.

“Ada tujuh keping tuk.”

“Maknanya, mereka sudah memotong tujuh lidah anak dara sunti.”

“Ah…,” keluh saya cemas. Badan saya mula terasa seram sejuk. Perkara-perkara yang buruk dan menakutkan mula terbayang dalam kepala.

“Mereka baru lepas memuja lidah,” bisik datuk ke telinga saya. Datuk terus menggaru pangkal pipi kanannya yang digigit nyamuk. Seekor katak puru melompat tidak jauh dari kaki saya. Beberapa ekor nyamuk mula menggigit cuping telinga saya.

Angin pukul tiga pagi terus bertiup garang. Dedaun rumbia berlaga sama sendiri, begitu juga dengan daun kelapa. Dahan dan ranting kering terus gugur ke bumi. Bunyi dedaun rimba, daun kelapa dan reranting yang jatuh itu bila berpadu menimbulkan bunyi yang tidak menentu.

Sesekali terdengar macam bunyi suara bayi menangis. Bila diteliti terdengar seperti bunyi orang mengeluh menahan kesakitan. Ada masanya pula macam bunyi orang ketawa.

Disebabkan saya tahu punca dari semuanya itu adalah dari dedaun dan ranting jatuh yang ditiup angin, hati saya tidaklah cemas sangat tetapi debarnya tetap ada.

Tiba-tiba saya lihat Kamal bangun. Ia membuka seluarnya dan bertelanjang bulat. Saya menutup muka bila ia menghalakan anunya yang hodoh ke arah saya.

“Sial, haram jadah,” kutuk saya. Datuk tersenyum melihat telatah saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi air, saya membuka mata. Ya Allah, kenapa begitu buruk benar perangai Kamal. Ia kencing berdiri dalam pondok yang jadi tempat tidurnya.

Kamal sarung seluarnya kembali. Ia duduk sambil mengutip ulat-ulat tokak yang jatuh atas lantai, ditaruh ke dalam tokaknya kembali.

“Masuklah kenapa mengintai, perbuatan tu tak baik,” cara mendadak sahaja Kamal bersuara. Saya tahu, kata-kata itu ditujukan pada datuk dan saya. Cepat-cepat bahu datuk saya cuit.

“Jangan silap, dia bukan bercakap dengan kita. Dia bercakap dengan orang lain.”

“Ah, dengan siapa tuk.”

“Kau cakaplah.”

Cakap datuk itu memang tepat, saya lihat salah satu lidah yang ada di depannya bergerak-gerak. Lidah itu berpusing-pusing di depan Kamal sebentar. Kemudian lidah itu terus berdampar atas dupa. Bara dalam dupa terus padam. Kepulan asap bertambah tebal keluar dari dupa.

Dari gumpalan asap itu, saya lihat ada kepala manusia terawang-awangan. Dari mulutnya terjelir lidah yang panjang dan menitik darah segar ke dalam dupa.

Kepala yang botak licin dengan dua mata terpelohong ke dalam berpusing-pusing atas dupa. Berhenti bila mata yang berlubang itu menentang mata Kamal. Daud terus berdengkur, tidak tahu apa yang berlaku pada sisinya.

“Kamu lapar?” tanya Kamal. Lidah yang terjulur dari kepala yang licin itu tersentap ke dalam. Dari matanya yang terpelohong ke dalam memancarkan cahaya bara yang menyilaukan pandangan saya.

Perlahan-lahan Kamal mengangkat kakinya tokak itu ke arah bara. Beberapa detik kemudian, lidah dari kepala botak terjulur kembali. Kali ini lebih panjang dan lebar dari tadi. Lidah yang merah segar itu terus menjilat-jilat tokak di kaki Kamal, macam lidah kucing menjilat susu yang tumpah.

Beratus-ratus ekor ulat dari tokak Kamal berlari atas lidah dan hilang ditelan oleh kepala licin. Perkara itu berlangsung kira dua tiga minit sahaja. Semua ulat-ulat di tokak Kamal hilang. Kamal menarik kakinya kembali.

Tanpa dikejutkan oleh sesiapa, Daud terus bangun dan melukakan ibu jari kakinya dengan pisau lipat. Darah merah memancut dari ibu kaki. Sebelum darah itu menitik ke atas lantai, Daud menghalakan ibu jari pada lidah dari kepala botak.

Keadaan Daud dan Kamal berbeza sekali. Ulat di tokak Kamal dijilat dengan lidah tetapi darah Daud terus disedut dengan rakusnya oleh kepala di atas dupa. Masa darahnya disedut, Daud tetap senyum.

“Tarik kaki kamu,” Kamal mengeluarkan arahan. Cepat-cepat Daud menyentap kakinya. Kepala licin di atas dupa berpusing lagi. Asap kian tebal dan menghitam.

Asap yang menebal di dupa mula menipis. Kepala manusia yang menggerunkan itu masih berada di situ. Kali ini ia tidak berpusing. Kepalanya yang botak licin mula ditumbuhi oleh rambut yang hitam lebat dan panjang sampai ke atas lantai. Dan rambut itu seolah-olah menjadi tiang untuk kepala tanpa badan itu berada dalam keadaan tegak.

“Lidah anak dara sunti masih belum cukup 44. Kalau tak cukup apa yang kamu tuntut tidak akan menjadi. Kamu tidak akan menjadi kaya-raya. Kamu tidak akan dapat harta karun. Kamu tak boleh hidup sampai dunia kiamat,” terdengar suara parau yang keras. Tidak tahu dari arah mada datangnya.

Tetapi yang pasti, mulut dari kepala yang kaku atas dupa itu bergerak-gerak. Matanya nampak berkedip-kedip sekali sekala.

“Apa yang kamu dapat sekarang cuma separuh sahaja. Pantangnya kamu tidak boleh kena air dan pasir yang timbul di tengah sungai. Semua pantang itu menjadi tawar bila dapat 44 lidah anak dara sunti,” bergema lagi suara parau yang keras. Kamal termenung dan merenung muka Daud.

Kamal terus mengangkat kedua belah tapak tangannya ke dahi. Ia menyembah kepala di atas dupa sambil berkata:

“Kami dalam bahaya di sini, Mahaguru.”

“Aku tahu, kamu harus pindah. Cari mangsa di tempat lain.”

“Ya Mahaguru.”

“Kamu sekarang diintip musuh.”

“Ha…,” Kamal terus melompat seketika. Kemudian duduk kembali dengan tenang.

Asap dalam dupa berhenti. Kepala yang ada di situ terus hilang. Apa yang saya lihat sekarang, ialah keping lidah yang terawang-awang dan kembali terkapar di atas lantai bersama lidah-lidah kering yang lain.

“Sebelum mereka menyerang kita, elok kita balik,” kata datuk. Kami tergesa-gesa pulang. Waktu kami meniti atas batas bendang, kami melihat sejenis cahaya yang memanjang memancar di atas bumbung pondok lama. Cahaya itu bergumpal-gumpal di situ dan bentuknya macam kepala ribut.

“Syaitan,” tutur datuk sebaik sahaja sampai ke kawasan kebun getah. Saya menoleh melihat cahaya yang sudah bertukar rupa. Kali ini muncul dari tulang bumbung pondok lama. Bentuk cahaya itu sebesar telur ayam, merah menyala dalam jumlah antara sepuluh hingga dua puluh biji.

Cahaya bulat itu kelihatan bergolek-golek atas atap rumbia. Kemudian bertukar jadi memanjang dan tajam menuju ke dada langit dalam bentuk ekor ikan pari. Sekali pandang macam bunga api dengan berbagai-bagai warna.

Bila cahaya yang menuju ke dada langit itu hilang, saya dapati api membakar daun-daun getah yang kering di sekeliling saya. Api itu terus marak. Katak dan cengkerik bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Jangan peduli dengan api tu,” kata datuk lalu menarik tangan saya untuk merempuh api. Saya keberatan untuk melakukannya. Saya bimbang kalau kaki seluar saya disambar api, badan saya pasti terbakar.

“Ikut aku, jangan banyak fikir,” tambah datuk lagi dengan nada suara yang keras. Badan saya mula berpeluh. Bahang api membuat saya jadi tidak tentu arah. Api terus marak, kiri kanan, depan dan belakang penuh dengan api.

“Kita tersepit tuk, kita boleh mati di sini tuk!” kata saya.

“Kalau Allah berkehendakkan kita hidup, kita tetap selamat.

“Tapi saya bimbang.”

“Apa yang kau bimbangkan,” sergah datuk sambil menjegilkan sepasang matanya. Saya terus terdiam.

Di langit, bulan sabit mula muncul. Awan putih berarak tenang di langit biru. Angin dinihari terus bertiup menggugurkan dedaun getah yang sudah tua. Peluh dingin terus menguasai sekujur tubuh saya. Pejam celik saya menatap wajah datuk dalam keadaan yang selamba.

Api kian menghampiri diri saya dan datuk. Perlahan-lahan datuk membongkokkan badan mengambil sekepal tanah. Dengan tenang tanah yang dikepal itu terus diserakkan ke arah api yang mengelilingi kami.

“Biasanya dengan cara ini dapat menahan perbuatan syaitan,” kata datuk sambil merenung ke arah saya yang sedang menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan.

Tiba-tiba datuk kelihatan resah. Api tidak juga padam malah kian meninggi. Gegendang telinga saya menangkap suara orang ketawa yang dibawa oleh angin dinihari.

“Terlalu kebal ilmunya Tamar.”

“Apa yang mesti tuk buat.”

“Sabar. Allah memberkati orang yang berusaha.”

“Hum….,” keluh saya separuh kecewa.

Datuk membongkok lagi. Kalau sebentar tadi ia mengepal tanah dengan tangan kanan, kali ini ia mengepal tanah dengan tangan kiri dan tanah itu terus diserakkannya dari arah kiri membawa ke kanan. Saya terkejut, api yang menjulang terus menjadi kecil dan akhirnya padam.

“Kita tak boleh tunggu lama di sini,” datuk terus menarik tangan kanan saya. Sepasang bibir datuk terus bergerak-gerak. Apa yang dibacanya saya tidak tahu.

“Jangan tengok,” suara datuk meninggi, bila ia melihat saya enggan melangkah dan masih merenung ke arah dedaun getah kering yang bertaburan atas tanah. Saya merasa pelik kerana tidak terdapat kesan abu atau dedaun kering yang rentung dimamah api.

“Langkah cepat,” datuk mendesak dan perintahnya itu saya patuhi. Kami terus melangkah dalam nirai getah. Langkah datuk terlalu cepat. Saya tercungap-cungap mengikutnya dari belakang.

GUGUR

Angin dinihari terus bertiup menggugurkan dedaun getah tua. Suara kokok ayam sayup-sayup terdengar. Suara burung tukang muncul sekali sekala bersama dengan laungan anjing. Suasana demikian membekalkan rasa cemas dan bimbang dalam diri saya.

Dua tiga kali perasaan saya tersentak, bila beberapa ekor katak puru yang memburu serangga melompat berhampiran kaki seluar saya. Memang timbul niat mahu memijaknya supaya katak-katak itu mati. Tetapi bila teringat pesan datuk yang melarang membunuh binatang tanpa sebab, hasrat itu segera saya batalkan.

“Berhenti,” kata datuk.

Saya pun berhenti melangkah. Angin dinihari yang bertiup membekalkan rasa sejuk ke seluruh tubuh. Datuk meletakkan telapak tangan kanan ke atas kening kirinya untuk beberapa saat. Dahinya nampak berkedut.

Dari kening kiri datuk ubah telapak tangannya ke atas dada sebelah kanan. Perlahan-lahan datuk menjatuhkan tangan kanan dan sepasang mata lembutnya meratah wajah saya.

“Kenapa tuk?”

“Daging dada aku bergerak-gerak.”

“Apa alamatnya tuk?”

“Mengikut petua orang tua-tua, ada bahaya yang tidak diduga,” suara datuk lemah.

Sebaik sahaja berhenti bercakap, saya terlihat seketul benda putih sebesar telur ayam melayang-layang di udara. Paling menceaskan hati saya, benda putih itu menuju ke arah saya dan datuk.

“Ambil daun getah kering, kepitkan ke celah ketiak dan meniarap serta berlindung di balik pokok yang kecil,” datuk mgeneluarkan arahan. Kelam kabut saya mencari daun getah kering dan mematuhi dengan apa yang dikatakan oleh datuk.

Benang putih itu berputar-putar atas kepala kami sambil mengeluarkan suara macam dengung kumbang yang amat kuat. Bila suara dengung itu berkurangan benda putih itu mengeluarkan cahaya api dan jatuh kira-kira sepuluh kaki di depan saya dan datuk. Di tempat benda itu jatuh segera terbakar.

Sebelum api itu melarat datuk segera mengepal tanah dan melemparkan ke arah api tersebut. Api segera padam.

“Mari kita lihat apa bendanya, Tamar.”

“Takut tuk, barangkali bom tangan.”

“Kau merepek Tamar,” ujar datuk bersama ketawa kecil.

Saya dan datuk pun mengatur langkah menuju ke tempat benda putih itu jatuh. Belum pun saya dapat mempastikan benda tersebut, datuk segera menutupnya dengan kain merah dan membungkusnya.

“Apa bendanya tu tuk?”

“Nanti sampai di rumah kamu boleh tengok.”

“Di sini ada pantang larangnya tuk?”

“Ah, kamu memang banyak mulut. Tanya itu, tanya ini. Apa kamu tak boleh diam.”

Saya segera menutup mulut dengan telapak tangan. Tidak berani menentang biji mata datuk yang terbeliak bagaikan memancarkan cahaya yang panas.

Saya terus mengekornya dari belakang dengan meninggalkan perdu pohon getah yang tertegun kaku. Dahan getah yang berlapis terus bergerak bila disentuh angin lalu mengeluarkan suara macam budak menangis.

Entah mengapa, setiap kali saya melangkah dada saya terus berdebar. Macam ada sesuatu yang memperlihatkan gerak geri saya dan datuk. Saya dongak ke langit, awan tetap bersih, bulan sabit tetap ada. Lolongan anjing tetap berterusan.

“Tamar,” jerit datuk sekuat hati. Saya lihat datuk rebah ke bumi sambil memegang bahu kanannya. Datuk cuba bangun ternyata ia tidak mampu berbuat demikian. Saya jadi tidak tentu arah. Tidak tahu apa yang patut saya lakukan.

“Ada orang menendang aku cara curi Tamar.”

“Siapa orangnya?”

“Aku tak tahu,” suara datuk tersangkut-sangkut macam menahan kesakitan yang amat sangat.

“Jangan dekat aku Tamar. Kau bediri di situ, buka seluar kamu, kau telanjang di situ. Angkat kaki kanan kamu separas lutut,” kata datuk bila saya mahu bergerak menghampirinya.

“Sejuk tuk, saya malu anu saya kena angin.”

“Hei, ikut cakap aku, kalau kamu mahu hidup.”

“Ah,” keluh saya sambil melucutkan seluar.

Bila saya berdiri dalam keadaan bogel, bulu roma di betis dan paha terus berdiri akibat dirempuh angin dinihari. Badan saya menggeletar. Tidak sanggup saya merenung bahagian tubuh saya yang terdedah.

Datuk terus mengguling-gulingkan badannya di tanah. Saya tidak tahu, kenapa datuk melakukan semuanya itu. satu hal yang pasti setelah berguling sebanyak lima kali, datuk dapat bangun dan berdiri dengan baik sekali.

Gembira hati saya, datuk yang kelihatan tenang sambil menekan pangkal belikatnya dengan kedua belah tangan. Kami mengatur langkah kembali. Ketika itu juga, kami terdengar bunyi tapak kaki orang berlari dengan memijak daun-daun getah yang kering.

“Jangan pedulikan,” bisik datuk dengan lembut. Saya terus melangkah. Bila sampai di pohon getah yang tumbang, kami melihat ada benda putih baring atas batang tersebut.

“Jangan toleh sampai dua kali,” datuk mengingatkan saya.

“Baik tuk.”

Bila sampai dekat pokok kabung (enau) saya lihat rambut perempuan berjuntai di pelepah kabung. Rambut itu mencecah bumi. Rambut itu nampak kasar dan keras dan warnya agak perang.

Dari celah-celah rambut itu ternampak batang tubuh seorang perempuan dalam keadaan yang bogel, berkulit putih tanpa mata dan dahi.

“Jangan renung,” kata datuk.

“Baik tuk,” balas saya.

“Semuanya syaitan,” rungut datuk dan meneruskan perjalanan tanpa mahu menoleh ke kiri dan ke kanan. Kawasan pokok kabung (enau) terus kami tinggalkan di belakang. Kini kami membelok ke kanan melintasi sebuah danau kecil.

Tiba-tiba saya lihat dari permukaan danau yang berair cetek muncul berpuluh-puluh tangan yang berbulu. Semua tangan-tangan itu menghala ke arah kami. Saya didatangi rasa cemas kembali. Datuk segera mengambil sehelai rumput serunai laut. Rumput itu diramas hingga hancur.

Sebelum rumput yang hancur itu dicampakkan ke dalam danau yang berair cetek datuk membaca sesuatu. Aneh sekali, bila rumput itu jatuh ke dalam danau berair cetek, tangan-tangan yang terkapai di permukaan danau terus hilang.

“Ingat, kerja kita belum selesai. Mungkin esok mungkin lusa kita bertemu lagi,” tiba-tiba datuk dan saya terdengar suara dari arah kanan.

Bila kami menoleh, seorang lelaki berdiri di situ. Bau tokak yang busuk dan hapak mula mencucuk lubang hidung kami.

“Orang tu datang lagi tuk,” bisik saya pada datuk.

“Aku tahu Tamar. Dia menggunakan semua ilmunya untuk menewaskan.”

“Jadi, apa yang mesti kita buat tuk.”

“Kalau Allah mengizinkan kita berjaya, tentu kita menang.”

Datuk merenung ke arah lelaki yang berdiri dalam jarah sepuluh kaki darinya. Saya segera berlindung di belakang datuk. Bau busuk dan hapak dari tokak lelaki itu membuat tekak saya menjadi loya dan terasa mahu muntah.

“Aku berpegang pada kata orang tua-tua. Musuh jangan dicari. Kalau musuh datang elakkan diri tetapi sudah beralah dan mengelak musuh datang juga, aku tidak menolak lawan,” tutur datuk dengan nada suara yang lembut pada lelaki itu.

Lelaki itu tersenyum lalu membelakangi datuk dan saya. Beberapa detik kemudian lelaki itu terus ghaib. Saya dan datuk merasa aman dan mempercepatkan langkah. Datuk mahu sebelum azan Subuh dilaungkan, kami mesti berada di rumah.

Tanpa diduga datuk berhenti melangkah. Ia pusingkan badannya ke belakang. Sepasang mata tajamnya merenungi batang tubuh saya sambil ketawa kecil. Saya resah dan serba salah.

“Kau telanjang Tamar?”

“Ha, telanjang,” kata saya tersipu-sipu sambil menutup anu saya dengan kedua belah telapak tangan. Datuk terus ketawa. Seluar yang terletak di bahu kanan segera saya turunkan. Sesungguhnya, saya lupa dengan seluar dan diri saya yang telanjang akibat diresapi rasa takut dan cemas melulu.

“Pakai seluar tu cepat. Tak malu dah besar telanjang,” usik datuk. Saya terus sarung seluar ke badan serta meneruskan perjalanan.

Peristiwa yang lucu itu meninggalkan kesan dalam diri saya hingga kini. Setiap kali saya melihat kanak-kanak telanjang, saya pasti teringatkan peristiwa lalu yang membuat saya senyum sendirian.

SAMPAI

Waktu saya dan datuk sampai di kaki tangga terdengar suara azan Subuh yang mendayu-dayu. Saya terus pergi ke perigi untuk membersihkan badan dan datuk pula menuju ke sungai dengan tujuan yang sama seperti apa yang saya lakukan.

Lepas menunaikan sembahyang Subuh tanpa minum kopi dan makan kuih saya terus tidur. Tidak mampu rasanya saya menahan kelopak mata yang terasa amat berat. Saya dikejutkan oleh nenk kira-kira pukul dua belas tengah hari.

Bila saya bangun dan mahu melangkah menuju ke dapur untuk membasuh muka, saya terasa pening. Pandangan saya berpinar-pinar. Lantai yang saya pijak terasa turun naik dan berpusing-pusing. Saya hilang pedoman dan terus jatuh atas lantai.

Nenek berlari dari dapur menghampiri saya. Tanpa membuang masa ia menyandarkan badan saya ke dinding. Badan saya diurutnya, dua tiga kali. Saya tersedak dan sendawa beberapa kali. Dari jendela, nenek memanggil datuk yang sedang menjemur jala di halaman. Datuk segera naik ke rumha.

“Kenapa?” tanya datuk.

“Cucu awak ni, bangun tidur terus pening dan jatuh atas lantai."

EPISODE KE-67

PELIHARA ULAT TOKAK


Mujurlah ingatan datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.

“Ah, haji laknat,” pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.

Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang singgah di papan diding dan terus melekat di situ.

Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat. Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad. Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan riwayat Haji Salim.

Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud. Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar. Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim. Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.

Saya lihat darah memuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang. Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud. Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.

“Kau sudah melampau,” jerkah datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun. Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.

“Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud,” Haji Salim renung muka Daud. Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya. Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari datuk.

“Ah,” jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk datuk. Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati. Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih.

Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya. Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.

“Kita tangkap dia,” kata datuk. Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut datuk memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh. Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, datuk tetap memaksa saya.

Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang. Dari Kampung Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin.

Saya, Haji Salim dan datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci. Selesai Haji Salim bercakap, datuk pula mengambil peranan, memeberikan penerangan selanjutnya.

Saya lihat, baik datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui. Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.

“Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa,” beritahu datuk pada mereka. Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.

“Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu fasal,” cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.

Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.

“Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua,” balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.

Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.

Anehnya, tidak ada seorangpun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut. Mungkin mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim. Satu hal yang pasti, sama ada datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.

“Bagaimana dengan luka tu masih terasakah bisanya?” tanya datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.

“Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri,” jawab Haji Salim dengan tenang.

“Kalau begitu, biarlah kami pulang,” ujar datuk.

“Silakan, tapi…,” Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya. Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.

Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, datuk terus mengajukan pertanyaan.

“Kenapa Haji?”

“Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut.”

“Agaknya bisa parang panjang.”

“Bukan.”

“Kalau bukan itu, apa dia?”

“Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing.”

“Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar.”

“Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu.”

“Terpulanglah pada awak,” balas datuk. Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.

“Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak,” Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.

“Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya.”

“Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah.”

“Baiklah.”

Saya dan datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih. Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas pada diri saya.

Saya terus berjalan mengekori datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di dahan. Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud. Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu tengkuk saya meremang. Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan gurunya.

MANDI

Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan kawasan rumah. Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan kesanggupan.

Menjelang waktu Asar, seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau ranting kayu yang berserakkan. Semuanya sudah dikumpul dan dibakar. Semut dan nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri.

Nenek memujuk saya sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan dibayar selepas musim menuai. Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi, saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya. Sebabnya, lepas bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit.

Nenek terus bayar tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan. Syaratnya bukan susah. Lepas sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang kayu getah untuk dijadikan kayu api.

Masa itu wang tujuh ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang. Saya boleh membeli baju, seluar dan sepasang sepatu getah FUNG KEONG bertapak tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di hotel kelas rendah.

“Kau pergi sembayang dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu,” ujar nenek. Tanpa membuang masa saya terus mandi dan mengambil air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah datuk sudahpun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya.

Setelah memberi salam terakhir, saya hulurkan tangan pada datuk untuk bersalam. Waktu itu saya terlihat ada seorang lelaki duduk di sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia memakai pakaian serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala.

Saya yakin orang inilah yang muncul di depan datuk kira-kira sebulan yang lalu. Saya tidak memperhiraukannya. Datuk menyambut salam dari saya. Dada saya berdebar kerana datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu.

Datuk menyambut salam darinya. Tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan datuk, cepat-cepat orang itu menarik tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam saku bajunya. Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu menentang wajah datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda di luar.

“Kau benar-benar mahu menjahanamkan aku,” orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah datuk.

Bila dilihatnya datuk tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Datuk terus membaca doa hingga tamat.

“Jangan begitu, akibatnya buruk,” tambah orang itu lagi.

“Maksud kamu?” soal datuk.

“Kau menyeksa anak murid aku.”

“Siapa anak murid kamu?”

“Daud.”

“Daud?” ulang datuk dengan rasa gugup.

“Ya. Itu saja yang mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi,” orang itu segera bangun, melangkah ke pintu. Berdiri di situ sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari pandangan saya dan datuk.

Datuk terus menemui nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju putih ke badan. Ia sarung seluar warna kelabu. Tanpa menegur saya datuk turun dari rumah. Saya segera menemui nenek.

“Datuk nak ke mana nek?”

“Katanya nak pergi ke Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku.”

“Ha, saya nak ikut,” jerit saya lalu meninggalkan nenek. Datuk terus saya buru.

Datuk singgah di rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar. Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata badan Haji Salim panas, keliling lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan tangannya.

“Badan aku tak berapa sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu tahu rumahnya,” ujar Haji Salim sambil merenung ke arah saya.

Datuk anggukkan kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya. Tetapi, dari kerdipan mata dan air mukanya, saya yakin datuk merestui saya mengikutinya.

LEBAI

Kami terus ke rumah Lebai Din. Saya terus memperkenalkan datuk dengan Lebai Din. Mereka terus bercakap penuh mesra, ada nasihat tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada datuk. Semuanya di dengar oleh datuk dengan teliti.

“Hati-hatilah dengan orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan saya, saya rasa dia bukan sebarang orang. Banyak ilmu salah yang dimilikunya,” terang Lebai Din.

“Saya bukan apa-apa. Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya,” jawab datuk.

“Kalau niat awak baik, Allah menyebelahi awak.”

“Saya berdoa Allah akan melindungi saya,” suara datuk merendah. Kami pun terus meninggalkan rumah Lebai Din.

Saya dan datuk terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang besar masih mampu mengeluarkan susu getah yang banyak. Dedaunnya kelihatan menghijau serta bergoyang-goyang di tolak angin petang.

Kulit buah getah berserakkan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah. Langkah datuk cukup cepat, ia kelihatan bagaikan tidak menghadapi masalah memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah-celah nirai getah.

Saya terpaksa melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepakkan tunggul atau akar yang merayap di bumi. Berjalan di celah-celah nirai pokok getah terasa amat seronok. Cahaya matarahi tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun getah yang lebat dan berlapis-lapis.

Saya dan datuk sampai ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang terletak di tengah-tengah sawah. Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas.

Ada pokok kelapa gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia. Untuk ke pondok lama tersebut, kami terpaksa melalui batas yang sempit dan memanjang.

Di kiri kanan batas yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak-anak ikan haruan dan keli berlari liar di celah-celah padi. Angin yang bertiup membuat air dalam sawah bergelombang. Saya dan datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta mengimbangi badan.

Kalau tidak pandai mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah kena air sawah. Lumpur sawah akan masuk ke mata. Saya menarik nafas panjang kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama. Saya lihat pintu dan tingap pondok lama tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok.

Saya renung ke arah datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya mara ke arah pondok. Saya terus mengekori datuk hingga ke kaki tangga pondok lama.

Tanpa di sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di muka pintu. Bau hapak mula datang menerkam lubang hidung. Tekak saya mula terasa loya dan mahu muntah. Orang tua itu menjuntai kaki kanannya. Saya lihat ada tokak di buah betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke tanah.

Ulat yang masih lekat di tokaknya terus bergerak-gerak memakan daging buah betisnya. Memang menggelikan melihat ulat-ulat hidup yang jumlahnya bukan sedikit bergerak.

Saya tergamam bila orang tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada tokaknya.

“Apa hajat?” tanyanya pada datuk.

“Tadi kita berjumpa tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini.”

“Oh, awak salah orang.”

“Tidak.”

“Awak yakin.”

“Saya yakin awaklah yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama.”

Mendengar cakap datuk itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan parut berubah menjadi pucat. Memang, kalau direnung wajah orang tua itu lama-lama terasa seram sekali.

Sepasang matanya kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang berlapis-lapis. Kulit itu kelihatan lembik. Kulit pipi sebelah kanannya menggerutu dan lembik macam telinga gajah. Manakala kulit pipi sebelah kiri terdapat seketul tahi lalat hitam, sebesar telur ayam.

Tahi lalat yang melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri, tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai. Di bawah dagunya tumbuh daging tebal yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya. Bibir atas dan bibir bawahnya tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak berbulu.

“Sial,” pekiknya lalu menutup pintu. Datuk dan saya berpandangan.

Matahari petang bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa melintuk ke kiri, melintuk ke kanan mengikut arahan tiupan angin.

“Ya, aku datang,” saya dan datuk pusing badan ke kiri. Di situ muncul seorang lelaki berpakaian serba hijau. Ia memberi salam pada datuk, segera datuk menjawabnya. Orang itu tersenyum.

“Sudahlah Kamal, kau jangan memperdayakan aku lagi,” datuk segera menyinsing lengan. Saya terus lari ke pangkal pokok kelapa. Sandarkan badan di situ.

“Mana murid kamu yang membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan silat. Ajaran agama yang kau bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada jalan kejahatan untuk kepentingan dirimu.”

“Kau silap kawan.”

“Aku tidak silap Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agam dan mempelajari agama secara mendalam. Sayangnya kau jadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan kamu.”

“Buktinya?”

“Tak payah aku terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak rancangan kau yang aku gagalkan.”

“Ya,” jawab orang itu.

Serentak dengan itu, pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka. Dan badannya terus dibalut dengan pakaian serba hitam. Di kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh, macam seorang pendekar.

“Dia pakai pakaian dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya,” hati saya tertanya dan terus berubah tempat. Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak tangga.

Saya menarik nafas dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan yang hebat.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata orang itu sambil merenung ke arah sebatang pokok pisang dara. Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan datuk.

Tidak memadai dengan itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan mempelam menuju ke hujung pelepah rumbia. Tupai itu jatuh atas tanah, mengeletek tidak tentu arah dan terus mati. Melihatkan kehebatan yang diperlihatkan oleh orang itu, saya rasa datuk bukanlah tandingannya. Ilmu kebatinan yang dimiliknya sungguh hebat sekali.

Saya segera menghampiri datuk. Saya mengajak datuk pulang. Bagi saya, kalau dengan Daud datuk mengalah, betapa pula ia akan menentang gurunya. Saya tidak mahu melihat datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk datuk beradu kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.

“Pulang saja tuk.”

“Kau diam, orang pengecut bukan keturunan aku,” tengking datuk. Saya termangu-mangu bila ditengking begitu.

Kamal terus memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki seluarnya yang menyimpan tokak. Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan. Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat macam ulat nangka.

Kamal membengkokkan badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas pucuk padi. Ia berjalan dan bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau. Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang memperlihatkan senaman aerobik.

Dari atas pucuk-pucuk padi Kamal melompat lagi. Kami ini ia berada di awang-awangan terus membuka silatnya. Ia seolah-olah seperti orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.

“Bagaimana?” katanya dengan muncul dari arah belakang saya. Kali ini badannya diselimut dengan kain hitam. Cuma bahagian mukanya sahaja yang kelihatan.

Bila saya melihat keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama. Suaranya juga macam suara orang di kubur lama.

Datuk segera menoleh ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain hitam yang menyelimuti seluruh tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan. Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.

“Syaitannya cukup kuat,” kata datuk sambil menggigit bibir. Saya terdiam dan terus merenung ke arah tingkap pondok yang terbuka dengan sendirinya.

Di situ saya lihat Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal. Kamal terus menyambutnya, dengan kayu itu Kamal terus menyerang datuk.

“Persediaan kita belum cukup Tamar, mari kita balik,” kata datuk pada saya. Datuk terus meniti batas menuju ke arah kebun getah dengan layu. Saya terpaksa berlari. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.

TERBENAM

Sebelum matahari berada di puncak bukit, saya dan datuk sudah pun berada di rumah. Nenek memberitahu datuk yang Haji Salim sakit tenat. Luka di lengan kanannya terus dihurungi ulat-ulat yang besar. Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali memakan daging lengan dan menghisap darah Haji Salim.

“Badannya tidak bermaya, mukanya pucat,” beritahu nenek pada datuk. Tanpa membuang masa, kami pergi ke rumah Haji Salim. Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di pelantar di depan isterinya.

“Kita bawa saja ke hospital,” kata isteri Haji Salim pada datuk.

“Nanti dulu. Ini sihir, mana boleh luka baru terus berulat. Ambilkan saya satu baldi air, tujuh helai daun limau purut, tujuh helai pucuk ubi gajah, taruhkan semuanya itu dalam baldi air tadi,” beritahu datuk pada isteri Haji Salim.

Sementara menanti barang-barang yang dipesan itu tiba, datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka. Saya lihat ulat-ulat itu sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula mengeluarkan bau hapak.

“Haji,” seru datuk. Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah datuk.

“Terasa bisa seluruh badan,” soal datuk lagi.

“Ya, kau usahakan. Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya bertuhankan syaitan,” kata Haji Salim. Datuk menarik nafas panjang.

Barang-barang yang dipesan oleh datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi gajah dan daun limau purut. Perkara pertama yang datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia membaca surah yasin, tiga kali berturut.

“Bersedia Haji, kami nak jiruskan air ke badan,” datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air. Perlahan-lahan datuk tumpahkan air ke tubuh Haji Salim yang dimulai dari ubun-ubun kepala membawa ke hujung kaki.

Selesai sahaja datuk melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar. Dan ulat-ulat yang mengerumuni luka di lengannya terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.

EPISODE KE-66

PENDEKAR TERBANG


Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu. tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu, tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi orang-orang kampung. Akibatnya, orang-orang kampung berada dalam kecemasan.

“Entah siapa yang pandai buat ramalan mengarut tu,” rungut Haji Salim ketika saya mengunjungi tempat kerjanya. Dari cara ia bercakap dan kerut wajahnya membayangkan rasa kesal yang mendalam.

“Kau lihat sendiri Tamar dah dua minggu cucu saudaraku ditanam, sudah dua minggu jugalah peristiwa hujan panas itu terjadi, tak ada pun perkara yang tak baik terjadi,” sambungnya lagi sambil membakar beberapa campuran besi untuk dibuat keris panjang.

Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya. Apa yang dikatakan oleh Haji Salim itu memang benar. Sejak dua minggu kebelakangan ini, tidak terdapat makhluk berjubah hitam dan wanita berwajah cantik, merayau seluruh kampung menjelang waktu Maghrib. Tidur saya juga aman tenteram, tidak diganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan.

“Kubur lama juga tidak dipuja orang lagi?” saya terkejut mendengar kata-kata Haji Salim. Wajahnya yang berpeluh dan merah dibahangi oleh kepanasan, saya tenung.

“Macam mana Pak Haji tahu?”

“Aku pergi sendiri dengan tidak memberitahu datuk kamu.”

“Kerja tu merbahaya Pak Haji.”

“Aku tahu. Kalau aku pergi dengan datuk kamu, aku tak boleh membalas dendam. Datuk kamu bertindak lambat sangat,” tambah Haji Salim lagi.

Saya menarik nafas panjang. Tahulah saya bahawa Haji Salim masih menaruh dendam pada orang-orang yang memuja kubur lama. Ia yakin, kematian cucu saudaranya angkara manusia pemuja syaitan.

“Kematian cucu saudaraku mesti dibalas,” ujarnya sambil menggengam penumbuk.

Peluhnya yang meleleh dari hujung dahi terus menitik atas dadanya. Air peluh itu bercampur dengan air peluh di dada lalu mengalir ke arah perutnya yang agak buncit sedikit dan kulitnya nampak kendur. Saya terus memerhatikan ia membuat kerja. Secara tidak diduga, saya teringatkan datuk yang sejak pagi lagi pergi ke kaki bukit memberu ayam hutan.

“Aku tahu, datuk kamu sudah memagar seluruh kampung ni dengan beberapa syarat dan petua,” Haji Salim merenung ke arah saya.

Cepat-cepat saya kerutkan dahi, saya tidak tahu dari mana Haji Salim mendapat sumber cerita yang baru ini. Saya kira, Haji Salim cuma mahu bergurau atau cuba membuat ramalan kosong. Sepanjang ingatan saya, belum pernah datuk melakukan sesuatu kerja tanpa memberitahu saya. Selangkah ia bergerak dalam usaha untuk kebaikan ia pasti memberitahu saya. Kalau tidak beritahu pada saya, ia akan beritahu pada nenek. Dan nenek akan memberitahu saya.

Bila Haji Salim berkata demikian, menimbulkan rasa sangsi dalam diri saya terhadap Haji Salim. Saya rasakan, Haji Salim seolah-olah mengintip segala kegiatan datuk. Apakah Haji Salim meragui kejujuran datuk? Mungkin Haji Salim mahu memperlihatkan kelebihan yang ada pada dirinya pada datuk.

Mungkin Haji Salim merasakan apa yang dilihatnya di tanah kubur lama itu satu rancangan datuk yang disembunyikan dari pengetahuannya, timbul petanyaan dalam diri saya. Kalaulah apa yang saya fikirkan itu benar, sesuatu yang lebih dahsyat akan terjadi bila dua orang yang berilmu mahu menunjukkan kepandaian masing-masing.

“Aku yang meminta datuk kamu membuatnya. Pada mulanya ia enggan. Setelah aku rayu baru ia setuju, ia melakukannya waktu tengah malam tanpa ada orang lain yang tahu, kecuali diri aku sendiri,” saya tersenyum. Rasa sangsi dan bimbang yang bergolak dalam dada saya menemui jalan akhir.

“Hari ni hari Rabu. Aku ada janji dengan orang nak berjumpa di Kampung Ulu Kelubi,” Haji Salim berhenti membakar besi. Ia mengelap peluh di tubuhnya dengan tuala kecil cap matahari.

“Apa halnya Pak Haji?”

“Orang tu menempah parang. Parangnya dah siap. Aku nak menghantarnya sekarang, apa kau nak ikut sama.”

“Boleh juga.”

“Orang ni aneh sikit Tamar. Matanya buta tapi ia tahu warna baju yang dipakai oleh orang yang datang berjumpa dengannya.”

“Hebat orang tu Pak Haji.”

“Tak tahulah aku nak kata, hebat atau tidak. Kau tengoklah sendiri.” Haji Salim ketawa.

Ia meninggalkan saya di rumah kerjanya. Haji Salim masuk ke bilik mandi. Kemudian pakai kain dan baju Melayu. Dengan motorsikal, kami menuju ke Kampung Kelubi. Saya ditugaskan oleh Haji Salim memegang parang.

Lebih kurang sepuluh minit kami melalui jalanraya, akhirnya kami melalui memasuki satu lorong kecil. Tidak sampai lima minit melalui lorong yang sempit itu, kami sampai ke sebuah rumah papan kecil.

Haji Salim tongkat motorsikal di bawah pokok mempelam. Dalam perkiraan saya, jarak Kampung Kelubi dengan kampung saya kira sepuluh batu lebih. Kampung Kelubi berada dalam jajahan Larut dan Matang.

Haji Salim terus memberi salam. Salam Haji Salim dijawab. Bila saya merenung ke pintu rumah, seorang lelaki tercegat di situ, orangnya kecil, berkulit agak hitam, rambutnya kerinting.

“Naik, budak yang pakai baju merah dan berseluar putih tu siapa?” tanya orang itu pada Haji Salim. Saya tahu kata-kata itu ditujukan pada saya.

“Nanti sekejap lagi saya beritahu,” jawab Haji Salim dan terus melangkah ke kaki tangga.

Bila berada dalam rumah orang itu, saya duduk dekat Haji Salim. Orang itu terus menjentik parang yang diberikan oleh Haji Salim padanya dengan kuku ibu jari kiri.

“Besinya baik, tidak rapuh,” katanya sambil meletakkan parang itu di hujung lututnya. Dari raut wajahnya, saya kira orang itu berusia antara 50-55 tahun. Haji Salim memanggilnya sebagai Lebai Din. Peramah dan suka berjenaka.

“Budak yang kamu bawa ni, berkulit cerah, rambut kerinting, ada parut di kepala,” Lebai Din terus memperkatakan diri saya. Semua yang dikatakannya itu memang tepat. Meskipun matanya buta. Saya kagum dengan kebolehannya itu.

“Pak Lebai nak buat apa parang ni?” tanya saya.

“Nak menebas kebun getah, biar mudah aku menoreh.”

“Eh, buta pun boleh menoreh dan menebas kebun.”

“Apa kau fikir orang buta tak boleh kerja? Dalam hidup ni biar kita buta mata, jangan buta hati. Kalau dah buta hati, celik pun tak guna.”

Haji Salim ketawa mendengar cakap Lebai Din itu. Saya merasakan ungkapan itu satu sindiran buat saya yang celik. Kalau saya tidak fikir yang berkata itu orang yang cacat anggotanya, mahu rasanya saya bertekak. Panas hati saya disindir dalam baik.

“Dia bukan menyindir, cakapnya itu penuh makna,” kata Haji Salim bila melihat saya dalam keadaan resah. Lebai Din tersenyum.

“Aku tahu budak tu marah. Tapi dia harus ingat, orang cepat marah selalu rugi. Hei budak kamu marahkan aku?” ujar Lebai Din dalam senyum yang memanjang.

“Saya tak marah.”

“Belajarlah dalam hidup untuk jadi orang yang tidak lekas marah. Aku tahu kamu budak pintar,” Lebai Din terus menepuk nepuk kepala saya. Haji Salim hanya memperhatikan sahaja telatah Lebai Din terhadap diri saya.

Tanpa diminta, Lebai Din menceritakan pada saya bahawa kedua belah matanya buta sejak kecil lagi. Pada mulanya ia sakit mata dalam usia tujuh tahun. Ibunya membawa dia menemui dukun mata. Entah di mana silapnya, sejak menemui dukun mata itu matanya terus sakit dan akhirnya menjadi buta.

Menurut cerita ibunya, dukun mata itu tersalah ramuan ubat. Mungkin dukun mata itu merasa bersalah lalu menjadikan ia anak angkat. Semasa menjadi anak angkat dukun mata itulah ia belajar silat, mengenal bentuk tubuh dan kulit orang berdasarkan bau badan. Dari tekanan suara seseorang ia dapat membaca watak peribadi orang itu.

Memanglah Lebai Din orang buta yang hebat, pada tanggapan saya. Kalau ia bercerita tentang dirinya memang asyik kita mendengarnya.

“Itu kisah lalu,” katanya mengakhiri cerita dirinya sambil merenung ke arah saya.

Meskipun kedua belah kelopak matanya tercantum, saya masih dapat merasakan di sebalik kulit yang bercantum itu ada sepasang mata yang tajam boleh menembusi hati dan perasaan sesiapa yang berada di hadapannya.

“Sekarang ada kisah baru Haji,” Lebai Din memperkemaskan silanya. Ia meraba kepala lututnya.

“Cerita apa Pak Lebai?” sahut Haji Salim.

“Begini, sejak dua tiga minggu lalu, orang-orang di kampung ini heboh memperkatakan tentang seorang pendekar yang boleh terbang atas angin.”

“Siapa orangnya Pak Lebai?”

“Aku tak kenal.”

“Pernah Pak Lebai bercakap dengannya.”

“Ada sekali. Waktu aku sedang motong getah ia lalu, kemudian ia minta kebenaran dari aku untuk mendirikan pondok di kebun getah aku.”

“Aku izinkan. Bila aku izinkan dia tak mahu, dia minta kebenaran untuk dirikan pondok di sawah aku yang terpencil.”

“Habis Pak Lebai izinkan.”

“Aku izinkan. Apalah salahnya dia nak menumpang. Lagipun bumi ini Allah yang punya. Kita cuma diamanatkan untuk menjaganya semasa kita masih hidup.”

Haji Salim merenung wajah saya. Kemudian Haji Salim kerutkan kening sambil meraba-raba pangkal dagunya. Macam memikirkan sesuatu.

“Bila aku tanya kenapa dia tak mahu mendirikan pondok dalam kebun getah yang letaknya tidak jauh dari rumah aku, jawapannya meragukan,” Lebai Din berhenti bercerita. Ia termenung panjang. Perbuatannya itu membuat saya tidak sabar lalu mengajukan pertanyaan.

“Apa dia jawapannya Pak Lebai?”

“Hai kau pun nak tahu jawapannya?”

“Ceritakanlah Lebai, saya juga nak tahu,” sahut Haji Salim dengan tenang.

“Katanya, dia ramai anak murid. Mengajar silat dari tengah malam hingga pagi, kalau dekat kampung nanti orang kampung marah,” Lebai Din memberikan keterangan. Saya dan Haji Salim anggukkan kepala.

“Dari cara orang tu bercakap berdasarkan gerak suaranya, dia memang tidak jujur. Kalau aku boleh mengintip mahu aku mengintipnya waktu malam.” Sambung Lebai Din. Dari cara Lebai Din bercerita itu, ia seolah-olah minta Haji Salim mengintip gerak geri pendekar tersebut.

Lebih kurang sejam kami berada di rumahnya, kami pun minta diri. Kami tidak singgah di mana-mana. Terus pulang ke rumah. Bila sampai di rumah Haji Salim, saya terkejut besar melihat datuk berdiri di halaman rumah Haji Salim sambil memulas tangan kanan Daud ke belakang.

Daud saya lihat tunduk sambil menahan kesakitan. Wajah datuk merah. Haji Salim segera menghampiri datuk.

“Kenapa? Kenapa Daud dibuat macam tu,” suara Haji Salim lembut. Wajahnya cemas. Datuk tidak menjawab. Daud ditolaknya hingga terjerumus ke bumi.

“Aku bunuh kamu, kalau kamu membuat perkara maksiat tu,” suara datuk meninggi.

Datuk terus menumbuk pokok pisang melepaskan geramnya. Pokok pisang yang ditumbuk datuk terus patah dua macam dipotong dengan parang. Datuk terus termenung panjang di situ. Haji Salim segera menghampiri Daud yang baru bangun sambil meraba dadanya. Mukanya nampak pucat.

“Kenapa Daud?” soal Haji Salim.

“Saya orang miskin. Kata orang dalam kubur lama ada harta karun, ada emas berlian, jadi saya cuba korek. Baru dua kali korek orang tua datang,” Daud merenung ke arah datuk. Muka Daud nampak cemas sekali.

Haji Salim terus menarik Daud ke dalam ruang tempat kerjanya. Ia suruh Daud duduk di situ. Kemudian Haji Salim terus menemui datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Datuk dan Haji Salim terus menemui Daud.

“Sekarang aku mahu kau bercerita perkara yang benar,” kata Haji Salim pada Daud. Datuk tidak berkata apa-apa. Ia cuma termenung dan berusaha menenangkan rasa marah yang membara dalam dirinya.

Daud terus bercerita. Kira-kira dua bulan yang lalu, ia diajak oleh seorang kawannya dari Pulau Pinang untuk memasuki satu kumpulan yang kerjanya mencari kubur lama untuk dipuja dengan tujuan mencari harta karun. Menurut ketua kumpulan, setiap kubur lama terutama kubur raja-raja dahulu kala menyimpan harta karun kerana dipercayai orang-orang yang mati itu ditanam bersama-sama dengan hartanya. Dalam usaha mencari harta karun itu, mereka sudah menjelajah ke seluruh tanah air. Mereka bergerak waktu malam.

“Siapa nama ketua kumpulan kamu,” soal datuk.

“Kamal, orang Batu Maung. Tetapi, ketua nombor satu seorang dukun tua yang berulat kaki. Saya yang memberitahu mereka di sini ada kubur lama.”

“Patutlah kamu selalu keluar. Kata kamu kerja kontrak tetapi lain pula yang kamu lakukan,” potong Haji Salim.

“Ya, saya menipu,” sahut Daud.

Datuk terus merisik rahsia dari Daud. Daud mengakui dia pernah memakai Jubah Hitam dan berada di kubur lama melakukan pemujaan. Tetapi, ia tidak pernah memotong lidah anak dara sunti. Cuma ia memberitahu pada kumpulannya tentang jumlah anak dara sunti yang terdapat di kampungnya.

“Kata dukun panglima di kampung kita ni susah sikit, ada penghalangnya. Penghalangnya besar dia ni,” Daud menudingkan jari telunjuknya ke arah datuk. Haji Salim menarik nafas panjang. Datuk tersenyum, ia sudah dapat mengawal perasaannya.

“Orang yang kau sebut sebagai Dukun Pendekar tu, boleh mengubat orang dan mengambil upah membuat orang,” tanya datuk.

“Ya, semua kerja jahat dia boleh buat. Dia berdendamkan kamu,” jawab Daud. Datuk menarik nafas panjang.

“Begini saja Daud. Kau ceritakan pada kami tentang kehebatan Dukun Pendekar yang aku lihat pada kami. Kalau ia betul-betul hebat, kami ikut dia. Sama-sama kita cari harta karun. Aku tahu tempat kubur lama yang menyimpan harta,” Haji Salim memujuk Daud penuh sopan santun.

Pada mulanya, Daud keberatan mahu menceritakan kisah ketuanya itu. Bila Haji Salim memperlihatkan kemampuannya menggenggam bara api dan mematahkan besi pejal, Daud terus membuka rahsia.

Kata Daud, kaki kanan Dukun Pendekar dihinggapi penyakit tokak, sudah berulat. Ulat-ulat tokak itu tidak pernah dibuang atau dibunuh. Jika ulat-ulat itu jatuh, ia akan mengutipnya dibungkus dalam kain kuning. Kemudian ulat-ulat dipelihara dalam balang besar dan diberi makan bangkai dan lidah manusia serta binatang.

Setiap kali Dukun Pendekar masuk gelanggang, tokak di kaki kanannya sukar untuk dikesan oleh para muridnya. Ia pernah melihatkan kemampuannya di hadapan Daud dan anak-anak muridnya yang lain, berjalan dalam hujan lebat waktu malam dengan membawa pelita. Pelita yang dibawanya tidak padam.

Dia berjalan cukup laju, kalau ia mahu pergi ke sesuatu tempat, ia akan menyebut nama tempat. Selesai saja sebut nama tempat tersebut ia akan hilang dan dirinya akan berada di tempat yang disebutnya,” ujar Daud penuh rasa kekaguman.

“Lagi apa kebolehannya?” desak datuk.

“Bila ia berhadapan dengan orang yang warak dan taat dengan hukum Allah, ia akan memperlihatkan dirinya sebagai orang yang tinggi dalam ilmu agama. Boleh menyebut ayat al-Quran dengan fasih.”

“Waktu siang, suka memencilkan dirinya di gua atau pondok buruk.”

Datuk dan Haji Salim berpandangan. Saya memicit jerawat batu di pipi kanan. Angin yang menerpa ke dalam ruang menjamah wajah saya. Terasa nyaman dan selesa. Beberapa helai daun kering kelihatan gugur di halaman.

Daud terus membisu, rambut panjangnya yang menyerkup dahi diangkatnya dengan telapak tangan kanan. Parut di dahi sebelah kiri jelas kelihatan. Parut itu nampak kehitam-hitaman sedikit.

“Orang tu sekarang duduk di mana?” suara datuk agak meninggi.

Sepasang matanya tertumpu ke wajah Daud. Cepat-cepat Daud mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak mampu Daud menentang sepasang biji mata datuk yang berkaca-kaca itu.

“Orang tu, berada tak jauh dari sini. Jangan kacau, dia berjanji pada saya tidak mahu kacau orang-orang kampung kita,” kata Daud yang berbadan tegap dan tidak suka memakai baju.

“Buktinya?” tingkah Haji Salim.

“Dah dua minggu dia tak kacau,” balas Daud sambil merenung wajah Haji Salim. Aneh sungguh sikap Daud. Cakap dengan Haji Salim berani, tentang muka dengan datuk tidak berani.

Saya hanya memerhatikan telatah Daud dengan ekor mata sambil memicit jerawat yang mula membengkak di sudut dagu kanan. Memicit jerawat memang menyeronokkan. Bila terasa sakit dilepaskan, kemudian diraba, digosok perlahan-lahan dan dipicit lagi.

“Boleh kau tunjukkan tempatnya pada kami,” nada suara datuk mula lembut. Kali ini datuk tidak merenung ke arah Daud. Datuk renung dinding. Saya lihat Daud merenung muka datuk. Perlahan-lahan Daud menjuihkan bibirnya ke depan, ia semacam memperkecil-kecilkan datuk.

“Pendekar Kamal, tidak mudah dijumpai atau ditemui. Lebih-lebih lagi, kalau orang yang mahu menemuinya mempunyai niat tertentu,” Daud segera bangun. Melangkah dua tapak ke arah saya, berdiri di sisi saya. Tiba-tiba perasaan saya jadi gementar.

Saya jeling ulas-ulas lengan Daud yang menonjol dan keras. Orangnya cukup tinggi hampir lima kaki tujuh inci. Saya jeling dadanya yang berbulu. Saya kira, kalau ia menghentakkan siku kanannya ke dada saya, pasti saya tersungkur.

“Saya tidak akan menunjukkan tempat Pendekar Kamal, walaupun tempatnya saya tahu,” cara mendadak sahaja Daud menjerit. Ia terus menendang pelipat kaki saya, saya terus jatuh.

Daud terus menendang apa sahaja yang ada di depannya. Saya cuba bangun. Belumpun sempat saya berdiri dengan betul, satu penendang hinggap di bahagian kanan perut saya. Saya terus menggulung-gulung atas lantai menahan kesakitan. Perut terasa senak. Daud terus melompat dan menyambar lembing.

“Sesiapa yang mahu kacau guru aku, aku bunuh sampai mampus,” Daud mengacukan mata lembing ke arah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim tenang sahaja.

Melihat datuk dan Haji Salim terpaku dengan tindakannya itu, Daud mula memperlihatkan taringnya. Ia melompat atas pelantar lalu mengambil parang panjang. Lembing di tangan terus dibuang.

“Daud,” jerit Haji Salim.

Serentak itu Haji Salim melompat lalu melepaskan penampar sulungnya yang lembut ke pipi kiri Daud. Tidak saya duga sama sekali penampar yang lembut itu boleh menyebabkan Daud jatuh tersungkur. Daud mengeletek macam ikan keli kena pukul. Mulut Daud kelihatan berbuih-buih sambil mengeluarkan suara dengkur, tidak ubah macam bunyi lembu yang kena sembelih.

“Macam mana awak buat budak ni Haji?” tanya datuk.

“Saya lepaskan bisa biar dia tahu tua-tua saya, bukan tua saja. Tua-tua saya, tua berisi.”

“Awak sudah keterlaluan.”

“Saya tahu. Melihatkan sikapnya yang takbur saya terpaksa menamparnya dengan bisa tangan.”

“Awak yang melepaskan bisa tangan, saya tidak upaya menawarnya. Awak tawarlah sendiri.”

Haji Salim mendekatkan telapak tangan kirinya yang menampar muka Daud ke bibirnya. Saya lihat bibirnya bergerak-gerak, kemudian jejarinya terus dicium. Haji Salim rapat ke arah Daud. Tangan kirinya diletakkan ke pipi Daud. Badan Daud yang menggeletar kembali macam biasa. Mulutnya yang berbuih, sudah tidak berbuih lagi.

Dengkurnya yang meninggi mula menurun. Daud membuka mata dan terus duduk termenung, tidak ubah macam ayam mabuk tahi.

“Budak tu belum cukup pulih. Kalau dibiarkan begitu dia akan jadi bodoh seumur hidup,” datuk mengingatkan Haji Salim. Saya lihat Haji Salim anggukkan kepala.

Ia meninggalkan kami di ruang kerjanya, menuju ke ruang dapur. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Haji Salim di ruang dapurnya. Haji Salim menemui kami kembali. Di tangannya ada secawan air putih. Ia terus menghampiri Daud. Kepala Daud digosoknya beberapa kali.

“Minum air ini,” ia memujuk.

Daud terus mengambil cawan di tangan Haji Salim. Tanpa berfikir panjang, Daud terus meneguk air di cawan sampai habis. Dalam sekelip mata sahaja, Daud terus bangun dan bertenaga kembali.

Mata Daud kelihatan merah. Ia mula bertempik dan menyambar parang semula. Kali ini, terus menyerang dengan melulu. Saya terpaksa lari keluar.

Daud memilih datuk sebagai sasaran utamanya. Ia terus menyerang bertubi-tubi. Setiap kali Daud melibaskan parang panjangnya, datuk terpaksa melompat ke kiri, melompat ke kanan. Datuk terus menyusup ke bawah pelantar dan melindungkan badannya dengan papan. Datuk terus bersembunyi di situ.

Melihat datuk menyusup bawah pelantar, Daud bertambah marah. Ia terus menjerit-jerit sambil memukul dadanya dengan hulu parang. Ia menoleh ke kanan lalu menyerang Haji Salim dengan bertubi-tubi. Macam datuk juga, Haji Salim terpaksa mengelak ke mana sahaja, asalkan mata parangnya tidak menjamah tubuhnya.

Kekuatan Daud sungguh berbisa. Langkahnya cukup cepat macam kilat. Telapak kakinya seolah-olah tidak memijak lantai. Wajahnya cukup garang dan menggerunkan sesiapa yang melihatnya.

“Jangan apa-apakan budak itu, dia dah kemasukan syaitan. Pertahankan diri awak dari kena parangnya,” jerit datuk dari bawah pelantar mengingatkan Haji Salim. Datuk tidak mahu Haji Salim bertindak
sebarangan.