Followers

Saturday, October 2, 2010

EPISOD KE-13

Penunggu Hutan Hulu Kinta


Datuk terus berbisik kepada saya, "tidurlah, esok kau akan tahu apa yang dah terjadi," saya angguk kepala dan cuba memejamkan mata dengan harapan saya akan terus terlena. Usaha saya itu gagal sama sekali. Tetapi banyak perkara yang menakutkan datang dalam kepala saya. Datuk tahu dengan apa yang saya alami. Dua kali dia menghembus muka saay, kemudian memicit batang leher saya mencari urat tidur. Bila urat tidur itu dipicitnya, mata saya terasa berat sekali. Akhirnya saya terlena.

Bila saya membukakan kelopak mata, saya lihat datuk sudah pun selesai sembahyang subuh. Tanpa banyak bicara saya terus ke perigi mengambil air sembahyang. Bila saya mahu memulakan sembahyang saya lihat datuk menyandarkan badannya ke dinding. Kedua belah kakinya diluruskan.

"Aku harap kau akan jadi orang islam yang teguh dengan rukun yang lima bila kau sudah jadi macam aku," ujar datuk sebaik saja saya menyelesaikan perintah Allah. Saya tersenyum.

"Sembahyang itu tiang agama, kita pandai bercakap dan tahu hukum agama tidak bererti, kalau kita tidak sembahyang," tambahnya sambil bangun. Datuk berdiri di muka pintu melihat matahari pagi yang mula terbit di kaki langit. Bunyi kicau burung mula kedengaran. Datuk turun ke tanah. Datuk turun ke tanah. Saya mengikutinya dari belakang. Sampai dekat pokok besar datuk berhenti berjalan.

"Kenapa ? Datuk tak mahu mandi embun pagi ni ?" tanya saya.

"Mandi, tapi aku nak mencari mayat Kidon dulu."

"Aku agak di kawasan ni, kau cari arah matahari terbit dan aku arah matahari jatuh." " Baiklah Tok."

Saya berjalan menuju ke arah pokok jejawi besar. Lebih kurang dalam dua puluh langkah mahu sampai ke pangkal pokok jejawi besar, saya terserempak dengan mayat Kidon. Badan saya menggigil saya lihat mayat Kidon tanpa kepala. Seluruh badannya bercalar, macam digaru oleh binatang buas. Datuk pun segera saya panggil.

"Kenapa ?" soal datuk

"Mayat."

"Mayat," suara datuk menurun. Dia pun melangkah menuju ke arah mayat Kidon. Datuk mematahkan anak-anak pokok lalu menutup mayat Kidon.

"Kita mandi embun dulu," kata datuk dengan senyum.

"Mayat ni macam mana tok ?"

"Biarkan di situ dulu, lepas mandi embun baru kita uruskan, baru kita beritahu pada orang kampung."

"Saya faham tok."

Pagi itu, kami berjalan di tepi hutan kecil sambil mandi embun. Badan terasa cukup segar. Bila mandi embun selesai. Datuk terus menemui ketua kampung. Kerana Kidon tidak mempunyai sanak saudara, urusan pengkebumian mayatnya diuruskan oleh pesatuan khairat kematian kampung itu. Ketua kampung memberitahu pada semua penduduk, bahawa kematian Kidon di baham oleh harimau. Perkara yang serupa itu juga dilapurkan kepada pihak polis. Sejak kematian Kidon, Kampung Hulu Kuang tidak lagi diancam toyol yang mencuri wang penduduk dan barang-barang yang berharga.

Seminggu selepas itu kematian Kidon, pondoknya terbakar dengan sendiri waktu dinihari. Akhirnya orang-orang kampung tahu juga yang Kidon membela toyol jadi-jadian. Mereka datang mengucapkantahniah atas kejayaan datuk.

"Saya tidak membunuh Kidon, dia mati dimakan oleh toyol yang diciptanya sendiri, biasanya toyol jadi-jadian boleh mendurhaka pada tuannya, itulah kepala Kidon hilang," kata datuk pada pada orang-orang kampung yang melawat pondok Kidon yang terbakar itu.

Waktu datuk mengkais-kais di kawasan rumah Kidon yang sudah dimakan api, datuk menemui tengkorak. Datuk yakin tengkorak itu ialah tengkorak Kidon. Masuk minggu kedua Kidon dikuburkan orang-orang kampung terdengar bunyi suara lelaki menjerit dari tanah kubur waktu malam. Bila disiasat ternyata suara itu datangnya dari kubur Kidon. Orang-oang kampung terpaksa membacakan Surah Yassin selama dua minggu di surau, mohon pada Allah supaya suara menjerit itu tidak kedengari oleh orang-orang kampung. Akhirnya dengan kuasa Allah yang maha besar suara itu tidak kedengaran lagi.

Menurut Imam Masjid kampung tersebut, perkara itu berlaku adalah dengan kuasa Allah yang mahu memperlihatkan kepada manusia di dunia, bahawa sesuatu yang dilakukan tidak mengikut atau terkeluar dari hukum-hukum agama akan mendapat balasan yang setimpal dari perbuatannya itu.

"Orang-orang islam yang baik mendapat rezeki yang halal melalui titik peluhnya sendiri, Islam menyuruh umatnya berusaha dengan cara yang baik, saya harap apa yang terjadi pada diri Kidon akan menjadi pelajaran pada kita semua." Imam Kampung Hulu Kuang yang berbadan tegap itu memberitahu pada semua penduduk di satu petang di dewan orang ramai. Dalam jangkaannya, saya dan datuk akan meninggalkan Hulu Kuang pada petang Khamis kerana pada malam Jumaat datuk akan bermalam di rumah isteri mudanya orang bunian. Jangkaan itu tidak terlaksana. Waktu saya bersiap-siap pada petang Rabu seorang lelaki dari Tanjung Rambutan mengajak datuk menembak kijang di Hulu Kinta.

"Saya setuju, tapi macam mana sekarang musim dharurat," datuk bertanya pada orang yang mengajaknya. Orang itu ketawa.

"Sebenarnya, saya memang ada memasang jerat pelanduk, kancil dan lain-lain di hutan Hulu Kinta, kita dikenakan perintah berkurung pada waktu malam saja,"

"Jadi."

"Kita boleh pergi pada waktu siang."

"Hum begitu."

"Tentu Setuju."

Pada pagi Khamis, saya dan datuk menaiki bas dari Chemor ke Tanjung Rambutan. Dari situ berjalan kaki menuju ke batu lapan. Belumpun pukul sepuluh kami sudah berada di dalam hutan tebal. Sebelum itu kami melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan dan menyatakan tujuan kami masuk ke dalam hutan. Kawan baru datuk itu memberikan senapang kampunnya untuk digunakan oleh datuk di samping itu dia juga menyuruh datuk membuat beberapa jerat baru. Sampai di satu kawasan, kawan baru datuk menyuruh saya dan datuk menuju ke arah sebuah anak bukit yang menurutnya di situ ada beberapa jerat yang sedang dipasang. Sedangkan dia menuju ke arah lain.

Berpeluh juga saya berjalan dalam hutan itu. Satu keistimewaan datuk yang tidak terdaya saya melawannya ialah, dia terlalu cepat bergerak dalam hutan. Dahan-dahan dan pokok-pokok yang dipijaknya tidak berbunyi. Saya terkejut besar bila seekor harimau dengan tiba-tiba muncul dari balik rimbun pokok salak jambi. Matanya tajam merenung saya. Ekornya bergerak-gerak.

"Ah, kamu jangan kacau aku nak lalau di sini, pergi cari makan tempat lain," begitulah datuk berdialog dengan harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk katakan itu. Dia bergerak perlahan-lahan dan akhirnya menghilangkan diri dalamhutan yang tebal itu.

"Berhenti," datuk memamaut bahu saya.

"Kenapa tok ?"

"Sembunyikan diri balik pokok." saya pun akur dengan cakap datuk. Dia meniarap di pangkal pokok besar. Saya juga begitu. Datuk mencangkung, macam kucing mahu menerkam sesuatu. Mata datuk tajam melihat pada rimbun anak-anak pokok yang bergerak. Seekor kancil muncul di depan kami. Datuk melompat bagaikan kucing, dalam sekelip mata saja dia berjaya menangkap kancil lalu dimasukkan ke dalam guni.

Kawasan yang kami masuk itu, sekarang sudah dijadikan pusat latihan dan rumah pasukan polis hutan- Hulu Kinta. Hutan tebal yang kami jelajahi dulu, sudah digantikan dengan hutan rumah pangsa yang bertingkat-tingkat. Datuk dan saya terus berjalan, kalaulah datuk itu adik saya sudah pasti saya menarik tangannya pulang, saya terasa bosan berjalan dalam hutan yang tebal dan lembab, dnegan bermacam-macam bunyi burung hutan. Saya merasakan kesal mengikutnya, kalaulah saya mengikut cakap adik datuk yang menyuruh saya tinggal di rumah tentulah saya tidak mengalami kesengsaraan semacam ini.

Bila saya fikirkan dalam-dalam, ada baiknya menurut datuk berburu dalam hutan. Dapat menambahkan pengalaman saya sendiri. Kepala dah hati terus melayan perasaan, kaki terus juga melangkah meredah duri dan onak. Saya mula terasa dahaga, tekak terasa cukup kering,

"Saya dahaga tok."

"Kau memang banyak ragam, tadi gatal sangat nak ikut."

"Jahanam." Datuk merungut panjang sambil menyambung, "jalan ke depan lagi kalau-kalau ada paya atau kolam, lepas tu kau minum sampai bengkak perut," datuk terus menolak saya. Ramalan datuk tepat, dua puluh langkah melangkah ke depan kami bersua dengan sebuah paya airnya cukup jernih. Bila saya mahu minum datuk segera menahan.

"Jangan minum."

"Saya haus tok."

"Minum di sini, datuk pun mencetus akar besar yang tergantung dari sepohon pokok rendang. Bila akar itu dipotong, darinya keluar air yang bersih. Dan air itu terus saya minum. Dahaga saya terus hilang. Bila saya merenung ke arah paya yang berair jernih, saya lihat air di paya itu bergerak-gerak . Di tengah perut paya itu terdapat seketul batu besar macam bentuk kapal. Saya terdengar bunyi suara orang ketawa panjang tetapi bentuk manusia memang tidak kelihatan.

"Ada suara tok."

"Aku tahu, aku mendengarnya kerana itu aku tidak membenarkan kau meminum air paya."

"Kita balik saja tok."

"Tak usah kita tengok apa yang terjadi."

Datuk dan saya pun segera bersembunyi di dalam rumpun pokok-pokok hutan. Sya lihat seorang perempuan berkulit putih berambut panjang sampai ke pinggang. Perempuan itu berkemban berenang ke tengah dan ke tepi sambil ketawa. Tiba-tiba perempuan itu hilang. Cuma yang tinggal di tengah paya ialah gelombang air yang beralun-alun memburu tepi paya.

"Siapa tu tok," saya menyoal.

"Penunggu paya, jangan tunggu lama di sini, susah kita ," datuk dan saya mula mengubah haluan, kami berjalan ke arah selatan. Datuk mula terasa sesuatu yang ganjil. Dia menyatakan rasa sangsinya terhadap kenalan barunya yang mengajak dia masuk hutan tadi.

Dia mula merasa kesal menerima pelawaan kawannya itu. Lebih aneh lagi kenalan barunya itu tidak pula menjumpai orang-orang di Hulu Kuang sebelum menemuinya. Masa melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan, anggota polis bertugas di situ tidak menyoalnya, seolah-olah kenalan baru datuk itu wujud di depan anggota polis itu, meskipun kenalan datuk itu berdiri di depannya.

"Keganjilannya baru aku sedar sekarang," rungut datuk. Saya tersenyum. Tetapi wajah datuk kelihatan muram membayangkan rasa kesal yang amat berat dideritainya.

"Aneh juga kawan kita tu, aku bagaikan terpukau. Apakah dia benar-benar manusia atau jin atau syaitan," sebaik saja datuk berhenti bercakap, kenalan barunya terpacul di depan kami. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Datuk menyambutnya. Mulut datuk bagaikan terkunci. Tidak terlahir kata-kata. Kata kenalan datuk itu menundingkan jarinya ke arah barat daya. Datuk angguk kepala lalu menarik tangan saya ke arah barat daya. Bila datuk dan saya menoleh ke belakang, kenalan datuk itu sudah tiada lagi.

Saya terasa bulu tengkuk saya meremang. Bau harum dan wangi mula menusuk lubang hidung saya dan datuk.

Datuk dan saya tidak berkata walau sepatahpun kami terus berjalan hingga sampai ke tebing Sungai Kinta. Di seberang sungai terdapat perkampungan orang asli. Perkampungan orang asli itu sekarang terkenal dengan nama Kinta Intek, kebanyakkan orang asli di situ sudah memeluk agama Islam.

Matahari sudah mula condong, bunyi deru air Sungai Kinta memekakkan lubang telinga. Datuk dan saya terus membasuh muka. Tidak jauh dari tempat kami berdiri terdapat sebuah jambatan merintangi sungai tersebut. Di sekitar kawasan jambatan itu sekarang jadi tumpuan orang ramai setiap hari Ahad untuk berkelah.

"Ke mana kita nak pergi tok, " saya menyoal datuk.

"Nampaknya ada orang mahu menguji ilmu aku, tapi biarkanlah, ilmu yang aku tuntut untuk kebaikan . Allah yang tahu hati aku," datuk bagaikan mengeluh. Dia turun ke dalam sungai dan mandi. Lepas mandi datuk tukar pakaian, memeng datuk membawa dua pasang pakaian satu untuk dipakai waktu berjalan dalam hutan, mana kala satu lagi digunakan untuk sembahyang. Datuk terus sembahyang asar di tepi sungai. Marah juga datuk pada saya kerana tidak membawa pakaian yang bersih untuk sembahyang.

Lama juga datuk duduk berehat di tepi sungai. Dia membaca sesuatu dan mengambil seketul batu. Batu itu dilemparkannya ke dalam sungai. Saya diam saja. Biarlah datuk melakukan apa saja yang difikirkannya patut. Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu, saya tercium bau yang cukup wangi. Saya kira kenalan baru datuk akan menjelma di depan kami. Bau wangi itu hilang, kenalan datuk tidak juga menjelma.

Saya terus melihat langit, matahari kain condong ke barat. Hati saya sudah menggelabah. Datuk masih juga tenang dan damai.

"Kita balik saja," datuk memberitahu saya. Cepat-cepat saya anggukan kepala. Saya dan datuk berpusing-pusing dalam hutan Hulu Kinta mencari jalan keluar. Kami tidak dapat menemui jalan yang mana kami lalu tadi, yang anehnay ialah sejauh mana kami bergerak, baik arah matahari jatuh atau matahari naik, kami akan sampai juga ke tepi tebing sungai, malah untuk sampai ke jambatan di sebelah hilir sungai kami tidak berdaya. Jambatan itu nampak dekat dan kami boleh melihat orang asli berjalan di atasnya, tapi kami tidak dapat menembusi hutan tebal untuk sampai ke jambatan. Berkali-kali diusahakan untuk pergi ke situ tetapi kami gagal juga. Pergi balik pergi balik kami tetap berlegar-legar di kawasan tepi sungai itu juga.

Hari mula remang senja. Datuk menggunakan segala kepandaiannya, ternyata kepandaian datuk tidak berguna sama sekali di dalam hutan Hulu Kinta. Akhirnya datuk memutuskan untuk bermalam saja di tepi tebing sungai tersebut. Waktu saya mahu pergi ke dalam perut sungai, saya terserempak dengan seekor ular, sebesar batang kelapa. Saya menjerit. Datuk segara menghampiri saya. Datuk juga terkejut melihat ular besar itu. Lama juga datuk menenung mata ular itu.

"Matanya berkedip." Kata datuk dengan penuh semangat.

"Kenapa, mata ular tidak berkedip ke datuk ?"

"Biasanya begitulah, kalau berkedip tu, tandanya jin atau bukan ular biasa."

Saya terdiam mendengar penerangan datuk itu. Lagi sekali, saya dan datuk tercium bau wangi yang amat sangat. Hari bertambah gelap. Fikiran saya bertambah kacau. Datuk terus mengadap ular besar. Perlahan-lahan ular itu membuka lingkarannya. Dalam sekelip mata saja, ekornya menjunam ke dalam sungai. Air sungai yang mengalir deras jadi tertahan. Saya lihat air sungai mula melimpah ke atas terbing. Menenggelamkan batu-batu besar di tengah sungai di bahagian hulu, manakala di bahagian hilir sungai, saya lihat air tidak mengalir.

Saya perhatikan datuk bercakap sesuatu dengan ular tersebut. Setiap kali datuk mengahkiri percakapannya, ular itu mengerakkan kelopak matanya. Ular itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk cakapkan. Datuk menyuruh saya menutup mata. Saya patut pada cakapnya. Masa saya menutup mata itu saya terdengar bunyi suara angin yang cukup kuat. Saya juga terdengar bunyi dahan patah dirempuh angin. Bumi yang saya pijak saya rasa bergerak macam berlaku gerak gempa yang cukup dahsyat.

"Buka mata," ujar datuk.

Saya pun membuka mata. Saya dapat diri saya dan datuk berada di sebuah surau tua. Saya terdengar suara Azan. Seorang lelaki berjubah hijau, berjanggut separas dada menyuruh saya dan datuk mengambil air sembahyang, orang tua berserban hijau itu menjadi Imam sembahyang Maghrib. Selepas membaca doa, orang tua berserban hijau itu menghantar saya dan datuk ke perkampungan orang asli. Dia menyerahkan saya pada penghulu orang asli yang dipanggilnya dengan nama tok batin bah aloi. Dia juga menyuruh penghulu orang asli itu menghantar saya dan datuk ke jalan besar Tanjung Rambutan - Ipoh pada siang esoknya. Penghulu orang asli itu memberi pengakuan akan membuat apa yang diperintahnya.

Bila orang tua itu membuka serban dan bersalaman dengan datuk, barulah saya kenal bahawa orang tua itulah yang menjadi kenalan baru datuk itu. Dia mengucapkan terima kasih pada datuk yang telah membinasakan Kidon. Dia juga mengingatkan datuk supaya jangan datang ke hutan Hulu Kinta tanpa menemuinya terlebih dahulu. Menurutnya, kawasan hutan Hulu Kinta adalah kawasannya. Dia juga meminta datuk memulangkan kancil yang ditangkap oleh datuk.

"Kalau kamu tidak menangkap binatang peliharaan aku, kami tidak akan sesat di sini," katanya dengan senyum.

"Tapi, awak yang mengajak saya ke mari berburu ?"

"Saya mahu menguji sejauh mana awak boleh menghargai nyawa makhluk lain," katanya dengan senyum.

"Saya jadi bingung dengan perbuatan kamu," tingkah datuk.

Jangan bingung, selain dari manusia ada makhluk lain diam di bumi ini, kamu harus mengenali mereka, tapi kau terlebih dulu mengenali kekuasaan Allah yang menjadikan langit dan bumi," tambah lelaki serban hijau. Kemudian dia menghilangkan diri. Sebelum tidur, penghulu orang asli memberitahu saya dan datuk dia telah memeluk agama Islam. Orang bertanggung jawab mendorong dia memeluk agama islam ialah lelaki serban hijau itu. Saya menggigit lidah mendengar cakapnya. Datuk pun menceritakan semua peristiwa yang kami alami pada penghulu orang asli. Dia ketawa. Menurutnya ular besar memang selalu ditemui oleh anak buahnya. Anehnya ular itu tidak pernah membinasakan orang.

"Kalau dia lahu di depan rumah kami, waktu senja menunjukkan ada perkara yang tidak baik akan berlaku, tiga bulan dulu dia melintas waktu senja di kampung kami, seminggu kemudian anak saya mati lemas," kata penghulu orang asli. Saya dan datuk anggukkan kepala.

"Lelaki serban hijau tu siapa tok batin ?" tanya saya

"Haji Lokman," jawab penghulu orang asli. Selepas tida ada pertanyaan yang keluar dari mulut saya atau datuk. Saya dan datuk disuruh tidur di bahagian depan rumah penghulu itu. Pagi esoknya atas permintaan datuk penghulu orang asli itu membawa saya dan datuk ke kawasan tempat kami bertemu dengan lelaki serban hijau itu. Tidak terdapat sebarang kesan atau tanda kawasan itu pernah didiami oleh sesiapa pun.

"Di tempat ni tak ada apa-apa, dulu kami jumpa orang komunis bunuh diri di sini," tanpa diminta penghulu orang asli menerangkan.

Saya dan datuk dihantar oleh penghulu orang asli hingga ke tepi jalan besar. Datuk dan saya membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja pergi ke Pekan Tanjung Rambutan yang jaraknya kira-kira dua batu saja. Sedang seronok melangkah, kenalan baru datuk muncul di depan kami dalam masa dua saat, kemudian dia menghilangkan diri. Sebaik saja saya dan datuk sampai di depan balai polis Tanjung Rambutan, beberapa orang Hulu Kuang bersama adik datuk tersenyum memandang kami, mereka sedang merancang untuk mencari kami di dalam hutan.

No comments:

Post a Comment