Followers

Thursday, November 11, 2010

EPISOD KE-35

MENGUSUNG IBLIS DI TENGAH MALAM

Subuh itu, sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air em­bun, datuk terus mendukung Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang menikam kulit badan Razman.

"Mail, biarlah aku dengan di temani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah tengok, nanti kau takut. Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran disamping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh”

"Baiklah, tapi awak tak minum lagi?"

"Aku terpaksa berpuasa waktu menjalankan kerja ini. Tamar juga begitu”

"Pelik juga sakit anak saya ni”

"Inilah dunia. Banyak manusia jadi korban syaitan dan iblis semata-mata kerana nafsu jahat. Anak kau salah seorang daripadanya”

Saya lihat mulut Mail yang berbadan melengkung itu terlopong. Tanpa banyak bicara dia meninggalkan kami. Datuk sudah pun mengenakan pakaian serba hitam. Dia duduk bersila tidak jauh dari tempat Razman terbaring. Datuk minta saya menumpahkan darah ayam dalam cawan di hujung lututnya. Saya lakukan. Datuk pun mula bertafakur. Matanya terpejam rapat.

Kedua belah tangannya memeluk dada erat-erat. Matahari pagi memancar dengan cantik sekali. Tiba-tiba Razman mengeliat macam orang baru bangun tidur. Dia tersenyum dan duduk bersila macam datuk. Datuk petik ibu jari kaki kiri tiga kali berturut-turut. Saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan Surah An-Nisa’. ltu pesan datuk yang saya mesti patuhi. Tiba-tiba dari tompokan darah ayam di hujung lutut datuk menjelma seekor ayam jantan putih. Terus berkokok dengan nyaring. Ayam jantan itu segera menuju kepada Razman.

Dan Razman membelai-belai badan ayam sambil memerintahkan ayam jantan itu berjalan kesana ke sini. Apa yang dikatakan oleh Razman, diikuti oleh ayam itu. Datuk meluruskan tangan kirinya ke depan. Manakala tapak tangan kanan­nya melurut lengan kirinya dari pangkal hingga ke hujung perlahan-lahan. Bila urutan itu sampai ke hujung jari, ayam jantan yang mengikut perintah Razman hilang. Razman melompat-Iompat dan menjerit. Dia marah kerana datuk menghilangkan ayamjantan putihnya.

Mujurlah tali sabut yang mengikat kakinya kuat. Ikatan yang datuk lakukan ini bukan sebarang ikatan. Ikat bersyarat dan berpetua. Kalau tidak pasti putus, kerana tenaga Razman ketika itu cukup luar biasa.
Semua anak-anak pokok getah, halba dan pokok janggut keli sekitarnya dicabut dengan mudah. Perkara yang nyata memang ada perlawanan kebatinan antara datuk dengan kuasa tertentu yang melindungi Razman.

Buktinya, muka datuk berpeluh. Urat-urat tangannya timbul, kedua belah bahunya bergerak macam menarik sesuatu dari direbut oleh pihak lain. Ak­hirnya Razman lemah sendiri. Terbaring atas tanah. Datuk bertafakur lagi. Dalam sinar matahari yang mula keras itu, tiba-tiba menjelma bapak kambing hitam meluru ke arah Razman.

Kambing jantan mencium dahi Razman dan Razman pun bangun lalu me­nepuk-nepuk belakang kambing hitam. Melihat keadaan yang ganjil itu, datuk jadi resah. Datuk menggenggam kedua belah tangannya dan dilapis dua. Genggam tangan kiri sebelah atas, genggam tangan kanan sebelah bawah, macam bu­dak-budak main tum tum bak. Dia rapatkan mata. Dia bangun perlahan-lahan dan berdiri sebelah kaki.

Kaki kanannya dibengkokkan. Bila kaki kanannya diluruskan dan dihen­takkan ke bumi sekuat hati, kambing jantan yang menjelma secara tiba-tiba mengembik sekuat hati, macam kena curahan air panas dan terus hilang. Raz­man rebah kembali. Matahari kian meninggi. Datuk merenung ke perdu pokok asam kumbang yang berdaun lebat. Badan saya mula berpeluh terutama di pangkal kedua belah ketiak. Perut mula terasa dimasuki angin, akibatnya saya sendawa bertalu-talu. Panas pagi itu memang lain macam rasanya, kulit muka terasa cukup pedih.

Datuk mengalih pandangannya dari perdu pokok asam kumbang ke arah rumpun lalang di sebelah barat daya secara perlahan-Iahan. Tapak tangan kirinya menekan pangkal dada kiri dan melurut ke bawah perlahan-Iahan. Bila pandangannya sampai kepada matlamat, tangan kirinya lurus ke bawah. Tetapi, jari telun­juknya menekan pangkal belikat. Mulutnya saya lihat bergerak-gerak, macam membaca sesuatu. Lama juga datuk merenung per­du lalang yang tumbuh liar itu.

"Kita bawa Razman segera balik”, kata datuk.

Bila datuk memegang pangkal tangannya, Razman segera mengelupur. menendang dan menumbuk datuk. Datuk menepis dengan cepat. Tetapi ten­dangan Razman dari sebelah kiri tidak dapat dielakkan.
Datuk tersungkur. Mukanya tersembam ke bumi. Saya lihat kekuatan Razman memang luar biasa. Pergerakannya cukup tangkas macam orang si­hat. Razman mula menerkam dan mahu memijak belakang datuk. Cepat-ce­pat datuk melarikan badannya ke kiri hingga keluar dari bawah bayang-bayang pohon asam kumbang. Razman tidak dapat melepasi bayang-bayang pokok asam kumbang. Bila dia terkeluar dari kawasan bayang-bayang itu tenaganya jadi lemah. Datuk menyedari tentang hal itu.

"Carikan aku batang tepus”, pekik datuk pada saya.

Saya toleh ke kiri, toleh ke kanan. Batang tepus tidak juga saya nampak.

"Cari sebelah matahari jatuh. Tak jauh dari pokok talang”, suara datuk cu­kup lantang.

Perintahnya saya akur. Memang betul cakap datuk. Batang tepus saya temui berdekatan dengan pokok talang berbatang licin. Saya cabut se­batang dan berlari ke arah datuk lalu menyerahkan batang itu padanya. Datuk mara lalu memukul bertalu-talu pada badan Razman. Saya lihat Raz­man menjerit dan terlompat-Iompat bila batang tepus menjamah tubuhnya. Akhirnya, datuk hentak pangkal sikunya dengan sekuat hati ke pangkal bahu Razman. Razman melayang rebah ke bumi. Saya kira tulang bahunya pasti patah dua. Razman tergolek macam ayam kena langgar lori tentera.

Datuk gosok bahagian bahu Razman yang dihentakkan dengan pangkal sikunya. Kemudian datuk gerakkan tangan Razman berkali-kali. Urut lagi dua kali dan gerakkan ke kiri dan ke kanan. Datuk tepuk bumi dan dada Razman. Saya lihat Razman bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk menghampiri saya.

"Tangannya yang patah sudah aku betulkan atas izin Allah. Sekarang kita bawa dia pulang”, kata datuk.

Dia pun memikul batang tubuh Razman. Saya mengekor dari belakang dan saya terasa macam ada bayang-bayang orang memburu saya. Rumput kiri kanan saya lihat macam dipijak orang dalam sinar matahari yang keras.
Anehnya, saya tidak nampak apa-apa. Tiba-tiba saya rasa bahu kanan ba­gaikan ditampar orang. Pedihnya bukan kepalang. Saya terus melangkah, peluh terus meleleh di dahi dan mengalir ke pangkal dagu. Kulit muka terasa pedih dan gatal-gatal. Dalam hati saya terus membaca Surah An-Nas dengan tenang. Gangguan itu tidak berlaku lagi pada diri saya.

Bila sampai di rumah, datuk pun meletakkan Razman di tempatnya. Saya lihat jam di dinding rumah sudah pukul sebelas pagi. Dari tingkap rumah Mail, saya melihat kemuncak Bukit Larut yang berkabus tebal. Datuk bersandar pada tiang seri. Lima belas minit kemudian Mail pun pulang. Tidak banyak yang ditanya oleh Mail terhadap kerja-kerja yang dilakukan oleh datuk. Mail terus masuk ke biliknya untuk menghisap rokok. Dia tahu datuk berpuasa hari itu. Mail tahu, tidak manis menghisap atau makan di depan orang yang berpuasa. Mail keluar, duduk bersila di depan datuk.

Datuk masih lagi termenung panjang. Perhatiannya tidak tertumpu apa yang berlaku di depannya. Datuk bagaikan berada di dunia lain. Saya tahu bagaimana mahu menyedarkan datuk supaya kembali dalam keadaan biasa.
Saya pun melipat bucu tikar mengkuang dan menindihkannya dengan lutut. Saya gigit kuku jari kanan sekuat hati sambil pura-pura batuk. Apa yang saya lakukan berhasil menyedarkan datuk. Petua yang saya jalankan itu saya peroleh dari datuk juga. Harus digunakan dalam keadaan yang tertentu mengikut hari dan bulan Islam di samping mem­perhitungkan masa.

"Mail”, datuk bersuara sambil merenung wajah Mail. “Ada tak kejadian­-kejadian aneh berlaku di pokok asam kumbang tempat anak kau suka pergi tu?", tambah datuk.

Mail luruskan kaki kanan. Datuk tarik nafas panjang. Mata saya terus merenung apa yang ada dalam ruang rumah. Rasa panas bertambah kurang kerana angin yang bertiup di luar masuk ke ruang rumah menerusi tingkap dan pintu yang terdedah.

"Ada”, jawab Mail.

"Apa dia?"

"Di bawah pokok asam kumbang itu dulu tempat orang mati bertembak"

"Siapa menembaknya Mail?"

"Penjahat itu berbalas tembak dengan pihak polis”

"Siapa namanya Mail?"

"Din Taiwan”

"Waktu matinya petang atau tengah malam?"

"Tengahari, kata orang waktu rembang lebih kurang pukul dua belas tengahari”

Datuk menggigit lidah mendengar keterangan dari Mail itu. Dan Mail memberitahu datuk bahawa Din Taiwan masa hidupnya memang terkenal sebagai kaki rompak yang handal. Namanya amat ditakuti oleh penduduk se­kitar Daerah Larut. Sikapnya tidak ubah macam kata orang tua-tua, beraja di mata, bersultan di hati.

"Kaki botol, kaki rogol. Dia memang pelesit”, keluh Mail.

Datuk tersenyum. Saya memperkemaskan sila. Mail merenung wajah datuk yang kelihatan tenang. Perut saya mula terasa pedih dan lapar. Bau sambal tumis petai membuat saya bertambah lapar lagi. Dalam kepala saya membayangkan betapa enaknya keluarga Mail makan tengahari nanti. Kalaulah saya tidak berpuasa, dua pinggan nasi tentu habis saya telan.

"Kata orang dia banyak ilmu”, tambah Mail.

"Ilmu untuk dunia tanpa ilmu akhirat selalunya membuat manusia sesat”

"Betul. Cuma yang anehnya bila dia dibawa ke hospital dan pada sebelah petangnya saya pergi ke tempat itu, saya lihat kesan-kesan darah Din Taiwan di tanah hilang, macam ada orang yang mengambilnya”

Datuk terkejut mendengar cerita dari Mail. Muka Mail saya renung. Datuk bangun, berdiri di muka tingkap merenung ke luar. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Datuk macam memikirkan se­suatu. Datuk terus melangkah ke anjung rumah dan tidur.

Datuk bangun bila waktu Zuhur tiba dan terus sembahyang. Sementara menanti masuk waktu Asar, datuk terus membaca Al-Quran. Lepas sembahyang Asar datuk dan saya pergi lagi ke bawah pokok asam kumbang. Dalam jarak dua puluh kaki dari pokok itu, datuk membentangkan se­helai kain pelikat dan kami duduk di atasnya. Matahari sudah condong, sinarnya tidak sekeras tadi.

"Jangan tegur apa yang kau lihat”, bisik datuk kepada saya sambil menye­litkan sehelai daun lalang ke telinga kiri saya.

Datuk juga menyelitkan daun lalang ke telinganya. Saya terasa keadaan keliling telalu sepi. Dunia bagaikan tidak ada penghuninya.

"Tumpukan seluruh pancaindera kamu Tamar pada alam lain”, saya terdengar sayup-sayup suara datuk.

Dan saya terasa badan bagaikan berada diawang­-awangan sebentar. Hujung baju datuk saya pegang erat-erat.

"Buka mata kamu Tamar”, datuk memerintah.

Cakapnya saya patuhi. Mata saya tertumpu pada pangkal pokok asam kumbang. Saya terlihat seorang lelaki jatuh berlumuran darah. Lelaki itu hilang dan saya lihat batang tubuh datuk terbongkok-bongkok mengambil tanah yang ada kesan darah dari lelaki itu. Datuk juga turut hilang. Dalam keadaan separuh sedar itu, saya terasa peha saya ditampar oleh datuk. Saya toleh ke arahnya. Datuk tersenyum daun lalang yang berada di celah telinga saya sudah pun berada di tangan datuk.

"Sekarang sudah tahu puncanya dengan izin Allah sakit Razman boleh diubati tetapi dia harus memulangkan barang yang diambilnya kepada orang yang berhak”, beritahu datuk pada saya.

Matahari kian condong. Datuk masih lagi belum mahu bergerak dari tempat duduknya. Dia memberitahu saya, bahawa saya dan dirinya harus berada di situ hingga remang-remang senja. Menurut datuk diri saya dan dirinya tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Bagi datuk duduk di situ tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ada saja kerja yang di buatnya. Mulutnya sentiasa terkumat-kamit dan anggota badannya yang lain juga selalu bergerak-gerak.

Bila hari sudah remang-remang senja, datuk pun menghentakkan kakinya ke bumi. Seluruh kawasan itu berbau harum. Saya terpandangkan bayang orang perempuan yang tidak begitu jelas duduk bersimpuh di hadapan datuk.
Tetapi melihat gaya perempauan itu duduk dan cara dia bertudung, saya yakin perempuan itu ada­lah isteri muda datuk iaitu, orang bunian. Perempuan itu bercakap dengan datuk. Saya tidak dapat menangkap dengan jelas apa yang diperkatakan oleh datuk dengan perempuan itu. Dengan sekelip mata perempuan itu hilang. Bekas tempat perempuan itu duduk terdapat tiga longgok tanah yang berdarah. Datuk terus berpeluk tubuh. Matanya merenung lurus ke depan. Dia menarik nafas.

Datuk hulurkan kaki kiri ke arah ketiga-tiga longgok tanah yang berdarah. Bila kakinya dilipatkan kembali seperti asal, saya lihat dari tanah longgok pertama keluar ayam jantan putih. Dari longgok kedua keluar kambing dan dari longgok ketiga terdampar mayat lelaki. Kerana longgok tanah yang berdarah sederet, semua jenis mak­hluk yang keluar darinya beratur sederet.

Remang-remang senja bertambah hitam. Angin mula menampar-nampar dedaun asam kumbang. Bunyi desiran angin itu cukup kuat bersama titik gerimis yang sambung menyambung. Saya terasa cukup seram. Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Ada suara orang minta tolong. Ada suara ayam berkokok, ada suara kambing mengembik. Akhir sekali saya terdengar suara orang lelaki memuja sesuatu, suara itu macam suara Razman. Datuk menamparkan tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri, serentak dengan itu, saya lihat batang tubuh Razman berdiri bagaikan bayang-bayang dalam warna senja yang kian beransur gelap. Ketiga-tiga makhluk yang terdampar di hadapan datuk bergerak dan menuju ke arah Razman lalu hilang meresap ke dalam tubuhnya.

Bayang-bayang Razman hilang lalu diganti dengan suara perempuan mengilai di atas pucuk pokok asam kumbang. Suara perempuan mengilai itu cukup nyaring dan ak­hirnya, pokok asam kumbang bergegar macam di goncang oleh sesuatu. Buah-buah asam kumbang yang muda berguguran atas bumi Suasana menjadi seram. Angin terus bertiup dan suara gagak mula kedengaran.

Macam-macam lembaga yang amat menakutkan wujud di hadapan saya dan datuk. Tetapi datuk tidak menampakkan rasa takut atau bimbang. Dia bagaikan yakin apa yang dikerjakannya akan berjaya. Datuk terus membaca Surah Al-Kursi dengan tenang dan teratur. Bila semuanya sudah selesai dibaca, datuk bangun lalu menghentakkan tumit kaki kirinya ke bumi. Semua yang ada dihadapan hilang terus.

"Syaitan”, kata datuk lalu mengajak saya pulang.

Dalam perjalanan pulang itu datuk memberitahu saya, bahawa Razman telah memuja darah orang mati dibunuh untuk sesuatu maksud yang jahat. Tetapi dia tidak dapat menunaikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan untuk dilaksanakannya. Akibatnya dia jatuh sakit dan ilmu salah yang dituntutnya itu memakan dirinya sendiri. Razman menguji ilmunya dengan darah ayam dan kambing. Ternyata ilmunya itu berjaya. Ayam dan kambing jelmaan yang didampingi oleh syaitan akan mengikut semua perintahnya. Kemudian Razman mengambil darah orang mati di bunuh di bawah pokok asam kumbang. Darah orang mati di bunuh itu dipuja dengan menggunakan beberapa kelengkapan tertentu di bawah pokok tersebut.

"Darah orang mati dibunuh tu dipuja waktu bunga senja”, ujar datuk pada saya dengan tenang.

Saya anggukan kepala dalam langkah senja yang kian gelap. Tetapi langit kelihatan bersih dan cerah.

"Darah tu dipuja tujuh Jumaat. Orang yang melakukan pemujaan tu bersemadi menghadapi arah matahari naik dan arah angin tanpa memakai pakaian kecuali cawat untuk menutup bahagian kemaluan”, beritahu datuk lagi.

Saya mula terasa cemas tidak tentu pasal. Langkah saya percepatkan. Datuk terus juga bercakap menerangkan apa yang dia tahu pada saya. Da­tuk yakin yang Razaman berguru pada orang yang tahu tentang kerja-kerja maksiat ini. Dan orang tempat dia berguru itu belajar separuh jalan saja.

"Sayang, orang tempat dia berguru itu hanya mencari yang jahat untuk tujuan yang jahat”, keluh datuk.

"Maksud datuk?", saya memontong cakapnya.

"Dia menuntut untuk niat jahat, bagi merosakkan sesama manusia. Kerana itu dia tidak menuntut bagaimana mahu menghancurkan perbuatan sendiri”, jelas datuk lagi.

Saya diam dan tidak mahu menyoal datuk lagi. Akhirnya, kami sampai ke kaki tangga rumah Mail. Ketika datuk selesai membasuh kaki dan memijak anak tangga pertama, suara Azan mula kedengaran. Saya cukup gembira kerana tempoh menahan lapar dan dahaga sudah berakhir. Bila berada dalam rumah hati saya bertambah lapang. Sudah ada makanan yang tersedia untuk saya dan datuk. Mail lalu mempersilakan kami menjamah hidangan. Datuk hanya minum segelas air sejuk dan sebiji pisang. Lepas itu dia terus sembahyang. Saya juga berbuat demikian dengan harapan selesai datuk sembahyang, dia akan makan kembali.

Harapan saya tidak dipenuhi. Lepas sembahyang datuk terus berwirid panjang dan membaca Surah Yasin tujuh kali hingga masuk ke waktu Isyak. Bila datuk selesai sembahyang Isyak barulah dia menghadapi hidangan.
Datuk cuma makan tujuh jemput nasi dan minum separuh air sejuk. Tetapi, saya terus makan dengan semahu-mahunya. Datuk tidak menegur perbuatan saya itu. Kerana saya makan terlalu banyak, saya merasa agak sukar mahu bernafas dan bergerak. Saya tersandar di dinding dan perut kelihatan agak buncit, macam perut bantal. Datuk menghampiri saya.

"Makan terlalu berlebihan tidak elok. Makan cara itu berkawan dengan iblis kerana terlalu mengikut nafsu”, bisik datuk ke telinga saya. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya cuma tersenyum sinis.

"Cuba jangan malukan aku”, tambahnya.

Datuk terus menuju ke tempat Razman. Datuk duduk bersimpuh di hadapan Razman. Datuk serkup muka Razman dengan kain hitam. Dengan hati-hati datuk menekan buku lali kaki Razman sebelah kiri. Badan Razman bergerak dan datuk memanggil Mail supaya duduk dekatnya. Mail datang. Datuk mengeluarkan sebatang rotan seni dari bawah pahanya. Saya tidak tahu dari mana datuk memperolehi rotan tersebut. Datuk urut batang rotan itu tujuh kali ke atas dan tujuh kali ke bawah. Razman secara mendadak bangun dan datuk dengan cepatnya pula meletakkan hujung rotan itu ke atas kain hitam.

Saya lihat Razman tidak mampu bangun. Hujung rotan itu bagaikan ada batu besar yang tidak terdaya ditolak oleh Razman, sedangkan datuk meme­gang pangkal rotan itu dengan dua jari saja. Dalam sekelip mata saja warna rotan bertukar menjadi hitam. Muka datuk berpeluh. Datuk tarik rotan itu dan letakkan kembali d bawah pehanya.

"Anak kamu Mail sudah teruk benar. Susah nak menghilangkan ilmu yang sudah sebati satu badan"

"Saya minta tolong ikhtiarkan. Dialah satu-satunya anak jantan saya”

"Saya boleh cuba”

Muka Mail kelihatan tenang mendengar janji datuk itu. Datuk meninggalkan Razman di tempatnya. Datuk ajak Mail pergi ke anjung rumah. Mereka duduk di situ. Saya malas mahu mengikut mereka. Saya rasa lebih selasa duduk bersandar di dinding. Saya terus terlelap dan terjaga bila terasa bahu sebelah kanan ditendang orang. Saya buka mata, saya lihat ada lelaki berbaju dan berseluar hitam berdiri di hujung kaki Razman. Dada saya berdebar, bila saya lihat Razman duduk bersila macam orang sihat dan lelaki yang berdiri itu terus sujud di kaki Razman.

"Sudah kau jalankan perintah aku?", saya terdengar suara Razman.

"Belum”, jawab lelaki itu tunduk.

"Kenapa kau tak ikut perintah aku?"

"Upahnya belum saya dapat”

"Kerana itu kau siksa aku begini?”

"Bila saya dapat minum darah perempuan beranak sulung malam Jumaat, semuanya akan selesai, saya tidak akan menghisap darah awak lagi”

"Aku dalam bahaya. Ada orang yang mahu memisahkan kau dengan aku. Tahu?"

"Darah dan roh awak sudah sebati dengan saya. Awak yang memuja saya, tidak ada orang yang boleh menewaskan saya. Saya dahaga saya mahu minum”

Sebaik saja lelaki itu berhenti bercakap, saya lihat dia memegang pergelangan kaki kanan Razman. Dia terus menggigit ibu jari kaki Razman. Suara Razman bergema menguasai ruang rumah sambil melompat. Datuk segera datang kepada Razman, batang tubuh lelaki itu hilang. Cuma yang kelihatan kepulan asap nipis masuk ke lubang hidung Razman bila dia menarik nafas. Semua yang saya lihat, saya ceritakan pada datuk. Tanpa membuang masa lagi datuk pun membuka bajunya lalu diserkupkan ke bahagian dada Razman. Muka Razman datuk serkup dengan kain merah. Rotan seni datuk letakkan melintang di atas dada Razman.

"Biarkan barang-barang itu di situ. Kau tunggu di sini, kalau ada apa-apa beritahu aku di anjung”, datuk meninggalkan satu pesan yang amat berat buat saya.

Sebelum datuk beredar dia menyuruh saya membaca Surah Al-­ikhlas seberapa banyak yang boleh hingga saya terlelap.

Mail masuk kedalam bilik tidur. Selama berada di rumahnya saya cukup sukar mahu melihat wajah isterinya. Suara isterinya juga jarang kedengaran memarahi anak-anaknya yang nakal. Saya terlelap dan datuk tidur di anjung rumah. Lebih kurang pukul tiga pagi, saya tersedar dari tidur. Saya lihat datuk sedang melakukan sembahyang Tahajud. Kemudian dia melakukan pula sembahyang Istikharah. Datuk tidur kembali.

Saya merasa senang hati kerana tidak ada kejadian aneh yang berlaku di hadapan saya. Dengan dada yang lapang saya menyambung kembali tidur yang terputus. Setelah menunaikan sembahyang subuh bersama datuk dan Mail, saya terus berubah tempat. Duduk di anjung rumah dekat kepala lutut datuk yang sedang membaca Surah Yasin.

"Aku rasa dengan izin Allah aku dapat melawan perbuatan jahat itu. Aku mesti menjalankannya dengan sebaik-baiknya. Niat aku bukan apa-apa, aku mahu mengembalikan budak itu ke jalan benar”, demikan datuk memberitahu saya. Datuk juga sudah menyiapkan beberapa rancangan yang akan dilakukannya selepas dia mandi embun.

Ketika matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, datuk sudahpun selesai mandi embun. Dia kembali mengadap Razman, semua perkakas yang di letakkan atas tubuh Razman diambilnya. Datuk meneliti rotan seni yang panjang dua kaki itu dengan rapi sekali. Tidak ada sebarang perubahan pada rotan tersebut. Datuk ambil air dari tempayan dapur lalu membasuh muka Razman.

"Razman bangun nak, bangun", suara datuk tenang di hadapan saya dan Mail.

Rotan seni di tangan terus datuk bengkokkan. Bila rotan itu diluruskan Razman pun bangun dan duduk, macam orang sihat dan terus minta makanan. Datuk berbisik dengan Mail. Dua tiga kali Mail anggukkan kepala, kemudian terus ke bahagian dapur. Mail datang kembali membawa secawan kopi dan dua ketul lepat pisang. Barang-barang itu datuk ambil. Air kopi datuk campurkan dengan air dari tem­payan. Lepat pisang datuk tikam dengan hujung rotan. Kemudian barang-barang itu datuk serahkan pada Razman.

Bila Razman mahu menghirup air kopi, cawan yang dipegangnya pecah. Bila dia mahu makan lepat pisang, lepat pisang itu terbang macam ada orang yang menyentapnya. Datuk terus bertafakur. Tanpa saya duga secara mendadak Razman bangun dan menendang ke arah badan datuk. Dua tiga kali dia menendang tetapi badan datuk tidak ber­gerak. Datuk membengkokkan jari telunjuknya. Razman rebah. Datuk saya lihat menginsut ke depan lalu membaca Surah Yasin dengan nyaring. Bacaan itu diikuti oleh Razman, tetapi, bila sampai pada ayat-ayat terakhir suara Razman tidak kedengaran.

Razman terus rebah. Datuk bangun dan membiarkan Razman terkapar di situ. Datuk lalu minta Mail mengorek lubang separas dada dekat pokok asam kumbang. Permintaan itu dilaksanakan oleh Mail. Bila lubang itu sudah dikorek, datuk terus masuk ke dalamnya. Dia minta Mail pulang ke rumah. Tinggallah saya dengan datuk dan datuk minta saya menimbus separuh badannya dengan tanah. Datuk minta saya mencarikan beberapa helai daun lalang kering. Daun lalang kering yang sudah saya peroleh itu, saya letakkan di hadapannya. Kerana pancaran matahari cukup terik membuat separuh badan datuk yang tidak ditimbus oleh tanah berpeluh.

"Bakar lalang tu”, perintah datuk.

Saya terus patuh. Bila api membakar lalang kering, saya terasa cukup panas. Angin yang bertiup membawa lalang yang terbakar ke arah datuk. Dalam sekelip mata saja saya tidak dapat melihat separuh daripada badan datuk, hilang dalam kemarakan api. Saya lihat rambut dan muka datuk terbakar. Saya kira ini satu kerja gila. Kenapa datuk mesti melakukan kerja yang tidak akan dilakukan oleh manusia yang berfikiran waras? Apakah datuk juga mendampingi dirinya de­ngan syaitan? Ini kerja mengarut, fikir saya sam­bil menutup kedua belah mata dengan tapak ta­ngan. Tidak sanggup saya melihat datuk dalam keadaan demikian.

"Aku tidak berdampingan dengan syaitan Ta­mar, apa yang aku lakukan ini adalah sebahagian dari kerja aku yang aku warisi dari guruku yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ini sebenarnya sebahagian dari ujian dan ketahanan diri, demi keyakinan aku yang bersandarkan pada kuasa Allah”, tiba­-tiba saya mendengar suara datuk.

Dia berdiri di kanan saya. Baju dan anggota badannya tidak pun rosak. Paling melucukan datuk sendiri melihat tempat dia kena timbus tadi penuh dengan api. Datuk meminta saya menyimpan rahsia aneh itu dari pengetahuan Mail dan orang lain. Segala apa yang terjadi tadi adalah untuk diri saya dan dirinya saja.

Kami kembali ke rumah Mail. Datuk membuat beberapa persiapan terak­hir. Dia mencari sendiri beberapa jenis akar kayu, daun dan beberapa ketul batu hitam yang diambil dari bekas lombong. Semua barang-barang itu datuk kumpulkan dalam kain hitamnya. Dari waktu Zuhur membawa ke waktu Isyak datuk terus membaca Al-Quran. Dia berhenti bila sampai waktu sembahyang. Walau macam mana susahnya, datuk tetap meneruskan puasanya. Dia berbuka puasa dengan segelas air saja. Dan saya juga diperintahkan mengikut apa yang dilakukannya. Kerana saya suka dengan tugas datuk yang mencabar itu, pahit maung dan susah saya harungi dengan harapan perkara-perkara aneh itu akan menjadi khazanah pengalaman yang berharga pada diri saya.

Lebih kurang pukul dua pagi, datuk dan saya memikul batang tubuh Raz­man keluar dari rumah tanpa diketahui oleh keluarga Razman. Tempat yang kami tuju ialah ke perdu pokok asam kumbang. Datuk masukkan separuh badan Razman ke dalam lubang tempat datuk membakar diri pada sebelah siang tadi. Badan Razman kami timbus dengan tanah. Datuk pun membakar semua barang-barang yang dibungkusnya dalam kain hitam. Api menyala dengan garangnya, memakan barang-barang itu. Api menjulang ke atas, macam disimbah dengan minyak petrol.

Razman menjerit dengan sekuat hati. Datuk memadamkan api itu dengan sekali hembus. Bila api padam, semua barang-barang dalam kain hitam tidak terjejas. Datuk mengambil seketul batu hitam lalu ditanamkan ke dalam tanah dengan ibu jari kakinya. Dalam masa itu juga bermacam binatang buas muncul di hadapan datuk dan saya.
Ada harimau, ada ular dan macam-macam lagi. Semua binatang buas itu hilang bila datuk menepuk tangannya.

Akhirnya, muncul seorang lelaki dari sebelah kiri Razman, bentuknya macam bayang-bayang lalu bersatu dengan diri Razman. Dengan menggunakan jari kaki juga, datuk cungkil batu hitam yang tertanam. Batu itu datuk ambil lalu digenggamnya erat-erat. Dari celah-celah lurah jarinya keluar asap. Datuk buka tangannya sebentar. Batu hitam sudah menjadi bara yang merah saga. Datuk genggam kembali. Datuk mencampakkan kain hitamnya pada saya.

"Bakar”, katanya.

Saya pun bakar kain hitam. Cahaya api dari kain hitam itu menerangi seluruh kawasan yang gelap. Sebenarnya kain hitam tidak terbakar, sekadar mengeluarkan cahaya seperti lilin yang terbakar. Saya lihat muka datuk bersih benar malam itu. Dia duduk bersimpuh merenung muka Razman.
"Kau siapa?", tanya datuk.

"Din Taiwan”

"Kenapa kau mengacau orang lain?”

"Dia memuja aku untuk tujuan tertentu”

"Sebab?"

"Dia suruh aku bawa gadis bernama Mariam padanya”

"Sudah kau buat?”

"Belum lagi”

"Sebab?"

"Dia belum beri aku darah perempuan beranak sulung”

Percakapan yang terjadi antara datuk dengan Razman berhenti. Datuk lalu melontar dua urat akar kayu ke arah Razman. Razman menjerit dan meminta datuk jangan mengu­langi perbuatannya itu. Datuk setuju dengan syarat Razman harus bercerita asal-usulnya. Permintaan itu dipersetujui oleh Razman. Sebenarnya bukan Razman yang bercakap ketika itu, orang yang dilawan oleh datuk bercakap itu ialah Din Taiwan.

No comments:

Post a Comment